Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian II   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9:10:11:12:13

9 Gangguan Khusyu' dan Pergerakan Terpaksa dalam Solat.

Dua persoalan di atas kemungkinan besar akan di hadapi oleh seseorang yang bersolat di dalam pesawat terbang, terutamanya bagi para penumpang yang belum biasa dalam suasana penerbangan. Gangguan khusyu' seperti was-was akan pertama kali solat dalam pesawat, keraguan arah qiblat, tempat sempit yang tidak memungkinkan perlaksanaan solat dengan sempurna dan pesawat yang bergoyang adalah antara contoh gangguan yang dimaksudkan. Termasuk dalam situasi ini ialah anak-anak kapal yang bersolat samada juruterbang atau ahli kabin, kekadang terfikir dan teringat tentang tugas yang ditinggalkan sebentar bagi mendirikan solat. Semua ini menyebabkan seseorang itu adakalanya menghadapi gangguan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ibadat yang sedang didirikan berbanding dengan situasi solat di rumah atau di masjid.

Pergerakan terpaksa pula ialah seperti berpusing bagi menghadap arah qiblat baru apabila pesawat menukar arah, sekali-sekala berpegang atau bersandar pada dinding atau sesuatu bagi mengimbangi diri di kala solat atau mungkin sahaja terpaksa menepi sebentar bagi membolehkan penumpang lain melepasi kita yang sedang bersolat dan menghalang pula perjalanan mereka. Maka dari dua suasana di atas timbul persoalan - adakah gangguan khusyu' atau pergerakan yang terpaksa dalam solat membatalkannya ? Bagaimana pula dengan segelintir yang berpendapat - daripada menghadapi berbagai gangguan solat dalam penerbangan, adalah lebih baik diqadhakan sahaja apabila mendarat nanti.

Dalam ajaran Islam, khusyu' bagi ibadah solat terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu -

1.     Khusyu' zahir iaitu kepada pekerjaan-pekerjaan solat. Khusyu' ini mewakili kesedaran seseorang itu terhadap segala gerak-geri solatnya, seperti kedudukan tangan, posisi rukuk, sujud dan tohmaninah bagi setiap posisi perbuatan itu. Khusyu' sebegini memperlihatkan seseorang itu tidak melakukan perbuatan-perbuatan remeh seperti menggaru-garu kepala atau bermain-main jari tangan.

2.     Khusyu' rohani iaitu kepada kehadiran hati dalam solatnya. Ini digambarkan sebagai  mengenali akan dirinya yang sedang berhadapan dengan Rabbnya, tahu akan apa yang disebut dan sedar akan apa yang dibaca. Perhubungan antara khusyu' rohani dan khusyu' zahir dalam solat dikaitkan dengan kata-kata hikmah: Jika hatinya khusyu' tentu khusyu' jugalah anggota-anggota badannya.

3.     Khusyu' kepada keseluruhan ibadah solat itu sendiri sebagai suatu ibadah seorang hamba kepada Rabbnya yang Maha Agung lagi Maha Besar. Kekhusyu'kan ini membawa seseorang itu kepada penghayatan solat yang sepenuhnya dan ia adalah sesuatu yang tidak mudah digambarkan dengan perkataan mahupun lisan.

Khusyu' dalam solat amat dituntut dan dengan ia seseorang itu dapat memperoleh hasil solat yang menuju kejayaan hakiki sepertimana firman Allah Azza waJalla: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu' dalam solatnya. [Maksud surah al-Mu'minun 23 - 1,2]. Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga telah menerangkan keutamaan solat yang khusyu' dengan sabda beliau: Tidaklah salah seorang dari kamu berwudhu' kemudian membaguskan wudhu'nya kemudian berdiri lalu solat dua raka'at , dia menumpukan perhatian dengan hati dan wajahnya maka dia telah mewajibkan bagi dirinya syurga.[1]  Walaubagaimanapun, di sebalik tuntutan dan penekanan yang amat berat kepada kekhusyu'kan dalam solat, ia tidaklah menjadi syarat sah bagi ibadah solat itu. Semua Mazhab Fiqh ahli Sunnah wal Jamaah yang empat tidak mengkategorikan khusyu' sebagai salah satu syarat sah solat.[2] Dalil yang digunakan oleh para ahli usul ialah hadith berikut ini:

Daripada Abu Hurairah radiallahu-anhu, sesungguhnya Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda:

Apabila dilaungkan azan untuk solat maka syaitan yang mempunyai kentut itu pergi sehingga dia tidak mendengar azan itu lagi. Kemudian jika azan sudah selesai ia datang kembali. Dan apabila dibacakan iqamat dia pergi (semula). Maka apabila sudah selesai iqamat ia datang lagi sehingga ia membisikkan antara seseorang dan hatinya , (dengan) ia berkata -

'Ingatlah ini, Ingatlah itu' - untuk sesuatu yang tidak diingatnya sehinggakan seseorang itu menjadi tidak tahu berapa raka'at dia sudah solat.

