KATA PENUTUP

 

Alhamdulillah, selesailah perbahasan ke atas tujuh buah hadis yang paling masyhur di sisi Syi‘ah yang mereka jadikan dalil dan hujah ke atas kekhalifahan ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu 'anhum. Perbahasan kita dapat dirumuskan sebagai berikut:

1.      Hadis Ghadir Khum, al-Tsaqalain dan al-Manzilah hanya berperanan menerangkan keutamaan Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum, tidak lebih dari itu. Ia tidak berperanan menetapkan hak kekhalifahan ke atas mereka.

2.      Di antara semua sahabat, orang yang paling memahami Hadis Ghadir Khum, al-Tsaqalain dan al-Manzilah adalah ‘Ali bin Abi Thalib. Akan tetapi kita tidak pernah mendapati beliau menggunakannya sebagai dalil mahupun hujah untuk menetapkan hak khalifah pada dirinya. Yang mempergunakan hadis-hadis tersebut hanyalah para tokoh Syi‘ah beberapa dekad selepas kewafatan ‘Ali radhiallahu 'anh.

3.      Hadis 12 Khalifah tidak ada kaitan langsung dengan doktrin 12 Imamah yang menjadi salah satu asas Syi‘ah.

4.      Hadis al-Safinah, al-Dar dan Madinah al-‘Ilm bukan sahaja lemah dari sudut sanad tetapi menghina ‘Ali dan Ahl al-Baitnya dari sudut maksud. Hadis al-Safinah memperkayukan Ahl al-Bait menjadi bahtera, Hadis al-Dar menjadikan ‘Ali pengkhianat kepada amanah Rasulullah manakala Hadis Madinah al-‘Ilm memperbodohkan ‘Ali umpama sebuah pintu.

Dengan ini berakhirlah siri buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah yang disusun oleh penulis. Sebelum ini penulis merancang untuk menyambung ke Siri Keempat yang memberi tumpuan kepada menjawab peristiwa-peristiwa sejarah yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah. Namun – alhamdulillah – penulis telah menemui sebuah buku yang bukan sahaja menepati rancangan tersebut tetapi melebihinya. Buku tersebut ditulis oleh Syaikh ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Qadir al-Taliri, diterjemah oleh Mohd. Amin Yaacob, disunting oleh Hafiz Firdaus dan diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru di atas judul Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan Keutamaan dan Sejarah Para Sahabat.

Buku ini memiliki dua perbahasan utama. Pertama ia menerangkan keutamaan sahabat secara umum, diikuti dengan keutamaan empat sahabat secara khusus yakni Abu Bakar, ‘Umar, Utsman dan ‘Ali radhiallahu 'anhum. Ini adalah penting memandangkan Syi‘ah lazimnya hanya memaparkan keutamaan ‘Ali dan menyembunyikan keutamaan, malah menghina, para sahabat yang lain.

Kedua, ia menjawab tuduhan-tudahan Syi‘ah ke atas beberapa peristiwa sejarah yang berlaku di kalangan para sahabat. Di antaranya:

1.      Tindakan ekspedisi Usamah bin Zaid yang kembali ke Madinah apabila mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadi gering kerana ingin menahan jawatan khalifah daripada jatuh ke tangan ‘Ali.

2.      Tindakan para sahabat yang tergesa-gesa berjumpa di dewan Bani Sa‘idah dengan meninggalkan ‘Ali untuk melantik Abu Bakar.

3.      Suasana hiruk pikuk yang berlaku di dewan Bani Sa‘idah.

4.      Abu Bakar merampas Tanah Fadak daripada Fathimah. Ini menimbulkan kemarahan kepada Fathimah sehingga apabila beliau meninggal dunia, beliau dikebumikan senyap-senyap pada malam hari.

5.      Tindakan ‘Ali yang tidak membai‘ah Abu Bakar kecuali setelah beberapa bulan.

6.      Tindakan ‘Umar al-Khaththab yang melarang hajat Rasulullah untuk menulis wasiat perlantikan ‘Ali di akhir hayat baginda.

7.      Hadis yang menerangkan para sahabat akan dihalang daripada Telaga Haudh pada Hari Akhirat nanti.

Silalah mengkajinya.

Diakhiri Kata Penutup ini dengan doa agar Allah Subhanahu wa Ta‘ala sentiasa memelihara agama Islam dan umatnya daripada arus-arus yang melanggarnya daripada pelbagai arah. Didoakan agar akan lahir lebih ramai ilmuan Islam yang bersungguh-sungguh melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar demi membela agama dan umat. Pada waktu yang sama diharapkan agar umat Islam sendiri sentiasa rajin menuntut ilmu agar dengan itu mereka sendiri tidak mudah terikut dengan arus-arus tersebut.

Khusus kepada siri buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah yang disusun oleh penulis, didoakan agar
ia menepati tujuan penulisannya. Malah diharapkan buku-buku penulis dalam
siri ini hanyalah titik permulaan kepada terhasilnya lebih banyak buku
dalam subjek yang sama dengan nilai ilmiah yang lebih baik.

 

Kata Pengantar

 

Pertama:

Hadis al-Ghadir

 

Kedua:

Hadis al-Tsaqalain

 

Ketiga:

Hadis 12 Khalifah

 

Keempat:

Hadis al-Manzilah

 

Kelima:

Hadis al-Safinah

 

Keenam:

Hadis al-Dar

 

Ketujuh:

Hadis Madinah al-’Ilm

 

Kata Penutup

www.al-firdaus.com