TOHMAHAN KELAPAN:
Al-Albani
Banyak Membuat Kesilapan Dan Percanggahan Dalam Penilaian
Darjat Hadis.
Dalam
Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia,
Hal: 9, Al-Ghari menuduh Al-Albani membuat penilaian yang
salah terhadap hadith berkenaan kelebihan membaca Surah Al-Kahf
pada malam Jumaat. Al-Ghari melihat penilaian Al-Albani itu
sebagai tidak betul kerana hadith tersebut telah
diriwayatkan oleh para ulama hadith muktabar seperti
Al-Hakim, An-Nasai, Al-Baihaqi dan At-Tabrani.
Manakala
dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di
Malaysia, Hal: 10 pula, Al-Ghari menuduh Al-Albani
sebagai tokoh kontradik dalam kajian hadith kerana kononnya
beliau banyak mensahihkan hadith dhaif dan
mendhaifkan hadith sahih.
PENJELASAN:
Pertama: Pengenalan
Ringkas Kepada Al-Albani.
Kedua:
Hadith Fadilat Membaca Surah al-Khaf Yang Dikritik
Oleh Al-Ghari.
Ketiga:
Kekeliruan Al-Ghari Dalam Mengkritik Darjat Hadith Fadilat
Membaca Surah al-Kahf.
Keempat:
Benarkah Penilaian Al-Albani Sering Saling Bercanggah?
Pertama:
Pengenalan Ringkas Kepada Al-Albani.
Al-Albani rahimahullah merupakan seorang
tokoh ulama hadith yang berwibawa sehingga ada yang
menggelarnya sebagai ‘muhaddith kurun kedua puluh masehi’.
Bahkan ada yang menyifatkannya sebagai setaraf dengan
al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah yang
dikatakan ‘jarang dilahirkan oleh rahim wanita’. Berkat
kegigihan dan kesabarannya mengkaji hadith, beliau berjaya
menghasilkan sebanyak 224 buah karya ilmiah, sama ada dalam
bentuk karya asli, tahqiq, ta’liq (ulasan),
takhrij (mencari, menganalisa dan menilai status
hadith) atau talkhis (ringkasan).
Di antara karya beliau ada yang saiznya mencecah puluhan
jilid, seperti Mu’jam Al-Hadith An-Nabawi
(40 jilid) dan Silsilah Al-Hadith Ad-Daifah Wa Al-Maudu’ah
(15 jilid).
Telah menjadi tradisi ilmu, bahawa sebarang
karya ilmiah yang dihasilkan oleh seseorang tokoh berwibawa
pasti mendapat maklum balas daripada pembacanya, sama ada
dalam bentuk kritikan positif atau pun negatif. Jika
tokoh sehebat Al-Bukhari At-Tarmizi dan Al-Ghazali pun masih
tetap dikritik oleh para ulama seperti Ad-Daraqutni, Ibn
Hazm dan Al-‘Iraqi, maka tidak hairanlah jika Al-Albani juga
menerima kritikan daripada para ilmuan yang lain.
Berdasarkan keseluruhan karyanya, Al-Albani dilihat telah
menelusuri metod standard ulama hadith dalam
kajiannya terhadap hadith. Semua rujukan dan pengkaedahan
yang diaplikasikan oleh beliau adalah menepati rujukan dan
pengkaedahan yang muktabar. Namun, bak kata pepatah ‘bumi
mana yang tidak ditimpa hujan’ dan ‘lautan mana yang tidak
bergelora’, maka demikianlah juga dengan Al-Albani. Sebab
itulah beliau sangat mengalu-alukan sebarang kritikan
daripada para pembaca kitab-kitabnya, sekiranya kritikan itu
lahir daripada kajian yang benar dan jujur.

Kedua: Hadith
Fadilat Membaca Surah al-Khaf Yang Dikritik Oleh Al-Ghari.
Dalam konteks kritikan Al-Ghari, ia dilihat
tidak lahir daripada kajian yang benar dan jujur, kerana
terdapat unsur-unsur pengkhianatan yang jelas dalam kritikan
tersebut. Matan (lafaz) hadith berkenaan fadilat membaca
surah Al-Kahf (lazim juga disebut sebagai surah
al-Kahfi) pada hari atau malam Jumaat yang terdapat
dalam kitab-kitab sumber hadith adalah berbeza-beza antara
sesebuah kitab dengan sebuah kitab yang lain. Sebahagian
dari matan itu dinilai sebagai palsu oleh para ulama,
manakala sebahagian yang lain dinilai sebagai sahih,
bergantung kepada perbezaan yang terdapat pada setiap matan
tersebut. Antara matan yang dinilai sebagai palsu berbunyi:
من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أعطي نورا من حيث قرأها إلى مكة
وغفر له إلى يوم الجمعة الأخرى وفضل ثلاثة أيام (وصلى عليه
سبعون ألف ملك حتى يصبح وعوفي من الداء والدبيلة وذات الجنب
والبرص والجذام والجنون وفتنة الدجال).
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca
surah Al-Kahf pada malam Jumaat akan diberi cahaya
dari tempat dia baca sehingga ke Makkah dan diampunkan bagi
(dosa)nya sehingga hari Jumaat yang lain beserta tambahan
tiga hari, (akan bersalawat ke atasnya tujuh puluh ribu para
malaikat sehingga subuh dan dia akan diselamatkan daripada
penyakit, malapetaka, sakit rusuk, (penyakit) sopak, (penyakit)
kusta, kegilaan dan fitnah Dajjal)”.
Matan
ini dinilai sebagai palsu oleh ulama pentahqiq
hadith seperti As-Suyuti (911H),
Ibn ‘Arraq (963H),
Muhammad Tahir Al-Fatni (986H),
Asy-Syaukani (1250H)
dan Al-Jubri Al-Misri.
Setakat kajian yang dibuat, tidak dijumpai penilaian Al-Albani
terhadap hadith berkenaan sebagai palsu, yang ada ialah
penilaian beliau setakat dhaif jiddan sahaja. Matan
yang dinilai oleh Al-Albani sebagai dhaif jiddan ini
adalah seperti berikut:
من قرأ سورة الكهف يوم الجمعة فهو معصوم إلى ثمانية أيام من كل
فتنة تكون فإن خرج الدجال عصم منه.
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf
pada hari Jumaat, maka dia akan terselamat selama lapan hari
daripada setiap fitnah yang berlaku dan jika keluar Dajjal
dia akan terselamat daripada (fitnah)nya”.
Al-Albani
menilai dhaif jiddan matan hadith ini kerana
dua faktor:
I.
Dalam sanadnya terdapat perawi
bernama Ibrahim Ibn ‘Abd Allah Ibn Ayyub Al-Mukharrami
yang distatuskan oleh Ad-Daraqutni sebagai tidak thiqah
selain dia juga banyak meriwayatkan hadith batil (palsu)
melalui perawi-perawi thiqah.
II.
Matan ini dilihat bercanggah
dengan matan lain yang diriwayatkan melalui sanad yang sahih.
Dalam konteks ini Al-Albani berkata (maksudnya): “Dan
sesungguhnya telah sahih hadith ini melalui jalan sanad lain
daripada Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu ‘anh,
tanpa menyebut bilangan lapan hari”.
Selain
daripada matan ini, Al-Albani juga telah menilai dhaif
satu lagi riwayat dengan matan seperti berikut:
من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة سطع له نور من تحت قدمه إلى
عنان السماء يضيء له يوم القيامة وغفر له ما بين الجمعتين.
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf
pada hari Jumaat, dipancarkan baginya cahaya dari bawah
tapak kakinya sehingga ke puncak langit, ia meneranginya
pada hari Kiamat serta diampunkan dosanya antara dua Jumaat”.
Riwayat
ini dinilai dhaif oleh beliau kerana dua sebab juga:
I.
