SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

ADALAH SEDEKAH ALLAH.

 

 Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

 

 

HUBUNGKAIT NIAT PERJALANAN DENGAN PEMBOLEHAN
MENJAMAK DAN MENGQASARKAN SEMBAHYANG

 

 

Apa yang biasa difahami oleh masyarakat Islam di Malaysia rukhshah (keringanan) yang Allah 'Azza wa Jalla kurniakan kepada musafir seperti mengqasarkan dan menjamakkan sembahyang hanya diperbolehkan ketika berada dalam perjalanan yang berbentuk ketaatan kepada Allah 'Azza wa Jalla (safar al-tha’ah) dan bukan untuk tujuan yang mengandungi unsur-unsur dosa atau maksiat. Namun begitu sebenarnya rukhshah yang Allah 'Azza wa Jalla berikan kepada para musafir adalah berbentuk umum tanpa menetapkan apa-apa syarat tambahan. Firman-Nya:

 

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa

"mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…[1]

 

 

Asalkan sahaja hamba-Nya yang Muslim berada dalam perjalanan maka diperbolehkan untuknya mengqasarkan mahupun menjamakkan sembahyangnya. Menurut Syaikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin:

 

Keringanan perjalanan dibolehkan bagi setiap perjalanan baik perjalanan untuk ketaatan atau untuk maksiat, sedangkan dosa adalah disebabkan perbuatan maksiat itu sendiri baik yang dilakukan oleh seorang musafir ataupun orang yang bermukim. Pelaku maksiat akan mendapatkan dosa dalam dua keadaan itu dan keringanan yang diberikan kepada orang yang dalam perjalanan adalah untuk menghindari kesulitan, begitu juga orang yang melakukan perjalanan kemudian lalu berbuat maksiat di dalam perjalanannya itu dan dia adalah seorang Muslim maka dia mendapatkan ketentuan-ketentuan syari’at Islam dan tidak boleh bagi kita melarangnya untuk mendapatkan keringanan dari Allah kerana perbuatan maksiatnya.[2]

 

Sesiapa yang melakukan perjalanan atas tujuan untuk membuat maksiat maka dia akan dianggap melakukan perbuatan yang haram dan berdosa di atas perbuatan tersebut namun ini tidak menghindarinya untuk mendapat rukhshah dalam menjamak dan mengqasarkan sembahyang. Contohnya seorang yang mencuri sehelai baju lantas dipakainya baju tersebut untuk mengerjakan sembahyang. Maka perbuatannya mencuri baju adalah haram tetapi sembahyangnya tetap sah.

 

Manakala Syaikh al-Syinqithi dalam Adhwaa’ul Bayaan (Jld 1, halaman 360) pula berpendapat:

 

Para ulama’ berijma’ (bersepakat) bahawa mengqasar sembahyang empat rakaat menjadi dua rakaat ketika safar memang benar disyari’atkan… Ada juga orang yang menyatakan bahawa mengqasarkan sembahyang hanya boleh ketika safar dalam ketaatan syari’ay. Pendapat seperti itu merupakan pendapat yang tidak dipercayai oleh para ulama’.[3]

 

Dari ini dapat kita fahami bahawa menjamak dan mengqasarkan sembahyang diperbolehkan dalam segala bentuk perjalanan samada atas tujuaan ketaatan atau maksiat. Semoga dengan rukhsah ini akan dapat memberi perangsang kepada mereka yang memiliki tujuan yang tidak baik dalam sesuatu perjalanan untuk bersembahyang dan mungkin melalui sembahyangnya itu akan membuka hati mereka untuk membatalkan hasrat menempuhi perjalanan yang tidak baik tersebut. Sebagaimana yang kita sedia maklum ibadah sembahyang itu dapat menghindari kita dari melakukan perkara yang keji dan mungkar. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

…sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar…[4]

 


 

[1] al-Nisaa’ (4):101

[2] Syaikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin, Bekal Bagi Musafir, (edisi terjemahan oleh Farizal Tarmizi, Pustaka Azzam, Jakarta 2000), ms. 69-70.

[3] Dinukil daripada Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 417.

[4] al-‘Ankabut (29) : 45