Sebelum Alien Datang..... 

          Beberapa pesawat makhluk asing (alien) dilaporkan mendarat di beberapa lokasi terpilih di planet bumi. Makhluk yang melata, yakni yang bergerak menggunakan anggota badan, kelihatan keluar daripada pesawat. Suasana cemas menyelubungi orang ramai, bersiap sedia dengan penjajahan yang bakal dilakukan oleh makhluk asing entah dari mana. Penjajahan tentu saja mudah bagi makhluk asing itu kerana kelengkapan yang mereka miliki other_planets_have_alien_2.jpgjauh lebih canggih daripada apa yang ada di kalangan negara maju planet bumi.

          Salah satu bandar besar di Amerika Syarikat menjadi lokasi pilihan pendarat. Wakil daripada makhluk asing itu berbincang dengan pihak pemerintah, menerangkan tujuan mereka datang ke planet bumi. Menurut makhluk asing itu, tidak banyak planet di alam ini yang seindah dan sesubur planet bumi. Bahkan planet bumi amat istimewa kerana ia mampu menampung pelbagai spesis kehidupan daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan kepadalah organisma sekecil virus dan bakteria. 

          Namun di antara semua spesis itu, terdapat satu spesis yang sedang mengancam keistimewaan planet bumi. Spesis ini amat zalim dan tidak bertimbang rasa, ia hanya hidup untuk dirinya tanpa mempertimbangkan keadaan spesis lain. Malah spesis yang satu ini telah sekian lama membunuh dan merosakkan kehidupan spesis-spesis yang lain.

          Maka kedatangan makhluk asing itu ialah untuk menghapuskan spesis yang satu ini. Dengan terhapusnya spesis yang satu ini, planet bumi dan segala spesis lain di atasnya akan dapat hidup dan bertahan untuk tempoh yang lama, sekaligus menjaga keistimewaan planet bumi di alam ini. Spesis yang suka memusnahkan yang lain dan bakal dimusnahkan oleh makhluk asing itu dikenali sebagai “manusia”. 

          Demikian sekadar yang saya ingat jalan cerita dan pengajaran yang cuba disampaikan oleh sebuah filem berjudul The Day Earth Stood Still.

          Sekalipun agak pelik, mesej yang ingin disampaikan oleh filem itu adalah benar. Ia adalah antara beberapa filem dan sekian banyak dokumentari yang memberi fokus kepada memelihara planet bumi serta segala yang ada di atasnya. Memang, merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa tangan manusia telah menyebabkan banyak kerosakan, nyah-imbangan dan penghitaman. Udara, tanah, sungai, laut sehingga kepada tumbuhan dan haiwan, semuanya telah menerima kesan negatif daripada tangan manusia.

          “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (kepada kebenaran).” [al-Rum 30:41]

          Mujurlah manusia mutakhir ini menyedari kesan buruk hasil perbuatan mereka. Sekalipun sudah agak terlambat, segala usaha untuk memperbaiki, mengimbangi dan menghijaukan planet bumi serta segala yang wujud bersamanya tetap digalakkan. Walaubagaimanapun, kesedaran ini kelihatannya agak minimum di kalangan umat Islam. Setakat yang saya tonton, baca dan dengar, kebanyakan usaha dilakukan oleh pihak belum Islam.

          Kita umat Islam perlu sedar bahawa memelihara planet bumi dan segala yang wujud bersamanya termasuklah tanggungjawab yang dibebankan ke atas kita. Ini kerana kita adalah khalifah di bumi ini sebagaimana firman-Nya:

          “Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.” [Yunus 10:14]

          Antara peranan kita sebagai khalifah yang Allah awasi ialah: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” [al-A’raaf 7:85]

          Perkataan “rosak” atau “fasad” dalam ayat-ayat di atas difahami oleh majoriti ahli tafsir masa lalu sebagai perbuatan mungkar terhadap perintah larangan Allah. Walaubagaimanapun sebahagian ahli tafsir kontemporer memahami perkataan “rosak” sebagai turut meliputi perbuatan yang merosakkan planet bumi dan segala yang wujud bersamanya. Ini kerana merosakkannya termasuk perbuatan mungkar yang menyelisihi tujuan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi.

          Oleh itu marilah kita, umat Islam, turut memberi fokus dan berusaha untuk menjaga planet bumi dan segala yang wujud bersama kita di planet ini. Bahkan kita sepatutnya mendahului umat belum Islam, menjadi contoh yang positif kepada mereka.

          Sedikit kajian mudah melalui bahan bacaan atau internet akan menunjukkan pelbagai usaha yang mampu dan patut kita lakukan.Sebagai permulaan, untuk bulan Ramadhan yang bakal menemui kita insya-Allah, berhentilah daripada menggunakan plastik atau bekas pakai-buang ketika membeli juadah berbuka puasa. Sebaliknya bawalah bekas makan-minum sendiri yang boleh digunakan berulangkali. Usah segan-segan, jadilah pelopor kepada orang lain agar mereka juga melakukan yang seumpama. Para penjual juga diharapkan dapat turut serta dalam usaha ini dengan mengurangkan harga jualan kepada pelanggan yang membawa bekas makan-minum sendiri. 

          Semua ini sebagai permulaan kepada pelbagai lagi usaha yang dapat kita lakukan sebagai khalifah terhadap bumi dan segala yang wujud bersamanya. Jangan pandang remeh perkara ini kerana dibimbangi makhluk asing akan benar-benar datang satu hari nanti……..

          “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata.” [al-Syura 42:29]