Dalam sanadnya terdapat perawi
bernama Khalid Ibn Sa’id Ibn Abi Maryam yang
berstatus majhul al-Hal ( tidak diketahui status
keadilannya).
II.
Ia dilihat bercanggah dengan
matan sahih riwayat Abu Sa’id Al-Khudri
radhiallahu ‘anhum.
Riwayat
sahih daripada Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu
‘anhum itu telah dikemukakan oleh Al-Albani dalam
kitabnya Silsilah As-Sahihah dengan matan seperti
berikut:
من قرأ سورة الكهف كما أنزلت كانت له نورا يوم القيامة من
مقامه إلى مكة ومن قرأ عشر آيات من آخرها ثم خرج الدجال لم
يضره...
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf
sebagaimana ia diturunkan, (nescaya) baginya cahaya pada
hari Kiamat dari tempatnya sehingga ke Makkah, dan sesiapa
yang membaca sepuluh ayat terakhirnya kemudian keluar Dajjal,
(nescaya) dia tidak akan memudaratkannya…”.

Ketiga: Kekeliruan
Al-Ghari Dalam Mengkritik Darjat Hadith Fadilat Membaca
Surah al-Kahf.
Setelah dirujuk kepada kitab-kitab sumber hadith
yang disebut oleh Al-Ghari, maka di dapati hadith tersebut
terdapat dalam Mustadrak Al-Hakim adalah dengan matan
seperti berikut:
من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور ما بين
الجمعتين.
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf
pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya antara (tempoh)
dua Jumaat”.
Dalam
Sunan Al-Baihaqi pula matannya adalah seperti berikut:
من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور ما بينه وبين
البيت العتيق.
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf
pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya antara (tempat)nya
dan Bait Al-’Atiq (Kaabah)”.
Dalam
Al-Mu’jam Al-Ausat matannya adalah seperti berikut:
من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور إلى يوم
القيامة من مقامه إلى مكة.
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf
pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya sehingga hari
Kiamat dari tempatnya hingga ke Makkah”.
Manakala
dalam Sunan An-Nasai Al-Kubra pula matannya adalah
seperti berikut:
من قرأ سورة الكهف كما أنزل ثم أدركه الدجال لم يسلط عليه أو
لم يكن له عليه سبيل ومن قرأ سورة الكهف كان له نورا من حيث
قرأها ما بينه وبين مكة.
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf
sebagaimana ia diturunkan, kemudian dia sempat (hidup pada
zaman) Dajjal (nescaya) dia tidak akan dapat menguasainya
atau tidak ada jalan untuk dia menguasainya. Dan sesiapa
yang membaca surah Al-Kahfi dia akan mendapat cahaya dari
tempat dia baca antara dia dan Makkah”.
Kesemua
sanad hadith riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi, At-Tabrani dan
An-Nasai bertemu pada perawi bernama Abu Hashim Ar-Rajai
yang menerima riwayat daripada Abu Mijlaz, daripada Qais Ibn
‘Abbad, daripada Abu Sa’id Al-Khudri
radhiallahu ‘anh secara marfu’, dan
ia adalah sanad yang sahih. Justeru, Al-Albani sendiri telah
menilai matan riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi sebagai sahih
dalam kitabnya Irwa’ Al-Ghalil
dan Sahih At-Targhib Wa Tarhib.
Berdasarkan paparan ini, maka dapatlah disimpulkan perkara
berikut:
I.
Riwayat An-Nasai sebenarnya
terdapat dalam kitab beliau As-Sunan Al-Kubra yang
kurang popular dan bukannya dalam kitab Sunan An-Nasai
As-Sughra yang dikenali sebagai Al-Mujtaba,
yang termasuk dalam kumpulan Kutub As-Sittah.
