Baru-baru ini berbincang dengan beberapa rakan tentang rasukan jin (jinn possession), apakah ia boleh terjadi atau tidak. Mereka berkata ia tidak boleh terjadi berdasarkan mengakuan syaitan dalam al-Qur’an,

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ

وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ......

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya.

Sekali-kali tidak ada KEKUASAAN bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri…… [Ibrahim 14:22]

Dalam ayat di atas, syaitan sendiri menyatakan bahawa dia tidak ada KUASA ke atas manusia. Apabila tidak ada KUASA, maka bagaimana mungkin syaitan dapat merasuki manusia dan seterusnya berKUASA menjadikan manusia itu bertindak aneh seperti histeria atau mengamuk dengan keKUATan yang melebihi kebiasaan?

Jawapan dan bantahan.

(Maaf atas penggunaan huruf besar, ia sebagai penekanan)

Pertama:

Ketahuilah bahawa apabila dikatakan syaitan, ia bukan makhluk tetapi sikap yang derhaka kepada Allah dan mengajak manusia kepada neraka. Sikap syaitan boleh ada pada jin dan manusia, sebagaimana firman Allah s.w.t.,

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ...

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan manusia dan jin… [al-An’aam 6:112]

Maka yang berkata-kata dalam ayat 22 surah Ibrahim di atas tidak semestinya syaitan dari jenis jin, tetapi boleh juga syaitan dari jenis manusia. Yang lebih tepat, memandangkan syaitan disebut secara umum, maka ia adalah syaitan dari jenis jin dan manusia.

 

Kedua:

Baiklah, katakanlah yang dimaksudkan dalam ayat 22 surah Ibrahim adalah syaitan dari jenis jin.

Benarkah bahawa syaitan dari jenis jin tidak ada kuasa ke atas manusia? Ini kerana jika dikaji ayat-ayat yang lain, Allah s.w.t. menerangkan bahawa syaitan memiliki kuasa ke atas manusia. Perhatikan ayat-ayat berikut:

إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلَّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ.

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada KUASA bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, yaitu orang-orang yang sesat. [al-Hijr 15:42]

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ 

Apabila kamu membaca Al Qur'an, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada KUASA atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya.

Sesungguhnya KUASA (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah. [al-Nahl 16: 98-100]

وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ إِبْلِيسُ ظَنَّهُ فَاتَّبَعُوهُ إِلَّا فَرِيقًا مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

وَمَا كَانَ لَهُ عَلَيْهِمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يُؤْمِنُ بِالْآخِرَةِ مِمَّنْ هُوَ مِنْهَا فِي شَكٍّ وَرَبُّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَفِيظٌ 

Dan sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman.

Dan tidak adalah keKUASAan iblis terhadap mereka, melainkan hanyalah agar Kami dapat membedakan siapa yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat dari siapa yang ragu-ragu tentang itu. Dan Tuhanmu Maha Memelihara segala sesuatu. [Saba’ 34:20-21]

Dalam ayat-ayat di atas, Allah s.w.t. telah menerangkan bahawa Iblis dan syaitan memiliki KUASA ke atas manusia, yakni mereka yang mengikutinya, yang menjadikannya sebagai pemimpin, yang mensyirikkan Allah dengannya dan sebagai ujian keimanan.

 

Ketiga:

Pada zahirnya kelihatan seolah-olah ada pertentangan antara ayat-ayat yang menerangkan bahawa syaitan dari jenis jin memiliki KUASA ke atas manusia dan ayat 22 surah Ibrahim yang menafikan KUASA tersebut.

Jika dicermati ayat 22 surah Ibrahim, perkataan arab yang diterjemahkan sebagai KUASA adalah SULTHON.

Dalam al-Qur’an, perkataan SULTHON digunakan untuk dua maksud, pertama sebagai KUASA dan kedua sebagai HUJAH atau BUKTI.

