Petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah

berkenaan

Haid, Istihadah dan Nifas.

 

Oleh: Syaikh Muhammad al-Shalih al-‘Utsaimin

 

al-Firdaus.Com

 

 
 

Kata Pengantar Penyunting :: Kata Pengantar Syaikh al-‘Utsaimin :: Makna Haid Dan Hikmahnya :: Masa Haid Dan Tempohnya

Perkara-Perkara Yang Berlaku Ketika Haid :: Hukum-Hukum Haid :: Istihadah Dan Hukum-Hukumnya

Nifas Dan Hukum-Hukumnya :: Hukum Penggunaan Ubat-Ubatan :: Kata Penutup

 

3 Perkara-Perkara Yang Berlaku Ketika Haid.

 

Bab ketiga ini membahas beberapa persoalan lanjut berkenaan haid:

 

 Pertama: Perbezaan masa haid.

Kadangkala berlaku perbezaan masa haid seorang wanita. Perbezaan ini wujud dalam dua bentuk:

  1. Tempoh mengalirnya bertambah atau berkurang daripada kebiasaan. Contohnya ialah seorang wanita yang kebiasaannya mengalami haid selama enam hari, tetapi berlarutan selama tujuh hari. Atau seorang wanita yang kebiasaannya mengalami haid selama tujuh hari, lalu dia suci dalam masa enam hari sahaja.[1]
  2. Permulaan masa mengalirnya (putaran haid) menjadi awal atau lambat daripada kebiasaan. Contohnya seorang wanita yang kebiasaannya datang haid pada akhir bulan, lalu dia melihat haid hanya datang pada awal bulan. Atau kebiasaannya datang haid pada awal bulan lalu dia hanya melihatnya di akhir bulan.

Sesungguhnya para ilmuan berbeza pendapat dalam dua kes di atas. Namun pendapat yang terkuat dan benar ialah apabila seorang wanita melihat darah mengalir keluar bererti dia haid dan apabila darah berhenti mengalir bererti dia suci (tidak haid). Penentuan ini tidak disyaratkan oleh perbezaan masa sama ada lebih lama atau singkat, sama ada lebih awal atau lewat. Dalil-dalil bagi hal ini telah dikemukakan dalam bab yang sebelumnya. Ini merupakan mazhab Imam al-Syafi’e rahimahullah dan dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah serta dikuatkan lagi oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 353:

Jika sesuatu perkara itu berlaku secara lazim dan memerlukan penjelasan (hukum-hukumnya), pasti akan dijelaskan (hukum-hukumnya) oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tanpa melengah-lengahkannya. Ini kerana sesuatu yang memerlukan penjelasan tidak boleh dilengah-lengahkan.

Para isteri Rasulullah dan selainnya memerlukan penjelasan akan persoalan ini pada setiap masa dan baginda tidak pernah lalai daripada memberikan penjelasan tentangnya.

Tidak pernah lahir daripada baginda sesuatu yang wujud secara lazim melainkan diikuti dengan penjelasannya, kecuali dalam persoalan darah istihadah.[2]

 

Kedua: Cecair yang kekuningan atau kekeruhan.

Kadangkala bagi seorang wanita mengalir keluar daripadanya cecair (discharge) yang:

  1. Berwarna kekuningan seperti air yang keluar akibat luka. Ini dikenali sebagai Sufrah.
  2. Berwarna kekeruhan antara kuning dan hitam. Ini dikenali sebagai Kudrah.

Sufrah atau Kudrah, jika ia mengalir keluar ketika sedang haid atau bersambungan di akhir masa haid, sebelum suci, maka ia dikategorikan sebagai haid dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum yang bersamaan dengan darah haid biasa.

Jika ia mengalir keluar secara terpisah daripada masa haid, yakni dalam masa suci, maka ia tidak dikategorikan sebagai haid.

 

Dalilnya adalah kenyataan Umm Athiah radhiallahu 'anha:

“Kami tidak mengira (cecair yang berwarna) kekeruhan  dan kekuningan (jika ia keluar) selepas suci sebagai apa-apa (yakni bukan haid).” [Sunan Abu Daud – no: 246 (Kitab al-Thaharah) dengan sanad yang sahih][3]

Imam al-Bukhari rahimahullah menyusun hadis ini dalam kitab sahihnya di bawah bab: Bab al-Sufrah dan al-Kudrah pada hari-hari selain haid. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya Fath al-Bari berkata:

al-Bukhari mengisyaratkan dengan demikian bertujuan menyelaraskan antara hadith ‘A’isyah (yang bermaksud): “sehingga kamu semua melihat sesuatu seperti benang putih”  dengan hadis Umm ‘Athiah di atas.

