Telah sampai ke perhatian saya video di bawah.

 

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan ulasan:

(1) Minit 0.28

Niat yang baik sahaja tidak cukup dalam rangka beribadah. Sebaliknya hendaklah niat yang baik (ikhlas) bergandingan dengan ibadah yang bertepatan dengan sunnah. Ini kerana Nabi s.a.w. telah bersabda,

"Sesiapa yang beramal dengan satu amalan yang tidak berasal daripada urusan kami (yakni agama Islam) maka ia tertolak". (Shahih Muslim).

Maka jika seseorang itu beribadah dengan niat yang ikhlas lagi baik, namun ibadah itu tidak seperti yang Nabi s.a.w. ajar, praktik atau persetujui, maka ia tertolak. Niat yang ikhlas dan ibadah yang sunnah adalah seperti sepasang sayap kapal terbang. Kedua-duanya hendaklah ada dan berfungsi secara bersamaan.

Jika sebelah sayap tiada, kapal terbang akan jatuh. Demikianlah, jika tiada salah satu maka ibadah akan tertolak.

 

(2) Minit 0.31

Siapakah para ulama' yang berbeza pendapat itu?

Sebenarnya apa yang ditinggalkan oleh para sahabat selepas kewafatan Nabi s.a.w. terbahagi kepada dua:

(1) Apa yang melibatkan urusan manusia kepada Allah (aqidah & ibadah), maka jika para sahabat meninggalkannya maka hendaklah juga kita meninggalkannya.

(2) Apa yang melibatkan urusan sesama manusia, maka apa yang ditinggalkan oleh para sahabat boleh dilakukan oleh kita jika ia selari dengan dalil-dalil agama (al-Qur'an, al-Sunnah, ijma', qiyas dan lain-lain).

Inilah maksud "mengikuti mereka (para sahabat) dengan kebaikan" dalam firman Allah s.w.t.,

 

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ

رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan merekapun reda kepada Allah. Dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar. (al-Taubah 9:100)

Jika orang-orang terkemudian bebas melakukan apa-apa urusan agama yang tidak dilakukan oleh para sahabat, maka tidak ada erti bagi firman Allah "mengikuti mereka (para sahabat) dengan kebaikan".

 

(3) Minit 1.49

Apabila dikatakan "ahli Mekah tawaf di antara 4 rakaat", maka ia bukan amalan seluruh ahli Mekah. Akan tetapi ia adalah amalan sebahagian ahli Mekah secara bebas. Maksudnya ada yang tawaf, ada yang berzikir, ada yang baca al-Qur'an dan ada yang berselawat.

Kemudian pada waktu rehat selepas 4 rakaat seterusnya, orang yang tadinya tawaf mungkin duduk baca al-Qur'an, orang yang tadinya berselawat mungkin bangun untuk tawaf. Demikianlah pada waktu rehat seterusnya.

Tidak ada S.O.P. atau M.O.U. di kalangan seluruh ahli Mekah untuk tawaf 7 pusingan pada setiap waktu rehat Solat Tarawih. Jika dikatakan seluruh ahli Mekah tawaf, maka ia menyelisihi penamaan Solat Tarawih. Ini kerana "Tarawih" bermaksud rehat sementara tawaf bukanlah berehat.

Oleh kerana itulah tidak pernah timbul soalan "dari mana kalian ambil amalan tawaf ini?"

 

(4) Minit 2.17

Adapun dakwaan ahli Madinah menambah rakaat menjadi 36 sebagai timbalan kepada amalan tawaf ahli Mekah, hendaklah disemak kesahihannya. Ini kerana dalam rujukan lain dikatakan bahawa penambahan rakaat tersebut adalah kerana imam membaca ayat yang pendek selepas al-Fatihah. Apapun, yang penting bilangan rakaat Solat Tarawih boleh ditambah atau dikurangkan. Ini kerana Solat Tarawih asalnya adalah solat malam.

Berkenaan solat malam, seseorang pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentangnya. Maka baginda menjawab,

"Dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah dengan satu rakaat Solat Witir." (Shahih al-Bukhari).

Maka atas sebab inilah, tidak timbuk soalan "dari mana kami ambil jumlah rakaat 36 itu?"

 

(5) Minit 2.59

Di sini tuan syaikh berkata yang benar, bahawa jika seseorang itu berzikir di antara Solat Tarawih, maka ia dibolehkan.

Maksudnya setiap jamaah bebas memilih mana-mana kalimah zikir yang disukainya, asalkan kalimah zikir itu berasal daripada al-Qur'an atau al-Sunnah. Ini terbukti apabila tuan syaikh berkata (minit 3.40) tidak ada masalah jika seseorang mahu membaca "Qulhuwallahu ahad...", atau berselamat atau bertahlil.

Namun jika seseorang mengkhususkan zikir tertentu dalam Solat Tarawih (maksudnya ketika rehat di antara solat), maka ia tidak boleh. (Minit 3.15)

 

(6)  Minit 3.50

Perkataan tuan syaikh "Biarkan manusia pada kebiasaannya. Setiap negara ada budayanya dan semuanya ada kebaikan" adalah bahaya. Ini kerana ibadah kepada Allah bukanlah dengan kebiasaan atau budaya setempat tetapi dengan mengikuti sunnah Nabi s.a.w. Hanya beribadah dengan sunnah Nabi itulah terdapat kebaikan.

Contohnya budaya zikir, selawat dan doa secara kuat di M'sia (ini ditanya oleh pengacara di minit 0.17).

Ia adalah budaya yang bertentangan dengan ayat 55 & 205 surah al-A'raaf dan sunnah Nabi s.a.w. Ia adalah bid'ah yang buruk, bukan sunnah yang baik.