|
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4 || contoh 5 || contoh 6 || contoH 7
B: Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu perubatan moden. Contoh no: 1Tidak ada penyakit berjangkit. Sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: Tidak boleh menjangkitkan penyakit, dan tidak boleh mempercayai kesialan,[1] dan tidak boleh mempercayai Hama[2], dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa.[3] Kemusykilan: Di manakah letak kebenaran hadis ini kerana adalah merupakan kesepakatan para doktor bahawa sesetengah penyakit boleh berjangkit daripada seorang ke seorang yang lain. Penjelasannya: Perkataan Laa ‘Adwa ( لا عدوى ) biasanya diterjemahkan sebagai tiada penyakit berjangkit atau tidak ada penyakit berjangkit. Akan tetapi dalam kaedah bahasa Arab, perkataan Laa ( لا) tersebut boleh memiliki dua erti, yang pertama sebagai menunjukkan satu “peniadaan” (nafyun) dan yang kedua sebagai menunjukkan satu “larangan” (nahyun). Kaedah bahasa Arab ini boleh juga kita lihat dalam ayat al-Qur’an berikut: (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat Haji. [al-Baqarah 2:197] Firman Allah Subhanahu waTa’ala di atas bukanlah bermaksud satu peniadaan seperti tidak ada persetubuhan, tidak ada kemaksiatan dan tidak ada pertengkaran kerana tiga perkara ini memang sentiasa wujud dan tidak boleh dihapuskan begitu sahaja. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah larangan iaitu jangan bersetubuh, jangan melakukan maksiat dan jangan bertengkar. Perhatikan pula sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadis berikut: Tidak boleh membuat mudarat dan tidak boleh memudaratkan.[4] Perkataan Laa tidak bermaksud peniadaan kerana unsur mudarat memang sentiasa wujud. Yang dimaksudkan adalah larangan iaitu jangan melakukan sesuatu yang memudaratkan diri sendiri dan jangan pula melakukan sesuatu yang memudaratkan orang lain. Kembali kepada hadis asal di atas, yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah tidak boleh membiarkan penyakit menjangkit, membiak, menjalar, menular dan merebak.[5] Hadis tersebut tidak bererti bahawa penyakit berjangkit tidak wujud. Bukankah di penghujung hadis sedia terdapat petunjuk bahawa wujudnya penyakit yang berjangkit, iaitu apabila Rasulullah menyuruh kita menjauhkan diri dari penyakit Kusta ? Perhatikan juga hadis-hadis di bawah ini sebagai penyokong kepada keterangan penulis di atas, bahawa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah adalah jangan membiarkan sesuatu penyakit itu menjangkit, merebak dan menular. Janganlah orang yang sakit mengunjungi orang yang sihat.[6] Apabila kamu mendengar satu wabak penyakit berjangkit di sesuatu daerah maka janganlah memasuki ia (daerah tersebut). Dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak penyakit berjangkit maka janganlah kamu keluar darinya.[7] [1] Masyarakat Arab ketika itu mempercayai sesetengah perkara atau haiwan boleh membawa kesialan kepada manusia. Contohnya ialah burung-burung dan arah penerbangan mereka di angkasa. Terjemahan di atas adalah yang lebih tepat berbanding terjemahan yang penulis berikan sebelum ini dalam buku 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya (Jahabersa 2002), ms 155. [2] Hama berasal dari satu adat Jahiliyah yang mempercayai ruh seseorang yang mati dibunuh akan keluar dari kuburnya dalam bentuk jelmaan manusia atau burung dan ia akan mencela tuannya yang mati terbunuh itu. Demikian terang Mahmoud Matraji dalam Sahih Muslim yang beliau terjemahkan, jld 3B, ms 465. [3] Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, lafaz di atas dikeluarkan oleh al-Bukhari sahaja secara muallaq, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5707. (Kitab al-Tibb, Bab (Penyakit) Kusta). Bagi jalan-jalan periwayatan yang lengkap, lihat keterangan Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld 11, ms 307 (syarah bagi hadis no: 5707) dan Taghliq al-Ta’liq (tahqiq: Sa‘id ‘Abdul Rahman; Maktabah al-Islami, Beirut & Dar al-Amman, Amman 1405H), jld 5, ms 45. Jalan-jalan ini mensahihkan hadis muallaq ini sepertimana terang al-‘Aini dalam Umdat al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari (tahqiq: Siddiq Jamil; Dar al-Fikr 1998), jld 14, ms 692 (syarah bagi hadis no: 5707). Hadis seumpama juga diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibn ‘Umar dan Anas bin Malik radiallahu ‘anhuma dan dikeluarkan oleh Malik, Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan ramai lagi. [4] Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ahmad, al-Daruquthni, Ibn Majah dan lain-lain, dinukil dan dinilai hasan oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 9899 manakala dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Irwa’ al-Ghaleel (Maktabah al-Islami, Beirut 1985) no: 896. [5] ‘Abdullah bin ‘Ali al-Najdy al-Qushaimy – Memahami Hadits-hadits Musykil (terj: Kathur Suhardi; Pustaka Mantiq, Solo 1993), ms 101-107. [6] Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Abu Daud, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5771 & 5774. (Kitab al-Tibb, Bab Tidak boleh menjangkitkan penyakit). [7] Sahih: Hadis dari ‘Abdurrahman bin ‘Auf dan Sa‘ad radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Uwanah, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5728 & 5729. (Kitab al-Tibb, Bab Apa yang diperkatakan tentang wabak penyakit).
|
||
|
Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis
|