Hadis ‘A’isyah merujuk kepada seseorang yang melihat al-Sufrah dan al-Kudrah pada hari-hari haid, manakala hadis Umm ‘Athiah merujuk kepada hari-hari selain haid.

 

Hadith ‘A’isyah radhiallahu 'anha yang dimaksudkan adalah apa yang disebut oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya:

Sesungguhnya para wanita telah mengutus kepada ‘A’isyah bekas yang ada padanya kapas yang padanya ada al-Sufrah, maka ‘A’isyah menjawab:

“Jangan kamu semua segera (bersuci) sehingga kamu semua melihat sesuatu seperti benang putih (yang keluar selepas berhenti darah bercampur al-Sufrah tersebut).”

 

Ketiga: Haid yang terputus-putus.

Kadangkala juga seorang wanita menghadapi haid yang terputus-putus alirannya, di mana sehari dia didatangi haid manakala hari yang seterusnya tidak ada haid (selang sehari). Permasalahan ini terbahagi kepada dua kes yang berlainan:

  1. Jika ia berlaku secara berterusan, maka ia adalah darah istihadah dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum istihadah. (hukum-hukumnya akan dibahas dalam Bab 5 insya-Allah)
  2. Jika ia tidak berlaku secara berterusan, bahkan hanya sekali-sekala sehingga ada tempoh waktu suci yang jelas baginya. Bagi kes kedua ini, para ilmuan berbeza pendapat: Adakah sehari yang tidak keluar darah itu dikira suci atau dikira haid? Terhadap persoalan ini terdapat tiga pendapat yang dianggap kuat:[4]

 

Pendapat Pertama:

Ia dianggap sebagai “hari haid” dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum yang bersamaan dengan hari haid biasa.

Ini merupakan satu pendapat yang benar antara dua pendapat Imam al-Syafi’e[5] rahimahullah dan menjadi pilihan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Mazhab Abu Hanifah. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

  1. Selagi mana tidak kelihatan sesuatu seumpama benang putih pada satu hari yang tidak didatangi haid, ia tetap dianggap sebagai hari haid.
  2. Jika dikatakan satu hari yang tidak didatangi haid sebagai hari suci nescaya hari sebelum dan selepasnya adalah hari haid. Hal seperti ini tidak pernah diperkatakan orang.
  3. Jika dianggap satu hari yang tidak didatangi haid sebagai hari suci nescaya iddah al-Quru’ akan selesai dalam masa lima hari sahaja.[6]
  4. Jika dijadikan “satu hari” yang tidak didatangi haid sebagai hari suci pasti ia akan menimbulkan kesempitan dan kesusahan kerana wajib mandi pada setiap dua hari. Sesungguhnya kesempitan dan kesusahan adalah sesuatu yang dinafikan dalam syari’at ini, dan segala puji bagi Allah.

 

Pendapat Kedua:

Dalam tempoh masa selang sehari tersebut, jika darah mengalir keluar maka dianggap sebagai hari haid, jika tidak maka dianggap sebagai hari suci. Kecuali jika hal ini berlaku melebihi daripada bilangan hari-hari kebiasaan haid, maka ia dianggap sebagai darah istihadah.

Ini adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali.

 

Pendapat Ketiga:

Pendapat ketiga diberikan oleh Imam Ibn Qudamah rahimahullah dan ia merupakan jalan pertengahan antara dua pendapat yang pertama di atas. Beliau menulis di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 355:

(Bagi kes darah haid yang terputus-putus selang sehari), apabila ia berhenti mengalir dan belum genap satu hari (daripada saat berhentinya), seorang wanita itu tidak dikira suci. Ini berdasarkan riwayat yang telah kita sebut dalam perbahasan darah nifas, di mana ia tidak mengambil kira darah yang berhenti dalam tempoh yang belum genap sehari. Riwayat ini adalah sahih, insya-Allah.

