Article Index


Keempat: Sujud tilawah hukumnya sunat.

Saya pernah menjadi makmum ketika imam membaca surah al-Sajdah pada pagi Jumaat. Imam yang sedang membaca surah al-Sajdah terlanjur melepasi ayat ke-15 yang sepatutnya dia dan makmum turun sujud. Maka beliau mengulangi semula dari awal keseluruhan surah al-Sajdah agar dapat sujud ketika sampai pada ayat yang disunatkan untuk sujud.

Perbuatannya itu memberi gambaran seolah-olah melakukan sujud tilawah hukumnya adalah wajib. Yang benar hukumnya adalah sunat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan sujud tilawah ketika sedang solat berdasarkan hadis berikut:

عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ فَقَرَأَ إِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ فَسَجَدَ. فَقُلْتُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِي الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلاَ أَزَالُ أَسْجُدُ فِيهَا حَتَّى أَلْقَاهُ.

Daripada Abi Rafi’, dia berkata: Aku solat Isya’ bersama Abu Hurairah (radhiallahu 'anh) dan beliau membaca surah Izas sama’un syaqqat (surah al-Insyiqaq, surah ke-84) lalu sujud. Maka aku bertanya: “Apa ini?” (Abu Hurairah) menjawab: “Aku sujud di belakang Abu al-Qasim (gelaran bagi Rasulullah) shallallahu 'alaihi wasallam dan aku akan sentiasa sujud pada ayat tersebut sehingga aku bertemu dengannya.

sujud4.jpegHadis di atas dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Sujud al-Qur’an, Bab orang yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah dalam solat lalu sujud padanya, hadis no: 1078. Berdasarkan nama bab yang diberi oleh Imam al-Bukhari, maka beliau sendiri memandang sunat untuk melakukan sujud tilawah di dalam solat bagi orang yang membaca ayat sajadah.

Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuan berpendapat sunat melakukan sujud tilawah ketika melakukan apa-apa solat yang dibaca ayat sajadah di dalamnya. Mereka tidak membataskan hukum sunat ini kepada surah al-Insyiqaq yang dibaca dalam solat Isya’ sahaja.

Walaubagaimana pun ditekankan bahawa hukum melakukan sujud tilawah adalah sunat dan bukannya wajib. Ini kerana terdapat hadis yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum tidak melakukan sujud tilawah, seperti hadis berikut yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Sujud al-Qur’an, Bab orang yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah tetapi tidak sujud, hadis no: 1073, dimana Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anh berkata:

قَرَأْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّجْمِ فَلَمْ يَسْجُدْ فِيهَا.

Aku membaca di hadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam surah al-Najm namun baginda tidak sujud padanya. Para ilmuan menerangkan beberapa sebab mengapa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melakukan sujud tilawah. Di antara sebab-sebab tersebut, Imam al-Syafi’e dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menguatkan pendapat bahawa baginda sengaja tidak sujud tilawah untuk menunjukkan kepada umat bahawa hukumnya bukan wajib tetapi sunat. [Fath al-Bari, jld. 3, ms. 260]

Pada waktu yang sama, ingin ditambah bahawa terdapat segelintir ilmuan yang berpendapat makruh untuk melakukan sujud tilawah di dalam solat. Mereka tidak menjadikan hadis Shahih al-Bukhari no: 1078 sebagai dalil kerana apabila Abu Hurairah menerangkan “Aku sujud di belakang Abu al-Qasim…”, beliau tidak menerangkan bahawa ia berlaku di dalam solat. Alasan ini dibantah oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani kerana dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam Ibn Khuzaimah dan Imam al-Jauzaqiy terdapat tambahan lafaz bahawa peristiwa tersebut berlaku di dalam solat. [Fath al-Bari, jld, 2, ms. 497]