KETUJUH : HADIS MADINAH AL-'ILM

 

Masyhur disebut sebuah hadis yang berbunyi:

Saya adalah kota ilmu sedangkan ‘Ali adalah pintunya, sesiapa yang hendak memasuki kota (ilmu) maka masuklah melalui pintunya.

Ini adalah sebuah hadis yang masyhur termasuk di kalangan Ahl al-Sunnah di Malaysia. Malah ada yang menjadikannya sebagai tema nasyid dan sebagainya. Di sisi Syi‘ah, hadis di atas adalah salah satu hujah mereka untuk menegakkan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh sebagai khalifah yang hak selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Marilah kita mengkaji hujah mereka diikuti dengan jawapannya oleh Ahl al-Sunnah.

 

 HUJAH SYI‘AH                                              

Penjelasan Muhammad Mar’i al-Amin sekali lagi menjadi rujukan tentang bagaimana Syi‘ah menjadikan Hadis Madinah al-‘Ilm sebagai hujah kekhalifahan ‘Ali:[1]

Tertegaknya khalifah Amiru l-Mukminin Ali AS selepas Rasulullah SAWAW secara langsung dengan hadith: Aku adalah bandar ilmu dan Ali adalah pintunya di samping dalil-dalil akal dan naqliyyah kerana Rasulullah SAWAW telah menjadikan Ali sebagai pintu bandar ilmu yang didatangi oleh penuntut-penuntut ilmu dari segenap pelusuk dunia. Dan Nabi SAWAW tidak pernah mewakilkan urusan ini selain daripada Ali, kerana orang lain tidak mempunyai kelayakan untuk memikul bebanan yang berat dan besar di mana kejayaan ummat terletak di atasnya.

 

JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            

 DARJAT HADIS MADINAH AL-‘ILM.

Flowchart: Document: Hadis Madinah al-‘Ilm tidak pernah mendapat kedudukan yang “sabit” di sisi para ilmuan Islam. Yang benar terdapat dua kategori para ulama’ Islam yang berinteraksi dengan Hadis Madinah al-‘Ilm.
Ini adalah sebuah hadis yang masyhur di lisan orang ramai, namun diperselisihkan darjatnya di kalangan ahli hadis. Ada yang berkata ianya sahih, ada yang berkata ianya hasan, ada yang berkata ianya dha‘if dan ada yang berkata ianya maudhu’. Berkata al-Hafiz Abu Sa‘id al-‘Alaiy (العلائي): “Yang benar ianya hasan berdasarkan jalan-jalan periwayatannya, tidak sahih dan tidak dha‘if, lebih utama daripada darjat maudhu’.”

          Berkata Muhammad Mar’i al-Amin ketika cuba membenarkan Hadis Madinah al-‘Ilm:[2]

Hadith ini adalah di antara hadith-hadith yang sabit di sisi para ulama Islam secara langsung daripada para penghafal hadith, pakar-pakar sejarah dan sirah. Dan pemindahannya adalah secara mutawatir daripada para ulama Islam dari berbagai-bagai pihak di setiap masa.

Ini adalah kata-kata yang dusta kerana Hadis Madinah al-‘Ilm tidak pernah mendapat kedudukan yang “sabit” di sisi para ilmuan Islam. Yang benar terdapat dua kategori para ulama’ Islam yang berinteraksi dengan Hadis Madinah al-‘Ilm:

1.      Mereka yang bukan dari kalangan ahli hadis lagi tidak teliti dalam memerhatikan maksudnya. Lalu mereka mencatitkan hadis ini di dalam kitab mereka tanpa meneliti kecacatan sanadnya mahupun memerhatikan kerosakan maksudnya.

2.      Mereka yang dari kalangan ahli hadis dan ahli peneliti (muhaqqiq). Mereka mencatit hadis ini di dalam kitab mereka dalam rangka menerangkan kecacatan sanadnya dan kerosakan maksudnya.

Flowchart: Document: Sekalipun mungkin ia memi-liki sanad yang hasan ber-dasarkan jalan-jalan peri-wayatannya, Hadis Madinah al-‘Ilm tetap tertolak dari sudut maksudnya. Lebih tepat, ia bukanlah hujah ke atas kekhalifahan ‘Ali mahupun keutamaannya.
Penulis tidak akan memberatkan para pembaca sekalian dengan penelitian terhadap jalan-jalan periwayatan Hadis Madinah al-‘Ilm dan kecacatan-kecacatan yang terkandung di dalamnya. Ini kerana sekalipun mungkin ia memiliki sanad yang hasan berdasarkan jalan-jalan periwayatannya, ia tetap tertolak dari sudut maksudnya. Lebih tepat, ia bukanlah hujah ke atas kekhalifahan ‘Ali mahupun keutamaannya. Bagi penelitian terhadap jalan-jalan periwayatan Hadis Madinah al-‘Ilm, sila mengkaji rujukan-rujukan berikut:

1.      al-Mustadrak  oleh al-Hakim - hadis no: 4637, 4638, 4639 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ‘Ali) diikuti dengan penilaian semula oleh al-Zahabi di dalam al-Talkish..

2.      al-Maudhu‘at oleh Ibn al-Jauzi (597H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995), jld. 1, ms. 261 dan seterusnya (Bab berkenaan keutamaan ‘Ali, hadis kesepuluh).

3.      al-Laliy al-Mantsurah fi al-Ahadits al-Masyhurah oleh al-Zarkasyi (794H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1996) – hadis no: 151.

4.      Ajwabah al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ‘an Ahadits al-Mashabih oleh Ibn Hajar al’Asqalani (852H), dicetak bersama kitab Misykat al-Mashabih li al-Tabrizi yang ditahqiq oleh al-Albani (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), jld. 3, ms. 1773 dan seterusnya.

5.      al-Maqashid al-Hasanah oleh al-Sakhawi (902H) (Maktabah al-Khanaji, Kaherah, 1991) – hadis no: 189.

6.      al-Durr al-Muntatsirah fi al-Ahadits al-Musytahirah oleh al-Suyuthi (911H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995) – hadis no: 132.

7.      al-Laliy al-Mashnu‘ah fi al-Ahadits al-Maudhu‘ah oleh al-Suyuthi (911H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 1, ms 301 dan seterusnya.

8.      al-Fawa’id al-Maudhu‘ah fi al-Ahadits al-Maudhu‘ah oleh al-Karmiyyi (1032H) (Dar al-Warraq, Riyadh, 1998) – hadis no: 57.

9.      Kasyf al-Khafa’ oleh al-Ajluni (1162H) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997) – hadis no: 618 (bab huruf Hamzah bersama Nun).

10.  Fath al-Mulk al-‘Aliy bi Shahah Hadits Babu Madinah al-‘Ilm ‘Ali oleh Ahmad Shiddiq al-Ghumari.

11.  Silsilah al-Ahadits al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 2000) – hadis no: 2955.

12.  Mausu‘ah al-Ahadits wa al-Atsar al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah oleh ‘Ali Hamid bin ‘Ali al-Halabi (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1999) – hadis no: 6240-6252.

 

 MAKSUD HADIS MADINAH AL-‘ILM.

Flowchart: Document: Perkataan “…maka masuklah melalui pintunya” menunjuk-kan cara untuk mendapatkan ilmu Rasulullah adalah mela-lui ‘Ali. Ini jelas tidak benar kerana sama-sama diketahui bahawa ilmu Rasulullah – yakni risalah Islam – telah kita perolehi daripada semua sahabat tanpa terhad kepada ‘Ali.
Sebagaimana yang penulis sebut di atas, Hadis Madinah al-‘Ilm adalah sebuah hadis yang tertolak dari sudut maksudnya. Ia sama sekali bukan hujah ke atas kekhalifahan ‘Ali mahupun keutamaan beliau. Sebabnya:

 

Pertama:

Apabila dikatakan Saya adalah kota ilmu sedangkan ‘Ali adalah pintunya, sesiapa yang hendak memasuki kota (ilmu) maka masuklah melalui pintunya”, ia menunjukkan seolah-olah cara untuk mendapatkan ilmu daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah melalui ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh sahaja. Ini kerana perkataan “…maka masuklah melalui pintunya” menunjukkan cara untuk mendapatkan ilmu Rasulullah adalah melalui ‘Ali.

Ini jelas tidak benar kerana sama-sama diketahui bahawa ilmu Rasulullah – yakni risalah Islam – telah kita perolehi daripada semua sahabat radhiallahu 'anhum tanpa terhad kepada ‘Ali. Al-Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah telah dihafal dan dicatit oleh ramai sahabat tanpa terhad kepada ‘Ali. Al-Sunnah yang diajar, dipraktik dan diiktiraf oleh Rasulullah juga diriwayatkan oleh semua sahabat tanpa terhad kepada ‘Ali.

