Article Index


Kebiasaan ini tidak bertepatan dengan ajaran Islam sebenar. Pada era kegemilangan Islam,tokoh yang gigih mengembangkan Islam adalah di kalangan mereka yang dalam profesyen bukan-agama. Ibnu Sina seorang doktor, Ibnu Khaldun seorang ahli sejarah, Ibnu Tufail seorang ahli falsafah, Ibnu Batuta seorang ahli pelayaran dan lain-lain lagi.

Sahabat karib Brother Hafiz, Tuan Hasan Tuan Lah berkata, pembabitan seorang pilot sepertinya dalam bidang agama bukan sesuatu yang menghairankan kerana kebanyakan Mursyid Ikhwan Muslimoon pun bukan dari golongan agamawan. Pemimpin Ikhwan Lebanon, Ustaz Fathy Yakan misalnya, seorang jurutera. Syaikh Sayyid Qutb yang berkelulusan sastera dan bekas Nazir sekolah di Mesir telah menghasilkan Tafsir Fi Dzilal yang menakjubkan itu. Tuan Hasan turut memetik nama-nama seperti Syaikh Mustafa Masyhur seorang ahli Kaji Cuaca, Syaikh Hasan al-Hudhaibi seorang peguam dan Imam Albani seorang pembaiki jam. Justeru, kenapa di Malaysia wujud satu jurang yang besar antara profesional dalam bidang agama dengan profesional dalam bidang lain?

“Ini berpunca daripada fenomena sekularisme dalam bentuk baru,” jawab Hafiz Firdaus. “Jika sekularisme yang lama memisahkan urusan agama dengan kehidupan harian, sekularisme yang baru memisahkan golongan agamawan dengan bukan-agamawan. Pendapat mengenai agama hanya dipegang oleh agamawan. Orang agama juga tidak masuk ke bidang lain. Orang dalam bidang lain pula tidak boleh masuk ke wilayah orang agama. Ini adalah Islam Sekular.”

Bagaimanapun, menurutnya, sejak akhir-akhir ini terdapat tanda-tanda yang positif ke arah merapatkan jurang antara bidang agama dengan bidang lain. Sebagai contoh, Muhammad Amin Yaakob yang bertugas dalam bidang perbankan telah menulis buku Christianity through the lens of Christians & Muslim Scholar.

Hasil penulisan dan ceramah Brother Hafiz juga sudah mula mendapat perhatian masyarakat terutama di kalangan intelektual dan pelajar universiti. Mengenai golongan yang mengkritiknya, Brother Hafiz yakin kritikan mereka tidak berasas dan hanya didorong oleh rasa terganggu apabila ada orang lain menceroboh ‘wilayah’ mereka. Mujur Jakim tidak melayan surat aduan mengenainya kerana kelemahan hujah si pengadu. “Mereka memarahi saya dengan kata-kata yang buruk dan penuh emosi. Tidak ada hujah yang rasional. Jadi saya abaikan. Malah saya berasa kasihan pula kepada mereka,” katanya merujuk kepada e-mel yang diterima daripada golongan yang tidak menyenanginya.

Apa pun, kritikan yang penuh emosi dan tidak berasas itu lah yang membakar semangatnya untuk terus menulis dan memberi ceramah secara percuma. “Saya tak ambil bayaran. Ini pelaburan akhirat. Kepuasan saya adalah apabila orang dapat kongsi ilmu dengan orang lain. Perkara yang baik perlu disebar dan dikongsi.”

Mengimbas pembabitannya dalam bidang agama, segalanya bermula pada usia 22 tahun. Sebagai anak jati Kuala Lumpur, pada usia itu beliau sudah pun puas menikmati keseronokan dunia. “Saya mula bawa kapalterbang pada usia 19. Besar di KL, saya dah rasa macam-macam. Letih dengan semua itu. Saya mula mencari sesuatu yang baru. Itu lah masanya saya berfikir untuk menjadi lebih matang dan serius dengan hidup ini.”

Memandangkan kerjaya sebagai juruterbang tidak memberi masa yang banyak untuk berguru, Brother Hafiz mula membaca buku-buku agama yang bersifat ilmiah. Antara bacaan awal yang memberi pengaruh kepadanya ialah buku bertajuk Bagaimana Berinteraksi Dengan Sunnah tulisan Shaikh Yusuf al-Qardawi.

Beliau mengenepikan pendapat masyhur, berguru dengan buku umpama berguru dengan syaitan. “Memang ramai yang kata begitu. Saya pulangkan balik pertanyaan kepada mereka, adakah dengan mempunyai guru bermakna menuntut ilmu dengan malaikat?” Larangan menuntut ilmu agama melalui buku kerana bimbang disesatkan oleh syaitan adalah mitos semata-mata, bukannya fakta. Ia satu kepercayaan masyhur yang diwarisi oleh masyarakat Islam secara turun temurun. Sebenarnya, yang menentukan sesat atau tidak, betul atau salah, bukan lah guru tetapi dalil dan hujah.