Soalan 1: Meminta Izin Suami
Saya pernah terdengar pendapat bahawa isteri perlu mendapatkan izin suami sebelum mensedekahkan wang atau hartanya, betulkah? Sefaham saya harta isteri adalah hak isteri dan suami tidak boleh mengambilnya secara paksaan.

Jawapan:
          Berkenaan soalan ini, terdapat dua pendapat di kalangan para ilmuan. Pendapat pertama menyatakan isteri boleh bersedekah tanpa izin suami berdasarkan hadis bahawa setelah solat Hari Raya, Rasulullah: “…menemui kaum wanita bersama Bilal. Kemudian baginda memerintahkan kepada mereka untuk bersedekah. Maka mereka (para wanita) memberikan anting-anting dan kalung (mereka).” [Shahih Muslim, no:1476]
          Pendapat kedua menyatakan isteri hendaklah meminta izin suami sebelum bersedekah berdasarkan hadis: “Tidak dibolehkan seorang isteri memberi sedekah melainkan dengan izin suaminya.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3547] Para ilmuan yang mencenderungi pendapat kedua ini menyatakan bahawa hadis para wanita bersedekah selepas solat Hari Raya hanya menyebut para wanita secara umum tanpa membezakan sama ada mereka sudah bersuami atau tidak. Maka sekalipun para wanita itu bersedekah, tidak boleh membuat andaian bahawa yang sudah bernikah di kalangan mereka turut bersedekah.

          Jika di antara para wanita itu ada yang sudah bersuami dan ingin bersedekah, Rasulullah akan bertanya sama ada mereka sudah memperoleh izin daripada suami masing-masing. Ini berdasarkan sebuah riwayat lain bahawa Khairah – istri Ka'ab bin Malik – datang menemui Rasulullah dengan membawa perhiasannya, lalu dia berkata: “Aku ingin mensedekahkan perhiasan ini.” Rasulullah bersabda kepadanya: “Seorang isteri tidak boleh mensedekahkan hartanya kecuali atas izin suaminya. Apakah kamu sudah meminta izin kepada Ka'ab?” Dia menjawab: “Ya.” Rasulullah kemudian mengutus seseorang menemui Ka'ab bin Malik untuk menanyakan: “Apakah kamu sudah mengizinkan Khairah untuk bersedekah dengan perhiasan miliknya?” Ka'ab menjawab: “Ya.” Akhirnya Rasulullah menerima sedekahnya. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 1935]
          Selain itu, para ilmuan yang mencenderungi pendapat kedua juga memahami perkataan “izin” dalam hadis tersebut sebagai etika dan penghormatan. Ertinya, hendaklah seorang isteri memberitahu suaminya hajat untuk bersedekah. Pemberitahuan ini membuktikan isteri memiliki etika dan penghormatan yang baik terhadap suaminya yang tentu saja akan dibalas dengan yang seumpama atau lebih baik oleh suami dalam lain-lain urusan rumahtangga. Ketahuilah, banyak pergeseran rumahtangga berlaku apabila tidak berlaku etika yang baik dan saling menghormati di antara suami dan isteri.
        Meminta izin suami atau memberitahu suami tidak bererti suami mengambil harta isteri secara paksa. Seandainya suami tidak mengizinkan, harta yang dirancang untuk disedekahkan itu tetap kembali menjadi milik isteri. Saya mencenderungi pendapat kedua ini.

 

Soalan 2: Pakaian Yang Kena Susu.
Saya menyusu badan kepada anak saya yang berumur setahun. Kadangkala susu badan itu ada yang terkena pakaian saya. Bolehkah saya menggunakan pakaian itu untuk solat atau adakah saya perlu membersihkannya terlebih dahulu?

Jawapan:
          Setakat yang diketahui, tidak ada dalil al-Qur’an, hadis dan pendapat ilmuan yang menyatakan susu adalah najis sehingga tidak boleh dibawa bersolat dengannya. Oleh itu boleh bersolat dengan pakaian yang terkena susu badan tanpa perlu membersihkannya terlebih dahulu.
           Jika susu badan agak banyak sehingga sering meninggalkan kesan pada pakaian, dicadangkan memakai breast pad. Ia boleh didapati di farmasi dengan jenis dibasuh (washable) atau pakai buang (disposable). Ia mampu menyerap lebihan susu badan sehingga kurang meninggalkan kesan pada pakaian. Ini dapat menjadikan ibu lebih tenang dan yakin apabila berada di khalayak ramai.

 

Soalan 3: Suami Minum Susu Isteri.
Apakah hukumnya jika suami minum susu badan isterinya? Apakah jatuh talak sehingga isteri itu menjadi haram (mahram) kepada suami?

Jawapan:
          Suami boleh minum susu badan isterinya dengan syarat tidak menghabiskan susu tersebut. Ini kerana susu badan ialah makanan dan minuman untuk bayi, maka menghabiskannya bererti menafikan makanan dan minuman kepada bayi.
          Adapun perubahan status sehingga terjatuh talak atau isteri menjadi mahram bagi suami, maka ia tidak berlaku. Perubahan status mahram hanya berlaku kepada bayi yang berumur kurang dari dua tahun. Rasulullah bersabda: “Penyusuan tidak akan merubah status mahram kecuali (susuan) yang mengenyangkan dan terjadi sebelum disapih.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1152]
          Maksud susuan yang mengenyangkan ialah apabila bayi melepaskan puting ibunya dengan sendiri, bukan kerana paksaan, istirehat atau pernafasan. Susuan yang mengenyangkan itu mesti berlaku lima kali bagi mengesahkan perubahan status mahram [Shahih Muslim, no: 2635] Sementara tempoh sapih ialah apabila bayi berumur dua tahun kerana itulah tempoh optimum penyusuan bayi: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan.” [al-Baqarah 2: 233]
          Dalam suasana terdesak, apabila lelaki ajnabi yang sudah dewasa hadir di rumah manakala dia tiada tempat lain untuk pergi, maka lelaki ajnabi itu boleh diberikan susu isteri tuan rumah. Meminum susu badan isteri tuan rumah dengan lima kali minuman yang mengenyangkan akan menjadikan isteri tuan rumah mahram kepada lelaki tersebut. Tentu saja susu tersebut diperah dan diberi minum melalui gelas. Dalilnya ialah hadis berikut:
          Sahlah binti Suhail datang menemui Nabi, dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya melihat di wajah (suamiku) Abu Hudzaifah (sesuatu yang tidak menggembirakan) karena keluar masuknya Salim ke rumah, padahal Salim adalah pelayannya.” Maka Nabi bersabda: “Susuilah dia.” Sahlah berkata: “Bagaimana mungkin saya menyusuinya, padahal dia sudah dewasa?” Maka Rasulullah tersenyum sambil bersabda: “Sungguh saya telah mengetahuinya kalau dia telah dewasa.” [Shahih Muslim, no: 2636]