Darah yang sekejap ia mengalir dan sekejap ia berhenti akan menyulitkan orang kerana perlu kerap kali mengulangi mandi wajib. Ini menyalahi firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78]

Maka atas ini tidaklah dikira suci darah yang berhenti mengalir keluar dalam tempoh yang belum genap sehari. Kecuali jika kelihatannya tandanya yang jelas, seperti ia kering di akhir hari secara kebiasaannya atau ia melihat keluar (sesuatu seumpama) benang putih (barulah dikira suci).[7]

 

 Keempat: Darah haid yang tidak mengalir.

Jika darah haid tidak mengalir, seperti menjadi kering atau hanya lembab, maka hukumnya terbahagi kepada dua kes:

  1. Jika ia berlaku ketika sedang haid atau atau bersambungan di akhir masa haid, sebelum suci, maka ia dikategorikan sebagai haid (dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum yang bersamaan dengan darah haid biasa).
  2. Jika ia berlaku selepas haid, yakni dalam masa suci, maka ia tidak dikategorikan sebagai haid.

Hukum bagi kedua-dua kes ini adalah sebagaimana kes cecair kekuningan atau kekeruhan yang telah dibahas di atas.

 


 

[1]           Atau  boleh sahaja berbeza-beza sehingga menjadi lebih lama atau lebih singkat antara satu masa haid dengan masa haid yang lain (penyunting).

[2]           Maksudnya, persoalan haid adalah persoalan yang lazim bagi para isteri dan wanita di zaman baginda. Persoalan-persoalan ini memerlukan penjelasan yang terperinci daripada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Alhamdulillah, baginda telah menjelaskannya secara terperinci dan telah sampai kepada kita dalam kitab-kitab hadis.

Justeru seandainya wujud sesuatu persoalan dalam bab haid ini yang tidak diperjelaskan oleh baginda, bererti ia sememangnya tidak memerlukan penjelasan. Kes perbezaan masa haid adalah antara perkara yang lazim berlaku yang tidak diperjelaskan oleh Rasulullah, bererti ia tidak memiliki apa-apa hukum khusus yang berbeza dengan yang umum.

Hukum umum yang dimaksudkan adalah: Apabila seorang wanita melihat darah mengalir keluar bererti dia haid dan apabila darah berhenti mengalir bererti dia suci (tidak haid) tanpa dipengaruhi oleh perbezaan masanya. (penyunting)

[3]           Juga disahihkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 119. (penyunting)

[4]           Di sini Syaikh al-Utsaimin rahimahullah mengemukakan 3 pendapat tanpa menerangkan yang manakah yang lebih kuat atau  benar. Ini bererti di sisi beliau ketiga-tiga pendapat ini adalah sama-sama benar. Para pembaca boleh mengamalkan salah satu daripadanya. Setiap satu daripadanya adalah benar dan tidaklah ia saling membatal antara satu sama lain. (penyunting)

[5]           Ini kerana beliau memiliki dua pendapat: Qaul Qadim dan Qaul Jadid. (penyunting)

[6]           Yakni tempoh iddah bagi seorang wanita yang diceraikan ialah tiga kali suci. Jika dijadikan tempoh masa bagi haid dan suci ialah selang sehari, nescaya waktu iddah ini akan berakhir dalam masa lima hari sahaja. (penyunting)

[7]           Maksudnya seorang wanita jangan menganggap dirinya telah suci daripada haid melainkan dengan dua petunjuk:

1.       Haid sudah berhenti dan wujud tanda-tanda yang jelas bahawa tempoh haid sudah berakhir. Ini lazimnya merujuk kepada kes haid yang normal.

2.       Haid sudah berhenti akan tetapi tidak wujud tanda yang jelas bahawa tempoh haid akan berakhir. Malah wujud kemungkinan ia akan mengalir semula. Ini merujuk kepada kes haid yang terputus-putus atau selang sehari. Maka tunggulah sehingga genap sehari, jika tiada lagi darah mengalir pada esoknya maka barulah pasti tempoh haid sudah berakhir. (penyunting)

 

Kata Pengantar Penyunting :: Kata Pengantar Syaikh al-‘Utsaimin :: Makna Haid Dan Hikmahnya :: Masa Haid Dan Tempohnya

Perkara-Perkara Yang Berlaku Ketika Haid :: Hukum-Hukum Haid :: Istihadah Dan Hukum-Hukumnya

Nifas Dan Hukum-Hukumnya :: Hukum Penggunaan Ubat-Ubatan :: Kata Penutup