Index Pengantar Risalah:- 01 02 03 04 05 06 07 08 09 10 11

Mandi Bunga: Suatu Analisis
Oleh: Hazman Hassan ([email protected])

 

Azie, seorang wanita berkarier yang semakin lanjut usia tetapi belum bersuami, amat rungsing dengan situasi dirinya. Beberapa sahabat karibnya telah menasihatkan Azie untuk pergi berjumpa bomoh Semaun untuk menjalani upacara Mandi Bunga. Pada masa dan hari yang ditetapkan, Azie pun disuruh untuk mandi dengan air yang dicampurkan beberapa bahan seperti daun-daunan dan bunga-bungaan tertentu, limau serta lain-lain bahan. Upacara tersebut juga disertai dengan ayat-ayat dan bacaan khusus untuk dibaca sebelum, semasa dan selepasnya. Akhirnya bomoh Semaun berpesan dengan tegas agar Azie tidak membersihkan sendiri akan bahan sisa mandian tersebut dari lantai bilik air. Sebaliknya, proses pembersihan tersebut mestilah dilakukan oleh orang lain.

Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme, Hinduisme dan ‘Popular Islam’.

 

Situasi kes Azie dengan bomoh Semaun ini juga sangat mungkin terjadi dalam kehidupan orang lain dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia. Mandi Bunga dilakukan dengan tujuan untuk membuang sial pada pelakunya, menjauhkan gangguan makhluk halus serta sekaligus menaikkan seri dan mendatangkan tuah bagi diri pelakunya.28 Artikel ini akan cuba menganalisa beberapa kemungkinan tentang asal-usul dan teori di sebalik amalan Mandi Bunga.

Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme, Hinduisme dan ‘Popular Islam’. Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup, perkataan yang diucap atau ditulis, tanda-tanda yang dirakamkan dan sebagainya.29 Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai ‘mana’, dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai ‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’ oleh orang Jawa.

Di kalangan orang Melayu tradisional, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’ seperti yang difahami oleh mereka dalam insiden ‘lemah semangat’, ‘kus semangat’ dan sebagainya. ‘Mana’ bagi golongan tertentu mempunyai gelaran yang khusus. ‘Mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’. Sedangkan ‘mana’ bagi para ahli agama baik golongan pawang dan dukun pada zaman Dinamisme, sami dan pendita pada zaman Hinduisme-Buddhisme, mahupun alim-ulama’ pada zaman Islam, dipanggil sebagai ‘berkat’ dan ‘keramat’.

Salah satu ramuan Mandi Bunga ialah limau yang dianggap dapat menjauhkan segala makhluk jahat.30 Limau bersama-sama sirih pinang adalah merupakan bahan utama untuk pelbagai kepercayaan dan ritual orang Melayu tradisional. Sebagai contoh:

  1. Air tepung tawar yang ‘asasnya’ terdiri daripada campuran air, bahan-bahan lain dan limau purut yang dihiris.31

  2. Limau nipis digunakan sebagai pengeras bagi pelajar silat dan perubatan tradisional. Limau purut pula diperah dan dicampurkan dengan air bagi mengubat penyakit terkena buatan orang.32

  3. Upacara ‘mandi-mandi’ atau ‘berlimau’ diadakan dalam pakej adat perkahwinan Melayu tradisional iaitu selepas kedua-dua pengantin bersatu. Pengantin akan berpakaian lengkap dan duduk di bawah naungan kain yang diregangkan dengan pegangan dua orang di kiri dan kanan. Air dan campuran limau, sintuk dan lain-lain ramuan akan dijiruskan daripada atas menerusi kain tersebut.33

  4. Di Perak, mandi tolak bala dilakukan dengan menggunakan hirisan buah limau nipis yang digosok-gosokkan ke badan seperti mana sabun. Selepas itu, barulah sambungan kepada perkara-perkara yang dilakukan dalam ritual tersebut akan dilanjutkan.34

  5. Dalam upacara berdoa’ dan memanggil semangat padi di Sungai Dacing, Lenggeng, Negeri Sembilan; pawang akan ‘menawarkan’ limau-limau yang disediakan dengan cara menepung tawar,  menjampi dan meludahnya sebanyak tiga kali. Selepas itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah untuk ditempatkan di tapak semaian padi, agar padi subur dan selamat dari bencana.35

  6. Wujud juga pantang-larang berkenaan limau dalam kehidupan orang Melayu tradisional. Salah satu daripadanya ialah larangan membawa limau purut jika mandi di sungai, nanti dibaham buaya. Kononnya buaya amat marah dan mungkin mengganas kerana buah limau itu menyerupai bonjol di atas kepalanya dan berhubung kait pula dengan asal usul kejadiannya.36

Daun, bunga dan limau dengan sifat-sifat tertentu (misalnya daun bertemu urat dengan warna tertentu) dan bilangan tertentu (misalnya tujuh jenis bunga dipetik ketika pagi masih berembun), ditambah dengan mantera yang dibaca oleh bomoh akan mendatangkan ‘mana’ yang akan membawa manfaat yang diinginkan. Oleh yang demikian, unsur kepercayaan Dinamisme dalam amalan Mandi Bunga dapat dikesan apabila ramuan mandi yang telah mempunyai ‘mana’ tersendiri disatukan bagi membentuk gabungan ‘mana’ yang baru pula. Hasil daripada kewujudan ‘mana’ baru yang ‘lebih bertenaga’ ini, maka dipercayai kononnya ‘mana’ pada orang yang melakukan Mandi Bunga juga akan menjadi lebih kuat, berupaya menghalau segala sial dan sihir, serta mampu menarik lebih banyak tuah dan keuntungan.

Bau-bauan yang wangi dalam amalan Mandi Bunga ini juga dipersembahkan kononnya sebagai bahan pengorbanan kepada makhluk-makhluk halus yang akan membantu mengambil hati mereka.37 Maka apabila perbuatan ini dilakukan, makhluk halus yang jahat dan membawa sial akan meninggalkan diri pihak yang melaksanakan amalan Mandi Bunga itu. Makhluk halus yang baik pula dipercayai akan menggantikan tempat yang dikosongkan oleh makhluk halus yang jahat  tadi dan sekaligus membawa manfaat kepada pihak tersebut.

Seterusnya, sebab yang mungkin untuk individu yang menjalani upacara Mandi Bunga itu dilarang daripada membersihkan sendiri sisa mandiannya ialah kepercayaan ‘sial’ yang dikeluarkan itu sudah ‘tumpah’ ke sisa mandian. Sekiranya individu tersebut juga yang membersihkan sisa mandiannya maka ditakuti ‘sial’ itu  akan ‘hinggap’ semula, tuah yang dijemput akan lari dan apa yang dihajati tidak dicapai. Oleh yang demikian, orang lain pula yang biasanya akan ditugaskan untuk membersihkan sisa tersebut. Ada pula bomoh yang mensyaratkan sisa mandian itu dibungkus dahulu, sebelum ditanam atau dibuang di air yang mengalir dengan disertakan bacaan-bacaan yang tertentu pula.

Mandi turut merupakan salah satu ritual yang popular di kalangan penganut Hindu, misalnya mandi untuk menyucikan dosa-dosa di Sungai Ganges, atau mandi minyak bijan (nallenai) dan minyak jarak (vilakennai) pada pagi hari Deepavali.38 Oleh itu, wujud kemungkinan bahawa amalan Mandi Bunga ini juga berasal daripada saki-baki kepercayaan Hinduisme yang masih melekat dalam minda orang-orang Melayu tradisional.

Limau yang digunakan dalam amalan Mandi Bunga juga memiliki signifikan tersendiri dalam kepercayaan Hinduisme yang mana limau dipercayai dapat mengusir hantu dan syaitan. Dalam falsafah occultisme Hindu pula, bentuk limau yang bulat-bujur melambangkan dunia sebagai ‘chakra’ dalam sebuah makrokosmos. Justeru itu, satu varieti Kavadi yang diusung ketika perayaan Thaipusam turut melibatkan limau dengan set cangkuk-cangkuk besi yang tajam.

Satu set cangkuk terdiri daripada dua bilah cangkuk besi yang dihubungkan dengan seutas tali khas. Untuk tujuan ini, sebilah cangkuk akan dibenamkan menembusi kulit dan daging pembawa kavadi. Sebilah cangkuk lagi akan pula ditusukkan dengan buah limau nipis yang akan dibiarkan berjuntai, sambil berat limau itu akan menambahkan kesan kesakitan yang berpunca daripada benaman cangkuk yang pertama tadi.

Bau yang harum hasil mandian dapat mengusir pengaruh kejahatan dan menarik pengaruh kebaikan pada diri pelakunya.

Pengaruh Hinduisme dalam amalan Mandi Bunga turut dapat diperhatikan apabila amalan tersebut bertujuan menghasilkan aroma yang wangi. Penganut Hinduisme mempercayai bahawa bau yang harum dapat mengusir pengaruh kejahatan dan menarik pengaruh kebaikan pada diri pelakunya. Hakikat kepercayaan ini juga telah disebutkan dalam Epik Ramayana yang menyatakan:

“Apabila tempat yang sesuai telah ditemui, dan setelah tempat itu disediakan, semuanya menurut peraturan zaman bahari, maka Wasista dan pendita-pendita lainnya pun mulailah melakukan upacara-upacara korban tersebut. Bunyi mantera Veda iaitu syair suci memenuhi angkasa raya dan dari barang-barang korban itu timbullah suatu bau harum yang mengusir segala dosa-dosa Raja Dasarata apabila baginda menyedutnya.”39

Akhirnya, amalan Mandi Bunga ini diberikan solekan berupa bid‘ah agar ia dapat menampilkan wajah ‘Islam’. Mandi Bunga cuba dirasionalkan sebagai perbuatan yang ‘Islamik’ sebagaimana mandi junub, mandi kerana menganut Islam, mandi sunnah hari jumaat, mandi sunnah Hari Raya, dan mandi-mandi lain yang telah disyari’atkan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Situasi ini dapat dikesan apabila mantera yang dibaca dalam hampir semua ritual orang Melayu tradisional termasuklah Mandi Bunga, akan dimasukkan lafaz basmalah, dan diakhiri dengan syahadah dan salawat.40

Akhirnya, amalan Mandi Bunga yang berasal daripada kepercayaan kurafat agama lain diberi solekan Islamik dengan bacaan Basmalah, al-Fatihah, Selawat dan lain-lain.

Orang yang melakukan upacara Mandi Bunga pula akan disuruh berselawat, membaca surah-surah tertentu, malah ada yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema. Lebih mengelirukan lagi ialah apabila bomoh yang mengendalikan upacara tersebut berpesan pula “Allah sahajalah yang menolong awak, saya cuma berikhtiar”. Amalan Mandi Bunga telah disalahanggap sebagai suatu wasilah kepada ibadah ‘ikhtiar dan tawakkal’ dalam Islam. Maka tidaklah menghairankan apabila wujud juga varieti mandi untuk ‘membuang sial’ yang lain dalam kehidupan orang Melayu tradisional, seperti mandi tolak bala, mandi air selamat, mandi safar, mandi pengantin untuk bakal pengantin, mandi basuh lantai untuk ibu dan bayi yang baru dilahirkan, mandi bertabal untuk pertabalan raja yang baru dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, mandi dengan menggunakan sabun, shower gel dan shampo yang diperbuat daripada khasiat limau, bunga dan daun tertentu tidaklah menjadi masalah asalkan ia adalah untuk membersihkan badan dan bukan untuk member-sihkan sial dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, amalan mandi untuk kesihatan fizikal dengan semata-mata memanfaatkan khasiat limau, bunga dan daun tertentu tidaklah menjadi masalah. Meskipun begitu, apabila disertakan dengan kepercayaan atau amalan yang tidak selaras dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, amalan Mandi Bunga dapat bertukar menjadi perbuatan bid‘ah dan khurafat yang boleh membawa kepada syirik. Islam mengajar penganutnya bahawa tidak ada sial atau tuah pada masa-masa tertentu, serta tidak akan ada pula manfaat, mudarat dan karut-marut berkaitan dengan amalan tertentu. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, yang maksudnya:

“Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada larangan atau pantang pada bulan Safar dan tidak ada kecelakaan yang ditandai oleh suara burung malam.”41 Malah, kepercayaan dalam amalan Mandi Bunga ini juga boleh merosakkan keimanan seseorang itu terhadap Qada’ dan Qadar Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu kepada mana-mana pembaca yang mengingini kepada Mandi Bunga, tinggallah ia kerana ia tidak lain adalah campur aduk pelbagai amalan kurafat dan bid‘ah. Jika memiliki apa-apa hajat, caranya ialah bertaqwa kepada Allah dengan mentaati segala perintah larangan-Nya, kemudian berdoalah kepada-Nya.

 

 


28: Amran Kassimin - Istiadat Perkahwinan Melayu Yang Bukan Daripada Ajaran Islam (Dinie Publishers, K. Lumpur 1993), hlm. 34

29: O.K. Rahmat S.H. - Pencemaran Akidah Di Nusantara (Dewan Bahasa dan Pustaka 1983), hlm. 8

30: Winstedt, R.O. - Shaman, Saiva And Sufi: A Study Of The Evolution Of Malay Magic (Constable & Company Ltd., London 1925), hlm. 117

31: O.K. Rahmat S.H. - Pencemaran Akidah Di Nusantara, hlm. 11

32: A.Aziz Bidin & Aishah Muhammad - Kegunaan Tumbuh-tumbuhan dalam Nilai Budaya Masyarakat Desa: Kajian Etnografi Di Wang Kelian Perlis yang disunting oleh Wan Hashim Wan Teh & Ismail Hamid (Dewan Bahasa dan Pustaka 1998) hlm. 180

33: Syed Alwi Sheikh Al-Hadi - Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu (Dewan Bahasa dan Pustaka 1986), hlm. 41

34: Skeat, Walter William - Malay Magic: An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular (Frank Cass & Co. Ltd., London 1965), halaman 278

35: Amat Juhari Moain - Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Dengan Pertanian (Dewan Bahasa dan Pustaka 1990), hlm. 105

36: Wan Ramli Wan Muhammad & Hanapi Dollah - Pantang Larang Orang Melayu Tradisional (Utusan Publications & Distributors, K. Lumpur 1999), hlm. 59

37: Skeat, Walter William - Malay Magic: An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular, hlm.75

38: M. Rajantheran & S. Manimaran - Perayaan Orang India (Fajar Bakti, K. Lumpur 1994), hlm. 11-12

39: Hikayat Ramayana (edisi terjemahan oleh Daud Baharum.Oxford University Press, K. Lumpur 1963), hlm. 2

40: Haron Daud - Mantera Melayu: Analisis Pemikiran (Penerbitan USM, P. Pinang 2001)

41: Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5278 (Kitab al-Tibb)

 

© www.al-firdaus.com