Article Index



Pengajaran # 2: Peka Kepada Suasana Antarabangsa.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hidup pada zaman yang masih belum mengenal surat khabar, televisyen, telex, fax, satelit, internet, talifon, sistem pesanan ringkas (SMS) dan apa-apa lain alat komunikasi. Di sebalik semua ini, baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa dan tahu kepada negara manakah, kepada pemimpin manakah, baginda hendak menghantar umat Islam bagi mendapatkan perlindungan.

Ketika melihat umat Islam ditindas oleh kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya di bumi Habasyah terdapat seorang raja yang tidak dizalimi seorang jua orang yang berada di bawah pemerintahannya. Ia adalah negara yang benar, hingga Allah memberi jalan keluar bagi penindasan yang kalian alami.” [Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya dinilai hasan oleh Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Shahihah (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms.170]

Raja yang dimaksudkan oleh baginda, namanya Ashama bin Bahr. Di Habasyah, raja digelar sebagai Najasyi sebagaimana di negara Mesir, raja di gelar sebagai Firaun. [Ibn Katsir – al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2, ms, 18.]

Beliau ialah satu-satunya anak bagi ayahnya yang juga merupakan Najasyi sebelum itu. Akan tetapi rakyat memberontak, membunuh ayahnya dan mengangkat pakciknya menjadi Najasyi. Ashama bin Bahr dijual di pasar sebagai hamba dengan harga enam ratus dirham. Pada petang hari Ashama dibeli oleh seorang pedagang, pakciknya mati disambar kilat. Ini menyebabkan negara Habasyah menjadi hiruk pikuk.

29_nt_house_4.jpgMaka sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: “Belajarlah! Demi Allah, sesungguhnya raja kalian yang mampu mengurus persoalan ini ialah raja yang kalian jual pagi tadi. Jika kalian masih mempunyai perhatian terhadap urusan Habasyah, carilah dia.” Maka mereka mencari Ashama bin Bahr dan mengangkatnya sebagai Najasyi. Sejak dari itu beliau memerintah dengan adil dan keadaan di Habasyah kembali aman. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358-359]

Keadilan Najasyi Ashama bin Bahr terserlah dalam layanan beliau kepada umat Islam yang datang berhijrah ke negaranya. Umat Islam yang berhijrah menceritakan: “Kami berlabuh di Habasyah di mana kami berjiran dengan sebaik-baik jiran. Agama kami, ibadah kami kepada Allah berada dalam keadaan aman. Kami tidak ditindas dan kami tidak mendengar apa-apa (perkataan buruk) yang kami membencinya.” [Thabaqat Ibn Sa‘ad, jld. 1, ms. 159]

Tidak diketahui bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui perihal Najasyi Ashama yang adil di Habasyah. Kemungkinan besar baginda mendengarnya dari khabar para pedagang yang pernah ke sana. Apa pun, yang penting baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa sehingga mampu mengetahui negara manakah yang akan menjamin keamanan umatnya.

Pada masa kini, umat Islam tidak begitu peka kepada suasana antarabangsa, termasuklah suasana dunia Islam. Pengetahuan tentang ini adalah penting supaya seandainya ada umat Islam yang ditindas, kita dapat menghulurkan bantuan dan mendoakan mereka. Suasana umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya memerlukan perhatian kita. Mereka semua ialah saudara seagama dengan kita. Mereka bukanlah “rakyat negara lain” tetapi umat Islam yang hanya dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.