Flowchart: Document: Hadis Madinah al-‘Ilm tidak menunjukkan keilmuan ‘Ali. Malah ia sebenarnya menun-jukkan ketiadaan ilmu pada ‘Ali. Ini kerana jika diper-hatikan benar-benar hadis tersebut, ‘Ali bukanlah ilmu akan tetapi hanya pintu kepada ilmu. Ini dapat diibaratkan sebagai sebuah universiti di mana ‘Ali hanyalah pintu gerbang kepada jalan yang menuju kepada universiti tersebut.
Lebih dari itu dalam banyak hadis yang sahih, diterangkan apabila para sahabat memiliki kemusykilan di dalam sesuatu perkara, mereka bertanya terus kepada Rasulullah tanpa melalui ‘Ali.

Malah terdapat beberapa jenis ilmu yang tidak diketahui oleh ‘Ali, yakni merujuk kepada ilmu hukum-hukum kewanitaan, hukum-hukum bersetubuh antara suami isteri dan ibadah baginda di dalam rumah seperti solat malam. Semua ini hanya diketahui oleh para isteri baginda radhiallahu 'anhum.

 

Kedua:

Hadis Madinah al-‘Ilm tidak menunjukkan keilmuan ‘Ali radhiallahu 'anh. Malah ia sebenarnya menunjukkan ketiadaan ilmu pada ‘Ali. Ini kerana jika diperhatikan benar-benar hadis tersebut, ‘Ali bukanlah ilmu akan tetapi hanya pintu kepada ilmu. Ini dapat diibaratkan sebagai sebuah universiti di mana ‘Ali hanyalah pintu gerbang kepada jalan yang menuju kepada universiti tersebut. Sudah pasti ilmu tidak terletak pada pintu gerbang tetapi terletak pada universiti itu sendiri.

Setiap pembaca yang meneliti Hadis Madinah al-‘Ilm secara adil akan mendapati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak sekali-kali akan merendahkan ‘Ali radhiallahu 'anh dengan kata-kata sedemikian. Seandainya Rasulullah ingin menerangkan ketinggian ilmu ‘Ali, pasti baginda akan bersabda dengan sesuatu yang jelas-jelas menunjukkan keilmuan ‘Ali, umpama: “Aku dan ‘Ali adalah kota ilmu.”

 

Ketiga:

Hadis Madinah al-‘Ilm bukan sahaja menunjukkan ketiadaan ilmu ‘Ali radhiallahu 'anh tetapi juga menghina ‘Ali sebagai sesuatu yang tidak memiliki apa-apa manfaat.

Hal ini akan dapat difahami dengan merujuk kembali kepada contoh universiti dan pintu gerbangnya. Pintu tersebut hanya akan diguna oleh orang ramai untuk keluar masuk jika universiti yang berada di dalamnya masih berperanan menyampaikan ilmu. Jika universiti tersebut tidak lagi berperanan menyampaikan ilmu sehingga ia dikosongkan atau dirobohkan, orang ramai tidak lagi akan keluar masuk melalui pintu gerbangnya. Maka tinggallah pintu gerbang tersebut sebagai sesuatu yang tidak memiliki apa-apa manfaat kepada manusia.

Flowchart: Document: Sejak awal ‘Ali hanyalah “pintu” dan bukannya pe-nuntut kepada “kota ilmu” yang utama. Oleh itu ‘Ali tidak pernah lulus dari-pada “kota ilmu”. Apabila “kota ilmu” telah tiada, tinggallah ‘Ali sebagai sebuah pintu yang tidak lagi dimanfaatkan oleh sesiapa.
Kembali kepada Hadis Madinah al-‘Ilm, “kota ilmu” yang diumpamakan sebagai diri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya akan bermanfaat jika baginda masih hidup menyampaikan ilmu – yakni risalah Islam. Apabila risalah Islam telah disempurnakan dan Rasulullah wafat, peranan “kota ilmu” telah selesai. Malah kewafatan baginda dapat diumpamakan sebagai “kota ilmu” yang telah dikosongkan atau dirobohkan. Tinggallah ‘Ali sebagai “pintu” kepada sebuah kota yang sudah tiada.