Perhatikan ayat-ayat berikut di mana perkataan SULTHON bermaksud HUJAH atau BUKTI:

قَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا سُبْحَانَهُ هُوَ الْغَنِيُّ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ

وَمَا فِي الْأَرْضِ إِنْ عِنْدَكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ بِهَذَا أَتَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ.

Mereka berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci Allah; Dia-lah Yang Maha Kaya; kepunyaan-Nya apa yang ada di langit dan apa yang di bumi. Kamu tidak mempunyai HUJAH atau BUKTI tentang ini. Pantaskah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui? [Yunus 10:68]

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ

ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya.

Allah tidak menurunkan suatu HUJAH atau BUKTI tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia.

Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [Yusuf 12:40]

Perhatikan juga, al-A’raaf 7:71, al-Shaffat 37:156, Ghafir 40:35 & 56 dan al-Najm 53:23. Dalam ayat-ayat ini, perkataan SULTHON bererti HUJAH atau BUKTI.

Kembali kepada ayat 22 surah Ibrahim, bagi menghilangkan pertentangan dengan ayat al-Hijr 15:42, al-Nahl 98-100 dan Saba’ 34:20-21, maka terjemahan yang betul bagi perkataan SULTHON ayat 22 surah Ibrahim ialah HUJAH atau BUKTI.

Menjadilah ia seperti berikut:

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya.

Sekali-kali tidak ada HUJAH atau BUKTI bagiku ke atasmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri…… [Ibrahim 14:22]

 

Keempat:

Inilah terjemahan dan maksud yang betul bagi ayat 22 surah Ibrahim. Imam Ibn Katsir menjelaskan:

ثُمَّ قَالَ: {وَمَا كَانَ لِي عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ}

أَيْ: مَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ فِيمَا دَعَوْتُكُمْ إِلَيْهِ مِنْ دَلِيلٍ وَلَا حُجَّةٍ عَلَى صِدْقٍ مَا وَعَدْتُكُمْ بِهِ،

Kemudian syaitan berkata, “Sekali-kali tidak ada HUJAH atau BUKTI bagiku ke atasmu”, bermaksud, tidak ada padaku atas apa yang aku seru kamu kepadanya daripada DALIL mahupun HUJAH yang benar, dan tidak juga pada apa yang aku janjikan dengannya.

{إِلا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي} بِمُجَرَّدِ ذَلِكَ، هَذَا وَقَدْ أَقَامَتْ عَلَيْكُمُ الرُّسُلُ الْحُجَجَ وَالْأَدِلَّةَ الصَّحِيحَةَ

عَلَى صِدْقِ مَا جَاءُوكُمْ بِهِ، فَخَالَفْتُمُوهُمْ فَصِرْتُمْ إِلَى مَا أَنْتُمْ فِيهِ.

“melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku” tanpa berfikir lanjut padahal telah ditegakkan ke atas kamu hujah-hujah dan dalil-dalil yang sahih oleh para Rasul sebagai bukti atas apa yang mereka bawakan kepada kamu. Akan tetapi kamu menyelisihi mereka, maka menjadilah kamu seperti keadaan sekarang ini.

[Tafsir Ibn Katsir (al-Maktabah al-Syamilah), tafsir bagi ayat 22 surah Ibrahim].

Ringkasnya, syaitan menyeru manusia tanpa hujah dan bukti, berbanding pada Rasul yang menyeru manusia dengan hujah dan bukti yang benar.

 

Kesimpulan:

Perbandingan perkataan SULTHON dengan ayat-ayat al-Qur’an yang lain menunjukkan bahawa penafian syaitan dalam ayat 22 surah Ibrahim bukan merujuk kepada ketiadaan KUASA rasukan (power to posses) ke atas manusia tetapi merujuk kepada ketiadaan hujah atau bukti ke atas manusia.

Justeru ayat 22 surah Ibrahim bukanlah dalil bagi menafikan rasukan jin ke atas manusia (jin possession).