TOHMAHAN PERTAMA:
Ibn
Taimiyyah Dan Ibn al-Qayyim Pencetus Fahaman Tajsim Dan
Tashbih.
Dalam
Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia,
Hal: 3-4 (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal
Jamaah, Hal: 4-5) Al-Ghari mentohmah Ibn Taimiyyah
dan muridnya Ibn Al-Qayyim
sebagai pencetus fahaman tajsim (memvisualisasikan
Tuhan) dan tashbih (menyerupakan Tuhan dengan makhluk).
Beliau cuba membuktikan tohmahan itu berdasarkan kenyataan
Ibn Taimiyyah yang dikatakan menolak takwilan terhadap
ayat-ayat sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab
Munazarah Aqidah Al-Wasitiyyah, manakala tuduhan ke atas
Ibn Al-Qayyim pula didasarkan kepada kitab Mukhtasar As-Sawa’iq
Al-Mursalah.
Kemudian, dalam
Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman
Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 6, Al-Ghari menuduh Ibn
Taimiyyah ada menyatakan dalam kitabnya At-Ta’sis Fi
Ar-Radd ‘Ala Asas At-Taqdis bahawa aqidah tajsim dan
tasybih tidak dicela dalam Al-Quran
dan tidak ada seorangpun dari kalangan ulama salaf yang mengkritik aqidah tersebut.
PENJELASAN:
Pertama:
Antara Ciri
Golongan Ahli Sunnah Adalah Mereka Dituduh Berfahaman
Tajsim Dan Tasybih Oleh Golongan Ahli
Bid’ah.
Kedua:
Ibn Taimiyyah Sebenarnya Menolak Fahaman
Tajsim Dan
Tasybih.
Ketiga:
Lima Kaedah Dalam Berinteraksi Dengan
Sifat-Sifat Allah.
Keempat:
Ibn
al-Qayyim Juga Menolak Fahaman Tajsim Dan Tasybih.
Kelima:
Kata-Kata Sebenar Ibn Taimiyyah Dalam Kitab
At-Ta’sis Fi
Ar-Radd ‘Ala Asas At-Taqdis.
Pertama: Antara Ciri
Golongan Ahli Sunnah Adalah Mereka Dituduh Berfahaman
Tajsim Dan Tasybih Oleh Golongan Ahli
Bid’ah.
Tuduhan
ke atas tokoh ulama Ahli Sunnah sebagai mujassimah
dan musyabbihah bukanlah suatu yang baru kerana ia
telah berlaku sejak dari dulu lagi ketika kemunculan
aliran-aliran pemikiran yang sesat.
Dalam konteks ini, Abu Hatim Ar-Razi rahimahullah (227H) berkata (maksudnya):
“Tanda-tanda aliran
Al-Jahmiyyah adalah mereka
menggelar Ahli Sunnah sebagai musyabbihah…”.
Al-Barbahari
rahimahullah (329H) pula
berkata (maksudnya):
“Bila
kamu mendengar seseorang berkata (kepada Ahli Sunnah):
“Si fulan adalah musyabbih (menyerupakan Sifat Allah
Subhanahu wa Ta’ala dengan sifat makhluk) atau si
fulan memperkatakan tentang tasybih, maka ketahuilah
bahawa dia (orang yang berkata itu) ialah seorang Jahmiyyah”.
Manakala Abu
‘Uthman As-Sobuni rahimahullah (499H) pula berkata (maksudnya):
“Ciri-ciri ahli bid’ah adalah sangat jelas dan
yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara
terang-terang memusuhi dan menghina Ahli Sunnah dan
Ahli Athar serta menuduh mereka dengan tuduhan yang
buruk seperti Al-Hasyawiyyah (orang yang mementingkan
perkara remeh-temeh), Al-Jahalah (orang yang jahil)
dan Al-Musyabbihah (orang yang menyerupakan Sifat
Allah dengan sifat makhluk)”.
Justeru segala tuduhan yang dilemparkan oleh
Al-Ghari ke atas Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim mestilah
dinilai dan dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, kerana
seseorang yang sanggup berbohong ke atas Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam dan tergamak mengecam para Sahabat radhiallahu 'anhum
akan lebih tergamak untuk berbohong
dan mengecam para ulama selain mereka. Allah Subhanahu wa
Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ
فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً
بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya:
“Wahai orang
beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa suatu
berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak
menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui
keadaan sebenarnya, lalu kamu menyesal di atas perbuatanmu
itu”.
Kedua: Ibn Taimiyyah Sebenarnya Menolak Fahaman
Tajsim Dan
Tasybih.
Judul
sebenar kitab yang dinisbahkan oleh Al-Ghari kepada Ibn
Taimiyyah ialah Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah Wa
Majlis Al-Munazarah Fiha Baina Syeikh Islam Ibn Taimiyyah Wa
‘Ulama ‘Asrih. Berdasarkan judul
ini, dapat difahami secara mudah bahawa kitab itu sebenarnya
bukan karya Ibn Taimiyyah, tetapi karya ulasan oleh ulama
terkemudian. Karya Ibn Taimiyyah yang sebenar ialah Al-Aqidah
Al-Wasitiyyah.
Demikian juga bagi kitab
Mukhtasar As-Sawa’iq
Al-Mursalah, ia adalah ringkasan daripada karya asal Ibn
Al-Qayyim yang berjudul As-Sawa’iq Al-Mursalah
Fi Ar-Rad ‘Ala Al-Jahmiyyah Wa Al-Mu’attilah.
Bila
dirujuk kepada kitab Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah
dari awal sehingga akhir, maka didapati Ibn Taimiyyah
langsung tidak menyebut ungkapan yang menunjukkan bahawa
beliau berpegang dengan fahaman tajsim atau tasybih, sebaliknya keseluruhan kenyataan beliau
berkenaan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala
menjurus kepada penolakan terhadap dua jenis fahaman sesat,
iaitu tajsim (menjisimkan Allah Subhanahu wa Ta’ala
atau tasybih) dan ta’til
(menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala).
Bahkan, Ibn Taimiyyah sebenarnya langsung tidak menyebut
perkataan takwil dalam kitabnya Al-Aqidah
Al-Wasitiyyah seperti yang didakwa oleh Al-Ghari itu.
Kata Ibn Taimiyyah:
فهذا اعتقاد الفرقة الناجية المنصورة إلى قيام الساعة، أهل
السنة والجماعة وهو الإيمان بالله...ومن الإيمان بالله الإيمان
بما وصف به نفسه في كتابه وبما وصفه به رسوله محمد صلى الله
عليه وسلم
من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا
ثمثيل بل يوءمنون بأن الله سبحانه ليس كمثله شيء وهو
السميع البصير
فلا ينفون عنه ما وصف به نفسه
ولا يحرّفون الكلم عن مواضعه
ولا يلحدون
في أسماء الله وآياته
ولا يكيّفون
ولا
يمثّلون صفاته بصفات خلقه
لأنه سبحانه لا سميّ
له ولا كفو له ولا ند له ولا يقاس بخلقه سبحانه
وتعالى...
Maksudnya: “Maka ini adalah i’tiqad
firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal
Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat,
iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman
dengan Allah ialah beriman dengan apa
yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan
dengan apa yang telah RasulNya Muhammad Shallallahu
‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif
(mengubah atau menukar ganti makna),
tanpa ta’til (menafikan
sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif
(menggambarkan rupa bentuk sifat) dan
tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan
sesuatu).
Bahkan,
mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman
sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak
sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan
sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha
Melihat.
Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan
dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya,
mereka tidak mentahrifkan perkataan dari
tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak
mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama
Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa
makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya
dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya
(Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang
menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya,
tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh
dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Ta’ala…”.
Di
halaman yang lain, Ibn Taimiyyah berkata:
فإن الفرقة الناجية أهل السنة والجماعة يؤمنون بذلك كما يؤمنون
بما أخبر الله به في كتابه من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير
تكييف ولا تمثيل بل هم الوسط في فرقة الأمة كما أن الأمة هي
الوسط في الأمم فهم وسط في باب صفات الله سبحانه وتعالى بين
أهل التعطيل الجهمية وأهل التمثيل المشبهة...
Maksudnya: “Maka sesungguhnya firqah najiah
Ahli
Sunnah Wal Jamaah beriman dengan yang demikian itu (nas-nas
hadith berkenaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala),
sebagaimana mereka beriman dengan apa yang difirmankan oleh
Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam kitabNya,
tanpa tahrif, tanpa ta’til,
tanpa takyif dan tanpa tamthil.
Bahkan merekalah yang sederhana di kalangan puak umat ini
sebagaimana umat ini juga yang sederhana di kalangan
umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahli Sunnah Wal
Jamaah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara
ahli Ta’til
Al-Jahmiyyah dan ahli Tamthil Al-Musyabbihah”.
Berdasarkan kata-kata di atas, ternyata bahawa Ibn Taimiyyah
berpegang dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah
dalam memahami nas-nas Sifat, iaitu tanpa tahrif
(mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til
(menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala),
tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk
sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna
dengan sesuatu). Ini jauh berbeza dengan golongan Al-Mujassimah
dan Al-Musyabbihah yang berpegang dengan fahaman tajsim dan
tasybih kerana mereka menyamakan kaifiyyat (bentuk dan ciri) sifat-sifat Allah
Subhanahu wa Ta’ala dengan makhluknya. Dalam
kata-katanya itu, Ibn Taimiyyah cuba menjelaskan
kesederhanaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang
berada antara dua jenis fahaman sesat yang melampau, iaitu
fahaman tajsim (atau tasybih) dan
fahaman ta’til.
Dalam
kitabnya yang lain Ibn Taimiyyah berkata:
فلا بد من إثبات ما أثبته الله لنفسه ونفي مماثلته لخلقه، فمن
قال: ليس لله علم ولا قوة ولا رحمة ولا كلام ولا يحب ولا يرضى
ولا نادى ولا ناجى ولا استوى كان معطّلا جاحدا ممثّلا لله
بالمعدومات والجمادات، ومن قال: له علم كعلمي أو قوة كقوتي أو
حب كحبي أو رضا كرضاي أو يدان كيديّ أو استواء كاستوائي كان
مشبّها ممثّلا لله بالحيوانات،
بل لا بد من إثبات بلا
تمثيل وتنـزيه بلا تعطيل.
Maksudnya: “Maka tidak dapat tidak,
mesti menetapkan apa yang telah Allah tetapkan bagi diriNya
dan menafikan penyerupaanNya dengan makhlukNya. Sesiapa yang
kata Allah tidak ada ilmu, tidak ada kekuatan, tidak ada
kasihan belas, tidak ada percakapan, tidak ada kasih sayang,
tidak ada keredaan, tidak memanggil, tidak menyeru dan tidak
meninggi, maka dia adalah seorang pembatal yang ingkar
(terhadap sifat Allah) dan yang menyamakan Allah dengan
benda yang tiada atau benda yang kaku.
Manakala sesiapa yang kata ilmuNya seperti ilmuku,
kekuatanNya seperti kekuatanku, kasih sayangNya seperti
kasih sayangku, keredaanNya seperti keredaanku, tanganNya
seperti tanganku dan meninggiNya seperti meninggiku, maka
dia adalah seorang musyabbih yang menyamakan Allah
dengan haiwan (makhluk). Justeru, tidak dapat tidak,
mesti mengithbatkan (menetapkan) tanpa penyamaan
dan mesti mensucikan tanpa pengingkaran”.
Penjelasan Ibn Taimiyyah ini sudah tentu dilihat sebagai
akuan dan penetapan beliau terhadap kebenaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sederhana itu, dan bukan
sebagai akuan terhadap fahaman tajsim. Adalah sangat
tidak munasabah jika seorang tokoh ulama yang telah
menjelaskan kesesatan fahaman tajsim tiba-tiba
dituduh berpegang dengan fahaman tersebut.
Ketiga: Lima Kaedah Dalam Berinteraksi Dengan
Sifat-Sifat Allah.
Sesungguhnya
pendekatan beriman dan menetapkan
Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana ia
disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah
tidak akan membawa kepada fahaman tajsim atau tashbih, selagi kefahaman itu diikat kukuh dengan kaedah-kaedah
pemahaman nas Sifat yang mantap. Antara
kaedah-kaedah tersebut ialah:
Kaedah Pertama:
Jika
berlaku perkongsian nama antara Sifat Allah dan sifat
makhluk, maka ia tidak boleh difahami dengan maksud
penyamaan kedua-dua sifat tersebut, kerana persamaan nama
sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat
berkenaan.
Asas bagi kaedah ini
diambil daripada firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ
البَصِيرُ
Maksudnya:
“Tiada sesuatupun yang sebanding
dengan (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya, dan Dialah
yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
Berdasarkan maksud
ayat ini, jika berlaku perkongsian nama
beberapa sifat tertentu antara Allah dan
makhluk seperti sifat Al-Yad (Tangan), Al-Wajh (Wajah),
Al-’Ain (Mata), Al-Hayy
(Maha Hidup), As-Sami’ (Maha Mendengar)
dan Al-Basir (Maha Melihat), maka ia mesti difahami
dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat
masing-masing. Dengan perkataan lain, sifat Tangan,
Wajah, Mata, Maha Hidup, Maha Mendengar
dan Maha Melihat yang ada pada Allah Subhanahu wa Ta’ala
mesti difahami dalam konteks yang bersesuaian dengan
keagungan dan ketuhananNya, manakala sifat tangan, hidup,
mendengar dan melihat yang ada pada makhluk pula mesti
difahami dalam konteks yang bersesuaian dengan kejadian dan
kemakhlukannya.
Jika seseorang itu
berpegang teguh dengan kaedah ini, maka tidak timbul unsur
penyamaan dan penyifatan Allah Subhanahu wa Ta’ala
dengan sifat makhluk, kerana penafian terhadap
persamaan yang terkandung dalam ayat itu
tidak memungkinkan wujudnya sebarang bentuk persamaan.
Kaedah Kedua:
Perbahasan tentang Sifat Allah
Subhanahu wa
Ta’ala sama seperti perbahasan berkenaan ZatNya.
Jika Allah Subhanahu wa Ta’ala memiliki Zat yang
tidak menyerupai zat makhluk, maka demikian juga sifat dan
perbuatanNya mesti difahami dalam konteks yang tidak
menyerupai sifat dan perbuatan makhluk.
Kaedah Ketiga:
Perbahasan tentang sebahagian daripada nas-nas
Sifat sama seperti perbahasan berkenaan sebahagian yang lain.
Kaedah ini menolak pegangan sesetengah golongan yang
menetapkan sebahagian sifat seperti sifat Hayah
(Hidup), ‘Ilm (Ilmu), Qudrat
(Kuasa), Sam’ (Dengar), Basar (Lihat),
Kalam (Berkata-kata) dan Iradah
(Berkehendak), tetapi pada masa yang sama mereka menolak
pula sebahagian sifat yang lain seperti sifat Mahabbah
(Kasih Sayang), Reda (Reda), Ghadab
(Marah) dan Karahah (Benci) dengan menjadikan
sifat-sifat itu hanya sebagai kiasan bagi maksud ni’mat
dan pembalasan.
Mereka
berpegang dengan pegangan sedemikian kononnya untuk
mengelakkan berlakunya tasybih (penyerupaan sifat
Allah dengan sifat makhluk). Maka, dengan kaedah ini
dikatakan kepada mereka bahawa sifat-sifat yang kamu
tetapkan bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala itu juga ada
pada makhluk. Justeru, sebagaimana kamu menetapkan
sifat-sifat yang kamu tetapkan itu mengikut kesesuaiannya
dengan kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu wa Ta’ala,
maka begitulah juga sifat-sifat yang kamu tolak itu juga
mesti ditetapkan mengikut kebesaran dan keagunganNya bagi
mengelakkan tasybih.
Kaedah Keempat:
La Yajuz Ta’khir Al-Bayan ‘An
Waqt Al-Hajah, maksudnya: “Tidak harus menangguhkan
penjelasan pada masa ia diperlukan”.
Berdasarkan kaedah ini, maka tidak harus bagi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menangguhkan penjelasan
pada masa ia diperlukan, terutama dalam persoalan akidah.
Justeru sekiranya benar berpegang
dengan zahir nas sifat akan membawa kepada kekufuran seperti
yang didakwa oleh para pendukung takwil, maka kenapa
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mentakwilkan
perkataan istiwa’ itu dengan perkataan istila’
seperti yang dilakukan oleh para pentakwil itu?
Seandainya benar semua nas-nas sifat itu mesti ditakwil
untuk mengelak tasybih, nescaya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menjelaskan
takwilan
setiap nas itu kepada para Sahabat radhiallahu 'anhum kerana tidak harus menangguhkan penjelasan pada masa ia
diperlukan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan
iman dan kekufuran.
Sekiranya ada penjelasan daripada Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan takwilan
itu nescaya ia akan sampai kepada kita melalui riwayat yang
sahih, sebagaimana nas-nas syara’ yang lain. Oleh kerana
tidak ada satu riwayatpun, baik riwayat hadith maupun
riwayat sejarah berkaitan hal ini, maka ia mengesahkan kebid’ahan
konsep takwil itu sendiri. Tidak harus diandaikan
bahawa riwayat–riwayat berkenaan penjelasan itu tidak sampai
kepada kita kerana andaian sedemikian bercanggah dengan
jaminan Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap
keselamatan ajaran agamaNya.
Kaedah Kelima:
Faktor yang mendorong seseorang untuk menolak
atau mentakwilkan sesuatu nas sifat bermula dengan tasybih. Kaedah ini bermaksud bahawa seseorang yang
menolak atau mentakwilkan sesuatu nas sifat, dia
sebenarnya telah terlebih dahulu mentasybihkan
(menggambarkan penyerupaan) sifat Allah dengan sifat
makhluk. Kemudian, setelah dia menggambarkan penyerupaan
itu, dia merasa perlu untuk mentakwilkannya bagi
mengelakkan gambaran tersebut. Dengan perkataan lain,
seseorang yang mentakwilkan sesuatu nas sifat, dia
sebenarnya telah melakukan dua kesesatan sekaligus, iaitu tasybih dan
takwil. Dalam konteks ini
Asy-Syanqiti rahimahullah berkata:
اعلم أولا أنه غلط في هذا خلق لا يحصى كثرة من المتأخرين
فزعموا أن الظاهر المتبادر السابق إلى الفهم من معنى الاستواء
واليد مثلا في الآيات القرآنية هو مشابهة صفات الحوادث، فقالوا:
يجب علينا أن نصرفه عن ظاهره إجماعا لأن اعتقاد ظاهره كفر لأن
من شبه الخالق بالمخلوق فهو كافر...ولا يخفى أن هذا القول من
أكبر الضلال ومن أعظم الافتراء على الله جل وعلا ورسوله صلى
الله عليه وسلم، والحق الذي لا يشك فيه أدنى عاقل أن كل وصف
وصف الله به نفسه أو وصفه به رسوله صلى الله عليه وسلم فظاهره
المتبادر منه السابق إلى فهم من في قلبه شيء من الإيمان هو
التنـزيه التام عن مشابهة شيء من صفات الحوادث، فمجرد إضافة
الصفة إليه جل وعلا يتبادر إلى الفهم أنه لا مناسبة بين تلك
الصفة الموصوف بها الخالق وبين شيء من صفات المخلوقين...
والجاهل المفترى الذي يزعم أن ظاهر آيات الصفات لا يليق بالله
لأنه كفر وتشبيه
إنما جرّ إليه ذلك تنجس قلبه بقذر
التشبيه بين الخالق والمخلوق فأداه شؤم التشبيه إلى نفي صفات
الله جل وعلا وعدم الإيمان بها، مع أن جل وعلا هو الذي
وصف بها نفسه،
فكان هذا الجاهل مشبها أولا ومعطلا ثانيا
فارتكب ما لا يليق بالله ابتداء وانتهاء، ولو كان قلبه
عارفا بالله كما ينبغي معظما لله كما ينبغي طاهرا من أقذار
التشبيه لكان المتبادر عنده السابق إلى فهمه أن وصف الله جل
وعلا بالغ من الكمال والجلال ما يقطع أوهام علائق المشابهة
بينه وبين صفات المخلوقين، فيكون قلبه مستعدا للإيمان بصفات
الكمال والجلال الثابتة لله في القرآن والسنة الصحيحة مع
التنـزيه التام عن مشابهة صفات الخلق على نحو قوله: ليس كمثله
شيء وهو السميع البصير...
Maksudnya: “Ketahuilah dahulu, bahawa
sesungguhnya generasi terkemudian yang tersalah dalam
perkara ini tidak terhitung ramainya kerana mereka menyangka
makna zahir yang terlintas dan yang terlebih dahulu sampai
kepada kefahaman terhadap perkataan seperti istiwa’ (meninggi)
dan yad (tangan) yang ada dalam ayat-ayat Al-Quran
itu ialah musyabahah (penyerupaan) dengan sifat hawadith (makhluk). Mereka berkata: “Wajib atas kita
menukar (makna)nya dari zahirnya secara ijma’
(sepakat) kerana berpegang dengan zahirnya adalah suatu
kekufuran dan sesiapa yang menyerupakan
Al-Khaliq
(Allah) dengan makhluk maka dia seorang kafir…”.
Ternyata bahawa kata-kata ini dari (jenis)
kesesatan dan pembohongan yang paling besar ke atas Allah Jalla Wa’ala dan juga ke atas RasulNya
Shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang yang ada sedikit
akal tidak akan meragui kebenaran bahawa setiap sifat yang
Allah sifatkan diriNya atau yang disifatkan oleh RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam dengannya, maka (makna)
zahir yang terlintas dan yang telah terlebih dahulu sampai
kepada kefahaman orang yang ada sedikit iman di dalam
hatinya ialah at-tanzih at-tam (penyucian yang
sempurna) dari sebarang penyerupaan sifat hawadith (makhluk).
Ini kerana dengan semata-mata penisbahan sifat itu kepadaNya
Jalla Wa’ala, akan terlintas kepada kefahaman
bahawa tidak ada kesesuaian antara sifat yang disifatkan
pada Al-Khaliq itu dengan sebarang sifat makhluk.
Si jahil pembohong yang menganggap
zahir ayat-ayat sifat itu tidak layak dengan (kebesaran)
Allah kerana (kononnya) ia adalah suatu kekufuran dan tasybih,
sebenarnya dia telah didorong kepada yang
demikian itu oleh kenajisan hatinya dengan kotoran tasybih antara
Al-Khaliq dan makhluk, maka
kesialan tasybih itulah yang mendorongnya untuk
menafikan sifat-sifat Allah Jalla Wa’ala
dan juga untuk tidak beriman dengannya. Sedangkan Dialah
Jalla Wa’ala yang menyifatkan diriNya
dengannya.
Maka, si jahil itu pada mulanya dia
seorang musyabbih (penyerupa sifat Allah dengan
makhluk) dan kemudian dia menjadi seorang mu’attil
(penafi sifat Allah). Justeru dia telah melakukan
perkara yang tidak layak bagi Allah di awal dan di akhir.
Sedangkan jika hatinya mengenal Allah dan mengagungkanNya
sebagaimana yang sepatutnya, (dan jika hatinya) bersih
daripada kotoran tasybih, nescaya yang terlintas dan
yang terlebih dahulu sampai kepada kefahamannya ialah bahawa
kesempurnaan dan keagungan penyifatan Allah Jalla Wa’ala
telah sampai ke tahap memutuskan segala imaginasi
penyerupaan antara sifatNya dan sifat makhluk.
Maka jadilah hatinya bersedia untuk
beriman dengan sifat-sifat kesempurnaan dan keagungan yang
tetap bagi Allah dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih
beserta at-tanzih at-tam (penyucian yang sempurna)
dari sebarang penyerupaan sifat makhluk, sebagaimana
firmanNya (yang bermaksud): “Tiada
sesuatupun yang sebanding dengan (Zat, Sifat-Sifat dan
pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha
Melihat”.
