Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

 2-11  Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)

 

            al-Israiliyat ialah berita-berita yang dibawa daripada Bani Israil yang terdiri daripada Yahudi (lebih banyak) dan Nasrani. Berita-berita ini terbahagi kepada 3 kategori:

 

1.  Berita yang diktiraf oleh Islam dan disahkan benar. Hukumnya adalah benar.

 

Contohnya ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibnu Mas‘ud:

 

جاء حبر من الأحبار إلى رسول الله  صلى الله عليه وسلم فقال:

 

يا محمد، إنا نجد أن الله يجعل السماوات على إصبع، وسائر الخلائق على إصبع

 

فيقول: أنا الملك، فضحك النبي  صلى الله عليه وسلم حتى بدت نواجذه تصديقا لقول الحبر،

 

ثم قرأ رسول الله  صلى الله عليه وسلم:

 

(وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَلأَرْضُ جَمِيعاً قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ

 

بِيَمِينِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ).[1]

 

 

Maksudnya:

 

“Telah datang seorang pendita Yahudi kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:

“Wahai Muhammad, sesungguhnya kami dapati (dalam kitab kami) bahawa Allah meletakkan tujuh petala langit atas satu jari, tujuh petala bumi atas satu jari, segala pokok atas satu jari,

air dan tanah atas satu jari dan seluruh makhluk atas satu jari lalu berkata, “Akulah raja.”

 

Mendengar itu, Nabi tergelak sehingga ternampak gusinya, membenarkan kata-kata pendita itu. Kemudian Baginda membaca (ayat 67 surah al-Zumar 39 yang bermaksud):

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha suci Tuhan dan maha tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.”

 

 

 

2.  Berita yang ditolak oleh Islam dan disahkan bohong. Hukumnya adalah batil.

 

Contohnya ialah riwayat daripada Jabir katanya:

 

“Dahulu golongan Yahudi mengatakan sekiranya lelaki mendatangi isterinya daripada arah belakang, anak akan jadi juling. Kemudian turun ayat (al-Baqarah 2:223):

 

Maksudnya:

 

Isteri-isterimu ialah seperti tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk tanam kamu itu bagaimana sahaja kamu kehendaki (melalui faraj). [2]

 

 

 

3.  Berita yang tidak diiktiraf dan tidak pula ditolak oleh Islam.

 

Hukumnya adalah ditangguhkan berdasarkan kepada hadith daripada Abu Hurairah:

 

كان أهل الكتاب يقرؤون التوراة بالعبرانية، ويفسرونها بالعربية لأهل الإسلام،

 

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم ،

 

وقولوا: (آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ) الآية.[3]

 

Maksudnya:

 

“Dahulu Ahli Kitab membaca al-Taurat dalam bahasa Ibraniyah

dan mentafsirkannya dalam bahasa Arab untuk orang Islam.

Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan percaya Ahli Kitab dan jangan dustakan mereka. Katakanlah “Kami telah beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu.” (al-Ankabut 29:46).

 

 

Akan tetapi, membincangkan berita jenis ini tidak mengapa jika tidak ditakuti membawa keburukan berdasarkan sabda Baginda s.a.w.:

بلغوا عني ولو آية، وحدثوا عن بني إسرائيل ولا حرج،

 

ومن كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار.[4]

 

Maksudnya:

 

“Sampaikanlah daripadaku satu ayat, ceritalah daripada Ahli Kitab tanpa keberatan. Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja, hendaklah dia sediakan tempat duduknya di dalam neraka.”

 

Kebanyakan berita-berita yang diriwayatkan daripada mereka tidak mempunyai faedah dalam agama.

 

Contohnya ialah warna anjing Ashab al-Kahfi dan sebagainya.

 

Berkenaan dengan pertanyaan Ahli Kitab tentang urusan agama, hukumnya adalah haram berdasarkan hadith daripada Jabir bin Abdullah, bahawa diriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda:

 

لا تسألوا أهل الكتاب عن شئ؛ فإنهم لن يهدوكم، وقد ضلوا،

 

فإنكم إما أن تصدقوا بباطل، أو تكذبوا بحق،

 

وإنه لو كان موسى حيا بين أظهركم ما حل له إلا أن يتبعني.[5]

 

Maksudnya:

 

“Jangan tanya Ahli Kitab berkenaan sesuatupun.

Sesungguhnya mereka tidak dapat memberi hidayah kepada kamu dan mereka telah sesat.

Justeru, kemungkinannya ialah kamu membenarkan yang batil atau mendustakan yang benar (akibat daripada bertanya kepada Ahli Kitab).

Sesungguhnya jika Musa hidup di antara kamu, tidak halal baginya kecuali mengikut aku.”

 

 

Abdullah bin Abbas berkata:

 

يا معشر المسلمين كيف تسألون أهل الكتاب عن شئ،

 

وكتابكم الذي أنزل الله على نبيكم صلى الله عليه وسلم أحدث الأخبار بالله محضا،

 

لم يشب، وقد حدثكم أن أهل الكتاب قد بدلوا من كتاب الله،

 

وغيروا، فكتبوا بأيدهم، قالوا: هو من عند الله؛

 

ليشتروا بذلك ثمنا قليلا أو لا ينهاكم ما جاءكم من العلم عن مسألتهم؟

 

فلا والله رأينا رجلا منهم يسألكم عن الذي أنزل إليكم.[6]

 

 

Maksudnya:

 

“Wahai golongan yang beriman, bagaimanakah boleh kamu bertanya Ahli Kitab tentang sesuatu sedangkan kitab kamu yang Allah turunkan ke atas nabiNya adalah berita-berita terkini

tentang Allah yang segar dan belum tua.

 

Allah telah memberitahu kamu semua bahawa Ahli Kitab telah menukar kitab Allah

dan menulisnya dengan tangan-tangan mereka dan mengatakan ianya adalah daripada Allah untuk mendapat ganjaran wang yang sedikit.

 

Tidakah pengetahuan kamu tentang mereka cukup untuk menegah kamu?

Dan demi Allah, tidak pernah pula ada di antara mereka yang bertanya kamu tentang apa yang diturunkan kepada mereka.”

 

 

 

Pendirian Ulamak Dalam Al-Israiliyat

 

Berkenaan dengan berita al-Israiliyat, para ulamak khususnya para mufassirin terbahagi empat:

  1. Ada di antara mereka yang membawa berita al-Israiliyat bersama sanad-sanadnya. Mereka berpendapat dengan membawa sanad-sanadnya mereka terlepas daripada tanggungjawab. Contohnya Ibnu Jarir al-Tabari.

  2. Ada di antara mereka yang banyak membawa berita al-Israiliyat, kebanyakannya tanpa sanad-sanadnya. Mereka ini ibarat pemungut kayu api di waktu malam.

     

    Contohnya ialah Imam al-Baghawi di mana Imam Ibnu Taimiyah telah berkata berkenaan tafsirnya:

     

    Sesungguhnya tafsir al-Baghawi adalah ringkasan daripada tafsir al-Tha‘labi, cuma beliau (al-Baghawi) telah memeliharanya daripada hadith-hadith maudhu’ dan pendapat-pendapat yang direka.

     

    Ibnu Taimiyah berkata tentang al-Tha‘labi pula:

     

    Sesungguhnya dia adalah pemungut api di waktu malam. Dia akan menukilkan apa sahaja yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir samada sahih, dhaif atau maudhu’.

     

  3. Ada di antara mereka yang membawa berita-berita al-Israiliyat dan menilai  sesetengahnya dengan menyifatkannya dhaif atau ditolak. Contohnya ialah Imam Ibnu Kathir.

  4. Ada di antara mereka yang bersungguh-sungguh menolak berita-berita al-Israiliyat dan tidak membawanya sebagai tafsir al-Quran langsung. Contohnya Syaikh Muhammad Rasyid Ridha.


 

[1] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Tafsir, Bab FirmanNya (Dan mereka tidak mengagungkan Allah sebenar-benar keagungan),” No. 4811, dan Muslim: “Kitab Sifat-sifat orang munafiq dan hukum-hukum mereka, Bab Sifat hari kiamat, syurga dan neraka,” No. 2786.

[2] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Tafsir, Bab (Isteri-isteri kamu adalah ladang kamu, maka datangilah ladang kamu sebagaimana yang kamu suka),” No. 4528, dan Muslim: “Kitab Perkahwinan, Bab Kebenaran untuk bersetubuh dengan isteri di farajnya dari arah hadapan ataupun belakang dengan menghindari lubang dubur,” No. 1435.

Catitan penyunting: Yang dimaksudkan sebagai bohong dan batil adalah dakwaan orang Yahudi bahawa jika seseorang itu menyetubuhi isterinya dengan cara-cara tertentu ia akan mengakibatkan kecacatan sekian-sekian. Adapun bersetubuh melalui dubur isteri, maka ia memang dilarang dalam Islam berdasarkan dalil al-Sunnah dan ijmak.

[3] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Tafsir, Bab (Katakanlah ‘Kami beriman dengan Allah dan dengan apa yang diturunkan kepada kami..’),” No. 4485.

[4] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Hadith-hadith tentang para nabi, Bab Tentang Bani Israil,” No. 3461.

[5] Hadith riwayat Ahmad, No. 14631. (Bagi edisi 6 jld, rujuk jld. 3, hlm. 338). Sanadnya dinilai dhaif oleh al-Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth.

[6] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Kesaksian, Bab Tidak perlu diminta orang musyrik sebarang kesaksian atau lain-lain,” No. 2685 dan 6929.

 

 

 

      

Kewajipan Muslim Dalam Tafsir Al-Quran : Rujukan Dalam Tafsir Al-Quran

Perselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat)

Terjemahan Al-Quran : Para Sahabat Yang Terkenal Di Dalam Ilmu Tafsir

Para Tabi’in Yang Terkenal Dalam Ilmu Tafsir

Ayat-Ayat Muhkam (Jelas) Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai)

Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran

Sumpah (Al-Qasam) : Al-Qasas (Kisah) : Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)

Al-Dhamir (Ganti Nama)

 

Tafsir : Kandungan