[1]

Salah satu nikmat syurga adalah penghuninya boleh meminta apa yang mereka impikan atau inginkan. Dalilnya adalah firman Allah s.w.t.,

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ

Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. [Yasin 36:57]

 

[2]

Persoalannya, apakah penghuni syurga boleh meminta apa saja yang mereka impikan, seperti mengeluarkan penghuni neraka dan memasukkannya ke dalam syurga?

Jawapannya, penghuni syurga boleh meminta apa yang mereka impikan asalkan permintaannya itu tidak melanggar batas-batas yang Allah tetapkan.

Antara yang Allah tetapkan, orang yang syirik kepada-Nya akan diharamkan syurga dan mereka kekal di dalam neraka,

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Sesungguhnya orang yang mensyirikkan Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun. [al-Maidah 5:72]

 

[3]

Menarik untuk diperhatikan, apabila Allah menceritakan nikmat penghuni syurga dalam ayat 55-58 surah Yasin, Allah sambung pada ayat 59 bahawa akan dipisahkan antara penghuni syurga dan penghuni neraka. Firman Allah,

وَامْتَازُوا الْيَوْمَ أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ

Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir): "BerPISAHlah kamu (dari orang-orang mukmin) pada hari ini, wahai orang-orang yang berbuat dosa. [Yasin 36:59]

Susunan ayat ini seolah-olah mengisyaratkan bahawa meskipun penghuni syurga dibolehkan meminta apa yang mereka impikan (ayat 57), mereka tidak boleh meminta orang kafir daripada memasuki syurga kerana mereka telah dipisahkan (ayat 59).

 

[4]

Bahkan di Akhirat kelak akan ada sebuah tembok yang memisahkan antara orang beriman dan orang munafik serta kafir. Allah s.w.t. berfirman,

يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُمْ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ

بُشْرَاكُمُ الْيَوْمَ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada Hari Kiamat): Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (serta dikatakan kepada mereka):

"Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."

 

يَوْمَ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ لِلَّذِينَ آمَنُوا

انْظُرُونَا نَقْتَبِسْ مِنْ نُورِكُمْ

قِيلَ ارْجِعُوا وَرَاءَكُمْ فَالْتَمِسُوا نُورًا

فَضُرِبَ بَيْنَهُمْ بِسُورٍ لَهُ بَابٌ بَاطِنُهُ فِيهِ الرَّحْمَةُ وَظَاهِرُهُ مِنْ قِبَلِهِ الْعَذَابُ

(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada Hari Kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman:

"Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu." (Lalu) dikatakan (kepada mereka): Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)."

Serta diadakan di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat) dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (Neraka) dan azab seksa.

 

يُنَادُونَهُمْ أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ

قَالُوا بَلَى وَلَكِنَّكُمْ فَتَنْتُمْ أَنْفُسَكُمْ وَتَرَبَّصْتُمْ وَارْتَبْتُمْ وَغَرَّتْكُمُ الْأَمَانِيُّ حَتَّى جَاءَ أَمْرُ اللَّهِ وَغَرَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ

(Pada saat itu) mereka (yang munafik) menyeru orang-orang yang beriman (sambil berkata): "Bukankah kami bercampur-gaul dengan kamu (di dunia dahulu)?"

Orang-orang yang beriman menjawab: "Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu telah menunggu-nunggu (kebinasaan umat Islam), dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara-perkara agama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu), sehinggalah datangnya (maut) yang ditetapkan oleh Allah (kepada kamu) dan (selain itu), kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan daripada Allah.

 

فَالْيَوْمَ لَا يُؤْخَذُ مِنْكُمْ فِدْيَةٌ وَلَا مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مَأْوَاكُمُ النَّارُ هِيَ مَوْلَاكُمْ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu dan tidak juga dari orang-orang KAFIR. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!

[Hadid 57:12-15]

Dalam ayat-ayat di atas, Allah menerangkan bahawa di Akhirat kelak akan ada sebuah tembok yang berpintu.

Orang-orang beriman akan memiliki cahaya yang dengannya mereka dapat menemui pintu itu dan memasukinya, di mana di sebalik pintu itu adalah syurga.

Sementara orang-orang munafik berada dalam kegelapan dan tidak menemui pintu tersebut.

Menariknya, Allah menerangkan bahawa orang-orang beriman dan orang-orang munafik itu saling mengenali ketika di dunia dahulu.

Seterusnya Allah menerangkan bahawa orang-orang kafir juga akan menerima nasib yang sama.

 

[5]

Seandainya penghuni syurga boleh meminta penghuni neraka dikeluarkan dan dimasukkan ke syurga, nescaya Rasulullah s.a.w. akan mengajarnya kepada kita.

Bahkan baginda sendiri akan menjadi orang pertama melakukannya, dengan meminta agar pakciknya Abu Thalib dikeluarkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga.

 

[6]

Seandainya penghuni syurga boleh meminta penghuni neraka dikeluarkan dan dimasukkan ke syurga, maka sia-sialah perintah Allah agar kita berdakwah kepada manusia.

Padahal Allah s.w.t. telah berfirman,

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. [al-Nahl 16:125]

 

[7]

Kesimpulannya, ketika di dunia ini berdakwahlah kepada orang-orang yang kita kenali atau tidak kenali - termasuk idola-idola - ke arah mentauhidkan Allah dan mentaati Rasulullah.

Usah sekadar mengimpikan ketika di syurga nanti kita akan dapat meminta kenalan atau idola yang berada di dalam neraka dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam syurga. Sebab, permintaan ini tidak akan diluluskan.

Moga Allah memberi hidayah-Nya kepada kita semua.

 

Pautan tulisan asal AAJ pada 30 Mei 2019:

https://www.facebook.com/asiah.abdjalil.7/posts/2381423945253063