[1]

Syurga adalah milik Allah. Maka terserah kepada Allah bagi menetapkan syarat-syarat masuk syurga. Ia bukan urusan pak lebai mahupun AAJ.

Antara syarat itu adalah, orang yang telah sampai kepadanya ayat-ayat al-Qur'an namun mendustakannya dan berasa angkuh terhadapnya, tidak sekali-kali akan dapat memasuki syurga. Allah s.w.t. berfirman,

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. [al-A'raaf 7:40]

 

[2]

Saya berasa hairan AAJ sudah pun menceritakan perancangan kehidupannya di syurga kelak, berjiran dan bersembang dengan Karpal Singh.

Seolah-olah AAJ sudah ada perjanjian dengan Allah, menempah tiket confirm ke syurga nanti.

Dalam hal ini saya teringat kepada sikap orang-orang Yahudi yang Allah sebut dan kritik di dalam al-Qur'an,

وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ إِلَّا أَيَّامًا مَعْدُودَةً قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدًا فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu".

Katakanlah: "Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya? [al-Baqarah 2:80]

 

[3]

Aqidah yang benar adalah, meskipun Allah menjanjikan syurga kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya, hendaklah kita selalu berharap dapat memasuki syurga dan menjauhi neraka.

Ini kerana orang yang beriman kepada Allah akan tetap diazab dalam neraka, selari dengan kadar kesalahan yang dia lakukan di dunia.

Contohnya, orang yang sengaja menyelisihi atau menentang satu atau lebih ajaran Rasulullah s.a.w. dan mengikuti jalan agama selain generasi Sahabat, maka,

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan dia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasinya itu dan Kami masukkan dia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali. [al-Nisa' 4:115]

Maksud "jalan orang-orang beriman" adalah para sahabat Nabi kerana mereka itulah orang yang beriman ketika ayat ini diturunkan.

 

[4]

Bahkan pada masa kini seseorang itu mungkin beramal dengan amalan ahli syurga, namun dia tidak tahu apakah pula amalannya pada hari kemudian nanti.

Justeru Rasulullah s.a.w. pernah memperingatkan agar jangan "over confident" bahawa kita akan secara pasti terus memasuki syurga. Baginda bersabda,

وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا غَيْرُ ذِرَاعٍ أَوْ ذِرَاعَيْنِ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا.

Dan sesungguhnya ada seseorang yang mengamalkan amalan-amalan penghuni syurga sehingga tak ada jarak antara dia dan neraka selain sehasta atau dua hasta, lantas (taqdir yang sedia tertulis dalam) kitab mendahuluinya sehingga dia melakukan amalan-amalan penghuni neraka lalu memasukinya. [Shahih al-Bukhari, no.: 6015]

[Lebih lanjut tentang hadis ini, sila muat turun dan baca buku saya "47 Persoalan Qadar dan Qadha]

Semoga Allah memberi hidayah-Nya kepada kita selalu.

 

Pautan tulisan asal AAJ pada 29 Mei 2019:

https://www.facebook.com/asiah.abdjalil.7/posts/2379633862098738