|
BAB 3:
SALAH FAHAM TERHADAP UCAPAN ‘UMAR
AL-KHATTAB DAN HADITH SUNNAH
HASANAH.
Salah Faham Terhadap Ucapan ‘Umar al-Khattab
Salah Faham Terhadap Hadith Sunnah Hasanah
Kesimpulan Perbincangan
Dalam usaha mem-pertahankan tindakan-tindakan yang
dianggap bid‘ah di sisi syarak, sesetengah pihak menggunakan beberapa
riwayat sebagai bukti bahawa diharuskan membuat bid‘ah selagi mana ia
dipandang baik oleh pembuatnya. Antara yang masyhur ialah ucapan ‘Umar
Ibn Khattab radhiallahu 'anh yang menyebut
“sebaik-baik bid‘ah”
untuk Solat Tarawih berjamaah dan perkataan
“Sunnah Hasanah”
dalam sebuah hadith Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Bab
ini akan menjelaskan kekeliruan yang berkaitan dengan riwayat-riwayat
tersebut.
Salah Faham Terhadap Ucapan ‘Umar al-Khattab
Sesetengah pihak cuba berdalil dalam membolehkan bid‘ah
dengan menyatakan bahawa Saiyyidina ‘Umar radhiallahu 'anh turut
telah membuat bid‘ah. Mereka berkata, pada zaman Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam tidak ada Solat Tarawih berjamaah lalu ‘Umar
melakukannya dan menyatakannya sebagai: “Sebaik-baik bid‘ah” (نعمت
البدعة هذه).
Yang mereka maksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh
al-Imam al-Bukhari dalam Shahihnya dan al-Imam Malik dalam
al-Muwattha’:
عَنْ عَبْدِالرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ أَنَّهُ قَالَ: خَرَجْتُ
مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِي اللَّه عَنْهم لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ
إِلَى الْمَسْجِدِ. فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي
الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ
الرَّهْطُ. فَقَالَ عُمَرُ: إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى
قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ
بْنِ كَعْبٍ. ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ
يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ. قَالَ عُمَرُ: نِعْمَ الْبِدْعَةُ
هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنِ الَّتِي يَقُومُونَ.
يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ.
Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Qari, katanya: Pada
satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama dengan ‘Umar bin
al-Khattab radhiallahu 'anh ke masjid. Di dapati orang ramai
berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan
sekumpulan (datang) mengikutinya.
‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang
imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka
dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku
keluar pada malam yang lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka
(Ubai bin Ka‘ab).
Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bid‘ah adalah perkara ini,
sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang
mereka bangun (awal malam).”[1]
Berdasarkan riwayat di atas, ada yang tersalah sangka
dengan menganggap ‘Umar bin al-Khattab adalah orang yang pertama
memulakan Solat Tarawih secara berjamaah. Maka dirumuskan bahawa
ia adalah satu perbuatan bid‘ah yang dianggap baik oleh ‘Umar. Justeru
boleh membuat bid‘ah di dalam ibadah asalkan ia dilakukan dengan niat
yang baik.
Sebenarnya rumusan seperti ini muncul kerana kurang membaca
hadith-hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan Solat Tarawih
secara berjamaah dan ini jelas tertera dalam kitab-kitab hadith, seperti
dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Hadith yang
dimaksudkan berasal daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً
مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ
بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ
مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا.
فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا
بِصَلاَتِهِ. فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ
الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ. فَلَمَّا
قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: أَمَّا
بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ
تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ
.
Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada suatu
pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang
mengikut solat baginda (menjadi makmum). Pada pagi (esoknya) orang ramai
bercerita mengenainya. Maka berkumpullah lebih ramai lagi orang (pada
malam kedua). Baginda bersolat dan mereka ikut solat bersama. Pada pagi
(esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka bertambah ramai ahli
masjid pada malam ketiga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar
bersolat dan mereka ikut solat bersama.
Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan ahli. (Baginda
tidak keluar) sehingga pada waktu solat subuh. Selesai solat subuh,
baginda mengadap orang ramai, bersyahadah seraya bersabda: “Amma ba’d,
sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kalian (di masjid pada malam
tadi) tetapi aku bimbang difardukan (Solat Tarawih) ke atas kalian lalu
kalian tidak mampu.[2]
Hal sebegini berlaku sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
wafat.[3]
Dalam sebahagian riwayat al-Bukhari dan Muslim disebut: “…yang
demikian berlaku pada bulan Ramadhan.” (وذلك
في رمضان) s[4]
Hadith ini dengan jelas menunjukkan Nabi shallallahu
'alaihi wasallam adalah yang pertama memulakan Solat
Tarawih secara berjamaah dengan satu imam. Walaubagaimanapun baginda
tidak melakukannya secara berterusan, bukan kerana ia perbuatan yang
salah tetapi kerana bimbang ia menjadi satu kewajipan. Apabila
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat, kebimbangan ini
tidak wujud lagi, maka dengan itu ‘Umar meneruskan semula Solat
Tarawih secara berjamaah. Justeru ‘Umar al-Khattab bukanlah orang
yang pertama memulakannya secara berjamaah.
al-Imam al-Syatibi rahimahullah menegaskan:
Renungi hadith ini. Ia menunjukkan kedudukan Solat Tarawih adalah
sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil
menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada
bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang ia
difardukan. Ini tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak kerana zaman
baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan) (sehingga)
ada kemungkinan akan diwahyukan kepada baginda sebagai satu kewajipan
jika manusia mengamalkannya. Apabila telah hilang ‘illah
al-tasyri’[5]
dengan wafatnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka ia
kembali kepada asalnya.[6]
Timbul persoalan seterusnya, mengapakah Abu Bakr
radhiallahu 'anh tidak menghimpunkan orang ramai untuk melakukan
Solat Tarawih secara berjamaah? Untuk mengetahui jawapannya, kita
merujuk sekali lagi kepada penjelasan al-Imam al-Syatibi
rahimahullah:
Adapun (sebab) Abu Bakr tidak
mendirikannya adalah kerana salah satu daripada berikut, sama ada
(pertama) dia berpendapat solat orang ramai pada akhir (malam) lebih
afdal padanya dari dihimpunkan mereka dengan satu imam pada awal malam.
Ini disebut oleh al-Turtusyi (الطرطشي)
ataupun (kedua) disebabkan kesempitan waktu pemerintahannya[7]
untuk melihat perkara-perkara cabang seperti ini sedangkan beliau sibuk
dengan golongan murtad dan selainnya yang mana lebih utama daripada
Solat Tarawih.[8]
Timbul persoalan kedua, kenapakah ‘Umar al-Khattab
radhiallahu 'anh menggelar hal tersebut sebagai satu bid‘ah? Sekali
lagi, penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah menjadi rujukan:
Dia menamakannya bid‘ah hanya disebabkan pada zahirnya kerana Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam telah meninggalkannya dan sepakat
pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr radhiallahu 'anh. Ia
bukanlah bid‘ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid‘ah
disebabkan hal ini, maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama.
Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan
membuat bid‘ah.[9]
Jelaslah ucapan ‘Umar bukanlah merujuk kepada bid‘ah
yang dilarang oleh syarak tetapi merujuk kepada bid‘ah yang dimaksudkan
dari segi bahasa atau keadaan. Ini kerana Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam telah melakukan Solat Tarawih secara
berjamaah lalu berhenti disebabkan faktor penghalang yang dinyatakan
tadi. Apabila faktor penghalang telah hilang, maka ‘Umar menghidupkannya
semula. Justeru itu beliau menamakannya bid‘ah. Perkataan bid‘ah yang
digunakan oleh ‘Umar radhiallahu 'anh hanya merujuk pada segi
bahasa, tidak pada segi syarak. Dari segi syarak, ia adalah Sunnah
kerana merupakan sesuatu yang pernah berlaku sebelumnya pada zaman
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Salah Faham Terhadap Hadith Sunnah Hasanah
Terdapat sebuah hadith yang disering disalah fahami bagi
membolehkan amalan bid‘ah. Hadith yang dimaksudkan ialah apa yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim:
مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ
كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ
أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً
فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا
وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia
diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang
yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu)
sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu
ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang
mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit
pun.[10]
Hadith ini dijadikan bukti bahawa tidak mengapa
melakukan bid‘ah
asalkan
ia
baik.
Ini adalah bukti yang salah hasil daripada kefahaman yang salah.
Kefahaman yang benar dapat diperoleh dengan merujuk kepada
Sabab al-Wurud
(سبب
الورود)
bagi hadith ini.
Jika dalam pengajian tafsir ada bab yang dinamakan Sabab al-Nuzul,
maka dalam hadith ia dinamakan Sabab al-Wurud atau Sabab
Wurud al-Hadith. Saya ta’rifkan Sabab Wurud al-Hadith
sebagai:
ما دعا الحديثَ إلى وجوده، أيام صدوره.
Apa yang membawa kepada kewujudan hadith pada hari-hari kemunculannya[11]
Maksudnya,
faktor yang menyebabkan sesebuah hadith itu terbit daripada Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dalam kata lain, faktor-faktor yang menyebabkan baginda mengucapkan sesuatu
ucapan, melakukan sesuatu perbuatan atau mengakui sesuatu tindakan.
Memahami sebab-sebab yang menyebabkan terbitnya sesebuah hadith adalah
sangat
penting bagi mengelakkan kita
daripada
meletakkan hadith tidak pada tempatnya. Ini kerana kadang-kala sebab
terbitnya sesuatu hadith sangat mempengaruhi maksud hadith. Kesalahan
dalam
memahami sebab terbitnya
hadith
boleh membawa kepada kesalahan faham kepada maksud hadith. Umpamanya
hadith yang di atas ada
Sabab al-Wurudnya
dan ini boleh dirujuk dalam hadith itu sendiri dalam bentuknya yang
lengkap:
عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: جَاءَ نَاسٌ مِنَ الأَعْرَابِ
إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. عَلَيْهِمُ
الصُّوفُ. فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ. قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ. فَحَثَّ
النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ. فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي
وَجْهِهِ. قَالَ: ثُمَّ إِنَّ رَجُلاً مِنَ لأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ
مِنْ وَرِقٍ. ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ
السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَنَّ فِي
الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ
أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ
سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ
عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ
أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.
Daripada Jarir bin ‘Abd Allah katanya: Datang sekumpulan
Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka
memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka
ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka
lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda.
(Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang
dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang
yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut.
Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda.
(Melihat yang sedemikian) Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda: Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik
lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala
orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal
itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat
lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang
yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu)
sedikit pun.[12]
Dengan merujuk Sabab al-Wurud dalam hadis di atas,
kita dapat mengetahui bahawa “Sunnah Hasanah” yang
dimaksudkan merujuk kepada sedekah yang dianjurkan oleh Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia bukannya satu perbuatan yang tidak
memiliki asal usul di dalam syariat. Memulakannya tidak bermaksud
memulakan amalan baru, sebaliknya bermaksud memulakan langkah atau
tindakan bagi perkara yang sudah ada asal usulnya.
Lebih lanjut, marilah kita merujuk kepada penjelasan
al-Syeikh ‘Ali Mahfuz[13]
dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madarr al-Ibtida’ (الإبداع
في مضارّ الابتداع) ketika menjawab kekeliruan orang-orang
yang menjadikan hadith ini sebagai hujah bagi membolehkan bid‘ah:[14]
Jawapan terhadap kekeliruan ini ialah, bukanlah maksud memulakan sunnah
itu membuat rekaan (baru). Namun maksudnya (ialah memulakan) amalan yang
thabit (pasti) daripada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam … Sesungguhnya sebab yang kerananya terbit hadith ini ialah
sedekah yang disyariatkan … (lalu disebut hadith di atas secara lengkap)
… hadith ini menunjukkan bahawa yang dikatakan sunnah di sini seperti
apa yang dilakukan sahabat tersebut yang membawa sebekas perak. Dengan
sebabnya terbukalah pintu sedekah dengan cara yang lebih nyata sedangkan
sedekah memang disyariatkan dengan kesepakatan ulama’. Maka jelas
maksudnya (“Sesiapa yang memulakan Sunnah Hasanah…”) di
sini ialah sesiapa yang beramal. Ini kembali kepada hadith (
من أحيا سنة قد أميتت بعدي فإن له من الإجر…). s[15]
Seakan-akan sunnah itu sedang tidur maka sahabat radhiallahu 'anh
berkenaan menggerakkannya dengan perbuatannya. Bukan maksudnya
mengadakan sunnah yang (sebelumnya) tidak pernah ada.
Dalam Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyad al-Salihin
(نزهة المتقين شرح رياض الصالحين)
karya Dr. Mustafa al-Bugha[16]
dan rakan-rakannya, dijelaskan:[17]
Hadith ini dianggap sebagai asal dalam menentukan Bid‘ah Hasanah
dan Saiyyiah. Bersegeranya sahabat, berlumba dan bersaing, dalam
bersedekah adalah Bid‘ah Hasanah –seperti yang disebut oleh Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam. Dari sini difahami bahawa apa yang
dikatakan Bid‘ah Hasanah itu adalah sesuatu yang pada asalnya
disyarakkan seperti sedekah.
Berkata al-Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin
rahimahullah (1421H)[18]:[19]
Jika kita mengetahui sebab (terbitnya) hadith ini dan meletakkan
maknanya dengan betul, maka jelas bahawa yang dimaksudkan dengan
“memulakan sunnah” di sini ialah memulakan amal. Bukan memulakan
tasyri’ (syariat baru). Ini kerana tasyri’ hanya boleh
dimulakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Maksud hadith “sesiapa yang
memulakan” ialah memulakan amal dengannya dan orang ramai mencontohinya…
atau boleh dimaksudkan juga sesiapa yang memulakan jalan yang baik yang
menyampaikan kepada ibadah lalu orang ramai mencontohinya. Ini seperti
menulis buku, meletakkan bab-bab ilmu, membina sekolah dan sebagainya
dimana ia adalah jalan kepada perkara yang dituntut syarak. Apabila
seorang insan memulakan jalan yang membawa kepada perkara yang dituntut
oleh syarak dan jalan itu pula tidak terdiri daripada yang dilarang,
maka dia termasuk dalam hadith ini. Jika makna hadith adalah seperti
yang disalah fahami, iaitu seorang insan boleh membuat apa jua syariat
yang dia mahu, bererti agama Islam belum sempurna pada (pengakhir) hayat
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kesimpulan Perbincangan
Sebagai kesimpulan perbincangan, sekali lagi ditegaskan
bahawa maksud hadith “…memulakan dalam Islam sunnah yang baik
(Sunnah Hasanah)…” ialah memulakan perkara yang sudah sedia
memiliki asal usul di dalam syarak seperti sedekah yang dianjurkan oleh
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
|