Justeru cara Al-Ghari menyebut kitab itu dengan berpada
setakat nama Sunan An-Nasai dilihat sebagai
mengelirukan kerana orang akan menyangka ia adalah kitab
Sunan An-Nasai As-Sughra yang popular dan bukannya
As-Sunan Al-Kubra. Hal ini pun sudah cukup untuk
menggambarkan kecuaian dan kecetekan ilmu beliau dalam
berinteraksi dengan kitab-kitab sumber hadith.
II.
Al-Albani menilai hadith
tersebut setakat dhaif atau daif jiddan sahaja
dan beliau tidak pernah menilainya sebagai palsu. Perbezaan
antara istilah-istilah itu boleh difahami dengan mudah oleh
sesiapa saja yang mempelajari sedikit sebanyak
istilah-istilah ilmu hadith. Maka tuduhan Al-Ghari bahawa
Al-Albani menilainya sebagai palsu membuktikan pembohongan
dan pengkhianatan Al-Ghari, sekali gus juga membuktikan
kejahilan ultranya dalam bidang ilmu hadith.
III.
Jika dibandingkan matan dan
sanad yang dinilai dhaif oleh Al-Albani dengan matan
dan sanad yang dinilai sahih oleh beliau, maka didapati
memang ada perbezaan pada kedua-duanya. Ini bermakna riwayat
yang dinilai dhaif oleh Al-Albani adalah berlainan
dengan riwayat yang dinilai sahih oleh beliau dan yang
terdapat dalam kitab An-Nasai, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan At-Tabrani.
Justeru di manakah letaknya kejujuran Al-Ghari dalam menuduh
penilaian Al-Albani sebagai tidak betul, sedangkan penilaian
itu dibuat berdasarkan sanad dan matan yang berbeza? Jika
diandaikan berlaku kesilapan pada Al-Albani dalam
penilaiannya, maka kenapa kesilapan itu diletakkan pada
beliau seorang sahaja sedangkan penilaian yang lebih berat
telah dibuat oleh ramai pentahqiq hadith sebelum
beliau seperti As-Suyuti, Asy-Syaukani dan Ibn ‘Arraq?

Keempat: Benarkah
Penilaian Al-Albani Sering Saling Bercanggah?
Ketika
mentohmah Al-Albani sebagai tokoh kontradik dalam kajian
hadith, Al-Ghari langsung tidak membawa sebarang contoh bagi
membuktikan tohmahannya itu, sebaliknya dia sekadar menyebut
nama-nama individu yang pernah mengkritik kajian Al-Albani
dalam kitab masing-masing, termasuklah nama gurunya As-Saqqaf.
Sebenarnya, Al-Ghari tidak mampu membuat kritikan secara
ilmiah terhadap kajian hadith yang dibuat oleh Al-Albani
kerana beliau terlalu jahil dalam bidang berkenaan. Hakikat
kejahilan beliau telah terbukti berulang kali dalam
contoh-contoh yang telah dibincangkan sebelum ini. Di
sebabkan kejahilan itu, beliau bergantung sepenuhnya kepada
tulisan para pengkritik Al-Albani dan mengikut secara buta
segala kritikan itu tanpa ada sebarang kemampuan untuk
menilai kekuatan dan kelemahan kritikan tersebut,
lebih-lebih lagi bila dia mendapati segala kritikan itu
bersesuaian dengan nafsu jahat yang menguasai dirinya.
Berdasarkan tinjauan penulis terhadap kritikan
yang dibuat oleh para pengkritik Al-Albani, didapati
kritikan tersebut terbahagi kepada dua bentuk:bentuk:
Bentuk Pertama:
Kesilapan yang tidak disengajakan, dan
yang diperbetulkan segera oleh beliau setelah menyedarinya,
sama ada melalui semakan sendiri atau pun melalui maklum
balas daripada murid-murid dan para pembaca kitabnya.
