Soalan:

Apakah yang dimaksudkan sebagai ‘Asma ul-Husna’ dan apakah faedah mengamalkannnya selepas solat?

Humaiyun, Parit, Perak.

 

Jawapan:

al-Asma ul-Husna bermaksud nama-nama Allah yang indah. Dalam al-Qur’an dan hadis, Allah telah memperkenalkan diri-Nya dengan sejumlah nama-nama. Melalui nama-nama ini, kita dapat mengenal Allah yang kita sembah, merasa lebih dekat dengan-Nya dan memberi erti yang besar dalam mentauhidkan-Nya.

Satu lagi peranan al-Asma ul-Husna ialah untuk kita berdoa dengannya, berdasarkan firman Allah: Dan Allah mempunyai nama-nama yang indah (al-Asma ul-Husna), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan. [al-A’raaf 7:180]

Cara berdoa dengan al-Asma ul-Husna ialah menyebut nama atau nama-nama Allah yang selari dengan apa yang hendak kita doakan. Sebagai contoh: “Ya Allah! Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih, ampunilah dosa-dosa aku”. Contoh lain: “Ya Allah! Peliharalah diriku dan ahli keluargaku. Sungguhnya Engkaulah al-Hafiz (Pemelihara), al-Salam (sumber keselamatan), al-Mukmin (sumber keamanan) dan al-Muhaimin (sumber ketenangan)”.

Amat penting berkaitan al-Asma ul-Husna, ia bukanlah satu amalan. Banyak agamawan yang telah menyalah-gunakan al-Asma ul-Husna dengan mencipta sekian-sekian petua tersendiri. Konon jika dibaca nama al-Rahman 1000 kali, akan mendapat sekian-sekian keutamaan, jika dibaca al-Razzaq 999 kali akan dimurahkan rezeki,jika dibaca al-Hayyu 777 kali akan panjang umur dan pelbagai lagi. Demikian juga, al-Asma ul-Husna bukanlah satu amalan untuk dibuat selepas solat. Semua ini adalah perkara mungkar yang menyalah-gunakan nama-nama Allah. Ia telah diberi amaran oleh Allah dalam ayat di atas: dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan. [al-A’raaf 7:180]

  Nama-nama Allah adalah untuk kita pelajari, imani dan hayati. Ia juga untuk digunakan dalam berdoa. Sesiapa yang menghafal nama-nama Allah untuk tujuan ini, maka ia menjadi sarana yang memudahkan jalannya ke syurga kelak [Shahih al-Bukhari, no: 7932].