Article Index


Selanjutnya pihak yang memandang sujud tilawah dalam solat adalah makruh menekankan bahawa tidak ada riwayat sahih yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan sujud tilawah apabila sampai pada ayat ke-15 ketika membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat. Secara kebetulan hujah ini selari dengan keterangan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang pernah berkata:

Saya belum menemui apa-apa riwayat dengan jalan yang kuat lagi jelas bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sujud (tilawah) ketika membaca surah Tanzilus sajadah.

Seterusnya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengemukakan dua riwayat yang beliau ketahui dalam bab ini akan tetapi dalam sanad kedua-duanya terdapat perbincangan sehingga beliau sendiri tidak menjadikannya sebagai hujah. [Fath al-Bari, jld. 3, ms. 35]

Kesimpulan perbahasan kita dalam bab ini dapat diringkaskan sebagai berikut:
  • Apabila imam terlupa untuk melakukan sujud tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, dia tidak perlu mengulangi keseluruhan surah demi mendapatkan sujud tilawah. Ini kerana hukum sujud tilawah, mengikut jumhur ilmuan, adalah sunat dan bukan wajib.
  • Apabila makmum mendapati imam tidak melakukan sujud tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, maka tidak perlu membetulkannya. Ini kerana tindakan imam terbuka kepada beberapa kemungkinan seperti lupa, atau sengaja ingin menunjukkan kepada makmum bahawa hukum sujud tilawah bukan wajib, atau berpegang kepada pandangan yang memakruhkan sujud tilawah di dalam solat.

Demikian empat perkara yang ingin saya perincikan berkenaan amalan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat. Semoga perincian ini bermanfaat untuk semua.