Maka jika seseorang di antara kamu tidak tahu apakah dia sudah solat tiga atau empat raka'at hendaklah dia sujud (iaitu sujud sahwi-P) dua kali sedang dia tetap dalam keadaan duduk.[3]

Dalam hadith di atas, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menerangkan bahawa seseorang yang bersolat biasa sahaja akan diganggu oleh syaitan dengan berbagai taktik yang menghalang kekhusyu'kan solat akan tetapi ini tidaklah membatalkan solat tersebut sekalipun sehingga seseorang itu terlupa terus bilangan rakaa'atnya. Dari hadith ini Imam asy-Shaukani menerangkan: Gerakan hati tidaklah membatalkan solat sekalipun berlangsung lama. Hadith ini menunjukkan bahawa bisikan hati di dalam solat tidak membatalkannya. Begitu juga semua bentuk gerak hati kerana dalam hal ini tidak ada yang membezakan.[4]

Selain hadith di atas terdapat beberapa lain kisah riwayat yang menerangkan bahawa gangguan kekhusyu'kan itu tidaklah membatalkan solat. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam selaku seorang manusia juga tidak terlepas dari sifat kekurangan khusyu' dalam solat sebagaimana terang Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhu: Kami mengucapkan salam kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, pada waktu itu baginda sedang solat. Baginda menjawab salam kami. Ketika kami kembali dari rumah Najasyi, kami sekali lagi mengucapkan salam kepada baginda. Tetapi kali ini baginda tidak menjawabnya lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bukankah kami pernah mengucapkan salam kepadamu ketika kamu sedang solat dan kamu menjawab salam kami? Rasulullah  bersabda: Sesungguhnya di dalam solat terdapat kesibukannya tersendiri. [5]

Selain dari hadith di atas terdapat juga riwayat yang menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam selaku imam pernah memendekkan bacaan ayat Qur'an selepas al-Fatiha apabila mendengar tangisan bayi kerana enggan memberatkan ibu bayi tersebut manakala dalam satu riwayat lain Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah bergegas bangun sejurus sahaja selepas habis solat. Apabila ditanya oleh para sahabat, beliau menerangkan bahawa ketika sedang solat beliau teringat akan sekeping logam emas yang masih tersimpan dalam rumahnya lalu beliau tidak mahu berlengah-lengah lagi untuk mensedekahkannya. Amirul Mu'minin Umar al-Khattab radiallahu-anhu pernah menerangkan bahawa dia memikir-mikirkan tentang strategi ketenteraannya ketika sedang solat.[6] Semua hadith-hadith ini menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah adakalanya tidak khusyu' dalam solatnya sehingga sedar akan hal-hal di sekelilingnya dan itu sememangnya adalah sesuatu yang lazim bagi setiap manusia.

Rumusan dari beberapa keterangan rinkas di atas menunjukkan bahawa tidak khusyu' dalam solat tidaklah membatalkan solat tersebut. Setiap manusia memiliki sifat kelaziman yang pasti sahaja akan teringat, terfikir dan terlintas berbagai isu dan persoalan di benak hatinya mahupun di akal fikirannya sesuai dengan suasana dan kondisi dia berada. Ini semua adalah sesuatu yang diketahui oleh Allah Subhanahu waTa'ala dan justeru itulah Dia tidak membebankan manusia dengan sesuatu yang di luar kemampuannya. Akan tetapi ini tidaklah bermakna seseorang itu boleh meremehkan faktor kekhusyu'kan di dalam etika solatnya. Setiap individu muslim tetap wajib berusaha dan sentiasa wajib berusaha mencari dan mendapatkan kekhusyu'kan dalam setiap ibadah solatnya.[7]

Pergerakkan dalam Solat.     

Sebelum dimulakan huraian ini disalinkan dahulu beberapa hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam -

[1] Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma berkata: Aku bertanya kepada Bilal tentang bagaimana Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menjawab salam apabila para sahabat memberi salam kepadanya ketika sedang solat ? Bilal menjawab: Beliau memberi isyarat dengan tangannya.[8]

[2] A'isyah radiallahu-anha berkata: Pada suatu kali aku mengetuk pintu rumahku ketika Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sedang solat sunat. Pada waktu itu pintu rumahku berada di arah qiblat. Mendengar ketukan aku, beliau berjalan ke kanan atau ke kiri menuju ke pintu (lalu membukanya). Setelah membukakan pintu beliau kembali meneruskan solatnya.[9]

[3] Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata: Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah menyuruh kami membunuh ular dan kala jengking ketika sedang solat.[10]

Tiga hadith sahih di atas dijadikan dalil oleh para fuqaha bagi membolehkan pergerakkan yang harus ketika sedang melaksanakan solat. Hadith pertama menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab salam yang diucapkan kepada beliau ketika sedang solat dengan isyarat tangan, adakalanya dengan jari beliau dan adakalanya dengan tapak tangan beliau.[11]  Sementara hadith kedua menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah berjalan dalam solatnya untuk membukakan pintu bagi isterinya yang hendak masuk ke rumah manakala hadith ketiga pula menerangkan anjuran / suruhan membunuh ular dan kala jengking (dan apa-apa lain binatang merbahaya) sekalipun ketika sedang solat.

Selain itu banyak lagi riwayat-riwayat hadith yang menerangkan pergerakkan yang dibolehkan dalam solat, contohnya ialah yang menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah mendukung cucunya ketika sedang mengimami solat fardhu manakala dalam satu riwayat lain pula pernah Husain radiallahu-anhu naik dan duduk di atas belakang Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ketika beliau sedang sujud lalu beliau melamakan sujudnya itu sehinggalah Husain turun semula.   Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah solat di malam hari dalam rumahnya yang tidak berlampu dan apabila sujud beliau terpegang kaki isterinya A'isyah radiallahu-anha lalu dialihkan ke tepi dari arah qiblatnya sementara dalam satu suasana yang lain pula serban beliau pernah jatuh dari kepala ketika sujud lalu beliau mengangkatnya semula ke atas kepala. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila mengimami solat-solat yang fardhu adakalanya bersolat di atas mimbar bagi mengajar makmum akan cara-cara bersolat dan apabila tiba giliran bagi sujud, beliau akan turun dari mimbar dan bersujud kemudian naik semula ke atas mimbar bagi meneruskan solatnya. Beliau juga pernah solat dengan memakai kasut lalu kemudian diketahui bahawa kasutnya itu bernajis lalu beliau terus membuka kasut itu dan meneruskan solatnya. Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila diberi salam ketika sedang solat beliau menjawabnya dengan isyarat tangan. Beliau juga pernah berdehem-dehem dalam solatnya sebagai isyarat dan beliau juga mengajar kaum wanita yang bersolat jamaah agar menepuk tangan bagi membetulkan imam yang tersilap.[12]

Himpunan dari keseluruhan hadith-hadith di atas menunjukkan bahawa pergerakkan yang terpaksa dalam solat adalah dibolehkan tanpa membatalkan solat tersebut. Hanya sahaja yang dibolehkan ialah pergerakkan yang benar-benar perlu bagi menjaga kemaslahatan solat atau suasana sekeliling. Pergerakkan yang sengaja adalah tidak dibolehkan malah ianya membatalkan solat tersebut, seperti sengaja berjalan-jalan, sengaja menggoyang-goyangkan kaki atau tangan, solat sambil memandang ke sana-sini dan sebagainya.

Sesetengah pendapat mengatakan bahawa pergerakkan dalam solat hanya dibolehkan bagi solat sunat akan tetapi pendapat ini dikira lemah kerana banyak hadith-hadith lain yang menunjukkan adanya pergerakkan yang dilakukan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam solat-solatnya yang fardhu lagi berjemaah.[13] Sesetengah pendapat lain pula mengatakan bahawa pergerakkan dalam solat hanya dibolehkan kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam seorang sahaja, akan tetapi pendapat ini juga tertolak memandangkan wujudnya beberapa riwayat hadith dari para sahabat yang turut mencontohi perbuatan bergerak dalam solat apabila perlu. Salah satu antaranya ialah yang tercatit dalam kitab Sahih Bukhari:

al-Azraq bin Qais radiallahu-anhu menceritakan bahawa Abu Barza al-Aslami sedang berada di Azwaz (daerah di Iraq-P) di tebing sebatang sungai. Di sana dia bersolat sambil memegang tali kendati kuda tunggangannya. Apabila kudanya hendak bergerak maka Abu Bazrahpun mundur mengikutinya sama.

