Index Pengantar Risalah:- 01 02 03 04 05 06 07 08 09 10 11

Wahhabi Mengharamkan Zikir Sesudah Sembahyang?
oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (akob7[email protected])

 

Kehadiran Astora Jabat di dalam beberapa media cetak banyak menimbulkan kontroversi di kalangan umat Islam Malaysia. Dakwaan beliau kononnya ingin membuka minda umat Islam adalah sesuatu yang baik, akan tetapi sayang sekali Astora ibarat ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Isu-isu yang beliau bawa dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Majalah al-Islam sebenarnya bukanlah isu baru, ia adalah isu lama yang pernah diperjuangkan oleh aliran neo-muktazilah – yang kini juga dikenali sebagai Islam Liberal. Isu-isu tersebut telahpun dikupas dan dijawab oleh tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Namun Astora tetap ingin membuka semula isu-isu lama tersebut kerana menganggapnya baru kepada umat Islam Malaysia. Dalam erti kata lain, Astora bukanlah memberi pengetahuan yang benar kepada umat Islam Malaysia tetapi sekadar mempermainkan mereka dengan motto “ingin membuka minda.”

Dalam erti kata lain, Astora bukanlah memberi pengetahuan yang benar kepada umat Islam Malaysia tetapi sekadar mempermainkan mereka dengan motto “ingin membuka minda.”

 

Antara kontrovesi yang dicetuskan oleh Astora adalah kononnya aliran Wahhabi mengharamkan zikir selepas sembahyang. Beliau menulis dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22hb Ogos 2004:

Sesetengah ulama terutama dari puak Wahhabi mengharamkan orang Muslim berwirid selepas sembahyang kerana menganggapnya sebagai bidaah atau perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah.

Sepanjang kajian penulis, belum pernah lagi ditemui mana-mana aliran Islam yang mengharamkan zikir sesudah sembahyang. Hal ini tidak lain melambangkan kejahilan Astora sendiri. Siapa dan apa aliran Wahhabi tidak menjadi tumpuan penulis dalam artikel ini. Akan tetapi yang menjadi tumpuan ialah apa dan bagaimana sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam adab berzikir sesudah sembahyang. Memandangkan Astora telah membangkitkan isu ini, penulis ingin merebut peluang untuk mengupasnya dengan lebih lanjut.

Sepanjang kajian penulis, belum pernah lagi ditemui mana-mana aliran Islam yang mengharamkan zikir sesudah sembahyang. Hal ini tidak lain melambangkan kejahilan Astora sendiri.

 

Hukum zikir selepas sembahyang

Para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bersepakat bahawa berzikir selepas sembahyang termasuk salah satu daripada perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala berdasarkan firman-Nya:

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah (berzikir) semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
[surah al-Nisaa’ 4:103]

Barangsiapa yang melarang zikir selepas sembahyang maka bererti dia menafikan ayat Allah di atas.

 

Bacaan Zikir Selepas Sembahyang

Apabila kita bertemu dengan seseorang yang berasal daripada negara lain, kita tidak tahu apa ucapan dan adab yang akan membuatnya gembira dan yang akan membuatnya marah. Kita perlu mengkajinya terlebih dahulu daripada orang yang pakar tentang budaya negara tersebut.

Demikian juga, apabila kita sebagai seorang hamba hendak berzikir kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita tidak tahu bacaan apakah yang akan diredhai dan diterima oleh-Nya. Kita perlu mengikut tunjuk ajar seseorang yang telah diutus oleh Allah, iaitu Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Oleh perintah berzikir selepas sembahyang sebagaimana ayat di atas tidaklah terbuka kepada apa jua bacaan zikir tetapi perlu mengikut tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat menulis:

Zikir sesudah sembahyang yang wajib ialah satu bentuk zikir yang terikat dengan bilangan dan waktunya. Oleh kerana itu kita wajib mengikuti apa yang Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah ajarkan kepada kita dengan tidak membuat-buat atau menambah-nambah.
[al-Masaa-il (Darul Qolam, Jakarta 2003), ms. 175]

Untuk mengetahui bacaan-bacaan zikir selepas sembahyang, penulis mengesyorkan buku Zikir-Zikir Selepas Sembahyang Fardhu Sebagaimana Yang Diajarkan Dan Dilakukan Oleh Rasulullah yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

 

Tatacara berzikir selepas sembahyang

Sebagaimana bacaan zikir, tatacara zikir juga perlu mengikut petunjuk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa yang baik bagi kita, umpama zikir berirama, tidak semestinya baik bagi Allah dan begitulah sebaliknya. Para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berbeza pendapat dalam tatacara berzikir, adakah ianya dialunkan dengan kuat (jahr) secara beramai-ramai atau dibaca secara perlahan (sirr) secara seorang diri. Yang benar lagi mendekati sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah zikir secara perlahan dan bersendirian. Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

Bukan termasuk perbuatan sunnah apabila seseorang duduk selepas sembahyang untuk membaca zikir-zikir ataupun doa-doa yang ma’thur (yang disebutkan di dalam hadis) mahupun yang tidak ma’thur dengan suara yang kuat (jahr). Apalagi jika bacaan semacam itu dikerjakan secara bersama-sama sepertimana yang telah menjadi tradisi di beberapa daerah. Sayang sekali tradisi ini dipandang baik sehingga dianggap salah jika tidak diamalkan. Bahkan orang yang melarang dianggap sebagai orang yang melarang syi’ar agama.
[Majmu’ al-Fatawa (edisi terjemahan terbitan Pustaka Arafah, Solo 2002), jld. 2, ms. 375]

Bukan termasuk perbuatan sunnah apabila seseorang duduk selepas sembahyang untuk membaca zikir-zikir ataupun doa-doa yang ma’thur (yang disebutkan di dalam hadis) mahupun yang tidak ma’thur dengan suara yang kuat (jahr).

 

 

Hadis-hadis tentang berzikir selepas sembahyang

Jika kita mengkaji hadis-hadis selepas sembahyang, ia boleh dikategorikan kepada dua kelompok, yang pertama menerangkan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berzikir dengan suara yang kuat sehingga dapat didengar oleh para sahabat di belakang baginda. Kelompok yang kedua menerangkan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hanya berdiam selepas sembahyang, bererti baginda hanya berzikir secara perlahan dan bersendirian. Berikut dikemukakan sebahagian daripada hadis-hadis yang dimaksudkan, dinukil daripada buku Zikir-Zikir Selepas Sembahyang Fardhu oleh Hafiz Firdaus. Dua hadis daripada kelompok yang pertama:

A'ishah radhiallahu 'anha berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mengucapkan salam, baginda tidak duduk kecuali sekadar mengucapkan “Allahumma antas salam, wa min kas salam, tabarakta yadzal Jalali wal Ikram.”
[Sahih Muslim]

Abdullah ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Semasa zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, orang ramai berzikir dengan suara yang kuat selepas berakhirnya sembahyang berjemaah.”
[Sahih al-Bukhari]

Dua hadis daripada kelompok yang kedua:

Ummu Salamah radhiallahu ‘anha berkata: "Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila melakukan salam selepas sembahyangnya, kaum wanita berdiri setelah baginda menyelesaikan salamnya; sedangkan baginda diam di tempatnya sebentar.”
[Musnad al-Syafi'i]

Simak bin Harb radhiallahu ‘anha berkata, aku pernah bertanya kepada Jabir bin Samurah, "Pernahkah engkau duduk bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam?” Jabir menjawab: "Ya! Biasanya selepas sembahyang subuh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap duduk di tempat sembahyangnya hingga matahari naik. Pada saat itu biasanya para sahabat ada yang bercerita tentang kisah jahiliyah, ada yang membaca puisi nasihat  dan jika mereka sampai tertawa baginda ikut sama tersenyum.”
[Sunan an-Nasai]

Pada zahirnya kelihatan hadis-hadis daripada kelompok yang pertama dan kedua ini saling bercanggah. Atau mungkinkah ia masing-masing menunjukkan suasana yang berlainan? Untuk menjawab persoalan ini, penulis akan menukil penjelasan para tokoh dalam Mazhab al-Syafi’i. Kita mulakan dengan al-Imam al-Syafi’i sendiri rahimahullah. Dalam kitabnya al-Umm (edisi terjemahan terbitan Victorie Agency, Malaysia, 1989), jld. 1, ms. 295-297, beliau menjelaskan:

Saya (Imam al-Syafi'i) memandang baik bagi imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah sesudah keluar (selesai) daripada sembahyang. Kedua-duanya menyembunyikan zikir, kecuali jika dia adalah seorang imam yang harus orang belajar daripadanya. Allah Azza wa Jalla telah berfirman (dalam surah al-Israa' 17:110, bermaksud): “Dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya." Yakni - Allah sahaja yang Maha Mengetahui - ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri.

