|
SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR ADALAH SEDEKAH ALLAH.
Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
|
|
|
PENUTUP
Penulis yakin setelah kita benar-benar faham dengan beberapa hukum berkaitan dengan sembahyang jamak dan qasar ini, maka akan terserlah kepada kita betapa indahnya hukum-hakam Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam hal ini. Rukhshah (keringanan) yang Allah Subhanahu wa Ta'ala berikan kepada kita melalui sembahyang jamak dan qasar mengukuhkan lagi bahawa Dia benar-benar bersifat al-Rahmah (kasih sayang) terhadap makhluk-Nya. Sewajarnya kita mempergunakan sepenuhnya anugerah serta sedekah yang Allah 'Azza wa Jalla kurniakan kepada kita. Apatah lagi perkara-perkara yang penulis ketengahkan di atas ada dalilnya dari al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum. Bagi penulis batasan-batasan yang telah digariskan dalam sesetengah kitab-kitab fardhu ‘ain di Malaysia berkaitan dengan sembahyang jamak dan qasar seolah-olah menafikan serta menghancurkan kemudahan syari’at Islam. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Syaikh Abu Ubaidah Masyhur:
Ini kerana dengan meletakkan had batasan seperti hanya boleh mengqasarkan sembahyang selama tiga hari atau batasan-batasan lainnya, boleh mengakibatkan musnahnya kemudahan yang diberikan syari’at Islam.[1]
Antara manhaj Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam membuat pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Umm al-Mukminun ‘Aishah radhiallahu 'anha:
Tidaklah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam jika diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah di antaranya selagi tidak mengandungi dosa.[2]
Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada kita semua akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang datangnya dari Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum akan mengandungi unsur-unsur dosa. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya dan tidak mahu memberati kita semua. Ini sebagaimana Firman-Nya:
…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…[3]
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya...[4]
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.[5]
[1] Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 420-421. [2] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Hudud, hadis no. 6786. [3] al-Baqarah (2) : 185 [4] al-Baqarah (2) : 286 [5] al-A’raaf (7) : 42
|
|