13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian T a u h i d

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Sebuah Catatan.

 

Orang yang meyakini atau melakukan sesuatu yang mencemari kemurnian tauhid tidaklah dihukum sebagai orang musyrik secara serta merta. Manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah menghukum pada perbuatan, tidak pada pembuatnya. Ini kerana orang yang membuatnya mungkin:

 

1.      Tidak tahu bahawa ia adalah satu kesalahan.

2.      Terkeliru antara betul dan salah.

3.      Terpaksa melakukannya.

 

Sebagai contoh, orang yang memakai tangkal tidak boleh dihukum sebagai orang musyrik secara serta merta. Ini kerana mungkin dia tidak tahu memakai tangkal adalah satu kesalahan, atau dia terikut-ikut dengan amalan orang ramai yang membolehkan memakai tangkal atau dia disuruh oleh ibubapanya untuk memakai tangkal. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepada dia bahawa memakai tangkal adalah salah satu perkara yang mencemari kemurnian tauhid tanpa menghukum dia sebagai orang yang musyrik.

 

Dengan itu ingin digariskan bahawa buku ini tidak bertujuan menghukum sesiapa sebagai orang musyrik. Tujuannya adalah menerangkan perbuatan yang mencemari kemurnian tauhid tanpa menghukum sesiapa sebagai orang musyrik.

 

Catatan ini adalah penting kerana ramai di kalangan umat Islam yang tidak mampu membezakan antara perbuatan dan pembuatnya, sehingga menganggap kedua-duanya adalah sama. Perkara ini juga berlaku kepada urusan yang lain. Contohnya, apabila melihat seseorang minum arak, tidak boleh menghukumnya sebagai orang kafir. Ini kerana mungkin dia tidak tahu bahawa minum arak adalah satu larangan agama, atau dia tidak sedar bahawa apa yang sedang diminumnya adalah arak atau dia dalam suasana amat dahaga sehingga terpaksa minum apa jua yang ditemuinya. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepadanya bahawa minum arak adalah larangan agama tanpa menghukumnya sebagai orang kafir.

 

Contoh kedua, apabila mendapati sebuah syarikat yang tidak mengamalkan syari‘at Islam dalam pengurusan mereka, tidak boleh menghukum pihak pengurus dan warga kerjanya sebagai kafir. Ini kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa syari‘at Islam turut meliputi cara pengurusan syarikat, atau mereka terkeliru dalam cara penerapan syari‘at Islam, atau mereka dihalang oleh para pemegang saham daripada melaksanakan syari‘at Islam dalam pengurusan syarikat. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepada mereka, termasuk para pemegang saham, bahawa syari‘at Islam meliputi cara pengurusan syarikat tanpa menghukum mereka sebagai orang kafir.

 

Contoh lain, apabila mendapati seorang yang sedang berpuasa sunat bulan Rejab, tidak boleh menghukumnya sebagai ahli bid‘ah yang bakal menduduki neraka. Ini kerana mungkin dia tidak tahu bahawa semua hadis fadilat Rejab adalah dha‘if, atau dia terkeliru dengan pendapat orang ramai bahawa konon boleh mengamalkan hadis dha‘if tanpa diperhatikan syarat-syaratnya. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepadanya bahawa puasa sunat bulan Rejab adalah bid‘ah tanpa menghukum dia sebagai ahli bid‘ah.

 

Demikian beberapa contoh bagi membezakan antara perbuatan dan pembuatnya. Sekali lagi diulangi bahawa manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam hal ini adalah menghukum perbuatan manakala hukum bagi pembuatnya ditangguhkan sehingga diperhatikan faktor-faktor yang melatar belakangi pembuat tersebut.

 

Hafiz Firdaus Abdullah

22 Jun 2008