Kata Pengantar
Oleh:
Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
(Panel Akidah JAKIM)
الحمد لله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه، وبعد:
Mentohmah orang lain di depan khalayak
ramai dengan tidak memberi peluang kepada yang ditohmah untuk
menjawabnya adalah termasuk dalam suatu bentuk kezaliman. Perkara
ini lebih memalukan lagi jika ia dilakukan oleh seorang yang
bergelar ustaz.
Bila ada orang menuduh Ibn Taimiyyah
dan Ibn al-Qayyim sebagai mujassimah dan musyabbihah
(Allah itu berbadan dan menyerupai makhluk), terus terlintas di hati
saya pertanyaan: “Adakah Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim itu tidak
beriman dengan ayat:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ
البَصِيرُ
Maksudnya:
“Tiada sesuatu pun yang sebanding
dengan (Zat, Sifat, dan Pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha
Mendengar lagi Maha Melihat”.
Jika Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim
beriman dengan ayat ini, maka berdosa besarlah orang yang menuduh
mereka berdua sebagai mujassimah dan musyabbihah,
kerana kepercayaan seperti itu adalah kepercayaan orang bukan Islam.
Sedangkan Ibn Taimiyyah sendiri telah menulis sebuah kitab khusus
berjudul Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim Fi Mukhalafat Ashab Al-Jahim
untuk menjelaskan kewajipan berbeza dengan golongan bukan Islam
dalam semua perkara usul dan furu’.
Wahhabiyyah
memang sudah lama menjadi momokan di kalangan
segelintir orang di negara ini. Sekadar memuntahkan kata-kata dalam
majlis ceramah untuk memomok dan menuduh orang lain sebagai sesat
tidaklah memada, silalah tulis buku atau debat terbuka tanpa
menghadkan masa. Iaitu debat cara Islam yang dikenali dengan adab
al-bahth wa al-munazarah.
Pada hemat saya, perkembangan ilmu
Akidah Islam terbahagi kepada tiga peringkat:
Pertama:
Zaman murni, iaitu zaman Sahabat RA, Tabi’in dan Tabi’ At-Tabi’in.
Mereka berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta Ijma’. Mereka
dikenali dengan nama Salaf (Salaf Zamani).
Kedua:
Zaman selepas Tabi’ At-Tabi’in yang menyaksikan pertambahan krisis
politik dalaman dan terjemahan karya-karya asing ke dalam bahasa
Arab, termasuklah karya-karya yang berkaitan dengan penghayatan
agama dan yang mendewakan akal sebagai lebih tinggi mutunya daripada
wahyu. Berdasarkan tiga faktor asas yang berlaku di zaman kedua ini,
maka lahirlah pelbagai aliran, mazhab dan puak (firaq) yang
terus-menerus berpecah sehingga kini. Pengaruh daripada zaman kedua
ini menyebabkan Islam mengalami ‘celupan asing’ yang amat tenat
kerana menelan jangka zaman yang begitu lama. Ada golongan yang
sabar dan berlapang dada cuba mencari jalan penyelesaiannya dan
mereka dikenali sebagai mujaddid.
Ketiga:
Zaman timbulnya semangat untuk mengembalikan kemurnian penghayatan
Islam seperti di zaman pertama. Semangat ini muncul di kalangan
mereka yang melihat tidak ada jalan penyelesaian selain kembali
semula kepada pegangan di zaman pertama. Mereka yang mencetuskan
semangat ini dikenali sebagai Salafiyyah (Salaf Manhaji),
maka lahirlah pelbagai tulisan yang menyeru umat Islam agar kembali
kepada manhaj salaf, antaranya sebuah buku yang berjudul Wujub Ad-Da’wah Ila Al-Kitab Wa As-Sunnah Bi Fahmi Salaf Al-Ummah Wa
Minhaj Jama’ah At-Tabligh Fi Zalik.
Buku tulisan saudara Dr. Azwira Abdul
Aziz yang berjudul Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar?: Penjelasan
Terhadap Tohmahan Zamihan Mat Zin Al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahli
Sunnah Dan Para Tokohnya, adalah mencerminkan gejala zaman
ketiga ini. Buku ini bertujuan untuk menjelaskan sebahagian daripada
tohmahan yang dilontarkan ke atas Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim,
Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendukung sunnah yang lain.
Kepada yang sedar diharap berlapang dada, banyak bersabar dan
bertoleransi.
Yang benar
Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
Jabatan Usuludin & Falsafah
Universiti Kebangsaan Malaysia.