Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian III   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

7 Puasa Sunat dan Musafir.

Sepertimana yang telah diterangkan dalam bab sebelum ini, seseorang yang bermusafir mempunyai pilihan untuk terus berpuasa atau berbuka dan jikalau suasana musafir itu melibatkan kesulitan atau sesuatu amanah yang berat maka adalah lebih baik baginya untuk berbuka. Kemudahan hukum yang sama adalah juga bagi puasa-puasa sunat sepanjang tahun seperti Puasa Hari Asyura' , Puasa Hari Arafah, Puasa Hari Isnin dan Khamis serta banyak lagi. Seseorang yang bermusafir pada hari yang disunatkan untuk berpuasa, maka dia boleh memilih antara terus berpuasa atau berbuka. Puasa-puasa sunat yang telah dibuka itu boleh diqadha semula di hari dan masa yang lain. Demikian juga bagi mana-mana puasa sunat yang tidak dapat disempurnakan atas apa-apa sebab atau halangan, maka ia boleh diqadha semula di hari yang lain. Dalil yang membolehkan puasa sunat diqadha sebagaimana mengqadha puasa-puasa wajib bulan Ramadhan ialah hadith berikut:

A'isyah radiallahu-anhu berkata, (Di suatu hari) saya bersama Hafshah sedang berpuasa lantas di berikan kepada kami makanan yang sangat kami gemari lalu kami memakannya. Kemudian Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam datang lalu Hafshah menuju kepada beliau dan berkata: Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya kami berdua sedang berpuasa kemudian kami diberikan makanan yang sangat kami gemari lalu kami memakannya.  

Mendengar itu Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Qadhalah kalian pada hari yang lain sebagai penggantinya.[1]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa puasa-puasa sunat boleh diqadha di lain masa jikalau terdapat apa-apa halangan untuk terus menyempurnakannya. Hadith di atas juga merupakan suatu anjuran, bukan kewajipan untuk mengqadha semula puasa-puasa sunat yang telah dibuka. Jikalau seseorang yang telah berbuka dari puasa sunatnya tidak berhajat untuk mengqadhanya semula maka itu dibolehkan tanpa sebarang dosa atau hukuman.[2]

Hadith di atas juga menunjukkan bahawa puasa sunat boleh dibuka oleh seseorang sekalipun tanpa menghadapi apa-apa kesukaran atau kesulitan yang besar. Pernah sekali Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam melawat sebuah rumah dan dihidangkan kepada beliau minuman lalu beliau meminumnya. Sambil itu beliau turut menjemput si-tuan rumah untuk turut minum lalu dia menjawab:

Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya saya ini sedang berpuasa. Mendengar itu Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Orang yang mengerjakan puasa sunat itu adalah di atas kepercayaan ( atau kepimpinan) dirinya sendiri, dia boleh berpuasa dan dia boleh berbuka. [3]

Justeru dirumuskan bahawa seseorang yang sedang berpuasa sunat lalu dia menghadapi suasana musafir maka dia dibolehkan berbuka dan mengqadhanya semula di lain hari jikalau dia berhajatkan demikian. Adakalanya seseorang itu terpaksa bermusafir di hari-hari yang sangat afdal untuk berpuasa seperti Hari Asyura' atau Hari Arafah maka sebaiknya dia memilih untuk mengqadha semula puasa-puasa tersebut di hari lain yang tidak dia bermusafir. Insya-Allah puasa sunat yang diqadhakan itu akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah Subhanahu waTa'ala sebagaimana berpuasa di harinya yang asal.

 

Nota Tambahan

Puasa Sunat 6 Syawal dan Kaedah Perlaksanaannya.

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal amat dianjurkan berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: Sesiapa melakukan puasa bulan Ramadhan dituruti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka orang itu sama (ganjarannya) dengan melakukan puasa selama setahun. [4]

Dalam melaksanakan amalan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ini, seseorang itu perlu menqadha terlebih dahulu puasa-puasa Ramadhannya yang tertinggal, kerana amalan sunat ini HANYA dianjurkan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam setelah dilengkapi bilangan puasa Ramadhannya itu.  Rujuk kembali hadith di atas dan perhatikanlah sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Sesiapa melakukan puasa bulan Ramadhan DITURUTI dengan puasa enam hari pada bulan Syawal…….

Shaikh Muhammad bin Salih al-Othaimeen menulis: Seseorang yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal tidak akan mendapat ganjaran pahala selagi dia tidak melengkapkan bilangan puasanya bagi bulan Ramadhan terdahulu. Oleh itu, seseorang yang masih punyai hari-hari puasa Ramadhan yang belum diqadhanya, wajib terlebih dahulu menqadhanya kemudian barulah menlaksanakan puasa sunat 6 hari Syawal. [5]   Disamping itu, seseorang sudah tentu sepatutnya menunaikan dan melengkapkan sesuatu yang hak lagi wajib terlebih dahulu sebagai hutangnya terhadap Allah sebelum dia mengejar sesuatu yang sunat bagi dirinya.

Dalam kaedah perlaksanaan puasa sunat 6 hari bulan Syawal ini, sedia diketahui ada yang berpendapat bahawa dibolehkan meniatkan dua puasa dalam satu perbuatan, iaitu meniatkan qadha Ramadhan dan sunat Syawal dalam satu hari puasa. Pendapat ini tidak diketemui dalilnya dalam al-Qur'an mahupun as-Sunnah. Sesuatu amalan yang tidak diperolehi dalil penerangannya samada bagi kewujudan amalan tersebut atau bagi kaedah perlaksanaannya, maka amalan itu tertolak dan tidak diterima di sisi Islam. Ini adalah kerana ibadah itu adalah hak Allah Azza waJalla dan hanya bagi Dia hak serta kuasa mutlak bagi menentukan kaedah-kaedah untuk hamba-hambaNya beribadah kepadaNya. Manusia tidak berhak sedikitpun untuk mencipta sesuatu bentuk ibadah atau mengolah kaedah-kaedah perlaksanaannya.

  Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie menerangkan: Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain; atau dengan puasa tathawwu', maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Maksud Surah al-Baiyinah 98, ayat 5).

Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, Shafie dan Abu Sulaiman.    Kemudian perhatikanlah pula hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada A'isyah radiallahu-anha, bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran-P) kami,  maka amalnya itu tertolak.

Maka barangsesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam; dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima. [6]

Kesimpulan

1.      Puasa-puasa Sunat yang tidak dapat disempurnakan atas apa-apa sebab atau halangan boleh diqadha semula di hari yang lain.

2.      Puasa Sunat 6 Syawal hendaklah dilaksanakan selepas seseorang itu melengkapkan bilangan puasa wajib Ramadhannya terlebih dahulu. Mencampurkan dua jenis puasa dalam satu hari tidak diperolehi dalil pensyari'atannya samada dari al-Qur'an mahupun as-Sunnah.


 

[1]               Maksud hadith dari Sunan Tirmizi - no: 0731.

[2]               Lihat penerangan Imam Tirmizi dalam kitabnya Sunan Tirmizi, 2/55, al-Alamah Syamsul Haq-Abadi - Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abu Daud, 7/128 dan Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 2/383-386.

[3]               Maksud hadith dari Ummi Hani radiallahu-anha, Sunan Tirmizi - no: 0728.

[4]               Maksud hadith dari Abu Ayub al-Anshari radiallahu-anhu riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih -3/543/082.

[5]               Shaikh Muhammad bin Salih al-Othaimeen dan Shaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibreen - Fatawa on Fasting, Zakat and Traweekh, pg 50.

[6]               Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Pedoman Puasa, ms 136-137.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan