Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

2-2  Rujukan Dalam Tafsir Al-Quran

 

Rujukan-rujukan dalam mentafsir al-Quran ialah seperti berikut:

 

1- Kata-kata Allah Ta‘ala sendiri iaitu dengan mentafsir al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain. Allah Ta‘ala lebih mengetahui tentang apa yang dikehendakiNya dalam ayat-ayat al-Quran. Contohnya:

 

a - Firman Allah Ta‘ala ( Yunus 10:62) - Maksudnya: Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.

     

Perkataan “auliya’ Allah” telah ditafsirkan sendiri oleh Allah selepas ayat itu ( Yunus 10:63) - Maksudnya:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.

 

 

b - Firman Allah Ta‘ala (al-Tariq 86:2) - Maksudnya: Tahukah kamu apa yang datang pada malam itu?

 

Perkataan “al-Tariq” telah ditafsirkan sendiri oleh ayat kedua dalam surah ini, iaitu firman Allah Ta‘ala (al-Tariq 86:3) - Maksudnya: (Iaitu) bintang yang cahayanya menembus.

 

 

c - Firman Allah Ta‘ala (al-Nazi‘at 79:30) - Maksudnya: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya.

     

Perkataan “Dahaha” telah ditafsirkan sendiri oleh ayat selepasnya, iaitu firman Allah Ta‘ala (al-Nazi‘at 79:31-32) - Maksudnya:    Dia memancarkan daripadanya mata airnya, dan (menumbuhkan) tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-gunung dipancangkannya dengan teguh.

 

 

 

2- Kata-kata Rasulullah s.a.w. iaitu dengan mentafsirkan al-Quran dengan al-Sunnah. Rasulullah s.a.w. adalah penyampai bagi pihak Allah Ta‘ala. Bagindalah orang yang paling mengetahui tentang maksud Allah Ta‘ala. Contohnya:

 

a - Firman Allah Ta‘ala (Yunus 10:26) - Maksudnya: Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.

 

Rasulullah s.a.w. telah mentafsir perkataan “Ziadah” dengan maksud melihat wajah Allah Ta‘ala di dalam riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim secara jelas dalam hadith Abu Musa dan Ubai bin Ka‘b.[1] Ibnu Jarir juga meriwayatkannya daripada Ka‘b bin ‘Ujrah.[2]

           

Suhaib bin Sinan menerangkan sebuah sabda Nabi s.a.w.:

 

فيكشف الحجاب فما أعطوا شيئا أحب إليهم من النظر إلى ربهم عز وجل.

 

ثم تلا هذه الآية (لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَلا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ

 

وَلا ذِلَّةٌ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ).[3]

     

Maksudnya:

 

“Kemudian Allah menyelak penghadang. Mereka tidak pernah diberikan nikmat yang lebih disukai daripada melihat Tuhan mereka Yang Maha Mulia dan Agung.”

 

      Kemudian Baginda membaca ayat ini (Yunus 10:26 yang bermaksud):

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.

Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak pula kehinaan.

Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.”

 

 

b - Firman Allah Ta‘ala (al-Anfal :60):

 

(وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ )

 

Maksudnya: Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi.

 

Nabi s.a.w. telah mentafsir perkataan “Quwwah” dengan lontaran (seperti memanah dan melontar lembing) sebagaimana yang terdapat dalam hadith ‘Uqbah bin ‘Amir. [4]

 

 

3 - Kata-kata sahabat khususnya cendekiawan dan yang mendalami ilmu tafsir. Al-Quran telah turun dalam bahasa mereka dan pada zaman mereka. Mereka merupakan manusia yang paling bersungguh-sungguh mencari kebenaran selepas para Nabi. Mereka paling terselamat daripada hawa nafsu dan kesesatan, dan paling suci daripada menyalahi kebenaran yang akan menghalang daripada mendapat petunjuk kepada al-haq. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Nisa 4:43) - Maksudnya: Dan jika kamu sakit atau dalam pengembaraan atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan.

     

     Ibnu Abbas mentafsirkan sentuhan itu dengan jimak.[5]

 

 

4 - Kata-kata para tabi‘in yang bersungguh-sungguh mempelajari tafsir daripada para sahabat. Para tabi‘in adalah sebaik-baik manusia selepas para sahabat dan paling terselamat daripada hawa nafsu dan kesesatan. Bahasa Arab pada zaman mereka masih belum banyak bertukar. Mereka lebih dekat kepada kebenaran dalam kefahaman berbanding orang selepas mereka.

 

Ibnu Taimiyah berkata:[6]

Sekiranya para tabi‘in bersepakat (ijmak) terhadap sesuatu perkara, ianya menjadi hujah tanpa ragu. Sekiranya mereka berselisih pendapat, tidak boleh diterima satu pendapat dan menolak pendapat lain kecuali selepas dirujuk kepada al-Quran atau al-Sunnah atau bahasa Arab atau kata-kata para sahabat.

     

Katanya lagi:

Sesiapa yang menyimpang dan menyalahi mazhab dan tafsiran para sahabat dan tabi‘in, dia telah melakukan kesalahan, bahkan dia adalah pelaku bid‘ah (mubtadi‘) dalam perkara itu, walaupun dia seorang mujtahid yang diampunkan kesalahannya.

 

Katanya lagi:

Sesiapa yang menyalahi kata-kata dan tafsiran mereka, dia telah melakukan kesalahan dalam dalil dan juga dalam pendalilan (istidlal).

 

 

5 - Erti-erti perkataan samada dari sudut agama mahupun bahasa berdasarkan konteks ayat. Ini berdalilkan:

  1. Firman Allah Ta‘ala (al-Nisa 4:105) - Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu.

  2. Firman Allah Ta‘ala (al-Zukhruf 43:3) - Maksudnya: Sesungguhnya Kami jadikan al-Qur'an dalam bahasa Arab supaya kamu memahaminya.

  3. Firman Allah Ta‘ala (Ibrahim 14:4) - Maksudnya: Kami tidak mengutuskan seorang rasulpun melainkan dengan bahasa kaumnya.

Sekiranya maksud Syarak bercanggahan dengan maksud bahasa Arab, maksud Syarak diutamakan kerana al Quran turun untuk menerangkan Syarak bukannya untuk menerangkan bahasa Arab kecuali sekiranya ada dalil yang mengutamakan maksud bahasa Arab.

  • Contoh percanggahan dua maksud dan diutamakan maksud Syarak ialah firman Allah Ta‘ala tentang orang munafik (al-Taubah 9:84) - Maksudnya:

Dan janganlah kamu sekali-kali solat (menyembahyangkan jenazah)

seorang yang mati di antara mereka.

 

Solat dalam bahasa Arab ialah doa dan dalam Syarak (menurut ayat ini) ialah berdiri di hadapan mayat untuk berdoa dalam bentuk tertentu (iaitu sembahyang). Maksud Syarak di sini diutamakan kerana ianya adalah maksud pihak yang berkata yang terlintas dalam fikiran orang yang mendengar. Akan tetapi, doa ke atas orang munafik tetap dilarang berdasarkan dalil lain.

  • Contoh percanggahan dua maksud dan diutamakan maksud bahasa Arab ialah firman Allah Ta‘ala (al-Taubah 9:103) - Maksudnya:

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan

dan mensucikan mereka, dan bersolatlah untuk mereka.

 

Solat di sini ialah doa berdasarkan hadith yang diterangkan oleh Abdullah bin Abi Aufa:

 

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا أتى بصدقة قوم، صلى عليهم،

 

فأتاه أبي بصدقته فقال: اللهم صل على آل أبي أوفي.[7]

 

      Maksudnya:

 

“Kebiasaannya, apabila Nabi s.a.w. menerima zakat sesuatu kaum,

Baginda akan berdoa ke atas mereka. Lalu bapaku datang dengan sedekahnya

lalu Nabi berdoa, “Ya Allah, selawatlah atas keluarga Abu Aufa.”

 

  • Contoh persetujuan dua maksud Syarak dan bahasa Arab amat banyak sekali seperti langit, bumi, jujur, tipu, batu dan manusia.


 

[1  Hadith Abu Musa diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya (Jld. 6, Hlm. 1945), No. 10341, dan al-Lalika’i dalam Syarh Ushul al-I’tiqad (Jld. 2, Hlm. 458), No. 785. Hadith Ubay bin Ka‘b diriwayatkan oleh al-Tabari dalam tafsirnya (Jld. 15, Hlm. 69), No. 17633, dan al-Lalika’i dalam Syarh Ushul al-I’tiqad (Jld. 2, Hlm. 456).

[2] Riwayat al-Tabari dalam tafsirnya (Jld. 15, Hlm. 68), No. 17631, dan al-Lalika’i dalam Syarh Ushul al-I’tiqad (Jld. 2, Hlm. 456).

 [3] Hadith riwayat Muslim: “Kitab Iman, Bab Penetapan penglihatan orang-orang mukmin terhadap Tuhan mereka di akhirat,” No. 449.

[4] Hadith riwayat Muslim: “Kitab Pemerintahan, Bab Kelebihan melontar dan galakan terhadapnya...,” No. 4946.

[5] Riwayat ‘AbdulRazzaq dalam al-Musannaf (Jld. 1, Hlm. 134), dan Ibnu Abi Shaibah dalam al-Musannaf (Jld. 1, Hlm. 192).

[6] Majmu’ al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyah: Muqaddimah al-Tafsir, Fasl Yuglat fi al-tafsir min jihatain (Pendahuluan Tafsir, Bab Berlaku kesalahan dalam tafsir dari dua sudut).

[7]  Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Peperangan, Bab Peperangan al-Hudaibiyah,” No. 4166, dan Muslim: “Kitab Zakat, Bab Mendoakan orang yang memberi zakat,” No. 2492.

 

 

 

Kewajipan Muslim Dalam Tafsir Al-Quran : Rujukan Dalam Tafsir Al-Quran

Perselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat)

Terjemahan Al-Quran : Para Sahabat Yang Terkenal Di Dalam Ilmu Tafsir

Para Tabi’in Yang Terkenal Dalam Ilmu Tafsir

Ayat-Ayat Muhkam (Jelas) Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai)

Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran

Sumpah (Al-Qasam) : Al-Qasas (Kisah) : Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)

Al-Dhamir (Ganti Nama)

 

 

Tafsir : Kandungan