Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

2-4  Terjemahan Al-Quran

 

Terjemahan” dari sudut bahasa ialah: penerangan dan penjelasan. Terjemahan dari sudut istilah ialah: penjelasan sesuatu kata-kata dalam bahasa lain. Terjemahan al-Quran ialah: penjelasan erti al-Quran dalam selain bahasa Arab. Terjemahan al-Quran terbahagi dua:

  1. Terjemahan harfiyah: iaitu menukar perkataan dengan perkataan.

  2. Terjemahan ma’nawiyah atau tafsiriyah: iaitu penjelasan erti percakapan dengan bahasa lain tanpa menghiraukan susunan tertib perkataan.

Contohnya ialah firman Allah Ta‘ala ( al-Zukhruf 43:3) - Maksudnya:

 

Sesungguhnya Kami menjadikan al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahaminya.           

     

       Terjemah harfiyah terhadap ayat ini ialah menterjemahkan satu persatu perkataan dalam ayat ini iaitu ‘inna’ kemudian ‘ja‘alna’ kemudian ‘qara’na’ kemudian ‘arabiyan’ dan seterusnya.

 

        Terjemahan ma‘nawiyah terhadap ayat ini ialah menterjemahkan erti keseluruhan ayat ini tanpa melihat secara spesifik erti setiap perkataan dan susunan perkataan-perkataannya. Dalam erti kata lain, ianya lebih kepada tafsir secara ringkas.

 

 

 

Hukum Terjemahan Al-Quran

 

Di sisi kebanyakan ulamak, terjemahan harfiyah adalah mustahil kerana ianya mempunyai syarat-syarat yang tidak boleh dipenuhi iaitu:

  1. Mempunyai perbendaharaan kata yang serupa dalam dua bahasa.

  2. Mempunyai alat-alat yang membawa erti-erti tertentu yang serupa antara dua bahasa.

  3. Mempunyai persamaan antara dua bahasa dalam susunan perkataan daripada konteks ayat, sifat dan sandaran.

Sesetengah ulamak pula mengatakan bahawa terjemahan harfiyah boleh dilaksanakan pada sesetengah ayat. Akan tetapi, walaupun ianya boleh dilaksanakan, hukumnya tetap haram kerana ianya tidak mungkin dapat menyampaikan maksud dengan sempurna, tidak memberi kesan pada jiwa-jiwa seperti kesan al-Quran yang berbahasa Arab yang jelas dan tiada keperluan (darurat) kepadanya kerana terjemahan ma‘nawiyah sudah mencukupi.

Dengan itu, walaupun terjemahan harfiyah dapat dilaksanakan pada sesetengah perkataan, ianya tetap dilarang oleh Syarak kecuali sekiranya diterjemahkan sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa untuk difahami orang yang mendengar dan bukannya diterjemahkan keseluruhan konteks ayat.

Terjemahan ma‘nawiyah dibenarkan kerana tidak terdapat perkara yang melarangnya. Bahkan ianya wajib apabila merupakan perantaraan untuk menyampaikan al-Quran dan Islam kepada orang yang tidak bertutur dalam bahasa Arab. Ini kerana menyampaikan al-Quran dan Islam adalah wajib, dan apa yang tidak sempurna satu kewajipan kecuali dengannya, ianya juga menjadi wajib.

 

Akan tetapi, terjemahan ma‘nawiyah mestilah dengan syarat-syarat berikut:

  1. Ianya tidak boleh dijadikan pengganti kepada al-Quran dengan menggunakannya sahaja sehingga meninggalkan al-Quran. Oleh itu, hendaklah ditulis terjemahan di sebelah teks Arab al-Quran supaya menjadi sebagai tafsiran kepadanya.

  2. Orang yang menterjemah mestilah mengetahui erti lafaz-lafaz dan tuntutannya dalam dua bahasa yang digunakan dalam perterjemahan.

  3. Orang yang menterjemah mestilah mengetahui erti lafaz Syarak dalam al-Quran.

  4. Di samping itu, terjemahan al-Quran tidak boleh diterima kecuali daripada orang yang dipercayai iaitu muslim yang teguh agamanya.

           

 
 
Kewajipan Muslim Dalam Tafsir Al-Quran : Rujukan Dalam Tafsir Al-Quran

Perselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat)

Terjemahan Al-Quran : Para Sahabat Yang Terkenal Di Dalam Ilmu Tafsir

Para Tabi’in Yang Terkenal Dalam Ilmu Tafsir

Ayat-Ayat Muhkam (Jelas) Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai)

Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran

Sumpah (Al-Qasam) : Al-Qasas (Kisah) : Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)

Al-Dhamir (Ganti Nama)

 

 

Tafsir : Kandungan