|
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4 || contoh 5
C: Hadis-hadis musykil tentang wanitaContoh no: 1Kecelakaan itu ada pada 3 perkara: Wanita, rumah dan kuda. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Petanda buruk (evil omen) terdapat pada wanita, rumah dan kuda.[1] Kemusykilan: Kenapakah dikatakan pada wanita ada petanda buruk, malah sehingga disamakan dengan kuda dan rumah ? Bukankah ini sebuah hadis yang jelas mendiskriminasikan wanita ? Penjelasan: Maksud sebenar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis di atas dapat difahami dengan merujuk kepada hadis berikut: Empat perkara termasuk unsur kebahagiaan seseorang: wanita (isteri) yang saleh, kediaman (rumah) yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan yang selesa. Dan empat perkara termasuk unsur penderitaan seseorang: jiran tetangga yang tercela, wanita yang tercela (buruk akhlaknya), tempat kediaman yang sempit dan kenderaan yang tercela.[2] Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis Sahih al-Bukhari di atas: Petanda buruk (evil omen) terdapat pada wanita, rumah dan kuda sebenarnya adalah dalam rangka menerangkan beberapa asas yang penting dalam kehidupan seseorang sehingga memerlukan perhatian yang sewajarnya. Jika diberi perhatian maka perkara-perkara ini akan membahagiakannya, jika tidak ia akan menyulitkannya. Antara perkara-perkara asas tersebut ialah pasangan hidup, tempat hidup (jiran tetangga), rumah kediaman dan kenderaan. Hadis ini tidak bertujuan mendiskriminasikan wanita. Ia sebenarnya bertujuan untuk memperingatkan si lelaki agar mereka mencari wanita yang solehah atau yang mahu menjadi solehah sebagai pasangan supaya hidup si lelaki itu tidak akan menjadi sengsara. Demikian juga jika diambil dari umum pengajaran hadis, hendaklah juga si wanita mencari pasangan lelaki yang soleh atau yang mahu menjadi soleh supaya hidupnya menjadi bahagia juga. Penghargaan Islam kepada wanita solehah dapat juga direnung dalam hadis berikut: Dunia adalah sebaik-baik tempat dan sebaik-baik tempat di dalam dunia adalah wanita yang solehah.[3] Hadis-hadis dalam bab ini (Contoh no: 1) juga memberikan satu pengajaran penting kepada kita, iaitu Islam tidak memandang hina terhadap urusan-urusan duniawi. Ia memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya mencari yang terbaik agar hidup mereka di dunia ini bahagia dan selesa. Islam mendahului dengan mengenal pasti beberapa asas yang penting dalam kehidupan dan menyuruh umatnya berusaha demi mencapai yang terbaik dalam asas-asas tersebut asalkan tidak melampaui batas atau sehingga berlaku pembaziran. [1] Sahih: Hadis daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain, di atas dengan lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5093 (Kitab Nikah, Bab Petanda buruk pada wanita yang perlu disingkirkan). [2] Sahih: Hadis daripada Sa‘ad bin Abi Waqas radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Khatib al-Baghdadi (al-Tarikh) dan Abu Nu‘aim (Hilyatul Auliya’), dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam Sahih Ibn Hibban (Muasasah al-Risalah, Beirut 1997) – no: 4032. Juga dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadits Shahih (terj: Qodirun Nur, Pustaka Mantiq, Solo 1996) – no: 282. [3] Sahih: Hadis daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Muslim, Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 1467 (Kitab al-Ridho’, Bab Sebaik-baik tempat..............).
|
||
|
Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis
|