13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian T a u h i d

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Ke Arah Tauhid Yang Benar-Benar Murni.

 

Berdasarkan ayat-ayat di atas, maka tujuan buku ini adalah mengajak para pembaca sekalian ke arah tauhid yang benar-benar murni. Ajakan ini adalah supaya kita menepati perintah Allah yang bermaksud: …dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. [al-Nisa’ 4:36] Apabila kita menepati perintah ini, maka kita termasuk dalam golongan: …mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [al-An’aam 6:82]

 

Terlebih penting adalah supaya kita semua terpelihara daripada dosa syirik, iaitu satu-satunya dosa yang tidak diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik

mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.

[al-Nisa 4:48]

 

Dalam mengajak para pembaca yang budiman sekalian ke arah tauhid yang benar-benar murni, saya telah memilih tiga belas perkara yang paling lazim berlaku di kalangan masyarakat kita yang mencemari kemurnian tersebut. Di luar sana mungkin wujud pencemaran tauhid yang lain, akan tetapi demi menjaga ketebalan buku dan kesesuaiannya kepada para pembaca umum, saya mencukupkannya kepada apa yang paling lazim berlaku sahaja.[1]


 

 


[1]               Buku ini pada awalnya diterbitkan pada tahun 2006 dengan tajuk 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid.