Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

2-7  Ayat-Ayat Muhkam (Jelas)

Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai)

 

 

Ayat-ayat al-Quran al-Karim terbahagi kepada 3 kategori:

 

1. Kategori pertama: al-Quran itu secara umumnya muhkam (jelas). Contohnya:

  1. Firman Allah Ta‘ala (Hud 11:1) - Maksudnya: Alif lam ra (inilah) sebuah kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

  2. Firman Allah Ta‘ala (Yunus 10:1) - Maksudnya: Alif lam ra (inilah) ayat-ayat al-quran yang mengandungi hikmah.

  3. Firman Allah Ta‘ala ( al-Zukhruf 43:4) - Maksudnya: Dan sesungguhnya al-Quran itu dalam kitab induk (Lauh Mahfuz) di sisi Kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandungi hikmah.

Yang dimaksudkan dengan muhkam (jelas) di sini ialah ketepatan dan kualiti tinggi pada lafaz-lafaz dan erti-ertinya. Al-Quran menggunakan bahasa dan sastera yang amat fasih. Kesemua berita-beritanya benar dan bermanfaat. Al-Quran tidak mengandungi penipuan, percanggahan mahupun kata-kata kosong yang tidak berguna. Kesemua hukum-hukumnya adil, tidak zalim, tidak bercanggahan dan bukannya hukum yang tidak relevan.

 

 

2.  Kategori kedua: al-Quran itu secara umumnya mutasyabihat (saling menyerupai). Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Zumar 39:23) - Maksudnya:

 

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik iaitu al-Quran  yang serupa (mutu ayat-ayatnya)

lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka,

kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah.

 

Yang dimaksudkan dengan mutasyabih (menyerupai) ialah kesemua ayat-ayatnya saling menyerupai dalam kesempurnaan, kualiti tinggi dan tujuan-tujuan terpuji. Firman Allah Ta‘ala (al-Nisa' 4:82) - Maksudnya:

 

Kalau kiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat

pertentangan yang banyak di dalamnya.

 

 

3. Kategori ketiga: sesetengah al-Quran itu secara khususnya muhkam (jelas) dan sesetengah yang lainnya secara khususnya mutasyabih (samar). Contohnya ialah firman Allah Ta‘ala (Ali Imran 3:7) - Maksudnya:

 

Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu.

Di antara isinya ada ayat-ayat yang muhkamat (jelas),

itulah  asas (induk) bagi isi al-quran dan yang lainnya ayat-ayat mutasyabihat (samar).

 

Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan,

maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah

dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.

 

Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata

"Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi tuhan kami."

dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.

 

 

Yang dimaksudkan dengan muhkam (jelas) di sini ialah erti ayat itu jelas dan terang, tiada kesamaran padanya. Contohnya ialah:

  1. Firman Allah Ta‘ala (al-Hujurat 49:13) - Maksudnya: Hai manusia, sesungguhnya Kami telah mencipta kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.

  2. Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:21) - Maksudnya: Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.

  3. Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:275) - Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan jual-beli.

  4. Firman Allah Ta‘ala ( al-Maidah 5:3) - Maksudnya: Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, daging haiwan yang disembelih atas nama selain Allah.

 

Yang dimaksudkan dengan mutasyabih (samar) di sini ialah erti ayat itu tersembunyi dan mempunyai kemungkinan. Sesetengah orang yang membacanya mungkin akan menyangkakan sesuatu yang tidak layak bagi Allah Ta‘ala, kitabNya atau rasulnya. Akan tetapi, orang yang berilmu dan teguh ilmunya dapat memahami erti sebenarnya.

 

 a.   Contohnya dalam perkara yang berkaitan dengan Allah ialah firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:64) - Maksudnya:

Tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka.

 

Mungkin ada orang yang salah faham bahawa Allah Ta‘ala mempunyai dua tangan seperti tangan makhluk-makhlukNya.

 

 b.  Contoh lain ialah dalam perkara yang berkaitan dengan kitab Allah Ta‘ala ialah firman Allah Ta‘ala ( al-Nisa’

4:79) - Maksudnya: Apa sahaja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpamu maka dari kesalahan dirimu.

 

Di dalam ayat lain Allah Ta‘ala berfirman (al-Nisa’ 4:78) - Maksudnya: Dan jika mereka memperoleh kebaikan mereka mengatakan "Ini adalah dari sisi Allah." dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan "Ini datangnya dari sisi kamu." katakanlah "Semuanya datang dari sisi Allah"

 

Mungkin ada orang yang salah faham bahawa al-Quran bercanggahan dan saling membatalkan antara satu sama lain setelah membaca kedua-dua ayat tadi.

 

  b.  Contoh seterusnya ialah dalam perkara yang berkaitan Rasulullah s.a.w. ialah firman Allah Ta‘ala (Yunus 10:94)

- Maksudnya: Maka jika kamu berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu. Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.

 

Mungkin ada orang yang salah faham bahawa Rasulullah s.a.w.  meragui wahyu yang turun kepadanya.

 

 

Pendirian Orang Yang Teguh Ilmunya Dan Orang Yang Sesat Perihal Al-Mutasyabih (Ayat Samar)

Jenis-Jenis Tasyabuh (Kesamaran) Dalam Al-Quran

Hikmah Wujudnya Muhkam Dan Mutasyabih Dalam Al-Quran

 

 

 

Kewajipan Muslim Dalam Tafsir Al-Quran : Rujukan Dalam Tafsir Al-Quran

Perselisihan Dalam Pentafsiran Dengan Al-Ma’thur (Riwayat)

Terjemahan Al-Quran : Para Sahabat Yang Terkenal Di Dalam Ilmu Tafsir

Para Tabi’in Yang Terkenal Dalam Ilmu Tafsir

Ayat-Ayat Muhkam (Jelas) Dan Mutasyabih (Samar atau Menyerupai)

Sangkaan Wujudnya Percanggahan Dalam Al-Quran

Sumpah (Al-Qasam) : Al-Qasas (Kisah) : Al-Israiliyat (Berita-Berita Bani Israil)

Al-Dhamir (Ganti Nama)

 

Tafsir : Kandungan