alikhlas.jpg   

Kadangkala dalam ketelitian kita merancang misi, dalam kesungguhan kita mengejar visi, dalam keletihan kita menghadapi cabaran, dalam kesedihan kita mengenang halangan dan kebuntuan kita mencari jalan keluar, kita sebagai manusia terlupa akan perkara-perkara yang paling asas dalam agama. Paling dasar dalam dasar-dasar agama, paling mudah dalam agama yang mudah ini, paling lurus dalam agama yang jernih ini.

           Salah satu perkara yang asas, dasar, mudah lagi lurus itu ialah keikhlasan. Ikhlas dalam beribadah, ikhlas dalam beramal shalih, ikhlas dalam perjuangan. Saya yakin subjek ikhlas bukanlah sesuatu yang asing kepada para pembaca sekalian. Sejak di bangku sekolah sehinggalah alam dewasa, ia sering diulang-ulang sebagai ilmu dan peringatan. Tidak ketinggalan ialah hadis riwayat Imam al-Bukhari yang tentu sudah dihafali ramai: “Sesungguhnya amal itu tidak lain hanyalah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah untuk dunia yang dia inginkan atau kerana seorang wanita yang ingin dia nikahi, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kerananya.”

          Mudah kata, sesiapa yang melaksanakan solat kerana Allah, maka daripada Allah-lah dia memperoleh ganjarannya. Sesiapa yang melaksanakan solat kerana ayah mertuanya, maka daripada ayah mertuanyalah dia memperoleh keredhaan. Sesiapa yang membantu orang susah kerana Allah, maka daripada Allah-lah dia memperoleh ketenangan. Sesiapa yang membantu orang susah kerana jamaahnya, maka daripada jamaahnyalah dia memperoleh pengiktirafan. Sesiapa yang berpuasa kerana Allah, maka daripada Allah-lah dia memperoleh pahala. Sesiapa yang berpuasa kerana membantah keputusan mahkamah, maka ……saya tidak berapa pasti apa yang bakal diperolehnya.

          Di penhujung bulan Mei 2009 yang baru lepas ini, topik yang sedang hangat diperbincangkan ialah boleh atau tidak melaksanakan puasa sunat sebagai bantahan terhadap keputusan mahkamah berkenaan jawatan Ketua Menteri Perak. Saya tidak akan menyentuh berkenaan polemik sekitar jawatan ketua menteri itu kerana saya yakin ramai yang mengetahuinya, bahkan lebih arif lagi terkini daripada saya. Saya juga tidak bercadang menyentuh berkenaan mogok lapar yang dirancang oleh para penganut agama lain, biarlah ia dibincang oleh para pemimpin mereka.

          Namun yang ingin saya sentuh ialah rancangan untuk berpuasa sunat di kalangan umat Islam sebagai tanda bantahan. Sekalipun ia masih ditahap perbincangan dengan ada yang membolehkan dan ada yang melarang, saya berpandangan ia tidak sepatutnya diperbincangkan. Apatah lagi jika yang membincangkannya ialah para pemimpin dari sebuah parti yang melaungkan slogan Islam. Perkara ini terlalu asas, terlalu mendasar, terlalu mudah lagi lurus.

          Puasa ialah ibadah kerana Allah. Ia adalah ibadah yang kita lakukan kepada Allah, kerana Allah-lah yang menjadi faktor pemicu untuk kita berpuasa. Apabila seorang muslim itu menjadikan sesuatu selain Allah sebagai faktor pemicu untuk dia berpuasa, maka yang perlu ditegur bukan sahaja dalam subjek keikhlasan tetapi juga subjek syirik kepada Allah. Hal ini tidak khusus kepada ibadah puasa tetapi umum kepada apa jua ibadah dan amalan. Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa Allah s.w.t. berfirman:

          “Aku tidak memerlukan sekutu dalam segala-galanya. Sesiapa yang mengamalkan sesuatu amalan, lalu dia menyekutukan-Ku dalam amalnya dengan selain-Ku, maka Aku tinggalkan amalnya itu padanya dan pada sekutunya.” [Shahih Muslim]

          Namun saya cuba bersangka baik, bahawa mereka terlupa. Mereka dan kita adalah manusia yang kadangkala terlupa, sebagaimana yang saya nyatakan di permulaan penulisan ini. Maka atas sikap ini mudah terlupa ini, sekali sekala ada manfaat untuk kita merenung kembali kepada yang asas dalam beragama. Sekalipun yang paling asas.

          Perkara kedua yang ingin saya sentuh ialah kepentingan subjek aqidah dalam gerakan Islam. Keikhlasan kerana Allah dan menjadi Allah sebagai pemicu untuk beramal ibadah duduk dalam subjek aqidah. Jika kita umat Islam, sebagai individu, jamaah, parti atau kerajaan memiliki aqidah yang sahih, maka tidak akan timbul perbincangan seumpama dibolehkan atau tidak berpuasa sunat sebagai tanda bantahan. Atas kepentingan inilah, gerakan Ahlus Sunnah sentiasa memberi penekanan kepada subjek aqidah. Sebabnya mudah lagi asas. Dengan aqidah yang sahih, sesebuah negara sudah semestinya merupakan negara Islam. Sementara dengan slogan “Negara Islam”, sesebuah negara tidak semestinya memiliki aqidah yang sahih. Islam tidak berdiri di atas slogan-slogan yang Islamik tetapi di atas dasar aqidah yang sahih.

          Bercakap tentang aqidah, ia tidaklah bererti gerakan Ahlus Sunnah mengabaikan persoalan pemerintahan negara. Persoalan ini tetap diberi perhatian kerana peranan Allah di sebaliknya tidak boleh diabaikan walau sedikit jua. Ayat berikut, yang saya yakin sudah menjadi asas kepada semua yang melibatkan diri dalam gerakan Islam, menjadi rujukan:

         Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam Tangan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Ali Imran 3:26]