|
BAB 2:
MEMAHAMI MAKSUD BID‘AH HASANAH
Sebelum kita menyelidiki maksud Bid‘ah Hasanah yang disebutkan
dalam beberapa teks para ulama, terlebih dahulu kita wajar mendengar
peringatan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berhubung dengan
bid‘ah. Sabda baginda:
...فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا
كَثِيرًا. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ
الْمَهْدِيِّينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ
وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

Sesungguhnya
sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka
hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin
al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia
dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam
agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap
bid‘ah adalah sesat.[1]
Berdasarkan hadith ini, baginda menggunakan perkataan
(كلّ)
yang bermaksud semua. Berpandukan hadith ini dan kefahaman kita terhadap
maksud bid‘ah seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Syatibi, maka
bid‘ah dari segi istilah syarak tidak sepatutnya dibahagikan kepada
hasanah (baik) dan saiyyiah (buruk). Yang benar kesemuanya
adalah saiyyah dan dhalalah (kesesatan).
al-Imam Malik bin Anas
rahimahullah
(179H)
berkata:[2]
من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم
خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم
يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا.
Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya
baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam
mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini
aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak
menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini.
Perbahasan Bid‘ah Hasanah
Ada
beberapa tokoh sarjana Islam, terutamanya tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i,
yang telah menyebut dalam kitab-kitab mereka istilah Bid‘ah Hasanah
atau yang hampir dengannya, seperti Bid‘ah Mahmudah (بدعة
محمودة),
bid‘ah wajib, bid‘ah sunat dan bid‘ah harus. Antara tokoh tersebut ialah
al-Imam al-Syafi’i (204H), al-Imam al-‘Izz ‘Abd al-Salam (660H), al-Imam
al-Nawawi (676H) dan al-Imam al-Sayuti (911H) rahimahumullah.
Akan tetapi apabila diteliti ucapan-ucapan mereka, kita dapati bid‘ah
yang mereka maksudkan merujuk kepada Bid‘ah Hasanah dari sudut
bahasa, bukan bid‘ah dari segi syarak. Marilah kita mengkaji lebih
lanjut ucapan-ucapan mereka:
Perbahasan Ucapan al-Imam al-Syafi‘i rahimahullah
(204H)[3]
Berkata Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah (795H):
al-Syafi‘i
berkata, “Bid‘ah itu ada dua jenis: Bid‘ah Mahmudah (dipuji) dan
Bid‘ah Mazmumah (مذمومة)
(dikeji). Apa yang menepati sunnah maka ia dipuji. Apa yang menyanggahi
sunnah maka ia dikeji.”
(Ibn Rajab
meneruskan) Maksud al-Syafi‘i rahimahullah ialah seperti yang
kita sebutkan sebelum ini, bahawa Bid‘ah Mazmumah ialah apa yang
tiada asal dari syariat untuk dirujuk kepadanya. Inilah bid‘ah pada
istilah syarak. Adapun Bid‘ah Mahmudah ialah apa yang bertepatan
dengan sunnah. Iaitu apa yang ada baginya asal untuk dirujuk kepadanya.
Ia adalah bid‘ah dari segi bahasa, bukannya dari segi syarak kerana ia
menepati sunnah.
[4]
Justeru itu ketika menghuraikan maksud pembahagian bid‘ah oleh al-Imam
al-Syafi‘i, al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H)
berkata:
Maka bid‘ah pada ta’rifan syarak adalah dikeji. Ini
berbeza dengan (maksud bid‘ah dari segi) bahasa di mana setiap yang
diada-adakan tanpa sebarang contoh dinamakan bid‘ah sama ada dipuji
ataupun dikeji.[5]
Antara bukti al-Imam al-Syafi‘i tidak memaksudkan bid‘ah dalam ibadah
sebagai Bid‘ah Mahmudah ialah bantahan beliau terhadap
golongan yang berterusan dalam berzikir secara kuat selepas solat.
Amalan ini dianggap Bid‘ah Hasanah oleh sesetengah pihak.
Ketika mengulas hadith
Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh:
إنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ
الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ.
Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang
ramai selesai solat fardu berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam…
al-Imam al-Syafi’i
dalam kitab utamanya al-Umm berkata:[6]
وأختار للامام والمأموم أن يذكرا الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان
الذكرَ إلا أن يكون إماما يُحِبُّ أن يتعلّم منه فيجهر حتى يُرى أنه قد
تُعُلِّمَ منه ثم يُسِرّ.
Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka
berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir
kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (mengajar bacaan-bacaan
zikir tersebut), maka ketika itu dikuatkan zikir. Sehinggalah apabila
didapati telah dipelajari daripadanya, maka selepas itu hendaklah dia
perlahankan.
Adapun hadith Ibn ‘Abbas di atas, al-Imam al-Syafi’i menjelaskan seperti
berikut:
وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلّم الناس منه وذلك لأن عامة الروايات التي
كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تَهليلٌ ولا تكبير، وقد
يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصَفْتُ، ويذكر انصرافَه بلا ذكر، وذكرت أمُّ
سلمةَ مُكْثَه ولم يذكر جهرا، وأحسبه لم يَمكُثْ إلاّ ليذكرَ ذكرا غير
جهْرٍ. فإن قال قائل: ومثل ماذا؟ قلت: مثل أنه صلّى على المنبر يكون قيامُه
وركوعُه عليه وتَقهْقَرَ حتى يسجدَ على الأرض، وأكثر عمره لم يصلّ عليه،
ولكنه فيما أرى أحب أن يعلم من لم يكن يراه ممن بَعُد عنه كيف القيامُ
والركوعُ والرفع. يُعلّمهم أن في ذلك كله سعة. وأستحبُّ أن يذكر الإمام
الله شيئا في مجلسه قدر ما يَتقدم من انصرف من النساء قليلا كما قالت أم
سلمة ثم يقوم وإن قام قبل ذلك أو جلس أطولَ من ذلك فلا شيء عليه، وللمأموم
أن ينصرفَ إذا قضى الإمام السلامَ قبل قيام الإمام وأن يؤخر ذلك حتى ينصرف
بعد انصرافِ الإمام أو معه أَحَبُّ إلي له.
Aku berpendapat baginda menguatkan suara (zikir) hanya
untuk seketika untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini
kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini[7]
atau selainnya, tidak menyebut selepas salam terdapat
tahlil
[8]
dan
takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat
seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir.
Umm Salamah pula menyebut duduknya baginda[9] (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda berzikir secara kuat. Aku
berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak
kuat.
Jika seseorang berkata: “Seperti apa?”[10].
Aku katakan, sepertimana baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang
mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke
belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda
tidak solat di atasnya (mimbar). Akan tetapi aku berpendapat baginda
mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda dapat mengetahui
bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda
ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua.
Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat
duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi.
Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun.
Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak
mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam,
sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama
imam, itu lebih aku sukai untuknya.
Nyata sekali al-Imam al-Syafi’i rahimahullah tidak menamakan ini
sebagai Bid‘ah Hasanah, sebaliknya beliau berusaha agar kita
semua kekal dengan bentuk asal yang dilakukan oleh Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam. Seandainya maksud Bid‘ah Mahmudah yang
disebut oleh al-Imam al-Syafi’i merangkumi perkara baru dalam cara
beribadah yang dianggap baik, sudah tentu beliau akan memasukkan zikir
secara kuat selepas solat dalam kategori Bid‘ah Mahmudah.
Dengan itu tentu beliau juga tidak akan berusaha menafikannya. Ternyata
bukan itu yang dimaksudkan oleh beliau
rahimahullah.[11]

Perbahasan Ucapan al-Imam ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam
rahimahullah (660H)[12]
Dalam kitabnya
Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam
(قواعد
الأحكام في مصالح الأنام)
al-Imam ‘Izz Abd al-Salam rahimahullah membahagikan bid‘ah kepada
lima kategori:[13]
1.
