Article Index



Pengajaran # 4: Tetap Berdakwah Sekali Pun Dalam Suasana Terhimpit.
Ketika menganalisa peristiwa hijrah ke Habasyah, Dr. Muhammad Husein Haykal bertanya:
Amatlah berpatutan jika para pengkaji sirah Muhammad (shallallahu 'alaihi wasallam) bertanya tentang tujuan penghijrahan yang dilakukan oleh umat Islam di bawah suruhan Muhammad, adakah ia semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada penindasan kaum musyrik Mekah atau adakah ia suatu strategi politik di mana Muhammad memiliki tujuan yang lebih besar di sebaliknya? [Hayat Muhammad (edisi terjemahan oleh Ismail Raji al-Faruqi atas judul The Life of Muhammad; Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 1993), ms. 97]

0204_large.jpgTidak dinafikan bahawa tujuan utama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam berhijrah ke Habasyah ialah untuk memelihara agama mereka daripada penindasan kaum musyrik Mekah. Walaubagaimana pun keluasan wawasan kepimpinan baginda menyebabkan kita bertanya, mungkinkah ada sesuatu lain yang ingin dicapai oleh baginda?
Sudah tentu ada. Salah satu daripadanya ialah baginda ingin mengembangkan dakwah Islam kepada Habasyah dan kepada Najasyinya, Ashama bin Bahr. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yakin sikap adil Najasyi Ashama akan menyebabkan beliau menimbang dengan adil tentang Islam. Kejayaan dakwah Islam di benua Afrika akan membolehkan Islam memiliki pusat yang baru selain Semenanjung Arab.

Hakikat ini diketahui oleh para pembesar musyrik Mekah. Oleh kerana itulah, setelah mendapat tahu tentang penghijrahan umat Islam ke Habasyah, mereka mengutus ‘Abdullah bin Abu Rabi‘ah dan ‘Amr bin al-Ash bin Wail ke Habasyah untuk segera membawa balik kumpulan umat Islam yang berlindung di sana. Rombongan disertai dengan pelbagai hadiah menarik untuk merasuah Najasyi dan para menterinya.

Ketika sampai ke Habasyah, kedua-dua utusan terlebih dahulu berjumpa dengan para menteri Najasyi Ashama. Mereka berdua memberi hadiah kepada para menteri tersebut sebagai rasuah agar turut memujuk Najasyi Ashama untuk mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri bersetuju. Setelah itu kedua-dua utusan menghadap Najasyi Ashama. Mereka mendahului dengan memberi hadiah, kemudian meminta agar Najasyi Ashama mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri Najasyi Ashama menyatakan kesetujuan mereka dalam permintaan tersebut.

Walaubagaimana pun Najasyi Ashama tidak mudah terpedaya dengan hadiah dan permintaan kedua-dua utusan tersebut. Sebaliknya beliau memanggil umat Islam yang berlindung di negaranya untuk datang menghadap dan membela diri sendiri. Umat Islam memilih Ja’far bin Abu Thalib radhiallahu 'anh untuk menjadi jurucakap mereka. Ja’far dengan bijak menerangkan hakikat agama Islam dan menerangkan sikap kaum musyrik Mekah terhadap orang-orang yang memilih untuk memeluk Islam.

Setelah itu Ja’far membaca beberapa ayat awal dari surah Maryam. Najasyi Ashama dan paderi-paderinya yang turut hadir ketika itu segera mengakui kebenaran Islam lalu menangis sehingga membasahi janggut mereka. Akhirnya Najasyi menolak kedua-dua utusan tersebut dan mengembalikan hadiah-hadiah mereka. Beliau terus menyatakan jaminannya untuk melindungi umat Islam yang berada di negaranya. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 353-358]

Perhatikan keberanian umat Islam, khasnya Ja’far bin Abi Thalib radhiallahu 'anhum dalam peristiwa di atas. Sekali pun mereka dalam keadaan terhimpit dan dalam keadaan simpati di bawah perlindungan orang bukan Islam, mereka tetap berani menerangkan tentang Islam. Usaha dakwah Ja’far bin Abi Thalib dan umat Islam membuahkan kejayaan. Najasyi Ashama bin Bahr akhirnya memeluk Islam. Bahkan beliau juga menjadi pendakwah Islam dan ini tidak lain tidak bukan kepada ‘Amr bin al-Ash sendiri, salah seorang daripada dua utusan musyrik Mekah yang datang menghadapnya sebelum itu.

Ia berlaku kira-kira sepuluh tahun kemudian, selepas Perang Khandaq. Dalam peperangan yang berlaku pada tahun lima hijrah tersebut, kaum musyrik kalah di tangan umat Islam. Setelah peperangan, ‘Amr bin al-Ash yang masih musyrik saat itu pergi berjumpa dengan Najasyi Ashama bin Bahr di Habasyah. Dia, bagi pihak kaumnya, merancang untuk meminta perlindungan beliau seandainya umat Islam mengalahkan mereka di Mekah.

Tatkala sampai di istana, dia berselisih dengan seorang utusan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bernama ‘Amr bin Umayyah al-Damriy radhiallahu 'anh. ‘Amr bin al-Ash meminta kepada Najasyi Ashama untuk mengizinkannya membunuh ‘Amr bin Umayyah. Najasyi Ashama segera memarahinya, lantas menerangkan tentang Islam dan kebenaran Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang Rasul Allah. Mendengar dakwah itu, ‘Amr bin al-Ash akhirnya memeluk Islam di tangan Najasyi Ashama. Beliau kemudiannya pergi ke Madinah untuk berjumpa dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menyatakan keislaman beliau di hadapan baginda. [Syaikh Muhammad Yusuf al-Khandhlawi – Hayat al-Shahabah (Dar Ibn Katsir, Damsyik, 2000), jld. 1, ms. 290-291]