Soalan 1: Pendarahan Sebelum Bersalin.

Pada kedua-dua kehamilan, saya mengalami keluar tanda iaitu keluar darah bercampur lendir. Untuk anak pertama, saya bersalin dua hari selepas keluar tanda dan anak kedua, sehari selepas keluar tanda. Soalan saya, apakah hukum darah yang keluar dan adakah saya perlu solat seperti biasa kerana saya masih mampu menunaikan solat ketika kontraksi tidak terlalu kerap.

Aishah, Seri Kembangan, Selangor.

 

Jawapan:

Para ilmuan Islam sejak awal berbeza pendapat tentang pendarahan yang berlaku beberapa hari sebelum bersalin. Ini berlaku kerana tidak ada dalil yang jelas dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah berkenaan persoalan ini. Pendapat-pendapat mereka dapat saya ringkaskan sebagai berikut:

  • Ia adalah darah haid. Lazimnya wanita yang hamil tidak mengalami haid. Namun dalam kes-kes terpencil, haid boleh berlaku dan ia dikenali melalui warna, kelikatan dan bau darah yang keluar. 

  • Ia adalah darah penyakit (istihadhah). Darah wanita hanya tiga, iaitu haid, nifas dan istihadhah. Memandangkan darah haid tidak keluar semasa hamil dan darah nifas hanya keluar selepas bersalin, maka pendarahan yang berlaku ketika hamil hanya darah istihadhah.

  • Ia adalah darah nifas. Darah nifas dikaitkan dengan proses bersalin dan ia boleh bermula beberapa hari sebelum bersalin, khasnya apabila sudah dirasai tolakan dan kontraksi.

Agak sukar untuk dikatakan di antara tiga pendapat di atas, manakah yang paling tepat. Boleh diambil jalan pertengahan dengan menghimpun kesemua pendapat di atas sebagai berikut:

  • Jika pendarahan memiliki ciri-ciri haid yang pasti, maka ia adalah darah haid. Jika tiada ciri-ciri yang pasti, maka ia salah satu dari dua kemungkinan di bawah.

  • Jika pendarahan berlaku jauh sebelum tarikh jangkaan bersalin dan tidak diikuti dengan tolakan atau kontraksi, maka ia adalah darah istihadhah.

  • Jika pendarahan berlaku pada hari-hari terakhir sebelum bersalin dan diikuti dengan tolakan atau kontraksi, maka ia adalah darah nifas.

Merujuk kepada kes Puan di atas, pendarahan berlaku ketika kontraksi sudah dirasai sekalipun tidak kerap. Maka ia adalah darah nifas, justeru tidak perlu melaksanakan solat.

 

 

Soalan 2: Berpantang Lepas Bersalin.

Apakah hukum fiqh mengenai wanita selepas bersalin dari segi pemakanan, aktiviti, rehat, ibadahnya dan lain-lain. Adakah amalan berpantang seperti 40 hari tidak boleh keluar rumah, tidak boleh bersama suami selepas 100 hari dan sebagainya patut terus diamalkan oleh muslimah? Farayani, Sentul, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Tidak ada hukum fiqh yang khusus bagi wanita yang baru bersalin kecuali apa yang berkaitan dengan darah nifas, iaitu tidak boleh bersetubuh dengan suami, mendirikan solat, puasa dan melaksanakan tawaf. Adapun amalan berpantang, maka ia adalah tradisi masyarakat kita.

Namun tradisi tersebut memiliki sebab dan kebaikan di dalamnya. Sebagai contoh, berpantang untuk tidak keluar rumah dan tidak bersetubuh dengan suami adalah supaya organ, otot serta urat yang berkaitan kembali sembuh dan kuat seperti biasa setelah ia bekerja keras ketika hamil dan melahirkan.

Adapun pemakanan, maka ia hendaklah diperhatikan kerana sebahagian amalan pantang melarang hampir semua jenis makanan padahal ketika itu amatlah diperlukan segala zat dan khasiat bagi proses kesembuhan dan penguatan organ, otot dan urat.

Amalan mengurut juga termasuk dalam proses kesembuhan dan penguatan, namun pastikan tukang urut hanya mengurut. Jangan terima apa-apa bacaan atau jampian kerana tidak diketahui apa yang diseru, apa yang dibaca dan apa yang ditiupkan. 

 

 

Soalan 3: Tempoh istihadah

Andainya seseorang itu mengalami istihadah, berapa lamakah tempoh (bilangan hari) baginya untuk menentukan dirinya bukan lagi istihadah? Sekiranya darah masih lagi keluar, untuk tempoh sebulan, bagaimanakah dia ingin menentukan yang darah itu adalah haid? 

Jawapan:

Memandangkan darah istihadhah ialah darah penyakit, maka tidak ada tempoh maksimum untuknya. Selagi penyakit itu berterusan, selagi itulah dia akan mengalami darah istihadhah. Umm Habibah, salah seorang isteri Rasulullah, mengalami darah istihadhah selama tujuh tahun. [Shahih al-Bukhari, no: 316] Namun pada masa kini, orang yang mengalami darah istihadhah berterusan hendaklah mendapatkan rawatan doktor.

Bagi membezakan antara darah istihadhah dan darah haid, cara pertama ialah mengenal pasti kitaran haid yang biasa bagi dirinya. Jika dia biasa mengalami haid selama 8 hari dan suci 20 hari, maka itulah yang digunakan bagi membezakan dengan darah istihadhah. Ini merujuk kepada kes Umm Habibah di mana Rasulullah berpesan kepadanya: “Tinggalkanlah solat selama masa haidmu yang biasa kamu alami. Kemudian (seusai tempoh itu) mandilah.” [Shahih Muslim, no: 505]

Jika tidak pasti masa putaran haid, maka cara kedua ialah dengan mengenali darah haid melalui warna, kelikatan dan baunya. Setiap wanita memiliki ciri-ciri darah haid tersendiri yang dapat dia gunakan bagi membezakan antara darah haid dan darah istihadhah.