Article Index



Pengajaran # 6: Tidak Perlu Merebut Mayat Jika Suasana Tidak Mengizinkan.
Perhatikan bahawa apabila Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia di Habasyah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengutus sesiapa untuk pergi mengambil mayatnya untuk dikebumikan di Madinah. Padahal pada tahun sembilan hijrah, umat Islam sudah memiliki kestabilan dan kekuatan yang cukup untuk pergi ke Habasyah dan merebut mayat Najasyi Ashama.

kabah-at-night1.jpgSebaliknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membiarkan jenazah Najasyi Ashama dikebumikan mengikut aturcara Kristian dan disemadikan di kawasan perkuburan orang Kristian. Baginda mengetahui bahawa di sebalik itu semua, di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, Najasyi Ashama tetap seorang muslim, akan melalui Alam Barzakh sebagai seorang muslim dan akan bangkit di Hari Akhirat kelak sebagai seorang muslim.

Mengurusi jenazah seorang muslim mengikut aturcara Islam adalah satu kewajipan, akan tetapi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui jika direbut mayat Najasyi Ashama dari Habasyah, ia akan menimbulkan mudarat yang besar berbanding manfaat. Ini kerana majoriti rakyat Habasyah ketika itu beragama Kristian dan baginda masih mengharapkan usaha dakwah Islam berjaya di sana. Harapan ini akan musnah jika masyarakat Habasyah memiliki pandangan buruk terhadap Islam yang telah “merebut mayat Najasyi mereka”.

Pada masa kini, fenomena merebut mayat berlaku di Malaysia. Ia adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara serius oleh umat Islam, khasnya pihak-pihak berwajib. Amat menghairankan apabila orang yang memeluk Islam dibiarkan begitu saja, akan tetapi apabila dia meninggal dunia kita sibuk hendak merebut jenazahnya. Saya memiliki risalah yang khas berkenaan hal ini berjudul Cadangan Terhadap Prosedur Merebut Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya yang dimuatkan dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.