Article Index

Keempat: Ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ tetap sah.

      Akhi Mohd Fitri seterusnya dalam ms. 77 menukil kata-kata Imam al-Sayuthi bahawa: “Makna yang terkandung di dalam ayat tersebut telah hilang. Apabila hilang ‘illatnya (sebab) maka hilanglah larangannya.” Ringkasnya, apa yang cuba disampaikan oleh Imam al-Sayuthi ialah sebab (‘illat) di sebalik ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ sudah hilang selepas Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Ini kerana sebab (‘illat) larangan jahr di sebalik kedua-dua ayat tersebut ialah supaya orang-orang musyrik tidak mencela ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca oleh umat Islam ketika di Mekah. Hujah ini ditolak dari dua sudut:

      Sudut Pertama: Sesungguhnya ‘illat membaca al-Qur’an secara jahr bukan sahaja untuk mengelak daripada dicela oleh orang musyrik tetapi juga daripada menganggu orang lain yang sedang beribadah. Imam Ahmad mengeluarkan sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna‘uth (Musnad Ahmad, hadis no: 19022) bahawa: al-Bayaadhiyyi r.a. berkata:

      Nabi s.a.w. pada suatu ketika keluar kepada orang ramai. Didapatinya banyak orang bersolat dan banyak pula yang mengeraskan suara dalam membaca al-Qur’an. (Melihat yang sedemikian, baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang munajat atau bercakap-cakap dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka seharusnya dia mengetahui apa yang dipercakapkan itu! Dan janganlah pula sebahagianmu mengeraskan suaranya (jahr) mengatasi yang lain dalam membaca al-Qur’an”.

      Sudut Kedua: Para ulama’ umat Islam yang diiktiraf sejak zaman sahabat sehingga mutakhir tidak ada yang menganggap ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ sudah dibatalkan sehingga larangannya boleh diabaikan. Jika hendak dikatakan sesuatu ayat atau hadis dapat dibatalkan kerana ‘illat di sebaliknya telah dihilangkan oleh peradaban zaman, nescaya hampir keseluruhan ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w. dapat diabaikan pada masa kini. Tidak ada yang mengemukakan hujah seperti ini melainkan aliran Islam Liberal. Justeru yang benar ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ masih tetap sah sehingga masa kini dan seterusnya hingga ke tiupan sangkakala.

      Ada pun pendapat Imam al-Sayuthi, maka beliau sendiri telah menyelisihinya dalam kitab beliau yang lain berjudul Tafsir Jalalain. Ketika menafsirkan ayat 205 surah al-A’raaf pada kalimah “…dan dengan tidak pula menyaringkan suara (jahr)…”, beliau menjelaskannya sebagai: “usahakanlah di antara keduanya”, iaitu di pertengahan antara zikir di dalam hati dan jahr. [Tafsir Jalalain dikarang oleh Imam Jalal al-Din al-Sayuthi dari surah al-Baqarah hingga surah al-Isra’ dan oleh Imam Jalal al-Din al-Mahalli dari surah al- Kahf hingga surah al-Nas, diikuti surah al-Fatihah]

Kelima: Hadis Ibn Mas‘ud.

      Akhir sekali, akhi Mohd Fitri dalam ms. 77 menukil kata-kata Imam al-Sayuthi yang meragui sama ada hadis Ibn Mas‘ud r.a. yang melarang zikir secara jahr dapat dijadikan hujah. Hadis Ibn Mas‘ud tersebut secara lengkap telah dikemukakan oleh Dr. Ahmad Farouk dalam artikelnya di ms. 77-78.

      Keraguan Imam al-Sayuthi ini dapat ditolak dengan merujuk kepada kitab beliau yang lain berjudul al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahyu ‘an al-Ibtida’ (Dar Ibn al-Qayyim, Riyadh), ms. 49 (Bab perbezaan antara sunnah dan bid‘ah) di mana Imam al-Sayuthi sendiri telah mengemukakan hadis yang sama (dengan lafaz yang lebih ringkas) sebagai hujah untuk menjelaskan perbezaan antara Sunnah dan Bid‘ah.