|
Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab: Tokoh Yang Dizalimi.
karangan : Mas’ud al-Nadwiterjemahan : Mohd Amin Yaacob |
|
Bab Keempat: Hakikat Dakwah
Keburukan politik al-Syeikh Muhammad Abduh (m.1323H) seorang tokoh pembaharu di Mesir serta murid kepada al-Sayyid Jamal al-Din al-Afghani. Beliau pernah meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala daripada politik dan keburukannya. Ungkapan terkenal Muhammad Abduh mengenai perkara ini berbunyi: “Apabila politik memasuki sesuatu maka rosaklah sesuatu itu.” Kenyataan beliau mempunyai kebenaran. Ini kerana pemimpin politik tidak membezakan antara halal dan haram dalam mencapai matlamat perjuangan. Dalam konteks ini pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam yang dilabelkan sebagai “gerakan Wahabi” bukan pergerakan yang membawa perkara baru. Ia hanya memperjuangkan pendidikan yang sahih bersumberkan al-Qur’an serta al-Sunnah. Namun disebabkan angkara politik, gerakan ini diperuntukkan gelaran sedemikian sehingga ia dianggap terkeluar dari agama Islam. Sesuatu yang malang apabila tiga kerajaan yang berpengaruh turut bekerjasama menyatakan penentangan terhadap penduduk Najd. Sehubungan ini berlaku peperangan melibatkan kerajaan Turki, Mesir dan India dengan golongan Wahabi. Para penguasa (Ashraf) Mekah serta penyokongnya turut menyatakan kemarahan mereka ke atas golongan Wahabi disebabkan sumber pendapatan dari hasil pemberian serta nazar disekat.[1] Penjelajah Barat sama ada berbangsa Inggeris serta lainnya turut mengambil sikap tidak meredhai pergerakan keagamaan yang sahih ini. Secara ringkas boleh dikatakan negara serta pertubuhan yang pelbagai jenis itu sentiasa berusaha melancarkan serangan ke atas perjuangan dakwah al-Syeikh al-Imam bagi mencapai matlamat yang berbeza. Ini menyebabkan Wahabi dianggap sebagai pergerakan yang amat menakutkan. Sehubungan ini pergerakan pembaharuan (tajdid) serta kepimpinan yang diasaskan al-Sayyid Ahmad al-Syahid al-Barawelli serta al-Syeikh Ismail al-Syahid al-Dahlawi turut dilabelkan sebagai gerakan Wahabi. Kemaafan mungkin boleh diberikan kepada golongan yang menerima pembohongan palsu ini pada masa lampau. Ini disebabkan hasil penulisan penduduk Najd tidak banyak disebarkan. Sebaliknya kemaafan tidak boleh diberi kepada golongan mutakhir di saat hasil penulisan al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya tersebar luas di segenap lapangan dan tempat.
Madzhab fekah al-Syeikh al-ImamSecara ringkas al-Syeikh al-Imam merupakan tokoh yang berittiba’ (mengikuti) al-Salaf al-Solih dalam pegangan mahupun pengamalan. Beliau mengikuti madzhab Imam Ahmad bin Hanbal (m.246H) dalam urusan berkaitan ilmu fekah. Namun apabila mendapati sesuatu hadith yang menyalahi madzhab Hanbali maka beliau berpegang teguh dengan hadith tersebut. al-Syeikh al-Imam berkata:
Dalam perkara cabang, madzhab kami ialah madzhab Imam Ahmad bin Hanbal, imam ahl-al-Sunnah. Namun apabila ternyata kepada kami sunnah yang sahih dari Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam kami beramal dengannya. Kami tidak meletakkan kenyataan sesiapapun di atas sabdanya.[2]
al-Syeikh al-Imam kerapkali mengambil kenyataan Imam Ibn Taymiyyah atau Imam Ibn al-Qayyim. Beliau tidak bertaklid dengan membuta-tuli. Beliau hanya mengikuti kenyataan keduanya yang tidak bercanggah dengan al-Qur’an serta al-Sunnah. al-Syeikh al-Imam mengulas:
Imam Ibn al-Qayyim serta gurunya merupakan imam ahl al-Sunnah yang hak. Hasil penulisan mereka berdua di sisi kami merupakan hasil karya yang amat bernilai. Namun kami tidak bertaklid kepada mereka dalam semua permasalahan.[3]
Kesimpulannya al-Syeikh al-Imam mengikuti madzhab Hanbali dalam bidang fekah. Walaubagaimanapun beliau tidak memaksa sesiapapun untuk mengikuti tindakannya. Di sisinya seorang yang bermadzhab al-Syafie dibenarkan kekal dengan madzhab al-Syafie, begitu juga pengikut madzhab ahl al-Sunnah lainnya. Namun perbuatan bid’ah serta taklid yang melampau bukan merupakan pegangan imam empat madzhab. Beliau berkata:
Kami mengikuti madzhab Imam Ahmad bin Hanbal dalam perkara cabang. Kami tidak mengingkari sesiapa yang bertaklid kepada salah satu dari madzhab imam empat madzhab….hingga akhir.
Beliau menambah:
Kami tidak berhak melakukan ijtihad secara mutlak serta tidak menyeru kepada perkara sedemikian. Namun merujuk kepada beberapa permasalahan, sekiranya kami memperolehi keterangan yang kuat berdasarkan al-Qur’an serta al-Sunnah yang sahih kami akan mengikutinya serta meninggalkan pandangan madzhab Hanbali berkait permasalahan itu.[4]
Akidah beliauDalam perkara akidah al-Syeikh al-Imam berpegang kepada madzhab salaf. Beliau menetapkan sifat-sifat ketuhanan sebagaimana termaktub dalam al-Qur’an serta hadith. Beliau beriman dengan zahir sifat tanpa membicarakan bagaimana ciri-ciri sifat itu. Ini merupakan pegangan madzhab salaf. Hakikatnya permasalahan sifat merupakan perkara yang menyebabkan wujud pertelingkahan di kalangan ulama’. Satu golongan menjauhkan diri dari tasybih (menyerupakan) serta takyif (menyatakan bagaimana) manakala golongan lain mentasybih serta mentakyifkan sifat. Selain itu golongan Asy’airah mentakwilkan ayat al-Qur’an serta hadith kerana takut mentasybihkan sifat Tuhan. Mereka mengatakan apa yang dikehendaki dengan “al-Istiwa” ialah menguasai, Yadullah (tangan Allah) dengan “kekuasaan” serta “pemberian” manakala ‘Ain (mata) dengan “penjagaan” dan sebagainya. Sebaliknya madzhab salaf serta pengikut mereka tidak meredhai pentakwilan sebegini. Daripada mana kamu mengetahui apa yang kamu kehendaki dari pentakwilan itu merupakan perkara yang dikehendaki Allah? Selain itu golongan takwil ini kadangkala melakukan pentakwilan yang sangat jauh dari kebenaran sehingga pembaca akan ketawa dengan perbuatan mereka. Sekiranya diteliti kitab Musykil al-Hadith penulisan Ibn Faurak akan didapati perkara bodoh seperti ini. Dalam konteks ini Imam Ibn Taymiyyah berkata:
Madzhab salaf serta imam empat madzhab mensifatkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan apa yang disifatkan Allah terhadap diri-Nya serta apa yang disifatkan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam serta para sahabat radiyallahu ‘anhum. Mereka mensifatkan perkara ini tanpa tahrif (mengubah), ta’thil (merosakkan maksud), takyif (menyatakan bagaimana) serta tamthil (memberikan contoh). Tidak diharuskan menafikan sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang disifati oleh diri-Nya. Selain itu tidak diharuskan membuat perbandingan sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan menyerupakannya dengan sifat makhluk. Hakikatnya Dia tidak menyerupai makhluk sama ada dari sudut dzat, sifat mahupun perbuatan.
Madzhab salaf merupakan madzhab di atas dua persimpangan. Ia merupakan madzhab petunjuk di atas kesesatan: iaitu menetapkan sifat dengan menafikan penyerupaan dengan makhluk.[5]
Ini merupakan pegangan madzhab salaf iaitu antara al-ithbat serta al-nafi. Mereka tidak mentakwilkan al-yad (tangan) serta al-‘ain (mata) serta selainnya di kalangan sifat. Sebaliknya mereka beriman dengan zahir ayat dengan menafikan tamsilan yang menyerupakan sifat Tuhan dengan makhluk-Nya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja yang Maha Mengetahui bagaimana serta hakikat. Kita wajib beriman tanpa melakukan penambahan, pengurangan serta penolakan. Sebaik-baik kenyataan mengenai persoalan ini ialah ungkapan Imam Malik bin Anas, Imam Dar al-Hijrah yang berbunyi:
al-Istiwa’ ghair majhul (al-istiwa bukanlah sesuatu yang tidak diketahui), wa al-kaif ghair ma’qul (sedangkan bagaimana tidak boleh difikir dengan akal), wa al-iman bihi wajib (beriman kepadanya wajib), wa al-sual ‘anhu bid’ah (bertanya mengenainya bid’ah).[6]
Dalam konteks ini madzhab salaf bukan madzhab Hanbali sahaja atau Ibn Taymiyyah atau al-Syeikh al-Imam tetapi madzhab para pemimpin Islam. Mereka mengelakkan diri dari melakukan takwil serta menafikan tasybih. Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Muhammad bin Hassan, Imam Sa’ad bin Mu’az al-Mawarzi, Imam ‘Abd. Allah bin al-Mubarak, Imam Sufyan al-Thauri, Imam al-Bukhari, Imam al-Tirmidzi, Imam Abu Daud al-Sijistani serta selainnya berpegang teguh kepada jalan ini.[7] Apa yang menarik, Imam Abu Hassan al-Asy’ari sendiri kembali berpegang teguh kepada madzhab salaf sebagaimana Imam al-Haramain. Madzhab salaf merupakan madzhab keseluruhan para sahabat serta tabi’in. Pentakwilan wujud apabila manusia menyibukkan diri menggunakan akal fikiran. Golongan al-Asya’irah terkemudian serta para ulama’ terkemudian, madzhab mereka adalah madzhab pentakwilan. Oleh itu pengajaran akidah di institusi keagamaan pada zaman mutakhir berasaskan madzhab pentakwilan. Sepatutnya kita berpegang teguh serta beriman dengan kenyataan al-Qur’an serta Ahadith tanpa ta’thil serta takyif sebagaimana yang dilakukan golongan salaf. Pegangan salaf merupakan pegangan golongan al-tawhid serta al-sunnah yang ikhlas. al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya berpegang teguh dengan landasan ini. Madzhab salaf dalam perkara sifat merupakan madzhab yang terkenal sehingga menjadi pegangan keseluruhan imam empat madzhab serta tokoh ulama’ terdahulu seperti Ibn Taymiyyah. Namun pemikiran al-Asya’irah menyebabkan umat Islam melihat jalan kebenaran ini sebagai jalan golongan jahil yang membekukan akal pemikiran. Sebaliknya al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab berpegang teguh dengan madzhab salaf sebagaimana Imam Ibn Taymiyyah. Bagi memahami perkara ini dengan mendalam pembaca boleh merujuk kitab Jala’ al-‘Aynain fi Mahakimah al-Ahmadain yang ditulis al-Alusi. Ternyata di dalamnya ulama’ terdahulu seperti al-Syeikh ‘Abd. al-Qadir al-Jailani (m.565H) serta Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari (m.334H) berpegang teguh kepada madzhab salaf.
Tauhid serta syarat-syaratnyaal-Syeikh al-Imam sangat memberikan perhatian persoalan tauhid dalam penulisannya.[8] Ini kerana dakwah beliau merupakan dakwah kepada mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga simbol kepada perjuangannya ialah: Lailahaillallah. Sehubungan ini pengikutnya di segala lapangan dan tempat dikenali sebagai golongan al-Muwahhidin. Apa yang dimaksudkan dengan tauhid? al-Tauhid ialah mengikhlaskan peribadatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja. Perkara ini amat jelas namun tali atau belitan syaitan (haba’il al-syaitan) amat luas juga. Menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam mengikhlaskan tauhid dengan mengelakkan diri dari melakukan perkara syirik sama ada dari sudut pengamalan atau pengucapan. al-Syeikh al-Imam dengan penuh kesungguhan berusaha memelihara perkara tauhid dari dicemari kerosakan. Namun para pemimpin yang menyaksikan risalah tauhid yang diperjuangkannya di setiap lapangan dan tempat berterusan bergelumang dengan peribadatan terhadap kubur, makam dan sebagainya. Sekiranya dikemukakan kepada mereka ayat al-Qur’an serta al-Sunnah yang sahih mereka akan mentafsirkannya pula. Pemimpin dakwah al-Salafiyyah serta pengikutnya akan dilabelkan sebagai golongan Wahabi, musyrik, khawarij, terkeluar dari empat madzhab dan sebagainya. Di sisi mereka perbuatan jenayah yang dilakukan al-Syeikh al-Imam ialah apabila beliau menyeru kepada dakwah tauhid serta menolak perbuatan syirik dengan segala kekotorannya. Ia meliputi permasalahan seperti pengabdiaan kepada makhluk selain Allah, bersumpah serta bernazar selain kepada Allah serta peribadatan kepada kubur dan makam. Berikut dinyatakan peribadatan yang menyalahi tauhid sehingga mendekatkan diri kepada syirik di sisi al-Syeikh al-Imam serta ahl al-Sunnah wa al-Jamaah:
Pertama: Memohon kepada selain Allah ketika musibah atau memohon selain-Nya disamping memohon kepada-Nya. Golongan penentang serta golongan jahil membenarkan permohonan dilakukan seperti berikut: “Wahai Rifa’ie, wahai Badawi, wahai ‘Abd. al-Qadir ataupun permohonan yang biasa dilakukan masyarakat di India: wahai Rana Bir Bahur, wahai Makhdum atau wahai Makhdum Munhajin” dan seumpamanya. Ternyata ungkapan mereka suatu bentuk peribadatan. Ini walaupun tidak diperbahaskan niat si penyeru. Hakikatnya apabila golongan ini menyeru dengan pengucapan sedemikian apa yang mereka inginkan ialah permohonan bagi menghilangkan musibah, penjagaan atau memohon sesuatu manfaat serta menolak kemudaratan. Ini merupakan perbuatan yang menyalahi tauhid secara hakiki. al-Din Islam yang lengkap serta sempurna tidak merangkumi pengucapan sebegini. Sehubungan ini sesiapa yang menyeru kepada selain Allah apabila menghadapi musibah akan termasuk ke dalam dua keadaan:
وَالَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِهِ مَا يَمْلِكُونَ مِن قِطْمِيرٍ
إِن تَدْعُوهُمْ لَا يَسْمَعُوا دُعَاءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا مَا اسْتَجَابُوا لَكُمْ
وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُونَ بِشِرْكِكُمْ
وَلَا يُنَبِّئُكَ مِثْلُ خَبِيرٍ
Sedangkan mereka yang kamu sembah - yang lain dari Allah - tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma. Kalau kamu memohon kepada mereka (yang kamu sembah itu): mereka tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu pohonkan itu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tidak ada yang dapat memberi tahu kepadamu (wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha Mendalam PengetahuanNya. (Surah Fathir: 13-14)
Kedua: al-Istigoshah. Ia merupakan permohonan kepada al-Ghauth (pembantu) selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Hukum mengenainya menyamai hukum memohon kepada selain Allah. Abu Yazid al-Bustami berkata:
“al-Istigoshah makhluk kepada makhluk umpama al-Istigoshah seorang tahanan kepada tahanan yang lain.”[9]
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda yang diriwayatkan oleh al-Tabrani yang bermaksud: “Janganlah bermohon kepadaku tetapi bermohonlah kepada Allah Subhanahu WaTa’ala.”[10]
Ketiga: al-Tawassul. al-Tawassul dibahagikan kepada 3 bahagian seperti berikut:
Tawassul bahagian ketiga tidak diamalkan para sahabat radiyallahu ‘anhum sama ada ketika Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam masih hidup atau setelah wafat. Ia merangkumi perkara meminta hujan (al-istisqo’) serta selainnya sama ada di sisi kubur baginda atau dari jarak jauh. Para sahabat tidak pernah bertawassul dengan dzat seorang Rasul atau wali Allah walau dalam keadaan apa sekalipun. Ketiga perkara di atas merupakan gambaran kepada al-Tawassul. Bahagian pertama iaitu tawassul dengan beriman kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam serta mentaati baginda merupakan tawassul yang disyariatkan buat selama-lamanya. Bahagian kedua iaitu tawassul dengan bermohon kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam ketika masih hidup (bukan dengan dzatnya setelah wafat) serta dengan syafaat baginda di akhirat kelak. Kedua perkara ini bermanfaat serta dituntut tanpa sebarang keraguan. Sesiapa yang mengingkari kedua bahagian tawassul ini maka dia menjadi kafir atau murtad sebagaimana yang diperjelaskan Syeikh al-Islam Imam Ibn Taymiyyah. Dalam konteks ini wujud suatu permasalahan setelah kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam seperti dikatakan ketika menziarahi kubur: Assalamualaikum! Ini hanya pengucapan memberi salam kepada mereka. Perbuatan yang dilarang ialah memohon kepada penghuni kubur atau yang tidak hadir kerana ia merupakan perbuatan bid’ah.[11] Sehubungan ini ‘Umar ibn al-Khattab radiyallahu ‘anh pernah berkata:
“Ya Allah!, Kami dahulu bertawassul kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami maka engkau turunkan hujan kepada kami. Kini kami bertawassul kepada-Mu dengan ayah saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan.[12]
Umar bertawassul kepada Abbas selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Apa yang dimaksudkan dengan tawassul di sini ialah doa atau memohon kepada Abbas supaya berdoa. Merujuk kepada tawassul bahagian ketiga iaitu bertawassul kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi dzat para anbiya ‘alayhimussolatuwassalam serta golongan salihin seperti ungkapan: “Daku bermohon kepada Ya Allah dengan jah (kedudukan) hamba-mu atau dengan keutamaannya” merupakan bentuk tawassul yang diperselisihkan ulama’ hukumnya. Ulama’ Hanbali mengatakan hukumnya makruh yang tercela (makruh tahriman). Imam Abu Hanifah serta ulama’ Hanafi lainnya turut berpandangan demikian. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada pernyataan berikut: “Makhluk tidak mempunyai hak ke atas al-Khaliq.” Imam Ibn Taymiyyah, al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya turut mengikuti pandangan ini. Mereka tidak mengharuskan bertawassul dengan dzat Nabi atau wali. Dalam konteks ini mereka bukan membawa sesuatu yang baru tetapi mengikuti sesuatu yang disepakati ulama’ madzhab Hanafi serta Hanbali. al-Syeikh ‘Izz al-Din ‘Abd. al-Salam bersendirian di kalangan ulama’ terdahulu yang mengharuskan bertawassul dengan dzat seorang Nabi. Namun beliau mengharuskan bertawassul hanya kepada dzat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam sahaja[13] seperti ungkapan: “Ya Allah, daku bertawassul kepada-Mu dengan Nabi serta kekasih-Mu Muhammad” atau “Ya Allah, daku bermohon kepada-Mu dengan Jah (kedudukan) Nabi-Mu Muhammad.” Di kalangan ulama’ terkemudian yang mengharuskan bertawassul dengan dzat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam ialah Imam al-Syaukani (m.1251H). Hakikatnya imam empat madzhab tidak pernah mengharuskan perbuatan ini. Cubaan sebahagian ulama’ terkemudian mengharuskannya telah membuka pintu pelbagai jenis perbuatan bid’ah yang tidak memberi faedah kepada umat Islam. Bagi mengetahui secara mendalam persoalan tawassul pembaca boleh merujuk kitab khusus seperti al-Tawassul wa al-Wasilah yang ditulis Imam Ibn Taymiyyah serta al-Intiqod al-Rajih ‘ala Hasyiah Jala’ al-‘Ainain, hlm.269-315.
Keempat: al-Isti’azah. Ilmu tauhid mewajibkan seseorang itu tidak meminta perlindungan (isti’azah) kepada makhluk. Seseorang itu semestinya meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta menerusi al-Asma dan sifat-sifat-Nya. Sehubungan ini Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah mengatakan al-Qur’an merupakan kalam Allah bukan makhluk berdasarkan kepada hadith yang bermaksud: “Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna.” Sekiranya kalam Allah merupakan makhluk maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam memperlindungkan diri kepada makhluk apabila mengungkapkan doa di atas. al-Qur’an turut mengutuk golongan kafir kerana meminta perlindungan kepada selain Allah seperti kepada jin-jin. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. (Surah al-Jin: 6)
Dalam konteks ini syair terkenal yang dinamakan “al-Burdah” mengandungi ungkapan yang tidak berhak disandarkan melainkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
Wahai makhluk yang
mulia (merujuk kepada Nabi),
Ungkapan melampau al-Burdah menyebabkan Imam al-Syaukani walaupun mengharuskan bertawassul dengan dzat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam turut menyatakan penentangan beliau terhadap syair yang terkenal ini.[14]
Kelima: Bersumpah kepada selain Allah. Hakikatnya bersumpah kepada selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala merupakan perbuatan yang menafikan kesempurnaan tauhid. Walaupun perkara ini disepakati ulama’ masih wujud kalangan awam mahupun sebahagian golongan khusus yang melakukannya. Sehubungan ini di seluruh negara kaum muslimin terdapat individu yang bersumpah dengan para anbiya’ ‘alayhimussolatuwassam atau wali Allah. Sesiapa yang menentang perbuatan mereka akan dilabelkan sebagai Wahabi walaupun sipenentang ini tidak mengetahui apa itu Wahabi. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi bermaksud: “Barangsiapa bersumpah selain kepada Allah maka dia melakukan perbuatan syirik.”[15] Adakah tegahan yang lebih dahsyat dari sabda baginda ini? Imam Abu Hanifah berkata: “Tidak harus seseorang itu bermohon kepada Allah melainkan dengan Allah jua.” Imam Abu Hanifah mengingkari sesiapa yang berkata: “Dengan kemegahan ‘Arasy-Mu atau dengan Haq makhluk-Mu.” Tidak diharuskan bersumpah serta bermohon kepada selain Allah buat selama-lamanya. Imam Abu Yusuf mengizinkan ungkapan: Dengan kemegahan ‘Arasy-Mu kerana yang memiliki serta beristiwa’ di atas ‘Arasy hakikatnya ialah Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua. Namun Imam Abu Hanifah mengingkarinya. Dalam konteks ini bermohon dengan hak makhluk hukumnya makruh yang tercela di sisi para ulama’ sebagaimana perbincangan terdahulu.
Keenam: Menziarahi kubur. Hukum syariat membenarkan menziarahi kubur dengan syarat tertentu.[16] Umat Islam diharuskan menziarahi kubur para anbiya ‘alayhimussolatuwassalam, golongan salihin, kaum muslimin dan kubur golongan kafir dengan tujuan mengingati mati. Menziarahi kubur kaum muslimin hukumnya sunat dengan syarat tidak melakukan perkara yang ditegah seperti bermohon kepada penghuni kubur. al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya tidak mengingkari ziarah kubur. Mereka hanya menyatakan penentangan terhadap perbuatan bid’ah yang dilakukan ke atas kubur mahupun penghuninya seperti bermohon serta meminta syafaat. Ziarah kubur sebagaimana yang terdapat di zaman kita tidak termasuk ke dalam kategori “ziarah”. Ini disebabkan ia dipenuhi perbuatan bid’ah serta khurafat. Dalam konteks ini wujud pelbagai hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam mengenai larangan pembinaan masjid di atas kubur.[17] Berpandukan hadith-hadith ini pengikut al-Syeikh al-Imam berusaha meruntuhkan binaan di atas kubur kerana ia menyalahi hukum syariat. Hakikatnya peristiwa meruntuhkan binaan kubur ini dilakukan sejak zaman Imam al-Syafie (m.204H) lagi. Imam al-Syafie menyebutkan dalam kitab al-Umm para penguasa pada zamannya meruntuhkan binaan di atas kubur sedangkan para ulama’ tidak mengkritik perbuatan mereka. Imam al-Nawawi turut menyebutkan perkara ini dalam kitab Syarh Muslim.[18] Berdasarkan perbincangan di atas jelas kepada kita bahawa al-Syeikh al-Imam tidak menyeru kepada agama baru atau madzhab baru. Beliau sendiri berpegang kepada madzhab Imam Ahmad bin Hanbal (hanbali). Seruan dakwah beliau merupakan seruan berpegang teguh kepada al-Qur’an serta al-Sunnah sahaja. Di sisinya biarlah seorang al-Syafie kekal dengan madzhab al-Syafienya, begitu juga penganut madzhab lain.
kembali
[1] Majoriti penduduk Mekah dan Madinah ketika itu hidup dengan berdasarkan sumber pendapatan yang diperolehi dari penjagaan kubur dan makam. Namun sumber pendapatan ini dihentikan apabila golongan Wahabi menawan Mekah pada 1218H. Kesannya golongan ini menyatakan penentangan dengan menyebarluaskan segala bentuk pendustaan ke atas golongan Wahabi di setiap lapangan dan tempat. Al-Jabarti menyebut peristiwa yang berlaku pada bulan Safar 1218H: “Majoriti penduduk Mekah menemui jemaah haji dengan menasihati mereka supaya melarikan diri dari golongan Wahabi. Sebahagian mereka menyatakan kepada jemaah haji bahawa golongan Wahabi merupakan kaum khawarij atau golongan kafir.” (Jil. 2, hlm.558) [2] al-Hidyah al-Saniyyah, hlm.99 [3] al-Hidyah al-Saniyyah, hlm.53 [4] Margoliouth menulis satu rencana mengenai perselisihan antara Imam Ahmad bin Hanbal dengan al-Syeikh al-Imam. Ini tidak lain berpunca dari kebodohan si Margoliouth. Antara perkara karut yang beliau nyatakan: “Solat berjemaah wajib di sisi al-Syeikh namun tidak wajib di sisi Imam Ahmad.” (rencana al-Wahabiyyah, Dai’rah al-Maa’rif al-Islamiyyah) [5] Sodiq Hassan Khan, al-Intiqod al-Rajih ‘ala Hasyiah Jala’ al-‘Ainain, hlm.403 [6] al-Intiqod al-Rajih ‘ala Hasyiah Jala’ al-‘Ainain, hlm.212 [7] al-Intiqod al-Rajih ‘ala Hasyiah Jala’ al-‘Ainain, hlm.229 [8] Tidak ada sebarang keraguan bahawa al-Syeikh al-Imam amat memberi perhatian persoalan akidah melebihi persoalan lain. Namun beliau tetap menulis persoalan lain seperti fekah, sirah serta hadith. (penterjemah). [9] al-Intiqod al-Rajih ‘ala Hasyiah Jala’ al-‘Ainain, hlm.303 [10] Dalam konteks ini diharuskan al-Istigoshah kepada orang yang hidup dalam perkara yang ia mampu lakukan. Yang ditegah ialah bermohon kepada orang yang sudah mati, kubur dan makam. [11] al-Intiqod al-Rajih ‘ala Hasyiah Jala’ al-‘Ainain, hlm.284 [12] Misykat al-Masobih, bab al-Istisqo’ [13] Namun beliau turut mengatakan: sekiranya sah hadith mengenainya. al-Durr al-Nadhid, hlm.6 [14] al-Durr al-Nadhid, hlm.29 [15] Tuhfah al-Ahwazi, Jil. 5, hlm.135. Hadith lain yang senada dengan hadith di atas bermaksud: “Sesiapa yang bersumpah selain kepada Allah maka dia seorang kufur atau syirik.” Menurut Imam al-Tirmidzi hadith ini hadith hassan (penterjemah). [16] Ziarah yang dimaksudkan di sini bukan melakukan perjalanan menziarahi kubur. [17] Bagi mengetahui secara mendalam sila rujuk Tahdhir al-Sajid man Ittiqadh al-Qubur Masajid karangan al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-AlBani. (penterjemah) [18] al-Hidyah al-Saniyyah: Hasyiah al-‘Allamah al-Sayyid Rasyid Ridha, hlm.49
|