Berdasarkan kaedah-kaedah
di atas, dapat disimpulkan bahawa orang yang beriman dan
yang menetapkan makna nas-nas sifat sebagaimana yang disebut
oleh Al-Quran dan As-Sunnah, tidak sekali-kali akan terpalit
dengan kotoran tasybih. Sebaliknya orang yang mentakwilkan
nas-nas sifat itulah sebenarnya yang benar-benar bergelumang
bahkan lemas dalam lopak najis tasybih itu.
Keempat: Ibn
al-Qayyim Juga Menolak Fahaman Tajsim Dan Tasybih.
Sebagaimana Ibn Taimiyyah, muridnya Ibn
Al-Qayyim juga tidak pernah mengungkapkan kata-kata yang
menunjukkan bahawa beliau berpegang dengan fahaman tajsim
dan tasybih, bahkan keseluruhan kenyataan beliau
berkenaan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam
kitab As-Sawa’iq Al-Mursalah itu juga
menjurus kepada penolakan kedua-dua fahaman tajsim
dan ta’til. Dalam konteks ini,
beliau berkata:
...فالمعطّل جاحد لكمال المعبود والممثل مشبه له بالعبيد
والموحّد مبين لحقائق أسمائه وكمال أوصافه وذلك قطب رحى
التوحيد فالمعطل يعبد عدما والممثل يعبد صنما والموحد يعبد ربا
ليس كمثله شيء...
Maksudnya: “Maka
Al-Mu’attil (orang yang
menafikan sifat Tuhan) itu ialah orang yang menolak
kesempurnaan (Tuhan) Yang disembah dan Al-Mumaththil
(orang yang mengumpamakan Tuhan dengan sesuatu) itu pula
ialah yang menyerupakanNya dengan hamba, manakala Al-Muwahhid
(orang yang mentauhidkan Tuhan) itu ialah yang menerangkan
hakikat nama-namaNya dan juga hakikat kesempurnaan
sifat-sifatNya.
Yang
demikian itu adalah pusat kisaran tauhid. Justeru Al-Mu’attil
(seolah-olah) menyembah yang tiada dan Al-Mumaththil
(seolah-olah) menyembah berhala, Manakala Al-Muwahhid
itulah yang menyembah Tuhan yang tidak sebanding dengan
sesuatu apapun”.
Berdasarkan kata-kata di atas, ternyata bahawa Ibn Al-Qayyim
juga sama seperti gurunya Ibn Taimiyyah cuba menjelaskan
kesederhanaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang
berada antara dua jenis fahaman sesat yang melampau, iaitu
fahaman tajsim (atau tasybih) dan fahaman ta’til. Penjelasan ini juga sudah tentu dilihat sebagai
akuan dan penetapan beliau terhadap kebenaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sederhana itu, dan bukan
sebagai akuan terhadap fahaman tajsim.
Tidak
dapat digambarkan betapa kotornya jiwa orang yang tergamak
menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim dengan fahaman tajsim, sedangkan kedua-duanya adalah pejuang Sunnah
yang paling tegas menolak fahaman tersebut.
Kelima:
Kata-Kata Sebenar Ibn Taimiyyah Dalam Kitab At-Ta’sis Fi
Ar-Radd ‘Ala Asas At-Taqdis.
Kitab
At-Ta’sis Fi Ar-Radd ‘Ala
Asas At-Taqdis yang dinisbahkan kepada Ibn Taimiyyah
itu, juga dikenali dengan judul Bayan Talbis Al-Jahmiyyah
Fi Ta’sis Bida’ihim Al-Kalamiyyah. Walaupun
pembohongan dan pengkhianatan Al-Ghari ke atas Ibn Taimiyyah
dan para ulama telah terbukti sebelum ini, namun untuk
menambahkan lagi bukti kezaliman dan pengkhianatannya,
diperturunkan di sini petikan kata-kata Ibn Taimiyyah
daripada kitab At-Ta’sis Fi Ar-Radd ‘Ala Asas
At-Taqdis yang didakwa oleh Al-Ghari sebagai
menyeleweng. Kata Ibn Taimiyyah:
ثم المتكلمون من أهل الإثبات لما ناظروا المعتزلة تنازعوا في
الألفاظ الاصطلاحية، فقال قوم: العلم والقدرة ونحوهما لا تكون
إلا عرضا وصفة حيث كان، فعلم الله وقدرته عرض، وقالوا أيضا: إن
اليد والوجه لا تكون إلا جسما فيد الله ووجهه كذلك، والموصوف
بهذه الصفات لا يكون إلا جسما فالله تعالى جسم لا كالأجسام،
قالوا: وهذا مما لا يمكن النـزاع فيه إذا فهم المعنى المراد
بذلك لكن أي محذور في ذلك وليس في كتاب الله ولا سنة
رسوله ولا قول أحد من سلف الأمة وأئمتها أنه ليس بجسم وأن
صفاته ليست أجساما وأعراضا، فنفي المعانى الثابتة
بالشرع والعقل بنفي ألفاظ لم ينف معناها عقل ولا شرع جهل
وضلال.
Maksudnya: “Kemudian, ketika
Al-Mutakallimun (ahli
kalam) dari kalangan ahli ithbat (penetap sifat)
berdebat dengan puak Muktazilah dalam masalah
lafaz-lafaz istilah, maka ada satu kaum (Al-Mutakallimun)
berkata: “Sifat Ilmu, Qudrah (Kuasa) dan yang seumpamanya
tidak boleh jadi melainkan dalam bentuk aradh (lawan
kepada jauhar) dan sifat sebagaimana sedia, maka Ilmu
Allah dan KekuasaanNya adalah aradh”.
Mereka
(Al-Mutakallimun) juga berkata: “Sesungguhnya sifat
Tangan dan sifat Wajah tidak boleh jadi melainkan dalam
bentuk jisim, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala ialah
jisim yang tidak seperti jisim-jisim lain”. Mereka (Al-Mutakallimun)
berkata: “Dan ini dari apa yang tidak mungkin dipertikaikan
padanya, sekiranya difahami makna yang dimaksudkan itu, tetapi apa salahnya pada yang demikian itu, sedangkan
tidak ada (nas) dalam Kitab (Al-Quran), Sunnah RasulNya dan
tidak juga ada kata-kata seorang pun dari kalangan salaf
umat ini dan para imamnya bahawa Dia bukan jisim dan bahawa
sifat-sifatNya bukan jisim dan bukan aradh-aradh.
Justeru penafian makna-makna yang thabit dengan (nas)
syara’ dan akal dengan (cara) menafikan lafaz-lafaz yang
tidak dinafikan maknanya oleh akal dan juga (nas) syara’,
adalah satu kejahilan dan kesesatan”.
Berdasarkan kata-kata ini, dapat disimpulkan tiga perkara
berikut:
I.
Ibn Taimiyyah hanya memetik
hujah akal ahli kalam ketika mereka berdebat dengan puak Muktazilah dalam persoalan nas-nas sifat. Ini bermakna
kata-kata itu sebenarnya bukanlah kata-kata Ibn Taimiyyah.
II.
Golongan Mutakallimun
dari kalangan penetap sifat terpaksa mengemukakan hujah akal
yang sedemikian kerana semata-mata ingin mematahkan hujah
akal puak Muktazilah yang mentakwilkan makna
nas-nas sifat tersebut. Ini bermakna, pendekatan mentakwilkan
nas-nas sifat itu adalah pendekatan puak Muktazilah,
sebagaimana ia juga merupakan pendekatan puak al-Jahmiyyah,
seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
III.
Tuduhan Al-Ghari bahawa Ibn
Taimiyyah menyatakan ulama salaf tidak mengkritik akidah tajsim dan
tasybih jelas suatu pembohongan kerana
ia bercanggah dengan kata-kata Ibn Taimiyyah, seperti yang
telah dipetik dalam penulisan ini. Oleh kerana telah
terbukti bahawa Ibn Taimiyyah menolak akidah tajsim
dan tasybih, maka semua kata-kata ulama yang dipetik
oleh Al-Ghari dalam (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman
Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 7) bagi membuktikan kritikan
salaf terhadap akidah berkenaan, tidak ada kena
mengena langsung dengan akidah Ibn Taimiyyah.
Tohmahan Kedua: Ibn Taimiyyah Menolak
Konsep Takwil