Saya (Imam al-Syafi'i) berpendapat bahawa yang diriwayatkan (tentang berzikir dengan kuat selepas sembahyang) daripada Ibnu Zubair adalah tahlil Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas adalah takbir sebagaimana yang kami (Imam al-Syafi'i) riwayatkan. Saya (Imam al-Syafi'i) berpendapat bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengeraskan sedikit suaranya, supaya manusia dapat belajar daripadanya. Yang demikian itu kerana umumnya riwayat yang kami (Imam al-Syafi'i) tuliskan bersama ini dan yang lainnya, tidak disebutkan padanya sesudah salam akan perbacaan tahlil dan takbir.

Adakalanya disebut bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berzikir sesudah sembahyang, dengan yang saya terangkan itu (secara kuat). Disebutkan juga perginya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada sembahyang tanpa zikir. Manakala Ummu Salamah menyebut berhentinya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sekejap sesudah sembahyang dan baginda tidak bezikir dengan keras (kuat). Saya (Imam al-Syafi'i) berpendapat bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak berhenti sekejap melainkan untuk berzikir dengan zikir yang tidak mengeraskan suara."

Demikianlah penjelasan al-Imam al-Syafi’i berkenaan hadis-hadis daripada kelompok pertama dan kedua di atas. Zikir secara kuat sebagaimana dalam hadis-hadis kelompok pertama hanya dalam suasana mengajar manakala zikir secara perlahan dan bersendirian sebagaimana dalam kelompok kedua adalah apabila orang ramai sudah mengetahui bacaan-bacaan zikir tersebut.

al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah mengulas lanjut daripada penjelasan di atas:

Imam al-Syafi'i memahami hadis ini (yakni hadis Ibnu Abbas yang menerangkan zikir secara kuat) bahwa mereka mengeraskan suara hanya beberapa waktu lamanya untuk mengajar sifat (cara) zikir, bukan bererti mereka terus menerus mengeraskan bacaan zikir. Pandangan yang terpilih adalah bahawa imam dan makmum sama-sama membaca zikir dengan suara perlahan kecuali bertujuan untuk mengajar zikir tersebut kepada orang-orang. [Fath al-Bari (edisi terjemahan terbitan Pustaka Azzam, Jakarta 2003), jld.  4, ms. 711]

Pandangan yang terpilih adalah bahawa imam dan makmum sama-sama membaca zikir dengan suara perlahan kecuali bertujuan untuk mengajar zikir tersebut kepada orang-orang. (Imam Ibn Hajar al-Asqalani).

 

Syaikh Abdul Qadir al-Mandili turut mengulas persoalan ini:

Berkata pengarang kitab Fath al-Mu’in, (iaitu sebuah kitab) Fiqh Al-Syafi‘iyyah, disunatkan berzikir dan berdoa dengan perlahan selepas selesai sembahyang. Dan katanya lagi, berkata guru kami bahawa menyaringkan keduanya (zikir dan doa) di dalam masjid boleh mengganggu orang yang sedang sembahyang (makmum masbuq dan orang yang sedang solat sunat) maka ianya adalah haram.
[Persoalan Yang Berkehendak Kepada Melaksanakan Untuk Mengatasi Dan Mengubah Adat-Adat Yang Berlaku Di Dalam Masyarakat Dengan Sangkaan Ibadat (Makkah al-Mukarramah 1423H)]

Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa tatacara berzikir selepas sembahyang adalah ia dibaca secara bersendirian dengan suara yang perlahan. Boleh berzikir dengan suara yang kuat jika bertujuan ingin mengajar jamaah bacaan-bacaan zikir. Akan tetapi perlu diingatkan bahawa bacaan yang hendak diajar perlu terdiri daripada apa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Selain itu berzikir dengan kuat tidak dilakukan secara berterusan kerana dibimbangi ia akan dianggap sebagai satu sunnah yang benar oleh masyarakat. Selain itu, perlu diperhatikan sama ada terdapat makmum masbuq atau yang sedang bersolat sunat agar kita tidak mengganggu mereka dalam rangka mengajar zikir kepada ahli jamaah.

 

Bagaimana dengan zikir di luar sembahyang?

Perbincangan kita di atas memberi tumpuan kepada zikir selepas sembahyang. Bagaimana pula dengan zikir di luar sembahyang, maksudnya zikir yang tidak terikat dengan selepas sembahyang? Sebenarnya tidak ada beza antara yang berkaitan dengan sembahyang atau tidak berkaitan dengan sembahyang. Bacaan zikir perlu berdasarkan ajaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan tatacara zikir adalah secara bersendirian dan perlahan juga.

Dalam surah al-A’raaf, ayat 205, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan sebutlah serta ingatlah (zikir) Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

Daripada ayat di atas jelas bahawa tatacara berzikir ialah (1) dalam hati dan mulut tanpa menyaringkan suara, (2) dengan merendahkan diri, (3) dengan perasaan takut, (4) dilakukan pada waktu pagi dan petang, dan (5) jangan lalai daripada berzikir, bermaksud – zikirlah sepanjang masa tanpa terhad kepada waktu pagi dan petang sahaja.

Ayat 205 surah al-A’raaf di atas berbentuk umum, merangkumi semua zikir tanpa mengira sama ada ia berkaitan dengan sembahyang atau tidak. Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam Ahmad bin Hanbal daripada Abu Musa al-‘Asya’ari radhiallahu ‘anh, dia berkata: Kami pernah bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau menurun di suatu lembah, kami mengeraskan suara bertakbir. (Mendengar yang sedemikian, baginda) mendekati kami seraya bersabda: “Wahai manusia, kasihanilah diri kalian, kerana kalian tidak berdoa kepada yang tuli dan tidak pula yang jauh. Sesungguhnya yang kalian seru lebih dekat kepada salah seorang di antara kalian daripada tengkuk untanya.”
[Abu Amsaka, Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham (Darul Falah, Jakarta 2003) ms. 113-114]

 

Beberapa alasan lain untuk berzikir dengan kuat

Sebenarnya tatacara berzikir secara perlahan dan bersendirian adalah sesuatu yang sedia diketahui oleh ramai orang, akan tetapi kebanyakan kita tetap memilih untuk berzikir secara kuat dan berjamaah. Orang ramai yang suka berzikir secara kuat dan berjamaah memiliki beberapa alasan untuk tetap berzikir secara kuat. Marilah kita menganalisa alasan-alasan tersebut.

 

Alasan Pertama:

Terdapat beberapa hadis lain yang menganjurkan zikir secara beramai-ramai dan berkumpulan, malah menggelarnya sebagai Majlis Zikir. Ini menunjukkan zikir dilakukan secara berjamaah dengan suara yang kuat.

Analisa:
Jika hadis-hadis tersebut adalah sahih, ia tetap tidak dapat dijadikan hujah kerana melakukan sesuatu secara beramai-ramai tidak semestinya bererti dengan suara yang kuat dan berjamaah di bawah pimpinan imam. Bukankah kita semua mendirikan sembahyang Zohor dan Asar secara berjamaah akan tetapi bacaan al-Fatiha dan surah-surah selepasnya dilakukan secara perlahan? Bukankah kita juga wukuf beramai-ramai di Padang Arafah dalam manasik haji akan tetapi pergerakan dan amalan kita semasa wukuf tidak dilakukan secara berjamaah di bawah pimpinan seorang imam?

Seandainya Allah menyukai zikir berirama, nescaya Dia akan mengkhabarkan kesukaan-Nya itu sama ada melalui al-Qur’an atau lisan Rasul-Nya Muhammad s.a.w. Namun Allah tidak pernah mengkhabarkan bahawa zikir berirama adalah menjadi kesukaan-Nya, maka siapakah kita yang berani menetapkan ia adalah kesukaan Allah?

 

Poin yang cuba penulis kemukakan ialah, tatacara beribadah tidak bersandar kepada tafsiran manusia tetapi kepada petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Hadis-hadis yang menganjurkan zikir beramai-ramai tidak menyentuh tatacaranya sama ada secara kuat atau perlahan, bersendirian atau jamaah. Dalil yang umum perlu difahami secara umum melainkan wujud petunjuk lain yang mengkhususkannya. Jika tidak ada petunjuk khusus, maka ia kembali kepada hukum asal dalam berzikir, iaitu dengan suara yang perlahan sepertimana dalam ayat 205 surah al-‘A’raaf, juga secara bersendirian kecuali jika ingin mengajar sepertimana yang telah dijelaskan di atas.

 

Alasan Kedua:

Zikir secara kuat dan berjamaah lebih memberi kesan yang baik kepada hati, lebih-lebih lagi jika ia diikuti dengan irama yang baik. Maka tidak ada salahnya melakukan sesuatu jika ia menghasilkan sesuatu yang baik.

Analisa:
Baik dan buruk bukan ukuran yang ditentukan oleh manusia tetapi ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Seandainya Allah menyukai zikir berirama, nescaya Dia akan mengkhabarkan kesukaan-Nya itu sama ada melalui al-Qur’an atau lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Namun Allah tidak pernah mengkhabarkan bahawa zikir berirama adalah menjadi kesukaan-Nya, maka siapakah kita yang berani menetapkan ia adalah kesukaan Allah?

Perlu ditekankan bahawa berzikir bukanlah untuk menyedapkan hati sendiri. Berzikir memang akan memberi kesan yang positif kepada hati, namun perlu dibezakan siapakah yang memberi kesan tersebut.

Perlu ditekankan bahawa berzikir bukanlah untuk menyedapkan hati sendiri. Berzikir memang akan memberi kesan yang positif kepada hati, namun perlu dibezakan siapakah yang memberi kesan tersebut. Jika yang memberi kesan positif adalah Allah maka hendaklah kita berzikir dengan cara yang diredhai-Nya. Apabila Allah meredhai zikir kita, maka Dia akan membalasnya dengan mengurniakan ketenteraman dalam hati kita. Akan tetapi jika yang memberi kesan positif ialah diri kita sendiri, maka lakukanlah apa sahaja asalkan jangan dijadikan kesyukuran (Alhamdulillah), pengagungan (Allahu Akbar), pemohonan ampun (Astaghfirulla) dan penyucian (Subhanallah) kepadaAllah sebagai alat untuk mencapai tujuan kita.

Maksud penulis, janganlah kita jadikan zikir sebagai sarana untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu selain daripada ikhlas kerana Allah. Ini adalah satu kesalahan yang besar. Jadikan zikir ikhlas semata-mata kerana ingin mengingati Allah, memuji-Nya, mensucikan-Nya, memohon keampunan-Nya dan mengagungkan-Nya. Lakukanlah zikir dalam hati dan mulut tanpa menyaringkan suara, dengan merendahkan diri disertai dengan perasaan takut pada waktu pagi dan petang serta selainnya.

Sesiapa yang mengkaji agama-agama lain di dunia, termasuk aliran-aliran yang timbul di sana-sini (cult) akan mendapati bahawa kebanyakannya tidak akan terpisah daripada memiliki amalan zikir berirama. Iramanya mungkin berbeza dari agama ke agama tetapi sebab ia berirama adalah sama, iaitu untuk memberi kesan yang positif kepada hati.

Sesiapa yang mengkaji agama-agama lain di dunia, termasuk aliran-aliran yang timbul di sana-sini (cult) akan mendapati bahawa kebanyakannya tidak akan terpisah daripada memiliki amalan zikir berirama. Iramanya mungkin berbeza dari agama ke agama tetapi sebab ia berirama adalah sama, iaitu untuk memberi kesan yang positif kepada hati. Apabila kita umat Islam berzikir secara berirama atas alasan untuk memberi kesan yang positif kepada hati, maka kita juga tidak berbeza dengan agama-agama buatan manusia tersebut.

Pihak Barat masa kini yang menyandarkan apa sahaja tragedi yang menimpa mereka sebagai “hasil tindakan pengganas al-Qaeda” padahal yang benar ia hanyalah untuk menutup kebingungan mereka tentang apa dan siapa yang berada di belakang tragedi tersebut. Maka tidak ada bezanya orang yang menuduh “itu amalan wahabi”, ia tidak lain adalah untuk menutup kebingungan dirinya sendiri.

 

Alasan Ketiga:

Berzikir secara perlahan adalah amalan golongan Wahhabi.

Analisa:
Ini adalah alasan yang lazim diberi oleh orang yang berada di dalam kebingungan dalam berhujah secara ilmiah dalam persoalan agama. Ia tidak ubah seperti pihak Barat masa kini yang menyandarkan apa sahaja tragedi yang menimpa mereka sebagai “hasil tindakan pengganas al-Qaeda” padahal yang benar ia hanyalah untuk menutup kebingungan mereka tentang apa dan siapa yang berada di belakang tragedi tersebut.

 

Daripada artikel yang serba ringkas ini, sama-sama dapat diperhatikan bahawa berzikir secara perlahan bukanlah amalan golongan Wahhabi tetapi adalah amalan yang ditegakkan oleh al-Qur’an, al-Sunnah dan para ilmuan Islam, khasnya di kalangan para tokoh Mazhab al-Syafi’i. Maka tidak ada yang memberi alasan “ini adalah amalan golongan Wahhabi” melainkan dia sendiri jahil tentang dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah serta para tokohnya.


 

© www.al-firdaus.com