Khutbah Jumaat di Selangor hari ini (19 Julai 2019) menyatakan,

Akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang dikembangkan oleh Imam Abu Hassan al-Asyhari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi adalah akidah yang diwarisi daripada generasi al-Salafus Soleh yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Kenyataan ini hendaklah disemak semula kerana telah masyhur aqidah al-Asya'irah dan al-Matuduriyah yang diikuti di Malaysia mentakwil sifat-sifat Allah sementara generasi al-Salafus Soleh tidak mentakwil.

Berkata Imam Abu 'Isa al-Tirmizi (279H) dalam kitabnya al-Jami', lebih masyhur dikenali sebagai Sunan al-Tirmizi, setelah mengemukakan sebuah hadis tentang melihat Allah dan Kaki Allah,

وَقَدْ رُوِيَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رِوَايَاتٌ كَثِيرَةٌ مِثْلُ هَذَا مَا يُذْكَرُ فِيهِ أَمْرُ الرُّؤْيَةِ

أَنَّ النَّاسَ يَرَوْنَ رَبَّهُمْ وَذِكْرُ القَدَمِ وَمَا أَشْبَهَ هَذِهِ الأَشْيَاءَ.

Dan sesungguhnya telah diriwayatkan daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam riwayat-riwayat yang banyak semisal ini, apa yang disebut di dalamnya tentang al-Ru’yah (melihat Allah dengan jelas), bahawa manusia akan melihat Tuhan mereka. Dan disebut tentang Kaki dan sifat-sifat lain yang menyamainya (seperti Wajah, Tangan, Jari-Jemari).

وَالمَذْهَبُ فِي هَذَا عِنْدَ أَهْلِ العِلْمِ مِنَ الأَئِمَّةِ مِثْلِ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ، وَمَالِكِ بْنِ أَنَسٍ،

وَابْنِ الْمُبَارَكِ، وَابْنِ عُيَيْنَةَ، وَوَكِيعٍ وَغَيْرِهِمْ أَنَّهُمْ رَوَوْا هَذِهِ الأَشْيَاءَ، ثُمَّ قَالُوا:

تُرْوَى هَذِهِ الأَحَادِيثُ وَنُؤْمِنُ بِهَا، وَلاَ يُقَالُ: كَيْفَ؟

Dan jalan yang dipilih tentang riwayat-riwayat ini di sisi ahli ilmu dari kalangan para imam seperti Sufyan al-Tsauri, Malik Ibn Anas, Ibn Mubarak, Ibn ‘Uyainah, Waqi’ dan selain mereka, bahawa mereka meriwayatkan sifat-sifat ini kemudian mereka berkata, “Kami meriwayatkan hadis-hadis ini dan kami beriman dengannya dan tidak dikatakan padanya, bagaimana (ciri-ciri sifat tersebut)?”

وَهَذَا الَّذِي اخْتَارَهُ أَهْلُ الحَدِيثِ أَنْ يَرْوُوا هَذِهِ الأَشْيَاءُ كَمَا جَاءَتْ وَيُؤْمَنُ بِهَا وَلاَ تُفَسَّرُ وَلاَ تُتَوَهَّمُ وَلاَ يُقَالُ: كَيْفَ؟

Inilah jalan yang dipilih oleh para ahli hadis bahawa mereka meriwayatkan sifat-sifat ini sebagaimana adanya dan mereka beriman dengannya tanpa membicarakannya secara terperinci, tanpa menabur kesamaran ke atasnya dan tidak dikatakan, bagaimana (ciri-ciri sifat tersebut)?

وَهَذَا أَمْرُ أَهْلِ العِلْمِ الَّذِي اخْتَارُوهُ وَذَهَبُوا إِلَيْهِ.

Dan demikianlah juga pendirian ahli ilmu (selain ahli hadis) di mana mereka memilihnya dan mereka berjalan di atasnya.

[Sunan al-Tirmizi, selepas hadis no.: 2480/2557 (Kitab Sifat al-Jannah ‘an Rasulullah, Bab tentang kekalnya ahli syurga dan ahli neraka).]