Soalan 1: al-Qur’an Sebagai Ubat.

      Saya ingin bertanya, saya dan suami telah berkahwin selama 5 tahun dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Sebagai mencari solusi, kami ada mengamalkan beberapa ayat dan petua dari al-Qur'an serta zikir-zikir, yang diajar oleh ustaz serta ustazah yang kami kenal. Masalahnya, ustaz atau ustazah yang berbeza mengajar kami amalan yang berbeza. Baru-baru ini pula ada ruangan dalam majalah Pa & Ma yang menerangkan amalan yang berbeza pula. Kami keliru, amalan apakah (ayat al-Qur'an dan zikir) yang sepatutnya kami lakukan bagi mendapatkan zuriat?

  

Jawapan:

      Para ilmuan berbeza pendapat tentang peranan al-Qur’an sebagai ubat atau penyembuh penyakit fizikal. Pendapat Pertama menyatakan al-Qur’an boleh dijadikan ubat bagi penyakit fizikal berdasarkan firman Allah: “Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” [al-Isra’ 17:82]

     Pendapat kedua menyatakan al-Qur’an bukanlah ubat bagi penyakit fizikal tetapi penyakit hati seperti berharap kepada selain Allah, cinta dunia, ujub, lupa akhirat dan sebagainya. Ciri “penyembuh” yang disebut oleh ayat 82 surah al-Isra’ di atas ditafsirkan oleh sebuah ayat yang lain sebagai penyembuh penyakit hati: “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu (al-Qur’an) dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” [Yunus 10:57]

        Di dalam al-Qur’an juga terdapat kisah Nabi Ayyub yang ditimpa penyakit yang amat berat. Beliau berdoa agar Allah menyembuhkannya. Allah memakbulkan doanya bukan dengan cara mengajar membaca ayat-ayat tertentu tetapi dengan menghentak kakinya ke bumi dan mandi serta minum dengan air yang terbit darinya (Saad 38:42).

      Demikian juga dalam sunnah Rasulullah. Apa-apa penyakit yang dihadapi oleh baginda dan umat pada zaman itu disembuhkan melalui doa, jampi-jampian dua surah terakhir al-Qur’an dan ubat yang ada pada zaman itu seperti Habbatus Saudah, madu, berbekam dan lain-lain. Baginda tidak menentukan ayat ini sebagai ubat untuk penyakit ini, ayat itu sebagai ubat untuk penyakit itu.

      Berdasarkan poin-poin di atas, saya cenderung kepada pendapat bahawa al-Qur’an adalah ubat bagi penyakit hati dan bukannya penyakit fizikal. Menjadikan al-Qur’an sebagai ubat penyakit fizikal menyebabkan banyak penyalahgunaan al-Qur’an seperti mana yang kita lihat hari ini. al-Qur’an jarang-jarang digunakan sebagai panduan hidup dan pengubat penyakit hati tetapi dijadikan bahan tiupan untuk tujuan itu dan ini. Ramai juga agamawan yang meraih peluang untuk menjadi selebriti dengan menjadikan al-Qur’an petua itu dan ini padahal petua-petua tersebut tidak pernah diajar oleh Allah dan Rasul-Nya. 

      Kembali kepada soalan penyembuh bagi penyakit tidak dapat hamil, maka dalam al-Qur’an terdapat kisah Nabi Zakaria yang menghadapi situasi yang sama. Apa yang dilakukan oleh Nabi Zakaria ialah berdoa kepada Allah sebagaimana yang dirakamkan dalam ayat berikut: Dan (ingatlah kisah) Zakariya, tatkala dia berdoa kepada menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.” [al-Anbiya’ 21:89] Maka Allah perkenankan doanya sehingga isterinya menjadi hamil. 

      Oleh itu saya sarankan kepada puan dan suami untuk berdoa kepada Allah agar dianugerahkan anak diikuti dengan melakukan usaha pengubatan kehamilan oleh para doktor dan ahlinya, selari dengan ilmu perubatan masa kini.

       Selain itu ingin juga saya tambah bahawa proses pengubatan kehamilan ini boleh menelan belanja yang tinggi disertai dengan pelbagai ketidakselesaan tubuh badan. Seandainya berjaya hamil, risiko keguguran tetap ada sebagaimana yang dihadapi oleh ibu-ibu yang lain.

     Justeru di sebalik semua ini ada satu opsyen lain yang amat baik lagi besar ganjarannya, iaitu mengambil anak angkat. Rasulullah menjanjikan: Aku dan orang yang menanggung anak yatim di syurga adalah seperti ini…baginda mengisyaratkan jari telunjuk dengan jari tengahnya. [Shahih al-Bukhari, no: 6005]

 

 

Soalan 2: Anak Menangis Pada Waktu Malam.

     Anak lelaki saya berusia 14 bulan sering terkejut dan menangis ketika tidur. Dia menjerit seperti orang ketakutan dan nampak sesuatu dengan mata yang terpejam. Untuk pengetahuan saya selalu membacakan ayat Quran kepadanya sebelum tidur tetapi dia tetap menangis, bagaimana cara terbaik untuk saya atasi masalah ini?

 

Jawapan:

     Seperti yang saya jelaskan dalam edisi Pa&Ma yang lepas (Mei 2011), syaitan sentiasa hadir dalam semua urusan dengan tujuan menyesatkan kita. Syaitan tidak dapat menyesatkan anak kecil kerana masih belum menerima tanggungan hukum, tetapi menggunakan anak tersebut sebagai alat untuk menyesatkan ibubapanya. 

     Oleh itu dengan sering mengganggu anak kecil melalui mimpi seram, tangisan berpanjangan dan sebagainya, sebahagian ibubapa akan berjumpa bomoh, menggantung tangkal pada anak dan pelbagai lagi. Semua ini telah menjayakan syaitan untuk menyesatkan ibubapa tersebut.

       Maka untuk menangkis gangguan syaitan, kita mesti mengenali ciri-ciri syaitan dan tipudaya yang ia gunakan untuk menyesatkan manusia. Saya menjemput puan untuk mengkaji buku saya “7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Umat Islam” terbitan Jahabersa atau edisi ebook di www.hafizfirdaus.com

 

 

Soalan 3: Mencantikkan Gigi.

     Apakah hukumnya membetulkan gigi yang tidak teratur kedudukannya supaya menjadi lebih rapi dan teratur menggunakan teknologi ortodontik masa kini, begitu juga dengan hukum memutihkan gigi.

 

Jawapan:

       Abdullah ibn Mas’ud pernah menerangkan bahawa Rasulullah melaknat wanita yang menjarakkan (merenggangkan) gigi-giginya demi kecantikan bagi mengubah ciptaan Allah [Shahih Muslim, no: 3966] Pengecualian diberikan kepada gigi yang tercedera disebabkan kemalangan, peperangan atau sebagainya, boleh dibetulkan kedudukannya agar orang tersebut dapat makan seperti biasa. Demikian juga dibolehkan memakai gigi palsu bagi orang yang sudah tiada gigi supaya dia dapat makan seperti biasa.

     Adapun memutihkan gigi, maka ia termasuk dalam anjuran agama untuk menjaga kebersihan. Namun berlebih-lebihan dalam memutihkan gigi seperti menggunakan pencuci kimia atau menghakis lapisan luar yang kuning boleh merosakkan gigi untuk jangka masa yang lama, maka elakkanlah ia.