 

Keempat:

Setelah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat, para sahabat radhiallahu 'anhum bersungguh-sungguh menyampaikan risalah Islam kepada generasi seterusnya. Di antara mereka ada yang tinggal di Madinah manakala selainnya bertebaran ke wilayah-wilayah yang lain. Sama ada di Madinah atau di tempat lain, para sahabat kini bertindak sebagai “kota ilmu yang baru” setelah sebelumnya lulus cemerlang daripada “kota ilmu” yang utama, iaitu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Flowchart: Document: Para tokoh Ahl al-Sunnah menolak Hadis Madinah al-‘Ilm bukan kerana dengki kepada ‘Ali atau meragui keil-muan beliau, akan te-tapi kerana hadis itu sendiri yang menghina ‘Ali dan menafikan beliau daripada apa-apa nilai ilmu.
Sayang sekali hal yang sama tidak dapat dikatakan kepada ‘Ali radhiallahu 'anh. Sejak awal beliau hanyalah “pintu” dan bukannya penuntut kepada “kota ilmu” yang utama. Oleh itu ‘Ali tidak pernah lulus daripada “kota ilmu” yang utama. Apabila “kota ilmu” yang utama telah tiada, tinggallah ‘Ali sebagai sebuah pintu yang tidak lagi dimanfaatkan oleh sesiapa. ‘Ali tidak dapat menjadi “kota ilmu yang baru” sebagaimana para sahabat yang lain kerana beliau pada asalnya tidak pernah lulus daripada “kota ilmu” yang utama.

Empat sebab di atas menjadi faktor kenapa Hadis Madinah al-‘Ilm adalah tertolak dari sudut maksudnya di sisi para tokoh Ahl al-Sunnah. Sungguh tidak mungkin Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menghina ‘Ali bin Abi Thalib seumpama Hadis Madinah al-‘Ilm. Maka kerana itulah sebahagian tokoh Ahl al-Sunnah yang teliti dalam bab ini telah menghukum ia sebagai sebuah hadis yang palsu (maudhu’). Ditarik benang merah, bahawa para tokoh Ahl al-Sunnah telah menolak Hadis Madinah al-‘Ilm bukan kerana dengki kepada ‘Ali atau meragui keilmuan beliau, akan tetapi kerana hadis itu sendiri yang menghina ‘Ali dan menafikan beliau daripada apa-apa nilai ilmu.

Adapun dalam konteks kekhalifahan, Hadis Madinah al-‘Ilm bukanlah hujah yang mengangkat ‘Ali radhiallahu 'anh sebagai khalifah yang hak tetapi justeru menafikan beliau daripada jawatan tersebut. Ini kerana tidak ada orang yang sihat pemikirannya yang akan menerima seorang “pintu” sebagai khalifah yang memimpin umat Islam.

Sungguh menghairankan bagaimana para tokoh Syi‘ah dan para pengikut mereka boleh menghina ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh dengan Hadis Madinah al-‘Ilm. Dalam kesungguhan mereka untuk menetapkan hak khalifah pada diri ‘Ali dan Ahl al-Baitnya radhiallahu 'anhum, Syi‘ah sanggup memperalatkan apa jua dalil yang mereka temui, yang dapat dipaksa-paksa maksudnya ke arah kekhalifahan ‘Ali. Padahal dengan sedikit penelitian yang mudah, akan didapati bahawa Hadis Madinah al-‘Ilm adalah sebuah hadis yang merendah dan menghina ‘Ali, malah menafikan beliau daripada jawatan khalifah.

 

Rounded Rectangle: Kesimpulan:
ü          Hadis Madinah al-‘Ilm sebenarnya menghina ‘Ali bin Abi Thalib sebagai seorang yang tidak berilmu lagi tidak bermanfaat kepada orang ramai. Sungguh tidak mungkin ia berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
ü          Para tokoh Ahl al-Sunnah menolak Hadis Madinah al-‘Ilm bukan kerana dengki kepada ‘Ali mahupun meragui keilmuan beliau tetapi kerana membela beliau daripada kehinaan yang terkandung dalam hadis tersebut.

 

 

 

 

 

 

 


 

[1]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith Madinah al-‘Ilm). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 161.

[2]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith Madinah al-‘Ilm). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 153.

 

Kata Pengantar

 

Pertama:

Hadis al-Ghadir

 

Kedua:

Hadis al-Tsaqalain

 

Ketiga:

Hadis 12 Khalifah

 

Keempat:

Hadis al-Manzilah

 

Kelima:

Hadis al-Safinah

 

Keenam:

Hadis al-Dar

 

Ketujuh:

Hadis Madinah al-’Ilm

 

Kata Penutup

www.al-firdaus.com