Bid‘ah Wajibah
(bid‘ah
wajib),
2.
Bid‘ah Muharramah
(bid‘ah yang diharamkan),
3.
Bid‘ah Mandubah
(bid‘ah
yang disunatkan),
4.
Bid‘ah Makruhah
(bid‘ah makruh) dan
5.
Bid‘ah Mubahah
(bid‘ah
yang diharuskan).
Beliau mungkin orang yang paling awal membuat pembahagian ini.
Sebenarnya faktor utama yang menyebabkan beliau menyebut bid‘ah dalam
pembahagian yang sedemikian merujuk kepada ta’rif bid‘ah yang disebutnya
pada awal buku tersebut yang merangkumi bid‘ah dari segi syarak dan
bahasa. Buktinya beliau menyebut ta’rif bid‘ah dengan berkata:[14]
البدعة فعل ما لم يعهَدْ في عصر رسول الله
Bid‘ah
adalah perbuatan yang tidak ada pada zaman Rasulullah.
Ta’rif beliau
begitu luas merangkumi perkara ibadah, cara baru dalam syarak dan urusan
keduniaan yang tidak membabitkan penambahan syarak. Sedangkan bid‘ah
dari segi syarak hanya tertumpu dalam persoalan cara taqarrub (menghampirkan
diri kepada Allah melalui ibadah) dan perubahan atau penambahan pada
jalan syarak.
Ta’rif yang begitu luas tersebut menyebabkan beliau membuat pembahagian
ke atas maksud bid‘ah sepertimana di atas. Oleh itu kita dapati ketika
menyentuh tentang Bid‘ah Wajibah (bid‘ah wajib) beliau berkata:
Bagi bid‘ah wajib itu beberapa contoh, salah satu
daripadanya ialah menyibukkan diri dengan ilmu nahu yang dengannya
difahami kalam Allah (firman Allah, iaitu al-Qur’an) dan kalam
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (sabda Rasulullah, iaitu
hadis).[15]
Berdasarkan penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah yang telah
kita kaji sebelum ini, jelas bahawa ini tidak termasuk dalam bid‘ah dari
segi syarak. Marilah kita ulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi:
Dengan ikatan ini maka terpisahlah (tidak dinamakan
bid‘ah) segala yang jelas –walaupun bagi orang biasa – rekaan yang
mempunyai kaitan dengan agama seperti ilmu nahu, saraf, mufradat
bahasa, Usul al-Fiqh, Usul al-Din dan segala ilmu yang berkhidmat
untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal
tetapi asas-asasnya ada dalam syarak… Justeru itu tidak wajar sama
sekali dinamakan ilmu nahu dan selainnya daripada ilmu lisan, ilmu usul
atau apa yang menyerupainya yang terdiri daripada ilmu-ilmu yang
berkhidmat untuk syariat sebagai bid‘ah. Sesiapa yang menamakannya
bid‘ah, sama ada atas dasar majaz (bahasa) seperti ‘Umar bin al-Khattab
radhiallahu 'anh yang menamakan “bid‘ah” solat orang ramai pada
malam-malam Ramadhan atau atas dasar kejahilan dalam membezakan sunnah
dan bid‘ah, maka pendapatnya tidak boleh dikira dan dipegang.[16]
Dengan itu perbuatan sesetengah pihak mempergunakan pembahagian ini
kepada bid‘ah-bid‘ah yang tidak dimaksudkan oleh al-Imam ‘Izz ‘Abd
al-Salam rahimahullah adalah penyelewengan dalam menyalurkan
maklumat kepada orang ramai.
Di
samping itu perlu ditambah bahawa al-Imam al-Syatibi telah menolak
pembahagian yang dibuat oleh al-Imam al-‘Izz ‘Abd al-Salam dengan
katanya:
Sesungguhnya pembahagian ini adalah sesuatu yang hanya
direka, tidak ada dalil syar‘i yang menunjukkannya. Bahkan ia sendiri
saling bercanggahan. Ini kerana hakikat bid‘ah ialah sesuatu yang tidak
ditunjukkan oleh dalil syar‘i, sama ada daripada nas-nas syarak atau
kaedah-kaedahnya. Kalau di sana ada dalil daripada syarak yang
menunjukkan wajib, sunat, atau harus, maka itu bukanlah bid‘ah. Ia
termasuk dalam keumuman amalan yang disuruh atau diberi pilihan.
Mencampur aduk dalam menyenaraikan perkara-perkara tersebut adalah
bid‘ah, iaitu mencampurkan antara perkara yang memiliki dalil yang
menunjukkan kepada wajib, sunat atau harus dengan dua lagi (makruh dan
haram) yang menyanggahinya.[17]
Maksud al-Imam al-Syatibi, jika ada dalil yang menunjukkan sesuatu
perkara itu adalah wajib atau sunat, maka tidak wajar ia dinamakan
bid‘ah. Lebih tegas lagi, al-Imam al-Syatibi menganggap pembahagian itu
sendiri adalah bid‘ah.
Perbahasan Ucapan al-Imam al-Nawawi rahimahullah
(676H)[18]
al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya
Tahzib al-Asma` wa al-Lughat
(تهذيب
الأسماء واللغات)
mengulangi dan menyetujui pembahagian yang dibuat oleh al-Imam al-‘Izz
‘Abd al-Salam rahimahullah. Untuk menguatkannya, beliau menambah
dalam tulisannya itu apa yang dibahagikan oleh al-Imam al-Syafi’i
rahimahullah seperti disebutkan sebelum ini.[19]
Jawapan kita terhadap perkara ini sama seperti yang telah disebutkan di
atas. Jika diteliti karya-karya al-Imam al-Nawawi rahimahullah,
beliau tidak pernah menganggap Bid‘ah Hasanah sebagaimana yang
disangka oleh orang ramai masa kini. Di sini dinyatakan beberapa contoh:
Pertama:
Di
dalam kitabnya al-Azkar, al-Imam al-Nawawi rahimahullah
menyebut:[20]
Ketahui sesungguhnya yang betul lagi
terpilih yang menjadi amalan al-Salaf al-Salih radhiallahu
'anhum ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat
suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu
lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang
berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan
tersebut. Inilah cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan
banyaknya orang yang menyanggahinya.
Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad
rahimahullah pernah berkata: “Berpegang dengan jalan petunjuk,
jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah
jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya
golongan yang rosak (yang melakukannya).”
…… Adapun apa yang dilakukan oleh
golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan
bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada
kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah
jelaskan dalam bab Adab al-Qiraah tentang keburukannya,
besar
keharamannya dan kefasikannnya bagi sesiapa yang mampu
mengingkarinya tetapi tidak mengingkarinya.
Nyata
bahawa
al-Imam al-Nawawi rahimahullah
tidak
menamakan perbuatan
mem-bacakan
al-Qur’an ketika mengiringi jenazah
sebagai Bid‘ah Hasanah. Maka perbuatan sesetengah pihak
mengiringi jenazah dengan bacaan al-Fatihah setapak demi setapak
sebanyak beberapa kali dibantah berdasar teks imam yang agung ini. Pun
begitu ramai di kalangan mereka menamakannya Bid‘ah Hasanah.
Kedua:
Dalam Syarh Sahih Muslim,[21]
al-Imam
al-Nawawi rahimahullah menyebut:[22]
Sesungguhnya yang menjadi sunnah bagi
salam dalam solat ialah dengan berkata:
السلام عليكم ورحمة الله
sebelah kanan,
السلام عليكم ورحمة الله
sebelah kiri. Tidak disunatkan menambah
وبركاته. Sekalipun ia ada
disebut dalam hadith dhaif dan diisyaratkan oleh sebahagian
ulama. Namun ia adalah satu bid‘ah kerana tidak ada hadith yang
sahih (yang menganjurkannya). Bahkan yang sahih dalam hadith ini[23]
dan selainnya ialah meninggalkan tambahan itu.
Tidakkah penambahan “waBarakatuh”
merupakan
satu
penambahan
yang
pada
zahirnya nampak baik?
Jika Bid‘ah Hasanah ialah melabelkan semua yang nampak baik pada
andaian manusia, tentu al-Imam al-Nawawi menamakan ini sebagai Bid‘ah
Mustahabbah
(yang
disunatkan).
Ketiga:
Ketika mensyarahkan hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّه عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
لاَ تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي
وَلَا تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الأَيَّامِ
إِلاَّ أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ.
Daripada Abi Hurairah radhiallahu 'anh, daripada Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda: “Jangan kamu
mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam
yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang
berbeza dengan hari-hari yang lain kecuali ia dalam (bilangan hari)
puasa yang seseorang kamu berpuasa.”[24]
al-Imam al-Nawawi
rahimahullah
berkata:
[25]
Pada hadith ini
larangan yang nyata bagi
mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada
malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah
dinyatakan. Sepakat para ulama
akan
kemakruhannya.
Para ulama berhujah dengan hadith ini mengenai kesalahan solat bid‘ah
yang dinamakan Solat al-Raghaib[26].
Semoga
Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya
ia adalah bid‘ah yang munkar daripada jenis bid‘ah yang sesat dan jahil.
Padanya kemunkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah
mengarang karangan yang berharga
sebegitu
banyak dalam memburukkannya
dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para
ulama telah menyebut dalil-dalil keburukannya,
kebatilannya dan kesesatan pembuatnya.
Perhatikan bahawa
al-Imam al-Nawawi
rahimahullah
tidak
menamakan solat sunat yang tidak
wujud
dalam
hadith sebagai Bid‘ah Hasanah. Bahkan beliau menghukum sebagai
sesat. Ketika ditanya mengenai solat ini
(Solat
al-Raghaib),
al-Imam al-Nawawi
pernah berkata:
Bid‘ah yang buruk lagi sangat munkar… jangan terpengaruh dengan ramai
yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh disebabkan
ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din.[27]

Keempat:
Dalam al-Majmu’
Syarh al-Muhazzab (المجموع
شرح المهذب),
al-Imam al-Nawawi rahimahullah menyetujui
tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena
kematian. Katanya:[28]
“Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan
orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi
shallallahu
'alaihi wasallam
sedikit pun. Ia adalah bid‘ah yang tidak disukai.”
al-Imam al-Nawawi
tidak menamakan amalan penyediaan makanan oleh keluarga si mati dan
menghimpunkan orang ramai padanya sebagai satu Bid‘ah Hasanah.