Kebetulan hadir seorang Khawarij di situ lalu katanya: Ya Allah ! Celakalah orang itu ! Lihatlah bagaimana dia bersolat !  Setelah selesai solatnya Abu Bazrah berkata: Telah saya dengar ucapan itu tadi. Tetapi ketahuilah saya telah mengikuti Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam peperangan sampai enam, tujuh atau lapan kali. Jadi saya mengetahui selok-belok masalah serta keringanan-keringanan yang diajarkan beliau.

Maka mundur mengikuti binatang itu adalah lebih penting bagiku daripada membiarkannya kembali ke tempatnya (di persekitaran liar-P) yang pasti sahaja akan menyusahkan aku.[14]

Terdapat perbincangan yang mendalam di kalangan para fuqaha tentang sekadar manakah bilangan pergerakkan dalam solat yang dibolehkan. Ada yang berpendapat ianya adalah tiga kali maksimum, ada yang membahagikan ia kepada pergerakkan anggota ringan atau anggota berat, ada yang mengira samada perbuatan itu sengaja atau tidak sengaja dan ada yang melihat samada perbuatan itu mencacatkan bentuk solat itu atau tidak.[15] Walaubagaimanapun penganalisaan dari keseluruhan dalil-dalil yang ada serta perbandingan antara beberapa pendapat-pendapat ini mendapati bahawa yang benar adalah tiada dalil jelas yang menetapkan sebanyak manakah pergerakkan yang dibolehkan atau tidak dibolehkan. Penelitian yang mendalam dalam bab ini merumuskan bahawa jumlah pergerakkan yang dibolehkan tanpa membatalkan solat seseorang itu bergantung kepada keadaan, situasi dan suasana yang dihadapi oleh seseorang itu.

Pergerakkan yang dibolehkan dalam solat adalah selari dengan suasana yang dihadapi oleh orang yang bersolat itu. Contohnya bagi seorang yang sedang berada di rumahnya sudah tentu tiada alasan kukuh bagi dia melakukan apa-apa pergerakkan di dalam solatnya manakala bagi seseorang yang solat di masjid pergerakkan yang perlu adalah sekadar berjalan bagi memenuhi ruang saf yang kosong di hadapannya. Berbeza pula bagi seseorang yang solat di sempadan perperangan sudah tentu dia memerlukan pergerakkan yang lebih banyak seperti memegang senjata, melihat-lihat di sekeliling dan bersiap sedia menghadapi serang hendap musuh. Demikian juga bagi seseorang yang menghadapi bahaya ancaman orang jahat atau binatang berbisa, sudah tentu pergerakkan yang perlu bagi menghindar bahaya ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditetapkan kiraannya.

Pendek kata, pergerakkan di dalam solat adalah dibolehkan atas tujuan memelihara kemaslahatan solat tersebut dan suasana sekelilingnya. Dalam sumber-sumber nas al-Qur'an dan as-Sunnah tidak terdapat penetapan jelas akan bilangan atau kadar pergerakkan yang dibolehkan. Akan tetapi kefahaman dari himpunan keseluruhan dalil-dalil yang ada menunjukkan bahawa kebolehan pergerakkan dalam solat adalah dibolehkan selari dengan suasana dan situasi yang dihadapi oleh orang yang bersolat itu dan ia berbeza antara satu suasana dengan suasana yang lain. Pergerakkan yang jelas lagi pasti tidak dibolehkan ialah pergerakkan yang sengaja tanpa sebarang tujuan atau manfaat disebaliknya.[16]

Bagi seseorang yang sedang solat di dalam pesawat terbang, atau mungkin sahaja dalam apa-apa medium pengangkutan yang lain, sudah tentu adakalanya akan timbul suasana yang memaksa dia melakukan satu atau lebih pergerakkan seperti mengalih badan bagi arah qiblat yang baru, menyesuaikan bentuk badan bagi rukuk dan sujud di ruang kecil, menepi atau berjalan bagi membolehkan orang lain yang hendak berjalan apabila sedang solat di ruang yang sempit, memegang atau bersandar sebentar kepada sesuatu apabila pesawat bergoyang dan banyak lagi hal-hal yang seumpama. Pergerakkan seperti ini dipandang sebagai sesuatu yang perlu dan ianya tidaklah dipandang sebagai sesuatu yang membatalkan solat mahupun mengurangi kesempurnaannya.

