Beberapa pemerhatian ke atas video di bawah:

 

(1)
Sesuatu ibadah jika diikat dengan solat, baik sebelum takbir atau selepas salam, maka ia menjadi pakej solat. Pakej itu jika tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w., maka ia adalah bid'ah. Membaca zikir yang khusus dan selawat yang khusus pada setiap kali selesai solat terawih telah menjadikan ia Pakej Solat Terawih.

Bukti pakej ini, zikir dan selawat yang sama itu tidak dibaca pada ketika yang lain. Maka zikir dan selawat yang khusus itu masuk dalam kategori bid'ah meskipun ia dilakukan selepas solat terawih.

Demikianlah juga bagi apa-apa pakej ibadah yang disusun secara khusus, baik dari aspek masa, lokasi atau tatacara, jika tiada dalil khusus bagi pakej khusus itu, maka ia adalah bid'ah.

(2) 
Minit 2.11

Minta hadis sahih bahawa Nabi s.a.w. menyuruh kita beristighfar "Astaghfirullahal-'Adzim, allazi la ilaha illa huwal Hayyul Qayyum wa atubu ilaihi" selepas solat. Apa yang ada dalam hadis Sahih Muslim drpd Tsauban bahawa Nabi beristighfar tiga kali selepas solat fardhu dengan lafaz "Astaghfirullah" sahaja.

(3)
Minit 2.57

Apabila zikir "La ilaha illalah" janganlah ada gear. Ini adalah saranan yang betul. Cuma kapal terbang tidak ada gear kelajuan seperti mana kereta manual.

(4)
Minit 3.57

Makan karipap atau apa-apa perbuatan lain yang tidak masuk dalam kategori ibadah kepada Allah, maka ia tidak masuk dalam perbincangan bid'ah. Maka boleh saja makan karipap, agar-agar, laksa, ayam percik dan sebagainya selepas solat.

(5)
Minit 4.23

Makan dan minum ketika solat memang membatalkan solat. Akan tetapi, makanan yang tersisa di dalam mulut (seperti yang terlekat di celah gigi) ketika sedang solat lalu menelannya, para ahli ilmu berbeza kepada 3 pendapat:

*1 Batal solat.
*2 Tidak batal solat tetapi makruh.
*3 Tidak batal solat kerana ia sepertimana menelan air liur.

Terhadap 3 pendapat ini, adalah sunnah untuk mengambil yang lebih mudah.

(6) 
Minit 5.26

Tidak perlu menjerit apabila berselawat. Ini adalah saranan yang betul.