SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

ADALAH SEDEKAH ALLAH.

 

 Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

 

 

BEBERAPA TATACARA SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

YANG DIAMALKAN DI MALAYSIA

 

 

Antara hikmah Allah Subhanahu wa Ta'ala mengsyari’atkan sembahyang jamak dan qasar adalah sebagai satu rukhshah (kelonggaran) dalam rangka meringankan kesulitan yang dihadapi oleh mereka yang bermusafir.

 

Menurut Ustaz Rasul Dahri:

                       

Pelayaran atau perjalanan yang jauh sering menghadapi kesulitan, sering menempuh berbagai masalah dan rintangan sehingga Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengumpamakan musafir sebahagian dari azab, sebagaimana hadis baginda:

 

Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu, dia berkata: “Bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Musafir itu adalah sebahagian dari azab yang menghalangi seseorang itu dari makan, minum dan tidur

(secara yang sempurna). Maka oleh kerana itu apabila seseorang telah selesai keperluannya dalam pelayaran,

hendaklah segera pulang ke pangkuan keluarganya.”[1]

 

 

Untuk meringankan kesulitan, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi kelonggaran (rukhshah) kepada orang-orang yang beriman supaya mengqasarkan sembahyang mereka semasa musafir atau semasa berpergian, malah sembahyang qasar ini juga telah dijadikan sedekah (hadiah) oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman di samping ia telah diwajibkan-Nya.[2]

 

 

Namun begitu beberapa perkara yang biasa diamalkan oleh umat Islam di Malaysia berkaitan jamak dan qasar ini telah menyebabkan kelonggaran (rukhshah) yang telah Allah Subhanahu wa Ta'ala hadiahkan kepada kita itu diabaikan. Antara amalan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Mengqasarkan sembahyang ketika bermusafir hanyalah sunat. Malah ada yang beranggapan menyempurnakan sembahyang (tidak mengqasar) adalah lebih afdhal atau baik. Keselesaan dalam perjalanan serta kecanggihan sistem pengangkutan menyebabkan keperluan untuk mengqasar atau menjamak sembahyang sudah tidak relevan lagi.

  2. Jarak perjalanan untuk diklasifikasikan sebagai musafir mestilah melebihi dua marhalah yang bersamaan dengan lebih kurang lapan puluh tiga kilometer.

  3. Apabila seseorang bermusafir dan berhenti pada satu tempat selama lebih dari tiga hari maka hendaklah dia menyempurnakan sembahyangnya tanpa diqasarkan pada hari yang keempat dan berikutnya.

  4. Menjamakkan sembahyang hanya boleh dilakukan ketika bermusafir.

  5. Niat hendaklah dilafazkan dengan formulasi bacaan yang tertentu ketika hendak menjamak dan mengqasarkan sembahyang.

  6. Hanya perjalanan yang tidak mengandungi unsur yang bertentangan dengan syara’ membolehkan sembahyang itu diqasar atau dijamakkan.

Insya-Allah akan kita bahaskan satu persatu perkara-perkara di atas mengikut neraca al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana yang diamalkan oleh para Salafussoleh dan semoga melalui penjelasan ini keringanan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada hamba-hamba-Nya berkaitan dengan jamak dan qasar ini akan dipergunakan sepenuhnya oleh kita semua.

 


 

[1] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Haj, hadis no. 1804 dan Kitab al-Jihaad wa al-Siyar, hadis no. 3001.

[2]  Rasul bin Dahri, Solat Qasar dan Jamak (nota kuliah), ms. 4. Hadis Abu Hurairah di atas diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, rujuk al-Jami al-Sagheir oleh al-Suyuti, hadis no. 4810.