Nota Tambahan I

Pendapat yang masyhur tempatan menyatakan bahawa pergerakkan dalam solat adalah dibolehkan sehingga 3 kali maksimum di mana jikalau melebihi bilangan ini akan batallah solat orang itu. Pendapat ini disandarkan kepada ajaran Mazhab Shafie. Benarkah demikian ? Rujukan kepada hujah penerangan Imam an-Nawawi, seorang Imam Mujtahid besar bagi Mazhab Shafie mendapati bahawa dibolehkan sesuatu pergerakkan itu dalam solat apabila suasana memerlukannya. Adapun batas 3 kali sebagai ukuran membatalkan solat adalah bagi perbuatan yang tidak mempunyai tujuan atau objektif di sebaliknya. Berikut diturunkan penerangan Imam an-Nawawi:

Kesimpulan dari pendapat sahabat-sahabat kami (Mazhab Shafie) ialah pekerjaan yang tidak masuk ke dalam perbuatan solat jika banyak membatalkan solat. Ini merupakan kesepakatan seluruh ulama kami. Jika menurut pendapat yang benar lagi masyhur, pekerjaan yang dibolehkan dalam solat ialah pekerjaan yang lumrah berdasarkan ukuran adat kebiasaan iaitu seperti isyarat untuk menjawab salam, membuka atau menanggalkan kasut, mengangkat serban dan meletakkannya, memakai kain ringan dan menanggalkannya, mendukung anak kecil, menolak orang yang melintas di hadapan, menggosok ludah yang diludahkan dan yang seumpama.

Adapun pergerakan yang dipandang banyak oleh adat kebiasaan ialah seperti melangkah beberapa kali dan beriring-iring pula jelas membatalkan solat. Adapun satu langkah atau sekali pukul tidaklah ia di pandang banyak. Tegasnya ia tidak membatalkan solat. Tiga kali langkah atau tiga kali pukul dipandang sebagai pergerakan yang banyak dan ia membatalkan solat.

Menurut mazhab kami (mazhab shafie) bahawa pekerjaan yang sedikit yang tidak membatalkan solat dihukum makruh terkecuali di beberapa suasana: Pertama  -   dikerjakan kerana lupa, Kedua - dikerjakan kerana ada keperluan, Ketiga - dikerjakan kerana sememang diharuskan seperti membunuh ular, lipan dan sebagainya; dan seperti menolak orang yang melintas dihadapan dan orang yang membuat kejahatan terhadap diri orang yang sedang solat.[17]

Nota Tambahan  II

Penerangan dalam bab Pergerakkan dalam solat ini banyak melibatkan hadith-hadith yang khusus membicarakan beberapa etika solat yang sabit dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Mungkin ada yang bertanya atau tertanya, adakah semua perbuatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam itu boleh kita ikuti dan contohi ? Bukankah beliau seorang Nabi Allah, seorang Rasul Allah dan seorang yang amat mulia kedudukannya di sisi Allah Azza waJalla sehingga mungkin dikhaskan kepada beliau beberapa perkara yang tidak dikhaskan kepada kita umat beliau selaku manusia biasa? Tambahan lagi bukankah beliau seorang yang maksum lagi terpelihara dari dosa ?

Sebenarnya persoalan ini pernah timbul di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sendiri dan hadith berikut disalin sebagai muqaddimah penjelasan -   Ata' ibnu Yasar radiallahu-anhu menerangkan bahawa pernah sekali seorang sahabat telah mencium isterinya padahal dia ketika itu sedang berpuasa. Perbuatannya ini merunsingkan dirinya lalu dia mengutuskan isterinya kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam supaya ditanyakan hal itu. Isterinya menemui Ummu Salamah radiallahu-anha, isteri kepada Nabi dan menceritakan hal itu kepadanya lalu Ummu Salamah menerangkan bahawa Nabi sendiri biasa menciumnya ketika berpuasa.     Si isteri itu kembali kepada suaminya dan menceritakan hal itu tetapi suaminya bertambah runsing dengan berkata: Kita bukanlah sama dengan Rasul Allah. Allah membolehkan kepada RasulNya itu (Muhammad-P) apa sahaja yang IA sukai.

