Sebelum ini saya kongsi keutamaan istighfar dengan penuh penghayatan.

Maka bagaimanakah lafaz istighfar yang diajar oleh Rasulullah?

Perhatikan hadis berikut, di mana Rasulullah s.a.w. bersabda,

مَنْ قَالَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ قَدْ فَرَّ مِنْ الزَّحْفِ.

Sesiapa yang mengucapkan,

"Astaghfirullahallazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi",

diampunkan baginya meskipun dia pernah (melakukan dosa besar seperti) lari dari medan peperangan.

(Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1296/1517)

Maksud lafaz istighfar di atas,

"Aku mohon ampun kepada Allah yang tiada tuhan selain Dia, yang al-Hayyu dan al-Qayyum, dan kepada-Nya aku bertaubat."

-----

Dalam riwayat lain, ada tambahan al-'Adzim = "Astaghfirullahal 'Adzim...." seterusnya adalah sama.

Bermaksud "Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung...." seterusnya adalah sama.

Tambahan al-'Adzim adalah daripada riwayat Ibn Mas'ud, dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak hadis no.: 1884 dan ia dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'uth sebagaimana yang beliau nyatakan dalam semakannya ke atas Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3894 dan Sunan Abu Daud, hadis no.: 1517.

-----

Lari dari medan perang adalah satu dosa besar kerana ia akan melemahkan pasukan umat Islam dan boleh mengakibatkan kekalahan.

Ini kerana apabila satu orang lari, maka orang-orang lain yang lemah imannya akan turut serta lari.

Selain itu, persetujuan untuk menyertai pasukan umat Islam adalah satu amanah sementara berpaling di saat akhir adalah satu pengkhianatan.

-----

Membaca lafaz istighfar di atas dengan penuh penghayatan akan mengampunkan semua dosa-dosa tanpa terhad kepada dosa lari dari medan perang.

Akan tetapi jika dosa itu melibatkan hak orang lain, maka hendaklah dikembalikan hak tersebut atau minta maaf / minta dihalalkan.