Bahkan kitab-kitab mazhab al-Syafi’i begitu kuat menentang hal ini.[29]

Perbahasan Ucapan al-Imam al-Sayuti rahimahullah
(911H)[30]
al-Imam al-Sayuti (السيوطي)
telah menulis kitab khas berhubung dengan bid‘ah yang berjudul al-Amr
bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ (الأمر
بالاتباع والنهي عن الابتداع)
Di dalamnya beliau menyebut maksud Bid‘ah Hasanah, katanya:
Bid‘ah Hasanah
disepakati keharusan membuatnya. Juga disunatkan demi mengharapkan
pahala bagi sesiapa yang baik niatnya. Iaitu setiap pembuatan bid‘ah
yang bertepatan dengan kaidah-kaidah syarak tanpa menyanggahinya sedikit
pun. Perbuatannya tidak menyebabkan larangan syarak. Ini seperti membina
mimbar, benteng pertahanan, sekolah, rumah (singgahan) musafir dan
sebagainya yang terdiri dari jenis-jenis kebaikan yang tidak ada pada
zaman awal Islam. Ini kerana ia bertepatan dengan apa yang
dibawa oleh syariat yang memerintahkan membuat yang ma’ruf, tolong
menolong dalam kebaikan dan taqwa.[31]
Seperti
yang telah dinyatakan sebelum ini, apa yang disebut di atas tidak
sepatutnya dinamakan bid‘ah sama sekali. Bahkan ia termasuk dalam
perkara-perkara yang disuruh dalam agama. Namun persoalan yang lebih
penting adalah, apakah al-Imam al-Sayuti rahimahullah
akan menganggap sesetengah perbuatan yang dianggap Bid‘ah Hasanah
pada hari ini sebagai satu Bid‘ah Hasanah? Untuk memastikan hal
ini marilah kita lihat beberapa contoh:
Pertama:
Sebagaimana al-Imam al-Nawawi dan lain-lain tokoh, al-Imam al-Sayuti
turut menolak solat sunat Raghaib. Beliau berkata:[32]
Ketahuilah olehmu, semoga Allah
merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari
dan malam Jumaat pertama bulan Rejab) hanya perkara baru yang dibuat
dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadith yang
palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada
siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat
Raghaib … Ketahuilah sesungguhnya solat yang bid‘ah ini
menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk.
Perhatikan bahawa
al-Imam al-Sayuti rahimahullah tidak menamakan solat ini sebagai
Bid‘ah Hasanah sekalipun ia disebut dalam beberapa kitab seperti
Ihya ‘Ulum al-Din. Jika setiap yang dianggap baik dilabelkan
sebagai Bid‘ah Hasanah maka solat ini juga patut dianggap
Bid‘ah Hasanah. Namun mengada-adakan perkara baru dalam cara ibadah
bukanlah Bid‘ah Hasanah.
Kedua:
Berkata al-Imam
al-Sayuti rahimahullah ketika membantah amalan Nisfu Sya’ban:[33]
Apa yang memuliakan bulan Sya’ban ialah
amalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpuasa pada
kebanyakan harinya. Hadith-hadith Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam dan athar para sahabat yang diriwayatkan menunjukkan ia
malam yang ada kelebihan, (namun) tiada padanya solat yang khusus.
Jelas bahawa solat
sunat khusus bersempena Nisfu Sya’ban tidak dianggap oleh al-Imam
al-Sayuti sebagai Bid‘ah Hasanah.
Ketiga:
Berkata al-Imam
al-Sayuti rahimahullah berkenaan melafazkan niat sebelum solat:[34]
… Daripada bid‘ah (yang saiyyah) itu
adalah, was-was dalam niat solat. Itu bukan daripada perbuatan Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat baginda. Mereka
tidak pernah melafaz sedikit pun niat solat melainkan hanya (terus)
takbir. Allah telah berfirman:
لَقَدْ كَانَ
لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah
itu contoh yang baik.” [al-Ahzab 33:21]
Walaupun
sesetengah pihak ada yang berpendapat menyebut lafaz niat dalam solat
sebagai Bid‘ah Hasanah, namun tokoh mazhab al-Syafi’i yang
terkenal ini tidak menganggapnya sedemikian. Ini kerana ia adalah
sesuatu yang tidak dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
mahupun para sahabat baginda.

Kesimpulan Perbincangan
Perbincangan kita di atas secara jelas menunjukkan telah berlaku salah
faham di kalangan masyarakat, termasuk di kalangan para penceramah dan
agamawan, terhadap istilah Bid‘ah Hasanah yang digunakan oleh
para tokoh mazhab al-Syafi’i rahimahumullah. Apa yang dimaksudkan
oleh para tokoh tersebut adalah jauh berbeza. Oleh itu adalah wajar
untuk merujuk semula kepada apa yang ditulis oleh tokoh-tokoh ini.
|