|
BAB 1: MEMAHAMI MAKSUD BID‘AH
Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Bahasa
Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Istilah
Huraian al-Imam al-Syatibi Terhadap Ta’rif
Bid‘ah
Kesimpulan Ta’rif al-Imam al-Syatibi
Tajuk
yang diben-tangkan di dalam buku ini mempunyai faedah yang tersendiri.
Ia bertujuan menghalang golongan yang sewenang-wenangnya menokok tambah
ajaran agama dengan bertopengkan istilah Bid‘ah Hasanah. Malah
tanpa segan silu mereka mengaitkannya kepada nama para ulama silam yang
sebelum ini pernah menggunakan istilah Bid‘ah Hasanah, tanpa
memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh para ulama silam
tersebut. Hasilnya, segala macam tokok tambah agama yang dibuat
dinamakan oleh mereka sebagai Bid‘ah Hasanah. Kononnya, itulah
pendapat para ulama.
Benarkah dakwaan ini?
Atau adakah sebenarnya mereka ini kurang teliti dan cermat dalam membuat
andaian dan tafsiran yang menggunakan nama para ulama?
Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Bahasa
Bid‘ah dari segi bahasa diambil dari kata
بَدَعَ
. Berkata Ibn Manzur (ابن
منظور)
rahimahullah:[1]
بدع الشيءَ يَبدَعُه بَدعا، وابتدعهُ: أنشأه وبدأه.
Telah membuat sesuatu bid‘ah (past tense), sedang
membuatnya (present tense) dan bad‘an (masdar/ kata terbitan)
bererti mengadakan dan memulakan.
Berkata Muhammad bin Abi Bakr al-Razi rahimahullah:[2]
بدع الشيء: اخترعه لا على مثال.
Membuat bid‘ah sesuatu bermaksud mengadakannya tanpa ada
suatu contoh.
Dalam al-Mu’jam al-Wajiz disebutkan hampir sama seperti di atas
iaitu mengadakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya.[3]
Demikian kesemua mu’jam bahasa arab menyebut makna yang hampir
sama.
Inilah bid‘ah dari segi bahasa iaitu membuat sesuatu yang belum ada
contoh sebelumnya.
Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Istilah
Ta’rif
(definisi) yang baik bagi perkataan bid‘ah dari segi istilah ialah
ta’rif yang dikemukakan oleh al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi (الشاطبي)
rahimahullah (790H)[4]
dalam kitabnya yang masyhur berjudul al-I’tishom (الاعتصام).
Kebanyakan para pengkaji bersetuju bahawa al-Syatibi telah mengemukakan
ta’rif jami’ dan mani’ (
جامع
ومانع).
&nbp;[5]
Antaranya Dr.
Ibrahim bin ‘Amir al-Ruhaili dalam tesis Ph.Dnya ketika membandingkan
beberapa ta’rif yang dibuat oleh beberapa tokoh terdiri daripada Ibn
Taimiyyah[6],
al-Syatibi, Ibn Rajab dan al-Sayuti rahimahumullah, menyimpulkan
bahawa ta’rif al-Syatibi adalah yang paling terpilih[7].
al-Syatibi mena’rifkan bid‘ah sebagai:[8]
طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في
التعبد لله سبحانه
Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah,
tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada
Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Huraian al-Imam al-Syatibi Terhadap Ta’rif Bid‘ah
al-Imam al-Syatibi rahimahullah setelah memberikan ta’rif ini,
tidak membiarkan kita tertanya-tanya maksudnya, sebaliknya beliau
sendiri telah menghuraikan maksud ta’rif ini. Di sini dinyatakan
beberapa poin penting huraian al-Imam al-Syatibi:
Pertama:
Dikaitkan
jalan (طريقة)
dengan agama kerana rekaan itu dilakukan dalam agama dan perekanya
menyandarkan kepada agama. Sekiranya jalan rekaan hanya khusus dalam
urusan dunia ia tidak dinamakan bid‘ah, seperti membuat barangan dan
kota. Oleh kerana jalan rekaan dalam agama terbahagi kepada apa yang ada
asalnya dalam syariat dan kepada apa yang tiada asalnya dalam syariat,
maka dimaksudkan dengan ta’rif ini ialah bahagian rekaan yang tiada
contoh terdahulu daripada al-Syari’ (Pembuat syariat iaitu Allah
Subhanahu wa Ta'ala).
Ini
kerana ciri khas bid‘ah ialah ia terkeluar daripada apa yang digariskan
oleh al-Syari’. Dengan ikatan ini maka terpisahlah (tidak
dinamakan bid‘ah) segala yang jelas – sekalipun bagi orang biasa –
rekaan yang mempunyai kaitan dengan agama seperti ilmu nahu,
saraf, mufradat bahasa, Usul al-Fiqh, Usul al-Din
dan segala ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun
tiada pada zaman yang awal, tetapi asas-asasnya ada dalam syarak.
Justeru itu,
tidak wajar sama sekali dinamakan ilmu nahu dan selainnya daripada ilmu
lisan, ilmu usul atau apa yang menyerupainya yang terdiri daripada
ilmu-ilmu yang berkhidmat untuk syariat sebagai bid‘ah. Sesiapa yang
menamakannya bid‘ah, sama ada atas dasar majaz (bahasa kiasan)
seperti ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh yang menamakan
bid‘ah solat orang ramai pada malam-malam Ramadhan, atau atas dasar
kejahilan dalam membezakan sunnah dan bid‘ah, maka pendapatnya tidak
boleh dikira dan dipegang.[9]
Kedua:
Maksud (تضاهي
الشرعية)
ialah menyerupai jalan syarak sedangkan ia bukanlah syarak pada
hakikatnya. Bahkan ia menyanggahi syarak dari beberapa sudut:
-
Antaranya: Meletakkan
batasan-batasan[10]
seperti seseorang yang bernazar untuk berpuasa berdiri tanpa
duduk, berpanas tanpa berteduh, membuat keputusan mengasing diri untuk
beribadah, menghadkan makanan dan pakaian dari jenis tertentu tanpa
sebab.[11]
-
Antaranya: Beriltizam
dengan cara (kaifiyyat
كيفيات
)
dan bentuk (haiat
هيئات
)
tertentu.[12]
Ini seperti zikir dalam bentuk
perhimpunan dengan satu suara, menjadikan perayaan hari lahir Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
dan seumpamanya.
-
Antaranya: Beriltizam
dengan ibadah tertentu dalam waktu tertentu sedangkan tidak ada
penentuan tersebut dalam syarak. Ini seperti beriltizam puasa pada hari
Nisfu Sya’ban dan bersolat pada malamnya[13]
.
Kemudian
bid‘ah-bid‘ah tersebut disamakan dengan perkara-perkara yang
disyariatkan. Jika penyamaan itu adalah dengan perkara-perkara yang
tidak disyariatkan maka ia bukan bid‘ah. Ia termasuk dalam
perbuatan-perbuatan adat kebiasaan.[14]
Ketiga:
Maksud (يقصد
بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله):
“Tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada
Allah” ialah menggalakkan ibadah. Ini kerana Allah berfirman:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah)
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah
dan beribadat kepadaKu.
[al-Zariyat 51:56]
Seakan-akan
pembuat bid‘ah melihat inilah tujuannya. Dia tidak tahu bahawa apa yang
Allah tetapkan dalam undang-undang dan peraturan-peraturan-Nya sudah
memadai.[15]
Seterusnya al-Imam al-Syatibi menjelaskan:
Telah jelas dengan ikatan ini (yang dijelaskan) bahawa
bid‘ah tidak termasuk dalam adat. Apa sahaja jalan yang direka di dalam
agama yang menyerupai perkara yang disyariatkan tetapi tidak bertujuan
beribadah dengannya, maka ia terkeluar dari nama ini (bid‘ah).[16]
Kesimpulan Ta’rif al-Imam al-Syatibi
Daripada apa yang dita’rifkan dan dihuraikan oleh al-Imam al-Syatibi
rahimahullah, dapat dibuat beberapa kesimpulan:
-
Bid‘ah
ialah jalan syarak yang baru
di
reka
dan dianggap ibadah dengannya. Adapun membuat perkara baru dalam urusan
dunia tidak boleh dinamakan bid‘ah.
-
Bid‘ah
ialah sesuatu yang tidak ada asal dalam syariat. Adapun apa yang ada
asalnya dalam syariat tidak dinamakan bid‘ah.
-
Ahli
bid‘ah menganggap jalan, bentuk, cara bid‘ah mereka adalah satu cara
ibadah yang dengannya mereka mendekatkan diri kepada Allah.
-
Bid‘ah
kesemuanya buruk. Apa yang dinamakan Bid‘ah Hasanah yang
membabitkan perkara-perkara duniawi bukanlah bid‘ah pada istilahnya.

|