Kenapa suruh orang kafir istighfar?

Saya yakin ramai yang tahu tentang keutamaan beristighfar berdasarkan ajakan Nabi Nuh kepada kaumnya,

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

Maka aku katakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kepada Tuhanmu (istighfar), sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai."

(Surah Nuh 71:10-12)

 

Ringkasnya, orang yang lazim beristighfar akan Allah murahkan rezekinya dalam pelbagai bentuk.

Akan tetapi.....

Jika disemak ayat-ayat sebelum dan selepas ayat 10-12 di atas, akan didapati Nabi Nuh sedang berdakwah kepada kaumnya yang kafir dan musyrik.

Maka persoalannya, kenapa suruh orang kafir / musyrik beristighfar?

Jawapannya terletak pada ciri-ciri istighfar itu sendiri:

  • • Apabila beristighfar kepada Allah, seseorang itu mengiktiraf Allah sebagai Tuhan.
  • • Apabila beristighfar kepada Allah, seseorang itu mengiktiraf sifat Allah yang Maha Pengampun.
  • • Apabila beristighfar kepada Allah, seseorang itu mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya yang mengampunkan dosanya.
  • • Apabila beristighfar, seseorang itu mengiktiraf adanya larangan Allah dan perlanggaran terhadap larangan itu mengakibatkan dosa.
  • • Apabila beristighfar, seseorang itu memandang berat dosa yang dilakukannya, berasa bersalah dan sangat berharap kepada keampunan Allah.
  • • Apabila beristighfar, seseorang itu merendahkan diri kepada Allah.
  • • Apabila beristighfar, seseorang itu mengingati Allah.

Demikian beberapa ciri istighfar yang menyebabkan ia tetap sesuai untuk diseru kepada orang kafir dan musyrik.

-------

Apabila seorang Muslim beristighfar, hendaklah diperhatikan dan dihayati ciri-ciri di atas.

Ini supaya istighfarnya benar-benar memberi pengaruh positif ke atas dirinya, mendapat keampunan Allah dan berjaya memperoleh kemurahan rezeki sebagaimana yang disebut dalam ayat 10-12 surah Nuh di atas.

Jika sekadar menyebut "Astaghfirullah...." tanpa menghayati ciri-ciri di atas, maka ia umpama burung kakak tua yang menyebut "Astaghfirullah...".