Soalan 1: Seks Selepas Bersalin

Saya inginkan kepastian bilakah suami boleh mengadakan hubungan seks dengan saya selepas saya bersalin? Saya telah menjalani pantang selama 44 hari tetapi ibu saya kata hubungan seks hanya selepas genap tiga bulan atau 100 hari dari tarikh bersalin. Shamsila Azmi.

Jawapan:

Wanita yang baru bersalin mengalami darah nifas. Perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang nifas sama dengan wanita yang haid, iaitu tidak boleh solat, puasa, tawaf dan seks. Maksud seks di sini ialah suami menyentuh vagina atau memasukkan zakarnya ke vagina isteri. Adapun selain itu, suami dibolehkan bermain-main dan menyentuh isteri yang sedang nifas atau haid.

Oleh itu suami boleh mengadakan hubungan seks yang memasukkan zakarnya ke vagina isteri selepas isteri berhenti dari nifas atau setelah nifas berubah menjadi darah istihadhah. Para ilmuan Islam berbeza pendapat berkenaan bilakah tempoh maksima nifas. Ada yang berkata enam puluh hari dan ada yang berkata empat puluh hari selepas kelahiran. Akan tetapi hadis-hadis yang menyatakan tempoh ini semuanya memiliki kelemahan di dalamnya.

Syaikh Musthafa al-‘Adawy dalam bukunya Jami’ Ahkam al-Nisa’, ms. 206-207 telah menerangkan kelemahan hadis-hadis tersebut. Justeru beliau membuat kesimpulan bahawa pendapat yang paling tepat bagi tempoh maksima nifas ialah sehingga pendarahan itu berhenti sepenuhnya atau sehingga ia berubah warna dan ciri-ciri (istihadhah).

Oleh itu anda dan suami boleh mengadakan hubungan seks apabila nifas telah berhenti sepenuhnya atau apabila ia berubah menjadi darah istihadhah. Tempoh tiga bulan atau 100 hari adalah adat sebahagian orang-orang tua kita, maka perbetulkanlah mereka secara hikmah dan sopan.

 

 

Soalan 2: Nikah Selepas Terlanjur dan Hamil.

Rakan saya telah terlanjur lalu hamil. Bolehkah dia menikahi lelaki yang dia terlanjur itu? Bolehkah anak yang bakal dilahirkan itu dibin atau dibintikan kepada lelaki yang dia nikahi?

Ammarizman Aliff.

Jawapan:

Lelaki dan wanita atau salah seorang dari mereka yang pernah berzina dilarang untuk bernikah. Larangan ini berdasarkan firman Allah: Lelaki yang berzina tidak bernikah melainkan dengan wanita yang berzina atau wanita musyrik; dan wanita yang berzina itu pula tidak dinikah melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu dilarang kepada orang-orang yang beriman. [al-Nur 24:03] Mereka hanya dibolehkan bernikah selepas bertaubat. Ini kerana dengan taubat, mereka tidak lagi dikategorikan sebagai lelaki penzina dan wanita penzina.

Jika sudah terlanjur dan bertaubat, maka dibolehkan bernikah sekalipun wanita terbabit sedang hamil. Adapun firman Allah: Dan wanita-wanita hamil, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. [al-Thalaq 65:04], maka ia merujuk kepada isteri yang hamil di mana dia tidak dibolehkan bernikah sehingga tamat tempoh iddah, iaitu dengan kelahiran anak kandungannya. Adapun wanita yang hamil kerana zina, dia tidak termasuk dalam perbicaraan ayat di atas. Justeru tidak ada tempoh iddah baginya sehingga dia boleh bernikah.

Adapun penamaan anak, maka jika isteri mengetahui secara pasti – sama ada melalui sejarah sebelum hamil atau ujian DNA – bahawa suaminya sekarang ialah ayah biologi anaknya, maka anak itu dibin atau dibintikan kepada suaminya itu. Sebaliknya jika isteri tidak tahu atau tidak pasti siapa ayah biologi anaknya, atau suaminya sekarang memang bukan ayah biologi anaknya, maka anak itu tidak boleh dibin atau dibintikan kepada suaminya itu.

 

 

Soalan 3: Rahsia Tarikh Lahir.

Ilmu perubatan masa kini membolehkan ibu merancang bila untuk melahirkan anaknya. Seorang rakan saya merancang untuk melahirkan pada sekian-sekian tarikh kerana dia merujuk kepada satu "formula tarikh lahir" yang meramalkan nasib yang baik jika anaknya dilahirkan pada tarikh itu. Apa pandangan Islam dalam hal ini?

Jawapan: 

Pada zaman Rasulullah, masyarakat meramalkan nasib yang baik atau buruk melalui arah penerbangan burung. Jika mereka dalam perjalanan atau melakukan sesuatu urusan lalu nampak burung terbang ke arah kanan, maka ia adalah ramalan nasib yang baik. Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, maka ia adalah ramalan nasib yang buruk.

Terhadap kepercayaan seperti ini, Rasulullah bersabda: Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali) [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910] Ini kerana nasib baik atau buruk ditentu oleh taqdir Allah dan bukannya kepada arah penerbangan burung.

Pengajaran hadis di atas tidak terhad kepada kepercayaan arah penerbangan burung tetapi meluas kepada apa jua petanda atau amalan yang diyakini dapat memberi pengaruh kepada nasib seseorang. Di kalangan masyarakat Melayu umpamanya, wujud kepercayaan apabila dalam perjalanan ke satu tempat yang jauh, jangan berpatah balik ke rumah jika terlupakan sesuatu. Berpatah balik diyakini akan membawa nasib yang buruk. Tidak ketinggalan ialah apa yang disebut-sebut masa kini sebagai “Rahsia Tarikh Lahir”, di mana diyakini tarikh sekian-sekian akan meramalkan nasib sekian-sekian.

Semua ini tidak berbeza dengan kepercayaan kepada arah penerbangan burung pada zaman Rasulullah. Semua ini merupakan syirik kepada Allah kerana hanya Allah yang tahu apa yang bakal berlaku kepada kita, sama ada baik atau buruk. Justeru hendaklah ditinggalkan, bahkan dijauhkan sejauh-jauhnya – apa-apa kepercayaan bahawa sekian-sekian petanda, amalan atau tarikh lahir dapat memberi pengaruh kepada nasib baik atau buruk seseorang.