            Lalu si isteri itu kembali semula menemui Ummu Salamah dan didapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada bersamanya. Bertanya Nabi: Apa tujuan wanita itu? Ummu Salamah menerangkan apa yang telah terjadi lalu beliau bersabda: Bukankah kamu telah memberitahu dia bahawa aku sendiri melakukannya? Berkata Ummu Salamah: Aku telah memberitahunya tetapi apabila diterangkan kepada suaminya dia menjadi bertambah runsing dan berkata - Kita bukanlah sama dengan Rasul Allah. Allah membolehkan kepada RasulNya itu (Nabi SAW) apa sahaja yang IA sukai.

(Mendengar itu) Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjadi marah lalu bersabda: Demi Allah ! Aku adalah yang paling bertaqwa kepada Allah di antara kalian dan yang paling tahu mengenai aturan-aturan Allah. [18]

Hadith di atas menerangkan bahawa setiap perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam itu adalah di atas dasar ketaqwaan yang sebenar kepada Allah Ta'ala dan bukan semata-mata kerana beliau adalah seorang yang maksum lagi tiada berdosa. Segala perbuatan beliau adalah dalam batasan dan aturan syari'at Allah dan tidak terkeluar dari itu. Dengan marah Nabi menyangkal dakwaan bahawa kononnya perbuatannya itu adalah suatu kesengajaan yang diluar batas aturan Allah Azza waJalla.

Hadith di atas juga adalah merupakan salah satu dalil yang dijadikah hujah oleh para ahli usul fiqh bagi menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam itu tidaklah terhad bagi dirinya seorang sahaja tetapi adalah umum mencakupi keseluruhan umatnya sehingga ke akhir zaman (lihat mana-mana kitab usul fiqh atas tajuk sunnah fi'iliyyah). Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidaklah berlaku dua, lain untuk dirinya dan lain pula untuk umatnya. Setiap perbuatan beliau dalam hal-hal ibadah adalah hujah dalam agama dan setiap perbuatan beliau dalam hal-hal kehidupan duniawi adalah teladan untuk kita ikuti. Malah menolak sunnah beliau yang merupakan kemudahan syari'at atas alasan ia hanya khas untuk seorang utusan Allah pernah disanggah oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut:

Bagaimana keadaan orang-orang yang telah sampai kepada mereka sesuatu yang aku beri kemudahan lalu mereka tidak suka bahkan menjauh pula darinya ? Maka Demi Allah ! Sesungguhnya akulah orang yang paling tahu di antara mereka tentang Allah dan orang yang paling bertaqwa kepadaNya.[19]

Harapnya dua hadith di atas adalah mencukupi bagi menjawab persoalan atau keraguan yang timbul dalam bab ini. Setiap perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang disabitkan dengan hadith yang sahih adalah merupakan hujah agama yang wajib kita taati tanpa sebarang alasan atau tanda tanya keraguan.

Kesimpulan

1.     Khusyu' dalam solat adalah sesuatu yang amat dituntut oleh ajaran Islam tetapi ia bukanlah syarat penentu sah atau tidaknya solat tersebut.

2.     Seseorang itu wajib berusaha mencari suasana dan keadaan yang tenang bagi mendirikan solatnya secara khusyu' akan tetapi jikalau suasana itu tidak berjaya ditemuinya maka dia tetap wajib melaksanakan solatnya. Alasan mengqadha solat di lain masa adalah sesuatu yang diluar lingkungan ajaran syari'at Islam.

3.     Pergerakkan yang terpaksa dalam solat atas tujuan memelihara solat dan juga suasana sekelilingnya tidaklah membatalkan solat tersebut malah ianya diharuskan.


 

[1]              Maksud hadith dari Uqbah bin Amir radiallahu-anhu, diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah, - al-Muntaqa min Kitab at-Targhib wat Tarhib lil Mundziri, no: 0196.

[2]              Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 1/524-545. Sesetengah pendapat para ahli Tasawuf menletakkan khusyu' sebagai syarat sah solat tetapi ini ditolak oleh para ahli usul fiqh - lihat huraian Imam as-Sha'nani dalam kitab beliau - Subul-us-Salam, 1/442.

[3]              Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al-Lu'-Lu' wal-Marjan - hadith no: 0334.

Hadith di atas juga mengajar kita akan perbuatan sujud sahwi sebagai pelengkap terhadap sebarang keraguan, kelupaan atau kesilapan dalam kaedah perlaksanaan solat. Perbincangan berkenaan sujud sahwi amatlah luas lagi mendalam dan para pembaca sekalian dijemput menelaah mana-mana kitab fiqh muktabar bagi menuntut ilmu mengenainya.

[4]              Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 2/729-732.

[5]              Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al-Bayan - no: 0296.

Perhatian Adalah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab salam di dalam solatnya sepertimana hadith di atas berlaku sebelum turunnya ayat melarang bercakap dalam solat, iaitu firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam surah al-Baqarah ayat 238 bermaksud: Dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyu'. Selepas turunnya ayat ini Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabat hanya menjawab salam dalam solat dengan memberi isyarat tangan atau jari sahaja dan tidak lagi dengan lisan sebagaimana akan dikemukakan hadithnya berikut nanti. [Imam Ibnu Hajar Asqalani - Fath-ul-Bari, 3/48]

Hadith di atas dikemukan sebagai dalil bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah leka dalam solatnya sehingga dapat mendengar dan menjawab salam para sahabat manakala di ketika lain beliau tidak menjawabnya kerana sedang khusyu'.

[6]              Setiapnya mengikut turutan [1] Riwayat Imam Bukhari dari Abu Qatadah radiallahu-anhu, Misykat al-Masabih, 3/367/478 [2] Riwayat Imam Bukhari dari Uqbah bin Haris radiallahu-anhu, Misykat al-Masabih, 2/33/44 [3] Riwayat Imam Bukhari dari Umar al-Khattab radiallahu-anhu, Nail-ul-Authar, 2/730.

[7]              Shaikh Ali al-Thantawi - al-Fataawa, 1/235-239, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam - Fatwa al-Mu'ashirah, 331-333, Imam Ibnu Qayyim - Za'ad-ul-Maad, 1/216-220.

Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie dalam bukunya Pedoman Solat, ms 74 dan seterusnya cenderong menyatakan bahawa khusyu' itu adalah syarat sah bagi ibadah solat. Berbagai dalil dikemukakan beliau bagi menyokong pendapat ini. Sebenarnya jikalau dianalisa antara dalil-dalil tersebut beserta dalil-dalil yang dikemukakan oleh pihak yang tidak mewajibkan khusyu' sebagai syarat sah solat, kita akan dapat mencapai kefahaman bahawa khusyu' itu adalah suatu yang amat ditekan dan dituntut oleh ajaran Islam tetapi ianya tidaklah diwajibkan sebagai hukum sah atau tidak solat itu.

[8]              Maksud atsar dari Sunan Tirmizi - no: 0356

[9]              Maksud atsar dari Sunan an-Nasai - no: 1179. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi. Menurut Imam Tirmizi hadith ini bertaraf hasan [Nail-ul-Authar, 2/728]

[10]            Maksud hadith dari Sunan an-Nasai - no: 1175. Berkata Imam al-Baihaqi dalam kitabnya Syarh-us-Sunnah bahawa anjuran ini tidak terhadap kepada dua binatang itu sahaja tetapi termasuk juga apa-apa binatang lain yang merbahaya. [Nail-ul-Authar, 2/728].

[11]            Lihat Za'ad-ul-Maad, 1/217-218 oleh Imam Ibnu Qayyim.

[12]            Shaikh al-Fairuz  Zabadi dalam kitabnya ash-Shirathal Mustaqeem, disalin dari Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, 3/ 334.

[13]            Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 3/332.

[14]            Maksud atsar sahabat dari Sahih Bukhari, no: 2/302.

[15]            Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/11-12.

[16]            Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 3/333-336 , Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 2/725-729 , Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 1/538-540 , Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam 1/414-423 , Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/168-177.

[17]            Imam an Nawawi - Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 4/92-94.

[18]            Maksud hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwattha' - 18-5-13 dan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad, 5/434 ; disahihkan oleh Shaikh Nasiiruddin Albani dalam Silsalah al-Hadith as-Sahihah, no: 329.

[19]            Maksud hadith dari A'isyah ra, diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahihnya - 7/90 dan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad - 6/45/181.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan