SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

ADALAH SEDEKAH ALLAH.

 

 Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

 

 

PENGERTIAN SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

 

 

Sembahyang qasar bererti memendekkan sembahyang yang empat rakaat menjadi dua rakaat ketika dalam perjalanan (safar). Sembahyang yang boleh diqasarkan adalah sembahyang Zuhur, Asar dan Isyak. Dalil yang mengsyari’atkan sembahyang qasar adalah Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.[1]

 

Mungkin akan timbul persoalan di kalangan para pembaca bahawa adakah dengan keadaan semasa yang aman damai tanpa ancaman dari orang kafir maka sembahyang qasar ini tidak disyari’atkan lagi? Untuk menjawab persoalan ini kami membawa sebuah riwayat dari Ya’laa bin Umayyah radhiallahu 'anhu, dia berkata:

 

Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radhiallahu 'anhu berkenaan dengan firman Allah

“maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang

oleh orang-orang kafir” ; sedangkan pada masa sekarang ini manusia telahpun berada dalam keadaan aman.”

Umar menjawab: “Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang hal ini lalu baginda bersabda:

“Itu adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian maka terimalah sedekah-Nya.”[2]

           

 

Di atas keumuman lafaz firman Allah Subhanahu wa Ta'ala tersebut dapat kita fahami bahawa apabila seseorang itu berada dalam satu perjalanan yang dianggap sebagai safar, secara automatik dia dibenarkan untuk mengqasarkan sembahyang tanpa sebarang syarat tambahan.

 

Sembahyang jamak pula bermakna mengumpulkan dua sembahyang dalam satu waktu. Contohnya mengumpulkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam satu waktu ataupun Maghrib dan Isyak dalam satu waktu. Jamak pula ada dua jenis iaitu:

 

  1. Jamak Taqdim (yang didahulukan) iaitu mengumpulkan sembahyang Asar bersama Zuhur dalam waktu sembahyang Zuhur atau mengumpulkan sembahyang Isyak dan Maghrib dalam waktu sembahyang Maghrib.

  2. Jamak Ta’khir (yang diakhirkan) pula ialah mengumpulkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam waktu sembahyang Asar atau mengumpulkan sembahyang Maghrib dan Isyak dalam waktu sembahyang Isyak.

 

Dalil disyariatkan jamak taqdim dan jamak ta’khir adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu:

 

“Inginkah tuan-tuan saya ceritakan perihal sembahyang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sewaktu sedang dalam perjalanan.” Ujar kami: “Baik.” Katanya: “Jika baginda masih berada di rumah semasa matahari telah tergelincir (masuknya waktu Zuhur), baginda jamakkan Zuhur dengan Asar (jamak taqdim) sebelum berangkat,

tapi kalau belum lagi tergelincir, maka baginda berjalan hingga nanti bila waktu Asar masuk

baginda pun berhenti dan menjamak sembahyang Zuhur dengan Asar (jamak ta’khir).

Begitu juga jika selagi baginda di rumah waktu Maghrib sudah masuk, baginda jamaklah sembahyang

Maghrib dengan Isyak, tetapi kalau waktu belum lagi masuk, baginda terus sahaja berangkat dan nanti bila waktu Isyak tiba, baginda pun berhenti untuk menjamak sembahyang Maghrib dan Isyak itu.”[3]

 

 

Dari hadis di atas dapat kita fahami sekiranya kita memulakan perjalanan setelah masuknya waktu Zuhur maka adalah disunnahkan kita melakukan sembahyang jamak taqdim yakni menghimpunkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam waktu sembahyang Zuhur.  Namun begitu sembahyang tersebut tidak diqasarkan kerana kita secara hakikatnya belum memulakan perjalanan. Menurut Syaikh Salih bin Fauzan:

 

Jika anda sembahyang Asar dan Zuhur dengan jamak taqdim sedangkan waktu itu anda masih berada di rumah, maka anda harus menunaikan sembahyang tersebut dengan sempurna (tidak menqasarkan), iaitu empat rakaat baik untuk sembahyang Zuhur mahupun Asar.[4]

 

Namun sekiranya kita memulakan perjalanan sebelum masuk waktu Zuhur maka hendaklah kita melakukan jamak ta’khir yakni menghimpunkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam waktu Asar. Maka ketika ini diperbolehkan untuk mengqasarkan sembahyang tersebut kerana ketika itu kita sedang berada dalam perjalanan. Hadis di atas juga menerangkan tatacara menjamak sembahyang Maghrib dan Isyak. Seperkara yang perlu untuk diberi perhatian adalah tidak ada jamak antara sembahyang Subuh dan Zuhur, Asar dan Maghrib atau Isyak dan Subuh.

 

Walaubagaimanapun di atas bukanlah syarat menjamakkan solat tetapi sunnah yang utama untuk diikuti. Antara jamak taqdim atau jamak takhir, terpulang bagi seseorang mana yang sesuai lagi mudah baginya. Ingat, jamak adalah satu kemudahan, bukan kesukaran.

 

 


 

[1]  al-Nisaa’ (4):101

[2] Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1014. Peristiwa yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shalah al-Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 686 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, hadis no. 2960.

[3] Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, hadis no. 3480 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Bagi Musnad Ahmad edisi 6 jilid, rujuk jld. 1, ms. 367-368.

[4] Fayiz Musa Abu Syaikhah, Fatwa-Fatwa Syaikh al-Fauzan, (edisi terjemahan oleh Ali Murtadho Syahudi, Pustaka Azzam, Jakarta, 2004), ms. 78.