Pembetulan itu biasanya dibuat sama ada dalam edisi cetakan
baru kitab berkenaan atau dalam mana-mana muqaddimah
kitabnya yang hendak diterbitkan. Kesilapan jenis ini tidak
seharusnya dilihat dari sudut negatif, sebaliknya ia perlu
dilihat dari sudut positif sebagai tabiat semula jadi
manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan
kesilapan, lebih-lebih lagi jika kesilapan itu segera
diperbetulkan sebaik sahaja ia disedari. Dalam konteks ini
Al-Albani berkata (maksudnya):
“Membetulkan kesilapan adalah satu
kewajipan, dan ia telah menjadi amalan biasaku seperti yang
diketahui oleh para pembaca kitabku…”.
Dalam kitabnya yang lain beliau berkata
(maksudnya):
“Dan kadangkala aku mengubah
penilaianku ke atas hadith yang telah lalu dengan satu
penilaian lain setelah ternyata kepadaku ia adalah lebih
tepat dan lebih rajah (kuat) …dan ini meskipun jarang
berlaku, namun aku merasa perlu menyebutnya kerana dua
sebab: Pertama, supaya tidak disalah anggap bahawa
perubahan itu adalah kesilapan cetakan. Kedua, supaya
diketahui oleh orang yang dikehendaki Allah untuk
mengetahui, bahawa ilmu itu tidak menerima kejumudan, bahkan
ia sentiasa berkembang daripada salah kepada betul, daripada
sahih kepada lebih sahih dan seterusnya, dan juga supaya
mereka mengetahui bahawa kami tidak degil mempertahankan
kesilapan jika ia telah terbukti kepada kami”.
Bentuk Kedua:
Sesuatu fakta atau
pendapat yang didakwa secara khianat oleh seseorang
pengkritik sebagai suatu kesalahan, sedangkan pada
hakikatnya ia adalah suatu kebenaran konkrit yang menepati
pengkaedahan ilmu hadith itu sendiri. Orang yang dilihat
paling banyak membuat kritikan jenis ini ialah As-Saqqaf
guru Al-Ghari sendiri, melalui kitabnya Tanaqudat
Al-Albani Al-Wadihat. Untuk membuktikan kedurjanaan
As-Saqqaf, diperturunkan di sini tiga contoh:
Contoh
Pertama:
As-Saqqaf mendakwa
Al-Albani telah melakukan kesilapan kerana membuat penilaian
yang bercanggah ke atas hadith riwayat Aisyah radhiallahu
‘anha yang bermaksud: “Sesiapa yang
memberitahu kamu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu
mempercayainya, Baginda tidak kencing melainkan sambil
duduk”.
As-Saqqaf
mendakwa Al-Albani sebagai kontradik kerana kononnya telah
menilai dhaif hadith ini dalam Misykat Al-Masabih,
tetapi menilainya semula sebagai sahih dalam
Silsilah As-Sahihah.
Kritikan As-saqqaf itu dilihat sebagai bertujuan jahat
kerana:
·
Buku
Silsilah As-Sahihah diterbitkan hanya beberapa bulan
selepas terbitnya buku Misykat Al-Masabih, manakala
buku Tanaqudat As-Saqqaf itu pula diterbitkan
tujuh tahun selepas terbitnya kedua-dua
buku Al-Albani tersebut. Maka jika As-Saqqaf benar-benar
jujur, dia seharusnya mengambil kira penjelasan yang dibuat
oleh Al-Albani dalam bukunya yang terkemudian (Silsilah
As-Sahihah) dan bukan yang terdahulu (Misykat
Al-Masabih). Ini kerana pengkaedahan ilmu hadith telah
menetapkan bahawa jika berlaku percanggahan pendapat
daripada seorang ulama hadith yang sama, maka pendapatnya
yang terkemudian dikira membatalkan pendapatnya yang
terdahulu.
·
Dalam bukunya
Silsilah As-Sahihah,
Al-Albani telah mengakui kesilapannya dalam buku yang
terdahulu dan beliau telah menjelaskan secara terperinci
bahawa kesilapan tersebut adalah disebabkan oleh dua
perkara: Pertama, kerana beliau terikut-ikut dengan
pendapat ulama terdahulu, seperti At-Tarmizi, Al-’Iraqi
dan As-Suyuti yang menilai hadith berkenaan sebagai dhaif.
Kedua, kerana beliau tidak sempat melakukan
istiqsa’ (pengumpulan riwayat secara menyeluruh),
disebabkan kelemahan logistic ekoran keadaan beliau yang
sentiasa bermusafir pada masa itu.
·
Hakikat
bahawa seseorang tokoh ulama berpegang dengan suatu pendapat
pada suatu ketika dan kemudian menukar pendapatnya itu pada
ketika yang lain dengan disertai pengakuan dan penjelasan
terhadap faktor-faktor perubahan tersebut merupakan fenomena
biasa yang sering berlaku terutama bagi mereka yang banyak
berkarya.
Fenomena seumpama
inilah yang menimbulkan istilah qaul qadim (pendapat
lama) dan qaul jadid (pendapat baru) bagi Asy-Syafi’ie
rahimahullah, dan fenomena
inilah juga yang banyak berlaku pada pendapat Az-Zahabi
rahimahullah dalam kitabnya
Al-Kasyif dan Al-Mughni. Demikian juga
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah
banyak menukar pendapatnya dalam
At-Taqrib, Talkhis Al-Habir dan Fath Al-Bari
disebabkan perubahan tahap kajian beliau dalam sesebuah
kitab dengan sebuah kitabnya yang lain.
Meskipun pendapat
yang terdahulu tetap dilihat sebagai satu kesilapan, namun
dari kaca mata Islam pengakuan dan kejujuran dalam membaiki
kesilapan yang tidak disengajakan adalah suatu sifat
terpuji, lebih-lebih lagi jika ia dibuat hasil daripada
penyemakan sendiri dan bukannya datang daripada mana-mana
pengkritik. Justeru dalam konteks ini, Al-Albani sebenarnya
telah melakukan kerja-kerja ilmiah yang terpuji lagi jujur.
Dari
sudut yang lain, dengan pembetulan itu Al-Albani telah
menyelamatkan sebuah hadith yang telah pun dinilai dhaif
oleh tiga tokoh ulama hadith berwibawa iaitu At-Tarmizi, Al-’Iraqi
dan As-Suyuti rahimahumullah.
Seandainya hadith itu dikaji oleh pengkaji biasa, nes’aya
dia akan berpada dengan kesepakatan penilaian tiga tokoh
berkenaan. Akan tetapi Al-Albani
tidak membenarkan dirinya berbuat demikian setelah dia
menjumpai sanad yang tidak dijumpai oleh ketiga-tiga tokoh
tersebut. Fenomena ini memberi banyak pengajaran kepada kita,
antaranya, bahawa seseorang ulama hadith walau setinggi mana
ilmunya tidak semestinya mengetahui semua sanad hadith yang
dikajinya, hal yang mana memberi peluang kepada generasi
ulama selepasnya untuk memperbaiki dan menampung
kekurangan tersebut.
Contoh
Kedua:
As-Saqqaf mendakwa
Al-Albani telah melakukan kesilapan kerana membuat penilaian
yang bercanggah ke atas hadith riwayat Abu
Sa’id Al-Khudri radhiallahu 'anh
yang
bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan menjadi ikutan
manusia dan sesungguhnya para kaum lelaki akan datang kepada
kamu dari pelbagai pelusuk bumi untuk mendalami agama, maka,
apabila mereka datang ajarlah kepada mereka kebaikan”.
Sama
seperti contoh pertama, As-Saqqaf menuduh Al-Albani sebagai
kontradik kerana menilai dhaif
hadith ini dalam Misykat Al-Masabih,
tetapi menilainya sahih dalam Silsilah As-Sahihah.
Akan tetapi
dakwaan ini juga dilihat sebagai bertujuan jahat kerana
percanggahan hukum itu berlaku bukan kerana kesilapan,
tetapi disebabkan perbezaan riwayat.
Al-Albani menilai
dhaif
hadith ini dalam Misykat Al-Masabih kerana ia
berdasarkan kepada sanad (rantaian perawi) yang
terdapat di dalamnya seorang perawi yang terlalu dhaif
dikenali dengan kuniyah Abu Harun Al-’Abdi.
Manakala penilaian sahih yang dibuat oleh Al-Albani
dalam Silsilah As-Sahihah pula berdasarkan sanad
lain, sama ada dalam bentuk mutaba’at
seperti riwayat Abu Nadrah, Syahr Ibn Hausyab dan Abu
Khalid Al-Asadi daripada Abu Sa’id Al-Khudri,
atau pun dalam bentuk asy-syawahid
seperti riwayat Abu Hurairah dan Abu Ad-Darda’
radhiallahu ‘anhuma.
Dengan perkataan
lain, penilaian dhaif
itu berdasarkan sanad yang dhaif, manakala
penilaian sahih itu pula berdasarkan sanad
lain yang sahih. Hakikat perbezaan ini tidak
sukar difahami oleh orang yang mempelajari sedikit sebanyak
ilmu hadith. Justeru tuduhan As-Saqqaf itu dilihat sebagai
bertujuan jahat kerana jika dia telah mempelajari selok
belok ilmu hadith dia tentu memahami perbezaan tersebut.
Contoh
Ketiga:
As-Saqqaf mendakwa
Al-Albani telah melakukan penipuan kerana mengatakan
terdapat perbezaan antara matan riwayat Al-Bukhari dan Abu
Daud dalam periwayatan sebuah hadith riwayat Abu Bakrah
radhiallahu ‘anh. Matan riwayat Al-Bukhari adalah
seperti berikut:
أنه انتهى إلى النبي صلى الله عليه وسلم وهو راكع فركع قبل أن
يصل إلى الصف فذكر ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: زادك
الله حرصا ولا تعد.
Maksudnya: Bahawa dia (Abu Bakrah
radhiallahu ‘anh) sampai (ke Masjid) dalam keadaan
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang rukuk, lalu
dia turut sama rukuk sebelum sampai ke dalam saf. Bila hal
itu diberitahu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam,
Baginda berkata: “Semoga Allah menambahkan semangat
kesungguhan kamu itu, tetapi janganlah kamu ulanginya”.
Manakala matan
riwayat Abu Daud pula adalah seperti berikut:
فلما قضى النبي صلى الله عليه وسلم صلاته قال: أيكم الذي ركع
دون الصف ثم مشى إلى الصف؟ فقال أبو بكرة: أنا،
فقال النبي صلى الله عليه وسلم: زادك الله حرصا ولا تعد.
Maksudnya: Setelah selesai solat,
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Siapakah
yang rukuk di luar saf kemudian berjalan menuju ke dalam
saf?” Abu Bakrah menjawab: “Saya”. Lalu Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam berkata: “Semoga Allah menambahkan
semangat kesungguhan kamu itu, tetapi janganlah kamu
ulanginya”.
Perbandingan di atas jelas menunjukkan
bahawa matan riwayat Abu Daud (yang bergaris) berbeza dengan
matan riwayat Al-Bukhari, sedangkan disiplin ilmu hadith
menuntut supaya perbezaan seumpama itu dijelaskan oleh para
pengkaji, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kesimpulan
hukum fiqh.
Isyarat terhadap perbezaan itu juga turut dilakukan oleh
Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah dalam Fath Al-Bari.
Justeru jika apa yang dilakukan oleh Al-Albani hanyalah
sekadar mematuhi disiplin ilmu hadith seperti yang
digariskan oleh para ulama terdahulu, maka kenapakah
tindakan beliau itu dianggap sebagai satu kesalahan oleh
As-Saqqaf? Ini tidak lain menunjukkan perbuatan As-Saqqaf
tersebut memiliki agenda jahat di sebaliknya.
Demikian sekadar tiga
contoh bagi membukti permainan kotor dan niat jahat
As-Saqqaf terhadap Al-Albani. Terhadap tindakan As-Saqqaf,
Al-Albani rahimahullah memberi maklumbalas seperti
berikut:
Maksudnya: “Kitab Tanaqudat
(karya As-Saqqaf) tidak mengandungi sebarang nilai ilmiah
yang perlu disebut, kerana jika dakwaan pengarangnya
itu betul dalam beberapa masalah, maka yang demikian itu
hanya sekadar
mengesahkan bahawa Al-Albani adalah manusia biasa yang tidak
terlepas daripada kesilapan sepertimana orang lain. Maka
tidak ada faedah menjelaskan perkara tersebut lebih-lebih
lagi jika Al-Albani sendiri akan mengisytiharkan kesilapan
itu pada munasabah tertentu…”.
Demikianlah tiga daripada 652 kritikan
As-Saqqaf terhadap Al-Albani yang terdapat dalam bukunya
Tanaqudat. Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman
Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 10, Al-Ghari cuba
membesarkan angka bilangan hadith yang dikritik oleh gurunya
itu dengan mendakwa jumlahnya sehingga 7800 buah (mengatasi
bilangan hadith Sahih Al-Bukhari yang dihitung secara
berulang). Kita tidak tahu dari mana dia dapat angka
berkenaan, apakah dari ‘ilmu pembohongan’ atau dari
manuskrip karya gurunya yang belum diterbitkan, wa
Allahua’lam.
Namun walau sebanyak mana dakwaan
kesilapan yang beliau senaraikan, ia tidak memberi sebarang
faedah kerana contoh-contoh pengkhianatan di atas jelas
membuktikan niat jahat As-Saqqaf di sebalik kritikannya itu.
Lebih–lebih lagi kajian yang dibuat oleh seorang pengkaji
bernama ‘Abd Al-Basit
Ibn Yusuf Al-Gharib terhadap keseluruhan kritikan itu
membuktikan bahawa kesemuanya adalah penipuan semata-mata.
Ini kerana apa yang disebut sebagai percanggahan itu tidak
lebih daripada ralat atau pembetulan yang telah
diperbetulkan oleh Al-Albani sendiri.
Saya (penulis) rasa terpanggil untuk membuat
ulasan yang agak panjang berkenaan pengkhianatan As-Saqqaf
terhadap Al-Albani kerana:
I.
Kritikan itu berkaitan dengan
hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi
sumber syariat Islam kedua selain daripada Al-Quran. Justeru
sebarang pengkhianatan terhadap sumber tersebut bermakna
pengkhianatan terhadap Islam dan Rasulullah, sedangkan
pengkhianatan terhadap kedua-duanya pula bererti
pengkhianatan terhadap Yang menurunkan ajaran Islam dan Yang
mengutuskan Rasul tersebut, iaitu Allah Subhanahu wa
Ta'ala.
II.
As-Saqqaf sengaja menyebarkan
kritikannya terhadap Al-Albani untuk meruntuhkan kredibiliti
tokoh berkenaan, dengan harapan supaya umat Islam tidak lagi
merujuk kepada hasil-hasil kajian Al-Albani. Sebabnya, dia
tahu banyak hasil kajian Al-Albani berlawanan dengan
pegangan dan ideologinya. Oleh kerana kebanyakan daripada
masyarakat awam tidak mampu mengesan pengkhianatan As-Saqqaf,
maka contoh-contoh di atas sedikit sebanyak diharap dapat
memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih berwaspada
terhadap pengkhianatan As-Saqqaf.
III.
As-Saqqaf merupakan guru Al-Ghari
yang menjadi tempat rujukan utama dan tempat pengambilan
segala idea yang beliau lontarkan dalam semua buku dan
kertas-kertas kerjanya. Justeru jika telah terbukti bahawa
gurunya melakukan pengkhianatan, maka tidak hairanlah kenapa
Al-Ghari juga melakukan sedemikian. Bak kata pepatah ‘guru
kencing berdiri murid kencing berlari’.