|
PENUTUP
Dalam ibadah tidak memadai hanya dengan niat yang baik tanpa mengikut
syariat atau sunnah. Niat yang baik mestilah diiringi dengan cara yang
betul. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
الَّذِي
خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً
وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup -
untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang
lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha
Pengampun.
[al-Mulk
67:02]
Makna “lebih baik amalnya” (أحسن
عملا ) ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling
betul (أخلصه
وأصوبه). Ini kerana sesuatu amalan jika ikhlas tetapi tidak
betul maka ianya tidak diterima. Begitu juga sekiranya betul tetapi
tidak ikhlas, maka ianya tidak diterima.[1]
Betul merujuk kepada apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.
Insan tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat
dalam menentukan cara ibadah kepada tuhan. Inilah yang berlaku di dalam agama-agama palsu. Mereka
mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu.
Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan dalam ibadah tanpa
bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Ini kerana ibadah adalah
agama dan agama tidak boleh diambil melainkan dari tuhan itu sendiri.
Untuk itu Islam mengharamkan bid‘ah atau mengada-adakan ibadah tanpa
bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah. Keikhlasan tanpa diikuti
dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah sama
seperti amalan percipta agama palsu yang ikhlas tanpa bimbingan wahyu.
Justeru itu ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang
dibawa oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdalilkan apa
yang disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
قُلْ
إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ
وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi
Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.”
[Ali
Imran 3:31][2]
Ibadah
yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam sekalipun niat pengamalnya baik, adalah
tertolak. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَمَن
يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي
الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِي
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan
diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang
yang rugi.
[Ali Imran 3:85]
Berkata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah (774H)
ketika menafsirkan ayat di atas:[3]
“Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyari‘atkan
oleh Allah maka sama sekali ianya tidak diterima.”
Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi mengingatkan:[4]
Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang
ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk
keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam
bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (tatacara) yang
diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang
direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.
Lebih jauh, beliau berkata:[5]
Tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum muslimin
sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi
mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak
boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin
sama ada kecil atau besar, untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang
baru dalam agama Allah atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama
atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasululah shallallahu
'alaihi wasallam. Ini kerana pembuat syari‘at hanyalah Allah
manakala al-Rasul (Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam)
adalah penyampainya sedangkan kita hanyalah pengikutnya. Segala kebaikan
itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan
Rasul-Nya).
Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan,
semoga Allah memeliharanya, turut menekankan perbezaan antara niat yang
ikhlas dan ibadah yang betul:[6]
Amalan salih
ialah apa yang sahih dan ikhlas
kepada Allah. Apa yang sahih itu ialah yang menepati syarak.
Maka membuat bid‘ah dalam agam a dengan menambah atau
mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala
bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah…
Bid‘ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid‘ah
mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat,
berhajatkan kepada penyempurnaan,
(sama ada dalam bentuk)
pengurangan dan
mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita
beriktikad
atau beramal dengannya. Untuk itu
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
memberi amaran
mengenai bid‘ah, sabdanya:
وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ
وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.
Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana
setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah
sesat.[7]
Maka segala kebaikan ialah apa yang dibawa oleh syarak dan berpada
dengannya.
Perlu ditekankan di sini, manhaj kita Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
ialah tidak menghukum seseorang kerana kejahilan yang tidak
disengajakannya. Oleh itu jika seseorang itu melakukan ibadah dengan
sangkaan ia adalah benar sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya, dia
tetap memperolehi pahala. Seseorang itu tidak dihukum disebabkan
kejahilannya yang tidak disengajakan sedangkan dia telah berusaha untuk
mendapatkan ilmu. Contohnya ialah orang awam yang tidak dapat membezakan
antara hadith dengan bukan hadith, sahih dengan tidak sahih dan yang
tidak mampu mengambil maklumat agama daripada sumbernya yang tulen. Ini
semua dengan syarat dia tetap berusaha dan apabila sampai kepadanya ilmu
yang sahih dan tulen, dia tidak bersikap ego terhadapnya tetapi terus
merendahkan diri menerimanya. Hendaklah dia bertaubat dengan
meninggalkan apa yang sebelum ini disangkakan benar kepada apa yang kini
diketahuinya sahih lagi tulen. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً
فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ
غَفُوراً رَّحِيماً
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang
baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka
dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[al-Furqan 25:70]
Perkara kedua yang perlu ditekankan adalah, umat Islam sepatutnya
berlumba-lumba membuat bid‘ah[8]
dalam urusan dunia, bukan agama. Malangnya mereka tidak membuat bid‘ah
ini, iaitu memulakan ciptaan baru seperti senjata, peralatan moden,
perubatan dan sebagainya. Padahal mereka diizinkan, malah disuruh
memulakan perkara baru dalam urusan dunia yang memberi manfaat. Umat
Islam masa kini jarang-jarang, malah hampir tiada, memulakan perkara
yang baru dalam urusan dunia, sebaliknya hanya bergantung kepada dunia
Barat. Hakikat ini telah disentuh oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:[9]
Sesungguhnya ruang melakukan rekaan dan membuat perkara baru bukannya
dalam agama. Agama hanya berdasar apa yang diturunkan Allah. Wajib kekal
terpelihara lagi bersih dari permainan golongan yang sia-sia,
penyelewengan golongan melampau, dakwaan golongan sesat dan tafsiran
golongan yang jahil. Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar ialah
dalam urusan dunia. Ianya sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan
seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka
buruk, urusan mereka rosak dan berpecah masyarakat mereka, urusan mereka
menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia
mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud dari
itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan dan menyingkap perkara
baru. Slogan mereka: “Golongan awal tidak meninggalkan untuk yang
kemudian sedikit pun.”[10]
Adapun dalam agama mereka mengadakan rekaan, membuat bid‘ah dalam
beragam bentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah.
Akhir kata, marilah kita berusaha agar ibadah kita menepati sunnah dan
menjauhi bid‘ah. Marilah kita mendalami ilmu yang sahih lagi tulen agar
dengan itu ibadah kita adalah sahih dan tulen juga. Apabila kita telah
mencapai tahap ini, marilah kita membuktikan kesyukuran kita kepada
Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan menyampaikan ilmu yang sahih dan
tulen kepada umat Islam yang selainnya. Jangan menghukum mereka secara
terburu-buru, sebaliknya betulkanlah mereka secara hikmah dan bijaksana.
Jangan merasa gembira hanya apabila diri sendiri berada di atas
kesahihan dan ketulenan tetapi bergembiralah hanya apabila umat Islam
semuanya berada di atas kesahihan dan ketulenan. Berpegang kepada sunnah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan sahaja dalam
beribadah tetapi juga dalam berdakwah:
فَبِمَا
رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ
لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ
وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ
اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maka
dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai
Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat
dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati,
tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh
itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan
terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila
engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka
bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang
yang bertawakal kepada-Nya.
[Ali
Imran 3:159]
|