|
Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab: Tokoh Yang Dizalimi.
karangan : Mas’ud al-Nadwiterjemahan : Mohd Amin Yaacob |
|
Bab Pertama: al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab: Kehidupan serta perjuangan
Semenanjung Tanah Arab ketika umat Islam majuNegeri Hijaz kehilangan fungsi kepimpinan sejak pemerintahan Bani Umayyah. Penguasa Damsyik menjadikannya sebahagian dari wilayah untuk ditadbir serta kota yang didiami golongan bangsawan. Sementara itu Abu Muslim al-Khurasani merampas kepimpinan bangsa Arab pada 132H. Kerajaan ‘Abbasiyyah turut mengamalkan polisi ini sehingga akhirnya ia merupakan kerajaan yang dipimpin golongan ‘ajam (bukan Arab) dari masa ke semasa. Pengaruh Turki mula bertapak ketika pemerintahan khalifah al-Mu’tasim (218-227H/833-882M) sehingga menguasai pemerintahan. Namun masyarakat Arab tidak terlibat dalam perubahan ini. Ketika kaum muslimin berada di zaman kemewahan pusat ilmu muncul di Baghdad serta Cordova, Sepanyol. Sehubungan ini cahaya serta petunjuk menyelubungi Universiti al-Azhar, al-Zaituniyyah serta Qarawiyyin. Kerajaan Turki membebaskan Constantinople dari empayar Byzantin manakala Sulaiman yang Agung/the Great (926-974H/1520-1566M) meluaskan lagi wilayah pemerintahan Turki. Tentera Moghul menguasai India namun unta-unta di Tanah Arab dengan lenanya tidur di padang pasir. Kerajaan Turki Uthmaniyyah menguasai Hijaz selama beberapa abad serta memperuntukkan sebahagian besar sumber pendapatan Mesir untuk mentadbir Mekah dan Madinah. Namun bahasa Turki dijadikan bahasa rasmi di pejabat serta urusan pentadbiran. Allahu Akbar! Kerajaan khalifah muslimin menguasai tempat turunnya wahyu namun mempergunakan bahasa yang tidak ada kaitan dengan bahasa al-Qur’an. Betapa ajaib dunia ini serta lemahnya para penguasa serta kepimpinan sehingga menjadikan bahasa Turki bahasa rasmi apabila bangsa Turki menguasai pemerintahan. Sementara itu sebahagian masyarakat Arab menyibukkan diri mereka dengan penjagaan kubur serta aktiviti meminta sedekah dan merompak, persis sebagaimana zaman jahiliyyah terdahulu.
Ketika umat Islam meninggalkan Kitab Allah serta Sunnah Rasul-Nya lantas mengambil pelbagai jenis sembahan selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mereka menyeru serta bermohon kepada al-Badawi serta al-Rifaie di Mesir, ‘Abd. al-Qadir al-Jailani di Iraq serta India, Ibn ‘Abbas di Mekah serta Taif dan Ibn ‘Ulwan di Yaman [1]. Sebahagiannya mengambil berkat serta bermohon kepada pokok serta batu-batan. Apabila gejala ini berleluasa di Tanah Arab, muncul cahaya petunjuk serta kebenaran kalimah tauhid di lembah yang kering kontang lantas menyinari alam.al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab berhasrat menyebarkan cahaya suci ini menerusi perjuangan yang berterusan.
Dunia Islam ketika lahirnya al-Syeikh al-Imam Hakikatnya dunia Islam berada pada krisis pemikiran serta moral ketika penghujung abad ke 8 hijrah. Pintu ijtihad serta pemikiran tertutup sejak sekian lama. Aktiviti serta pengamalan umat Islam menjadi semakin mundur dari masa ke semasa. Keadaan ini semakin dahsyat pada kurun ke 12 hijrah sehinggakan golongan kafir merasa hairan apabila membandingkan keadaan kaum muslimin ketika itu dengan generasi awal Islam di zaman para sahabat radiyallahu ‘anhum. Lothrop Stoddard, seorang penulis Amerika mengulas:
Ajaran Tauhid Nabi Muhammad yang murni diselaputi perkara khurafat serta alam kesufian. Masjid dalam keadaan usang serta kosong dari peribadatan. Kebanyakan golongan jahil memakai tangkal azimat yang digantung di tengkuk mereka. Golongan ini menyukai cerita fantasi yang disampaikan fakir miskin serta kumpulan darwish yang berkelana dari satu tempat ke tempat lain. Selain itu mereka gemar menziarahi makam para wali lalu memohon hajat serta syafaat di sisi kubur. Pengajaran al-Qur’an diketepikan.
Lantas golongan ini berterusan meminum arak, menghisap ganja serta terlibat dalam aktiviti pelacuran dan perbuatan keji lainnya. Mekah serta Madinah sepertimana bandar Islam lainnya turut dicemari aktiviti yang tidak sepatutnya. Penunaian haji sebagaimana yang disyariatkan telah disalahgunakan. Boleh dikatakan roh serta semangat Islam meninggalkan sebahagian umatnya. Sekiranya Nabi Muhammad kembali ke dunia ini sudah tentu beliau akan mengutuk umatnya di kalangan mereka yang layak menerima kutukan dengan istilah murtad serta penyembah berhala.[2]
Kenyataan di atas dikemukakan seorang penulis non-muslim.Namun tidakkah apa yang dinyatakannya terhadap umat Islam ketika itu merupakan suatu kebenaran? Berkata seorang pujangga terkenal Islam al-Amir Syakib Arsalan:
Sejarawan serta pengkaji yang mahir mengenai permasalahan yang menimpa umat Islam abad ke 17-18 mendapat banyak manfaat menerusi kajian penulisan Lothrop Stoddard, seorang penulis Amerika.[3]
David George Hogarth, seorang penulis barat turut mengulas:
Umat Islam mengalami kemunduran pada abad ke 18 masihi. Khalifah Uthmaniyyah kehilangan pengaruh serta kekuatan. Ini sehinggakan wilayah yang jauh dari pusat pemerintahan tidak mengiktiraf kekuasaannya. Negeri Yaman mengamalkan pemerintahan sendiri sejak beberapa abad manakala syarif (penguasa) Mekah bercita-cita melepaskan diri dari kekuasaan Turki. Kota Mekah yang merupakan pusat kerohanian bertukar sebagai tempat kemewahan serta kelazatan kebendaan. Tentera non-muslim menguasai sebahagian besar jajahan Turki.
Apa yang menarik sikap kemarahan serta kebencian yang wujud mutakhir ini terhadap penjajahan negara Perancis, Inggeris hilang taringnya pada zaman tersebut. Sekiranya umat Islam kehilangan keberanian bagaimana mungkin mereka menyampaikan seruan Islam?[4]
Ringkasan dari ungkapan di atas menunjukkan umat Islam ketika itu mengalami zaman kemunduran. Dengan ini amat mustahil mereka menghadapi arus kebangkitan sebagaimana yang di alami benua Afrika serta China abad ke 19 masihi.[5]
Negeri Najd sebelum lahirnya al-Syeikh al-Imam Najd merupakan negeri pendalaman kecil di Semenanjung Tanah Arab. Ia turut mengalami penyelewengan akidah sepertimana negeri lainnya. Di daerah Jubailah (di wadi Hanifah) kubur Zaid bin al-Khattab radiyallahu ‘anh menjadi tempat permohonan hajat. Di bandar al-Dar’iyyah terdapat kubur sebahagian para sahabat radiyallahu ‘anhum.Ia dijadikan pusat pengabdian golongan awam yang jahil. Di wadi Gubairah, makam Darar bin al-Azur dijadikan tempat perbuatan bid’ah serta khurafat. Golongan muda gemar mengunjungi sebatang pohon tua di Bulaidah al-Fida’. Kaum wanita turut mengunjunginya bagi memohon dikurniakan anak. Berhampiran tanah perkuburan al-Dar’iyyah wujud sebuah gua yang dijadikan tempat melakukan perkara keji serta memalukan.[6] Keseluruhan perbuatan ini dilakukan atas nama agama. Golongan ilmuan yang memahami syariat serta hadith tidak memiliki kekuatan diri bagi melaksanakan amal makruf serta mencegah kemungkaran. Kedudukan politik Najd bertambah buruk dari masa ke semasa. Perang saudara tercetus di seluruh daerah serta bandar negeri Najd. Dari sudut pemerintahan, Bani Khalid menguasai utara Najd (di Jabal Syammar) serta al-Ahsa. Ini sehinggakan daerah ‘Uyainah mengiktiraf kekuasaan Bani Khalid. Kabilah Anzah menguasai bandar al-Dar’iyyah. Daerah Manfuhah berdekatan al-Dar’iyyah ditadbir Dawwas. Sehubungan ini Najd merupakan sebuah negeri yang terdiri dari pelbagai daerah yang ditadbir oleh para penguasa.[7]
Kelahiran al-Syeikh al-ImamKetika suasana kegelapan serta kejahatan mendominasi umat, lahir Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah. Beliau dilahirkan di kediaman ilmuan ‘Uyainah[8] yang terkenal pada tahun 1115H/1703M.[9] Datuk beliau Sulaiman bin ‘Ali bin Musyarraf merupakan ulama’ terkemuka pada zamannya sehingga menjadi tempat rujukan. Beliau menulis sebuah kitab terkenal mengenai manasik (haji). Menurut penulis kitab al-Sohib al-Wabilah, majoriti golongan Hanbali menjadikan kitab ini sebagai rujukan dalam bidang manasik (haji).[10] Bapa saudaranya Ibrahim bin Sulaiman seorang alim yang dikenali ramai. Anaknya ‘Abd. al-Rahman (m.1206H) merupakan seorang ilmuan fekah serta ahli kesusasteraan Arab. Bapa al-Syeikh al-Imam iaitu ‘Abd. al-Wahhab bin Sulaiman (m.1153H) memiliki pengetahuan fekah yang luas. Beliau seorang kadi di ‘Uyainah serta Huraimila’. Sulaiman bin ‘Abd. al-Wahhab (m.1208H) serta anaknya ‘Abd. al-’Aziz (m.1263H) merupakan ilmuan terkenal. ‘Abd. al-’Aziz menetap di Huraimila’ ketika berlakunya serangan Mesir pada tahun 1236H. Setelah Huraimila’ berjaya ditawan, beliau dipenjarakan sehingga pelbagai musibah terpaksa dihadapi seperti rampasan hartabenda dan pembakaran perpustakaan miliknya.[11]
al-Syeikh al-Imam sejak kecil dikenali sebagai seorang yang cerdas serta memiliki ingatan dan hafalan yang kuat. Beliau menghafaz al-Qur’an sebelum mencapai usia sepuluh tahun. Beliau kemudian mempelajari kitab fekah madzhab Hanbali, hadith serta tafsir daripada bapanya. ‘Abd. al-Wahhab memuji kelebihan anaknya sehinggakan beliau turut mengambil manfaat dari keluasan ilmu serta melantik beliau sebagai imam walaupun masih muda. Setelah berlalu beberapa tempoh masa, al-Syeikh al-Imam menunaikan haji di Mekah serta menziarahi Madinah selama dua bulan. Setelah selesai ibadat haji beliau kembali ke ‘Uyainah menyibukkan dirinya menuntut ilmu daripada bapanya sehingga berjaya menulis 20 halaman pada setiap sesi pembelajaran.[12]
Perjalanan menuntut ilmuAllah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan al-Syeikh al-Imam jiwa serta perasaan yang sensitif terhadap persekitaran. Sehubungan ini beliau merasa amat sedih serta kecewa melihat penyelewengan yang dilakukan di perkampungan serta bandar negeri Najd. Sebahagian ulama’ turut terlibat dalam aktiviti keji yang dilakukan golongan awam. Dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi suasana ini beliau dengan penuh kesungguhan menuntut ilmu dari bapanya serta berhasrat memperdalami ilmu pengetahuan di Hijaz apabila menunaikan haji di Mekah serta menziarahi Masjid al-Nabawi di Madinah untuk kali kedua ketika mencapai usia 20 tahun.[13] Di Madinah al-Syeikh al-Imam menuntut ilmu kepada al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Ibrahim bin Saif, salah seorang ulama’ terkenal di Majma’ah Najd yang berhijrah ke Madinah.[14] Kesungguhan serta keikhlasan tuan syeikh ini dalam menanggani permasalahan yang berlaku di Najd ternyata menerusi dialog antara beliau dengan al-Syeikh al-Imam seperti berikut:
al-Syeikh ‘Abd. Allah: “Adakah engkau ingin daku memperlihatkan kepadamu senjata yang daku persiapkan untuk Majma’ah? (suatu tempat di Najd).” al-Syeikh al-Imam: “Ya.” al-Syeikh ‘Abd. Allah lantas membawa al-Syeikh al-Imam ke dalam kediamannya yang dipenuhi kitab-kitab sambil berkata: “Inilah senjata yang daku persiapkan untuknya.”[15]
Menerusi nasihat gurunya, al-Syeikh al-Imam seterusnya menuntut ilmu kepada al-Syeikh Muhammad Hayat al-Sindi (m.1165H) tokoh ulama’ hadith di Madinah. Beliau berguru serta menetap di sampingnya dalam tempoh masa yang lama.[16] Wujud keterangan mengatakan al-Syeikh al-Imam menuntut ilmu kepada al-Syeikh Ali al-Daghistani, tokoh ulama’ Syam (m.1199H) [kenyataan yang diragukan][17]. Selain itu kesesuaian tarikh serta keadaan yang berlaku tidak memungkinkan al-Syeikh al-Imam menuntut ilmu kepada al-Syeikh Sulaiman al-Kurdi al-Madani, seorang tokoh ulama’ hadith (m.1194H). Kenyataan penulisan sejarah kontemporari menyokong pernyataan ini.[18] al-Ustaz al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi menyebutkan bahawa Syah Wali Allah al-Dahlawi (m.1176H) serta al-Syeikh al-Imam menuntut ilmu dari tempat yang sama iaitu di al-Masjid al-Nabawi.[19] Namun beliau tidak menyebutkan nama guru yang mengajar di situ. Labib al-Batnuni turut menyatakan al-Syeikh al-Imam menuntut ilmu di kota Mekah. Namun kenyataan ini tidak diperkukuhkan menerusi pembuktian yang sah. al-Syeikh al-Imam seterusnya menuntut ilmu ke Basrah. Beliau berguru kepada al-Syeikh Muhammad al-Majmu’ie dalam bidang hadith serta bahasa Arab. Ibn Bisyr meriwayatkan dari gurunya ‘Uthman bin Mansur al-Nasiri bahawa anak-anak al-Syeikh al-Majmu’ie termasuk dalam lingkungan para ilmuan.[20] al-Syeikh al-Imam berhasrat melanjutkan pembelajaran ke Syam[21] namun disebabkan kekurangan bekalan beliau meneruskan perjalanan ke Huraimila’ (Najd) menerusi al-Ahsa’ yang merupakan tempat perpindahan ayahnya dari Uyainah pada 1139H/1726M.
al-Syeikh al-Imam sejak kecil memberi perhatian dalam melaksanakan amal kebaikan serta mencegah kemungkaran. Menerusi pembelajaran terhadap kitab fekah serta hadith beliau merasa amat dukacita melihat perbuatan bid’ah dilakukan penduduk ‘Uyainah. Lantas beliau berusaha mengatasi amalan yang menyalahi akidah. al-Syeikh Muhammad Hayat al-Sindi serta al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Ibrahim bin Saif al-Najdi merupakan antara tokoh yang banyak memberikan nasihat serta galakan kepadanya dalam melaksanakan perkara ini. Suatu ketika beliau melihat suatu golongan bermohon (al-Istigoshah) serta meminta perlindungan (al-Isti’azah) kepada makam Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Secara kebetulan muncul gurunya al-Syeikh Muhammad Hayat al-Sindi lantas beliau mengemukakan pertanyaan: “Apa pendapat tuan mengenai perbuatan mereka?” Tuan syeikh menjawab dengan menyatakan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
إِنَّ هَٰؤُلَاءِ مُتَبَّرٌ مَّا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Sesungguhnya mereka akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu. (Surah al-A’raf: 139)[22]
Ketika di Basrah al-Syeikh al-Imam mula melaksanakan tanggungjawab membasmi kemungkaran tanpa merasa takut melainkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Beliau menghadapi kesukaran besar tatkala melaksanakan perkara ini sehingga terpaksa meninggalkan Basrah. al-Syeikh Muhammad al-Majmu’ie turut menghadapi situasi yang sama disebabkan perhubungan rapat serta sokongan ke atas tindakan muridnya. Kemuncak dari peristiwa ini al-Syeikh al-Imam dihalau ke al-Zubair[23] dalam keadaan cuaca yang panas serta dengan berjalan kaki sehingga hampir mati disebabkan kehausan. Secara kebetulan Abu Hamidan, seorang lelaki yang salih membantu serta membawanya ke al-Zubair.[24] Setelah menetap beberapa ketika di al-Zubair, al-Syeikh al-Imam pulang ke Huraimila’ bagi meneruskan aktiviti membasmi kemungkaran serta menyebarkan tauhid serta akhlak Islam. Secara realiti Huraimila’ merupakan tempat di mana perjuangan dakwah beliau diasaskan. Beliau berhasrat agar wujudnya sentimen pembaikan serta kasih sayang golongan badwi sebagai penggantian terhadap tradisi mencuri, merompak serta pelbagai jenis aktiviti tidak bermoral. Apa yang dikehendakinya ialah pembaikan terhadap akidah golongan jahil supaya berpegang teguh dengan akidah yang hak menggantikan penyembahan palsu. Tindakan ini memerlukan keimanan yang ikhlas serta penuh kesungguhan. Dalam konteks ini al-Syeikh al-Imam mempamerkan sikap penuh kesabaran menghadapi segala rintangan serta kesukaran dalam menyeru kepada tauhid serta meninggalkan penyembahan serta beristigoshah (memohon hajat) kepada selain Allah seperti terhadap para salihin, kubur dan makam. al-Syeikh al-Imam melaksanakan tanggungjawab membasmi perbuatan bid’ah kepada kubur ini secara praktikal. Dalam konteks ini golongan penguasa serta kaum kerabat beliau ada yang mempamerkan sikap prejudis terhadap tindakannya. Namun al-Syeikh al-Imam berterusan dengan tindakannya dengan penuh kesabaran serta semangat yang cekal sehingga tersebar seruan dakwah di Huraimila’, ‘Uyainah, al-Dar’iyyah, Riyadh serta selainnya. Namun ia bergerak perlahan diperingkat permulaan disebabkan sikap tidak menyebelahi mana-mana pihak (neutral) yang ditunjukkan ayahnya.[25] Hanya setelah ‘Abd. al-Wahhab meninggal dunia pada 1153H/1740M, seruan beliau tersebar dengan meluas. Ini sehinggakan sebahagian penduduk Huraimila’ serta selainnya menjadi pengikut serta pembantu beliau yang setia. Selain itu majlis pengajian yang diasaskan mendapat sambutan hebat masyarakat setempat serta daerah lain. Di Huraimila’ al-Syeikh al-Imam menghasilkan penulisan Kitab al-Tauhid.[26]
Menetap di daerah ‘Uyainah pada 1157H/1744Mal-Syeikh al-Imam merasakan sukar melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan sekiranya di kelilingi pertelingkahan serta peperangan saudara. Keadaan ini wujud disebabkan setiap wilayah Najd mempunyai penguasa (amir)[27] tersendiri. Di Huraimila’ wujud dua kabilah saling bercakaran bagi menguasai kepimpinan.[28] Lantas al-Syeikh al-Imam bertekad menyatupadukan negeri Najd di bawah satu kepimpinan serta penguasa.[29] Beliau mengesyorkan perkara ini kepada Uthman bin Mu’ammar, penguasa daerah ‘Uyainah. Apabila Ibn Mu’ammar bersetuju dengan cadangan ini al-Syeikh al-Imam menuju ke ‘Uyainah dengan mendapat sambutan penghormatan dari penguasanya. al-Syeikh al-Imam turut dijodohkan dengan Jauharah binti ‘Abd. Allah bin Mu’ammar ibu saudara kepada Ibn Mu’ammar sehingga secara zahir terikat perhubungan kekeluargaan antaranya dengan Ibn Mu’ammar. Namun al-Syeikh al-Imam berkeyakinan hubungan kekeluargaan serta kabilah hanyalah jalan (wasilah) bagi mencapai maksud dan bukannya matlamat (ghayah). Beliau memperjelaskan kepada penguasa ‘Uyainah seruan dakwahnya dengan menghuraikan makna tauhid serta menuntut pertolongan serta bantuan darinya bagi merealisasikan perkara ini. al-Syeikh al-Imam menyatakan pendirian berikut secara ikhlas:
Daku berharap sekiranya dikau berdiri teguh menyokong perlaksanaan kalimah Lailahaillallah, Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan memperteguhkan kedudukanmu serta mengurniakan kepadamu Najd serta penguasaan ke atas golongan Badwi.[30]
Namun sesuatu yang menyedihkan di mana perkara ini tidak dapat dilaksanakan, disebabkan sikap tidak konsisten (di peringkat akhir) yang ditunjukkan Ibn Mu’ammar sehinggakan kelebihan ini berpindah dari ‘Uyainah ke daerah al-Dar’iyyah. Di peringkat permulaan penguasa ‘Uyainah berjanji memberikan sokongan serta bantuan kepada al-Syeikh al-Imam bagi melaksanakan kebaikan serta mencegah kemungkaran. Penduduk ‘Uyainah turut menyatakan sokongan dari masa ke semasa. Sehubungan ini al-Syeikh al-Imam mengambil tindakan memusnahkan beberapa pohon yang menjadi tumpuan perlakuan bid’ah sehingga mencapai kejayaan.[31] Di Jubailah wujud kubur yang dikatakan milik Zaid bin al-Khattab radiyallahu ‘anh yang mati syahid di Yamamah.[32] Kubur ini mempunyai kubah di sekelilingnya namun berjaya diruntuhkan setelah menghadapi beberapa rintangan. Ibn Bisyr menyebutkan peristiwa meruntuhkan makam ini seperti berikut:
al-Syeikh al-Imam: “Kami menyeru engkau (Ibn Mu’ammar) supaya membantu dalam meruntuhkan kubah yang didirikan di atas landasan kebatilan sehingga menjauhkan manusia dari petunjuk.” Ibn Mu’ammar: “Runtuhkanlah ia.” al-Syeikh al-Imam: “Daku takut penduduk Jubailah akan menentang usaha kami ini. Agak sukar bagiku melaksanakannya tanpa dikau bersamaku.”
Sehubungan ini Ibn Mu’ammar memberikan bantuan dengan menghantar 600 tenteranya. Apabila tiba di tempat yang dimaksudkan ternyata penduduk Jubailah bersedia untuk menghalang mereka. Apabila melihat kekuatan tentera Ibn Mu’ammar yang bersedia melancarkan peperangan mereka mengundurkan diri. Ketika Ibn Mu’ammar menghampiri makam tersebut dia berkata kepada al-Syeikh al-Imam:
“Kami tidak berupaya melaksanakannya.” al-Syeikh al-Imam menjawab: “Bawakan kepadaku sebilah kapak.”
Beliau seterusnya menghancurkan makam itu sehingga hampir sama rata dengan bumi. Tindakan al-Syeikh al-Imam tanpa diikuti sebarang kejadian buruk berjaya meyakinkan sebahagian golongan jahil bahawa kubur serta makam sama sekali tidak dapat memberikan sebarang bantuan serta manfaat.[33] Suatu yang menyedihkan apabila sebahagian ilmuan serta penguasa turut bergelumang dengan perbuatan bid’ah. Namun seruan serta jihad al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab berjaya mengangkat bendera kebenaran serta pendidikan Islam yang sebenar setelah sekian lama dunia Islam bergelut dengan kegelapan serta kesesatan. al-Syeikh al-Imam memerintahkan Ibn Mu’ammar supaya menghidupkan solat berjemaah di masjid serta menggantikan pungutan cukai dengan amalan zakat. Di ‘Uyainah al-Syeikh al-Imam mula menulis risalah perutusan kepada penguasa serta ulama lainnya yang berkekalan sehingga beliau meninggal dunia.[34]
Seruan dakwah mendapat sekatan di ‘Uyainah Perjuangan serta usaha pembaikan (al-Islah) hampir mencapai kejayaan sepenuhnya di ‘Uyainah. Antara yang dapat dilihat seperti berikut:
Suatu ketika seorang wanita datang menemui al-Syeikh al-Imam bagi menyatakan pengakuan kerana melakukan perbuatan zina serta ingin membersihkan dirinya dari dosa tersebut. Beliau memastikan terlebih dahulu pengakuan dibuat dengan kerelaan, tanpa dipaksa, bukan dirogol serta sihat akal fikiran. Setelah memenuhi syarat yang dimaksudkan, wanita itu dihukum dengan hukuman rejam. Individu pertama melemparkan batu ialah Ibn Mu’ammar, penguasa ‘Uyainah.[35]
Kejadian ini tidak disenangi penduduk sebahagian tempat serta wilayah, khususnya yang terlibat dengan aktiviti jenayah serta tidak bermoral. Golongan ini menyatakan bantahan serta perasaan tidak puas hati dengan menghantar pengaduan kepada Sulaiman bin ‘Ura’ir al-Humaidi iaitu penguasa al-Ahsa serta Qatif. Tindakan ini memberi kesan kepada dirinya sehingga beliau mengutus surat kepada Ibn Mu’ammar dengan berkata:
Si Mutawwi’[36] (merujuk al-Syeikh al-Imam) yang di bawah naungan engkau ini melakukan sekian - sekian perbuatan. Maka bunuhlah dia. Sekiranya dikau tidak melakukan demikian, kami akan memotong hasil cukaimu di al-Ahsa.[37]
Ibn Mu’ammar menerima hasil cukai tahunan mencecah 20,000 dirham. Disebabkan sikap tamak haloba serta tertarik dengan habuan keduniaan beliau tidak mengkotakan janjinya bagi melaksanakan dakwah serta kebenaran. Seolah-olah seruan dakwah masih belum terpahat di dalam jiwanya. Ibn Mu’ammar menyampaikan kenyataan Sulaiman bin ‘Ura’ir kepada al-Syeikh al-Imam. Namun beliau cuba meyakinkannya supaya meneruskan perjuangan dengan berkata:
Seruan yang daku tegakkan serta menyeru manusia kepadanya ialah kalimah Lailahaillallah, rukun Islam serta melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sekiranya dikau berpegang teguh serta membantu melaksanakannya Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengurniakan kemenangan kepadamu dalam menghadapi musuh. Janganlah kerisauan serta ketakutan terhadap Sulaiman menguasai dirimu.[38]
al-Syeikh al-Imam dengan penuh kesungguhan cuba mententeramkan perasaan Ibn Mu’ammar. Namun apabila jiwa dipenuhi ketakutan serta tamak haloba terhadap habuan keduniaan maka sebarang nasihat tidak memberi kesan. Sehubungan ini Ibn Mu’ammar menyatakan kepada al-Syeikh al-Imam:
Sulaiman memerintahkan kami membunuh engkau. Kami tidak mampu menyalahi perintah serta melancarkan peperangan terhadapnya. Namun bukan merupakan amalan serta kebiasaan kami melaksanakannya ketika engkau berada di dalam perlindungan kami. Maka keluarlah dikau dari negeri kami.[39]
Ibn Mu’ammar memerintahkan al-Syeikh al-Imam supaya keluar dari daerahnya dengan segera. Beliau ditemani seorang pengawal bernama Faridan al-Zafiri. Beliau mengharungi padang pasir dengan berjalan kaki sedangkan al-Zafiri mengikutinya di belakang sambil menunggang kuda. Ibn Bisyr meriwayatkan bahawa Ibn Mu’ammar memerintahkan kepada al-Zafiri supaya membunuh al-Syeikh al-Imam. Dalam perjalanan, al-Syeikh al-Imam sentiasa berzikir dengan membaca al-Qur’an. Antara ungkapan yang sentiasa meniti di bibir ialah firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُه
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (al-Talaq, 2-3)
Suatu ketika apabila al-Zafiri cuba melaksanakan arahan Ibn Mu’ammar, tiba-tiba datang suatu kekuatan ghaib ke atas dirinya sehingga beliau amat ketakutan serta membatalkan hasrat membunuh al-Syeikh al-Imam. Akhirnya kedua-duanya selamat sampai ke daerah al-Dar’iyyah.[40]
Menetap di daerah al-Dar’iyyah pada 1157-1158H al-Syeikh al-Imam meneruskan perjalanan ke al-Dar’iyyah setelah berjaya mengatasi rintangan serta sekatan Ibn Mu’ammar terhadapnya. Beliau tiba di sana pada waktu Asar dan menetap di peringkat permulaan di kediaman ‘Abd. Allah bin ‘Abd. al-Rahman al-Suwailim al-‘Arini. Beliau kemudian berpindah ke kediaman Ahmad bin Suwailim salah seorang murid kepada ‘Abd. al-Rahman. Apabila berita kedatangannya sampai kepada pengetahuan penguasa (al-Amir) al-Dar’iyyah Muhammad bin Saud, beliau serta kedua saudaranya Masyari serta Sunyan turut menziarahi al-Syeikh al-Imam serta mengikat janji setia untuk memberikan bantuan serta sokongan.[41] Kenyataan ini merupakan ringkasan sebagaimana dinyatakan Ibn Ghannam. Adapun Ibn Bisyr menyatakan secara lengkap peristiwa ini seperti berikut:
al-Syeikh al-Imam menuju ke al-Dar’iyyah serta tiba di sana pada waktu Asar. Beliau menetap seketika di kediaman Muhammad bin Suwailim al-‘Arini. Namun al-‘Arini merasa ketakutan kesan yang akan dihadapinya kerana mengizinkan tetamu ini menetap di kediamannya tanpa pengetahuan penguasa al-Dar’iyyah Muhammad bin Saud. al-Syeikh al-Imam lantas berkata: “Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengurniakan kepada kami serta kamu ketenangan serta jalan keluar.”[42]
Sokongan al-Amir (penguasa) Muhammad bin Saud al-Syeikh al-Imam menetap di kediaman Ibn Suwailim serta menjadikannya pusat seruan dakwah buat sementara. Golongan awam serta para ilmuwan berterusan menziarahi serta menceduk ilmu daripadanya. al-Syeikh al-Imam berhasrat mengadakan perhubungan dengan penguasa al-Dar’iyyah lalu memberitahu saudaranya Masyari serta Sunyan. Kedua mereka menyampaikan perkara ini kepada Maudo binti Abi Wahtan, seorang wanita salih serta isteri kepada penguasa al-Dar’iyyah. Maudo tertarik kepada seruan dakwah al-Syeikh al-Imam lantas memberitahu suaminya sambil berkata:
Lelaki yang datang kepadamu ini merupakan ganjaran dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Muliakanlah dia serta berikan sokongan serta bantuan kepadanya.[43]
Al-Amir Muhammad bin Saud terkenal sebagai seorang yang berakhlak mulia. Kenyataan isteri memberi kesan mendalam kepada jiwanya. Beliau bersegera mengadakan pertemuan yang berlangsung dalam suasana kasih sayang serta penghormatan. al-Syeikh al-Imam menyatakan kepadanya perkara asas seruan dakwahnya, maksud kalimah Lailahaillallah, melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta seruan jihad. Muhammad bin Saud seterusnya menyampaikan ucapan ringkas seperti berikut:
“Wahai tuan syeikh! Ini merupakan Din Allah serta Rasul yang tidak ada sebarang keraguan. Daku berjanji kepada tuan untuk membela agama Allah serta Rasul-Nya dan melaksanakan jihad kepada sesiapa yang menyalahi tauhid. Namun daku mengemukakan kepada tuan dua syarat:
Pertama, Sekiranya kami membantu tuan serta melaksanakan jihad di jalan Allah lantas Dia mengurniakan kemenangan kepada kita maka kami takut tuan akan meninggalkan negeri kami serta menuju ke tempat lain.
Kedua, Daku mengutip cukai tahunan musim menuai dari penduduk al-Dar’iyyah. Daku takut tuan tidak membenarkan kutipan terhadapnya.”
al-Syeikh al-Imam menjawab:
“Adapun syarat yang pertama: hulurkanlah tanganmu. Kita bersama-sama dalam senang mahupun susah. Darah dengan darah, kemusnahan dengan kemusnahan.
Adapun syarat kedua: semoga Allah mengurniakan kepadamu harta rampasan apa yang baik untukmu yang akan menggantikan pungutan cukaimu itu.”
al-Amir Muhammad bin Saud melaksanakan janji setia dengan al-Syeikh al-Imam untuk melaksanakan perkara kebaikan serta mencegah kemungkaran berpandukan kepada al-Qur’an serta al-Sunnah. Perjanjian ini dilaksanakan pada 1157H atau 1158H.[44] Peristiwa ini menyebabkan ramai kalangan pengikut serta penyokong al-Syeikh al-Imam berpindah dari ‘Uyainah ke al-Dar’iyyah. Termasuk di kalangan mereka sebahagian keluarga Ibn Mu’ammar, penguasa ‘Uyainah.
Ketika al-Syeikh al-Imam menetap di al-Dar’iyyah, penduduknya mula berpegang teguh dengan al-Qur’an serta al-Sunnah walaupun sebelumnya mereka terbelenggu dengan perbuatan bid’ah dalam tempoh yang lama. Kedatangan beliau ke al-Dar’iyyah yang diikuti dengan perjanjian antara dirinya dengan penguasa menyebabkan al-Dar’iyyah bertukar menjadi daerah yang mengamalkan cara hidup Islam yang penuh dengan kebaikan. Ibn Ghannam menyebutkan sebahagian nama individu yang berjuang dengan penuh kesungguhan bagi merealisasikan perjuangan dakwah al-Salafiyyah diperingkat permulaan. Antaranya ialah Masyari, Sunyan dan Farhan. Ketiga mereka merupakan saudara kepada Muhammad bin Saud.[45] Di kalangan ilmuan ialah Ahmad bin Suwailim serta ‘Isa bin Qasim. Di kalangan bangsawan serta mempunyai pengaruh ialah Muhammad al-Hazimi, ‘Abd. Allah bin Dagisir, Sulaiman bin al-Wasiqiri dan Muhammad bin Husin. Philip, seorang sejarawan barat mengulas:
Mereka merupakan wira golongan Wahabi (diperingkat permulaan). Mereka dihormati serta dipandang tinggi sehingga ke hari ini.[46]
Ibn Mu’ammar menyesal di atas tindakannya Ketika mendengar bahawa dakwah al-Syeikh al-Imam mendapat sambutan hebat di kalangan masyarakat dari masa ke semasa, Ibn Mu’ammar merasa gementar serta menyesal di atas tindakannya menghalau al-Syeikh al-Imam dari daerahnya. Beliau menziarahinya lalu memohon kemaafan serta mengesyorkan beliau kembali ke ‘Uyainah. al-Syeikh al-Imam dengan jelas menjawab:
Ini bukan urusanku untuk mengabulkannya. Silakan bertanya kepada Muhammad bin Saud. Sekiranya beliau ingin daku mengikutimu daku akan lakukan. Sekiranya beliau ingin daku berada bersamanya daku akan menuruti kehendaknya.[47]
Ibn Mu’ammar lantas menyatakan permohonan kepada Muhammad bin Saud namun beliau tidak rela mengabulkan permintaan walaupun dikurniakan hadiah seberapa banyak sekalipun.
al-Dar’iyyah merupakan sebuah daerah kecil. Sebelum kedatangan al-Syeikh al-Imam ia merupakan tempat yang dipenuhi aktiviti golongan awam yang jahil. al-Syeikh al-Imam melaksanakan program pengajian Islam di masjid berpandukan al-Qur’an serta al-Sunnah dari siang hingga ke malam. Antara perkara yang diberikan perhatian ialah seruan kepada tauhid serta pengabdian secara ikhlas kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ia tertanam kukuh ke dalam sanubari manusia. Menerusi keutamaan majlis ilmu serta peringatan (al-tazkir) yang disampaikan ini maka hancurlah amalan tradisi yang diamalkan datuk nenek. Masyarakat mula menyedari amalan khurafat yang mereka lakukan menerusi kacamata al-Qur’an serta al-Sunnah. Masyarakat berpusu-pusu datang ke al-Dar’iyyah dari pelbagai lapangan dan tempat bagi mengikuti pengajian ilmu yang disampaikan al-Syeikh al-Imam. Sebahagian yang hadir terdiri dari golongan miskin yang terpaksa bekerja pada waktu malam bagi menampung kehidupan. Di siang hari mereka menumpukan perhatian menghadiri pengajian al-Qur’an serta hadith yang disampaikan al-Syeikh al-Imam. Disebabkan terlalu ramai yang menghadirinya al-Syeikh al-Imam sentiasa dalam keadaan berhutang bagi menampung keperluan sebahagian muridnya. Namun seruan dakwah berjalan dengan lancar serta tersebar dengan meluas dengan kedatangan masyarakat dari segenap tempat dari semasa ke semasa.[48]
Pengikut serta pendokong dakwah al-Syeikh al-Imam mula menyebarkan dakwah al-Salafiyyah di luar daerah al-Dar’iyyah. Mereka menyeru para penguasa Najd serta penduduk sekitarnya supaya menerima perjuangan suci ini. Dalam konteks ini mereka terpaksa menghadapi penentangan serta tohmahan dan pendustaan yang dilakukan golongan musuh. Namun hakikat kebenaran kekal mengatasi segala rintangan disepanjang masa. Penguasa ‘Uyainah mengikat janji setia buat kali kedua (1158/1159H) serta bersedia melaksanakan hukum syariat. Tindakan ini diikuti penduduk Huraimila’. al-Amir Muhammad bin Saud dikurniakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala ganjaran pungutan zakat serta khumus. Beliau meletakkan keseluruhannya di hadapan al-Syeikh al-Imam untuk digunakan sebagaimana yang sepatutnya. al-Syeikh al-Imam tanpa sebarang keraguan menyerahkan kembali keseluruhannya untuk dipergunakan di jalan Allah. Dalam konteks ini al-Amir Muhammad bin Saud serta penggantinya ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Saud (m.1179H/1865M) sentiasa mengadakan perundingan dengan al-Syeikh al-Imam mengenai ganjaran serta sumbangan yang diperolehi serta tidak membelanjakannya melainkan mendapat keizinan darinya terlebih dahulu. Namun al-Syeikh al-Imam tidak pernah menyimpan walau sedikitpun harta yang diperolehi sebaliknya menafkahkan keseluruhan pada jalan Allah. Ibn Bisyr menulis:
al-Syeikh al-Imam sentiasa berhutang bagi membantu golongan yang susah serta berhajat. Dikatakan bahawa ketika kota Riyadh berjaya ditawan di bawah tanggungannya ialah 4000 penduduk Najd. Namun ia berjaya dilunaskan menerusi harta rampasan perang (ghana’im).[49]
Setelah kota Riyadh berjaya ditawan, al-Syeikh al-Imam menyerahkan urusan negeri serta perbendaharaan kepada al-Amir ‘Abd. al-‘Aziz. Beliau memberikan perhatian sepenuhnya dalam mengajar serta menyampaikan ilmu. Namun ‘Abd. al-‘Aziz sentiasa menemuinya bagi meminta pandangan, nasihat serta menerima keputusan yang ditetapkan.
Seruan dakwah al-Syeikh al-Imam pada peringkat permulaan tertumpu di daerah Najd. Namun ia bukan satu-satunya tempat yang memerlukan kepada pembaikan sebaliknya melibatkan keseluruhan dunia Islam. Dalam konteks ini menjadi kebiasaan permulaan kepada usaha pembaikan dimulakan di tempat ia diasaskan. Sehubungan ini al-‘Uyainah, Huraimila’, al-Dar’iyyah serta al-‘Aridh merupakan pusat permulaan kepada dakwah al-Syeikh al-Imam. Apabila seruan dakwah mula menunjukkan kejayaan, beliau seterusnya meluaskan skop perjuangannya. Perutusan dihantar kepada ilmuan di luar negeri Najd supaya menyahut seruan dakwah serta menyatakan sokongan. Namun diperingkat permulaan hanya segelintir yang menerimanya. Majoriti di kalangan mereka menyatakan penentangan serta melemparkan tuduhan ke atasnya sebagai ahli sihir, jahil, penipu dan sebagainya. Di kalangan mereka yang menyahut seruan al-Syeikh al-Imam ialah al-Imam al-Mujtahid al-Amir Muhammad bin Ismail al-Son’ani (m.1182M). Apabila jelas kepadanya hakikat perjuangan al-Syeikh al-Imam, Imam al-Son’ani dengan segera menulis sebuah syair yang mendapat penerimaan baik dari para ulama’. Menerusinya beliau menyatakan pujian terhadap al-Syeikh al-Imam, mengkritik pembuat bid’ah serta penolakan keras terhadap fahaman wahdatul wujud.[50] Antara ungkapan syair berbunyi seperti berikut:
Datang berita gembira (iaitu al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab) Yang mengembalikan syariat Islam Beliau singkap kebodohan si jahil serta mubtadi’ maka beliau bersamaku Beliau kembalikan tiang-tiang agama dan menghancurkan makam keramat yang menyebabkan manusia menjadi sesat Mereka membuat kembali berhala seperti suwa, yaghuts, wad dan ini seburuk-buruk perbuatan Mereka memohon kepada berhala ini ketika susah seperti meminta kepada Allah Yang Maha Esa Berapa banyak yang tawaf di kubur sambil mencium dan mengusap dinding dengan tangan mereka
Faktor utama al-San’ani merasa amat sukacita disebabkan sangkaannya beliau bersendirian dalam menyatakan kebenaran. al-Syeikh al-Imam turut bergembira di atas syair Imam al-San’ani sebagaimana jelas menerusi sebahagian hasil penulisannya.[51] Antara ilmuan yang menyatakan penentangan terhadap al-Syeikh al-Imam ialah saudaranya Sulaiman bin ‘Abd. al-Wahhab (m.1208H). Beliau merupakan seorang kadi di Huraimila’ menggantikan tempat bapanya. Sulaiman menulis beberapa penulisan antaranya al-Sawaiq al-Ilahiyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahabiyyah bagi menyatakan penentangan terhadap al-Syeikh al-Imam. Namun risalah ini dipenuhi pendustaan sebagaimana dinyatakan Ibn Ghannam. Sehubungan ini al-Syeikh al-Imam menghasilkan beberapa penulisan sebagai jawapan terhadap saudaranya. Apa yang menarik, Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan petunjuk kepada Sulaiman sehingga di peringkat akhir hayat beliau bertaubat serta kembali menyatakan sokongan terhadap saudaranya.[52] Beliau menemui al-Syeikh al-Imam di al-Dar’iyyah pada tahun 1190H di mana ketibaannya disambut dengan sukacita serta penuh penghormatan.
Ibn Dawwas serta para penentang lainnya Dahham bin Dawwas[53] merupakan penguasa (al-Amir) bagi kota Riyadh. Beliau dikenali sebagai tokoh yang banyak mendatangkan penderitaan serta kesusahan terhadap golongan al-Muwahhidin (al-Salafiyyah). Hanya disebabkan berpegang teguh kepada seruan tauhid yang diperjuangkan al-Syeikh al-Imam mereka diperlakukan sebegini. Permusuhan ketat Ibn Dawwas terhadap al-Syeikh al-Imam serta Muhammad bin Saud bermula pada tahun ketiga (1159H) al-Syeikh al-Imam menetap di al-Dar’iyyah. Penentangan ketara Ibn Dawwas memaksa al-Syeikh al-Imam menasihati pengikutnya supaya bersedia dengan kekuatan senjata bagi mempertahankan diri. Dalam konteks ini berlaku pertembungan serta peperangan antara kedua pihak yang berlarutan hampir 30 tahun (1159-1187H). Di penghujung tahun 1187H, Ibn Dawwas mendapat berita ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Saud bersiap sedia melancarkan serangan ke atas kota Riyadh yang merupakan bandar terpenting di Najd. Ibn Dawwas dengan segera melarikan diri sementara Riyadh berjaya dikuasai serta ditadbir sepenuhnya oleh ‘Abd. al-‘Aziz.[54] Sepanjang tempoh ini, daerah berdekatan turut melancarkan serangan ke atas beberapa pusat pergerakan al-Salafiyyah. Antara individu yang berpaling tadah serta memberikan sokongan serta bantuan kepada pihak musuh ialah Ibn Mu’ammar, penguasa ‘Uyainah.[55] Namun apabila menyedari kekuatan al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya di kalangan penduduk Najd semakin meningkat dari masa ke semasa pihak, musuh mula menggunakan taktik kotor serta tidak bermoral. Sebagai contoh, Sulaiman bin Muhammad bin Suhaim menyebarkan pelbagai jenis pertuduhan serta pembohongan terhadap al-Syeikh al-Imam. Perutusan di hantar ke Mekah, Madinah, al-Khalij, al-Ahsa’ serta selainnya. al-Syeikh al-Imam menghasilkan beberapa penulisan bagi menjawab segala tohmahan Ibn Suhaim. Penulis akan menyatakan jenis pertuduhan serta pembohongan Ibn Suhaim serta rakan-rakannya menerusi perbincangan dalam bab seterusnya.[56]
al-Syeikh al-Imam menghembuskan nafas terakhir pada bulan Syawal atau Dzulkaedah 1206H (Jun/Julai 1792M) setelah sibuk melaksanakan tugas dakwah selama 50 tahun.[57]
Sejarah Islam sentiasa mengungkapkan kemunculan individu tertentu yang kehilangan pengaruh dalam waktu yang singkat. Ini bertitik tolak dari kepalsuan dakwaan seperti mengaku sebagai Imam Mahdi atau al-Masih. Sebaliknya pengajaran al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya bebas dari unsur sedemikian. Dalam konteks ini muncul pelbagai pihak yang mendakwa sebagai ilmuan[58] menyandarkan pelbagai pertuduhan palsu mirip sepertimana di atas. Namun pegangan serta keyakinan pemimpin serta pengikut al-Syeikh al-Imam berlandaskan kebenaran. Oleh itu segala pertuduhan sama sekali tidak memberi kesan walau betapa hebat serangan yang dilakukan musuh. Dalam konteks ini mereka mengalami kegagalan dalam percubaan mencari kecacatan dalam hasil penulisan al-Syeikh al-Imam. Ini disebabkan penulisan beliau amat jelas berdasarkan al-Qur’an serta al-Sunnah sebagaimana ternyata menerusi kitab al-Tauhid. Pembaca tidak akan menemui kenyataan mengelirukan atau kisah misteri mahupun penggunaan istilah kesufian serta falsafah Yunani.
al-Syeikh al-Imam dikurniakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kelebihan dapat melihat kesan kegigihan perjuangan semasa hayatnya.[59] Ia sama ada dari aspek keduniaan mahupun keagamaan. Negeri Najd berjaya ditawan sepenuhnya. Penguasa serta keseluruhan penduduk bersedia melaksanakan jihad dengan jiwa raga serta hartabenda dan sanggup menghadapi sebarang rintangan serta tribulasi. Kejayaan dikecapi dari masa ke semasa. Sekiranya beliau ingin merebut peluang mengurniakan sesuatu kepada anak-anaknya sama ada kuasa mahupun kekayaan sudah pasti ia dapat dilakukan. Namun al-Syeikh al-Imam tidak melakukan perkara sedemikian. Al-Amir Muhammad bin Saud serta penggantinya ‘Abd. al-‘Aziz sentiasa meminta nasihat, bimbingan serta keputusan daripadanya. Selain itu keseluruhan hasil serta perolehan negara diletakkan di bawah pengawasan al-Syeikh al-Imam. Namun tuan syeikh yang salih ini sentiasa menyibukkan diri melaksanakan dakwah al-Salafiyyah. Beliau hanya mencampuri urusan pemerintahan sekiranya perlu berbuat demikian. Apabila dirasakan kekuatan sudah mencukupi, al-Syeikh al-Imam menjauhkan diri sepenuhnya dari urusan pemerintahan negara serta pengawasan terhadap perbendaharaan. Kesan dari sikap zuhudnya ini diwarisi anak-anak serta keturunannya yang sentiasa menyibukkan diri dalam aktiviti keagamaan sehingga ke hari ini. Dari masa ke semasa tidak pernah berlaku pertentangan antara mereka dengan keluarga Saud dalam urusan membabitkan kuasa pemerintahan.
al-Syeikh al-Imam mempunyai bilangan murid yang ramai sehingga agak sukar untuk dinyatakan keseluruhan. Sehubungan ini penulis hanya menyatakan murid beliau di kalangan keturunannya. Mereka terkenal sebagai individu yang alim, warak serta berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Selain itu mereka sentiasa menyibukkan diri dalam mengajar serta melaksanakan kerja dakwah berpandukan kaedah yang ditunjuki al-Syeikh al-Imam. Dalam konteks ini al-Syeikh al-Imam dikurniakan usia yang panjang sehinggakan sebahagian anaknya meninggal dunia ketika beliau masih hidup. Namun di kalangan mereka yang hidup setelah beliau meninggal dunia ialah: Husin, ‘Abd. Allah, Ali dan Ibrahim.[60] Ibn Bisyr mengulas mengenai anak-anak al-Syeikh al-Imam dengan berkata:
Daku melihat keempat-empat tokoh ulama ini mengadakan majlis ilmu di al-Dar’iyyah yang dihadiri para penuntut dari segenap lapangan dan tempat. [61]
Husin bin Muhammad bin Abd. Al-Wahhab. Beliau merupakan pengganti (khalifah) kepada al-Syeikh al-Imam. Seorang kadi serta imam di masjid al-Dar’iyyah. Meninggal dunia pada 1224H.[62] Husin mempunyai beberapa orang anak yang turut merupakan ilmuan terkenal. Menurut Ibn Bisyr mereka ialah: Ali, Hamid, Hassan, ‘Abd. al-Rahman dan ‘Abd. al-Malik. Ali merupakan anak Husin yang sulung serta paling alim. Oleh itu dia dilantik sebagai hakim serta kekal menjawat jawatan itu semasa pemerintahan beberapa penguasa. Mereka ialah: Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz (1218H-1229H/1803-1804), ‘Abd. Allah bin Saud (mati di salib 1234H/1818M), Turki (mati dibunuh 1248H/1834M) dan Faisal bin Turki (m.1282M). Hamid meninggal dunia sewaktu Husin masih hidup. Hassan merupakan seorang hakim di Riyadh semasa pemerintahan Turki bin ‘Abd. Allah. Beliau mahir dalam ilmu fekah namun meninggal dunia pada 1245H ketika berusia muda. ‘Abd. al-Rahman menjadi hakim ketika pemerintahan Turki serta Faisal. Beliau mahir dalam ilmu fekah, tafsir serta tatabahasa Arab. ‘Abd. al-Malik bin Husin merupakan seorang hakim ketika pemerintahan Faisal. Anak-anak Husin iaitu Hassan, ‘Abd. al-Rahman dan ‘Abd. al-Malik menuntut ilmu kepada al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab. Di kalangan cucu Husin yang menuntut ilmu kepada al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab ialah Husin bin Hamd bin Husin bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab (kadi bandar Hariq ketika pemerintahan Faisal), Husin bin Ali bin Husin bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab (kadi Riyadh ketika pemerintahan Faisal) dan ‘Abd. Allah bin Hassan bin Husin bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab.
‘Abd. Allah bin Muhammad bin ‘Abd. Al-Wahhab Beliau merupakan anak kedua al-Syeikh al-Imam. Terkenal sebagai ulama’ yang menghasilkan penulisan bernilai serta pengganti (khalifah) kepada al-Syeikh al-Imam setelah Husin meninggal dunia. Kealiman beliau diakui abangnya Husin. ‘Abd. Allah menyertai al-Amir Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz ketika kota Mekah ditawan pada 1218H/1803M. Risalah perutusan al-Amir Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz mengenai pegangan serta perjuangan golongan Wahabi disusun oleh ‘Abd. Allah. Beliau berjuang dengan gigih mempertahankan al-Dar’iyyah ketika diserang tentera Mesir yang dipimpin Ibrahim Basha pada 1232H. Ibn Bisyr mengulas:
‘Abd. Allah bin al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab turut menghunuskan senjata serta berjuang dengan gigih menghadapi serangan musuh…hingga akhir[63]
Dalam pertempuran mempertahankan al-Dar’yyah‘, Abd. Allah mengalami kecederaan parah, di tawan serta di bawa ke Mesir dan meninggal dunia di sana. Kedua anak ‘Abd. Allah iaitu Sulaiman serta Ali terkorban dalam pertempuran di al-Dar’iyyah. Sulaiman merupakan seorang ilmuan serta kadi di al-Dar’iyyah. Beliau mengajar Sahih al-Bukhari dalam majlis ilmu al-Amir Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz. ‘Abd. Allah bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab mengajar Tafsir al-Tabari serta Ibn Kathir. Antara tokoh ilmuan yang menghadirinya ialah Ibn Bisyr[64]. Beliau menggunakan pendekatan serta ungkapan yang jelas dalam menyampaikan ilmu. Selain itu ‘Abd. Allah merupakan individu yang gigih melaksanakan perkara kebaikan serta mencegah kemungkaran. Ini sehinggakan Ahmad Zaini Dahlan mengelarkan beliau seorang yang fanatik dalam melaksanakan kedua perkara ini melebihi ayahnya iaitu al-Syeikh al-Imam. [65] ‘Abd. Allah turut menghuraikan Kitab al-Tawhid yang ditulis ayahnya namun sebagaimana menurut Ibn Bisyr, beliau tidak berkesempatan menyelesaikan penulisan.[66] Selain ayahnya, ‘Abd. Allah menuntut ilmu kepada al-Syeikh Ahmad bin Nasir bin Mu’ammar (m.1325H) serta al-Syeikh Husin bin Ghannam (m.1225H). Selain menghuraikan Kitab al-Tawhid, ‘Abd. Allah turut menghasilkan kitab bertajuk al-Tawdhih an Tawhid al-Khallaq fi Jawab Ahl al-Iraq. Ia dicetak pada 1319H. Menurut Brockleman (Jil 2, hlm.532), penulisan lain yang beliau hasilkan ialah Awthaq ‘Ara al-Iman dan al-Masa’il. Penulis tidak berpeluang melihat kedua penulisan ini. Namun al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abd. Allah mensisipkan beberapa permasalahan berguna yang ditulis ayahnya menerusi kitab berjilid tebal Majmu’ah al-Tawhid al-Makkiyah yang dicetak 1243H. Berkemungkinan besar sisipan ini merupakan kitab al-Masa’il yang dikatakan Brockleman. Anak ‘Abd. Allah bernama Ali mati syahid pada 1232H dalam pertempuran di sebuah tempat berdekatan al-Dar’iyyah. Beliau terkenal sebagai ilmuan yang mahir dalam ilmu hadith serta tafsir. Ali turut menghasilkan penulisan bagi menghuraikan Kitab al-Tawhid yang dihasilkan datuknya.[67] Anak ketiga ‘Abd. Allah ialah ‘Abd. al-Rahman. Beliau seorang ilmuan yang terkenal.
Ali bin Muhammad bin ‘Abd. Al-Wahhab Beliau merupakan seorang ilmuan yang zuhud serta penuh kewarakan. Memiliki kepakaran dalam ilmu fekah serta tafsir. Keseluruhan anaknya meninggal ketika kecil kecuali Muhammad bin Ali bin al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab.
Ibrahim bin Muhammad bin ‘Abd. Al-Wahhab Beliau merupakan anak al-Syeikh al-Islam yang keempat. Ibrahim merupakan seorang ilmuan serta hakim yang terkenal. Antara muridnya ialah Ibn Bisyr. Beliau mempelajari Kitab al-Tawhid dari Ibrahim sejak kecil. Antara murid terkenal al-Syeikh al-Imam di kalangan cucunya ialah ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab. Beliau termasuk kalangan ulama’ Najd yang terkemuka. Ayahnya meninggal dunia ketika al-Syeikh al-Imam masih hidup. Beliau menuntut ilmu dengan datuknya ketika kecil kemudian menyambung pelajaran kepada murid datuknya yang terkenal seperti Ahmad bin Nasir bin Uthman bin Mu’ammar (m.1225H) dan ‘Abd. al-‘Aziz bin ‘Abd. Allah al-Husin al-Nasiri (m.1237H). al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan dilantik menjadi hakim di al-Dar’iyyah ketka pemerintahan al-Amir Saud bin ‘Abd. al’Aziz (m.1229H) serta al-Amir ‘Abd. Allah bin Saud (mati disalib 1234H). Beliau merupakan salah seorang dari empat ulama’ keturunan al-Syeikh al-Imam yang terkenal kerana keluasan ilmu serta menjadi hakim di al-Dar’iyyah.[68] ‘Abd. al-Rahman bin Hassan diusir ke negeri Mesir ketika al-Dar’iyyah ditawan Ibrahim Basha. Ketika suasana kembali aman, beliau kembali ke Najd pada 1241H. Dalam konteks ini perkembangan ilmu pengetahuan terlaksana dengan baik buat kali kedua sehingga memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kalangan keluarga al-Syeikh al-Imam. [69] ‘Abd. al-Rahman bin Hassan dilantik sebagai hakim ketika pemerintahan Turki bin ‘Abd. Allah (m.1249H/1834M) serta Faisal bin Turki (m.1282H) dan menjadi tempat rujukan masyarakat sama ada pemerintah mahupun golongan awam. Beliau turut menyampaikan ilmu secara khusus kepada al-Amir Turki bin ‘Abd. Allah bin Muhammad bin Saud (m.1249H) serta al-Amir Faisal bin Turki. Penumpuan dilakukan kepada mengajar Tafsir Ibn Jarir al-Tabari. Kemasyuran keempat tokoh ulama’ ini tersebar luas ketika al-Dar’iyyah berjaya ditawan musuh. Namun apabila keadaan kembali seperti biasa, dua di kalangan mereka meninggal dunia sehingga hanya ‘Abd. al-Rahman bin Hassan serta Ali bin Husin dijadikan tempat rujukan masyarakat ketika pemerintahan Turki serta Faisal.[70] Namun ketika penghujung pemerintahan Faisal bin Turki (m.1256H), hanya ‘Abd. al-Rahman bin Hassan merupakan individu yang menjadi sebutan. Setelah beliau meninggal dunia, ketokohan beliau terserlah kepada anaknya ‘Abd. al-Latif bin ‘Abd. al-Rahman yang dilantik menggantikan ayahnya sebagai pendidik serta hakim. Dalam konteks ini, al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan merupakan tokoh yang lebih layak ditujukan penghormatan serta keutamaan ketika penghujung pemerintahan Faisal bin Turki. Ibn Bisyr menulis kitab terkenalnya pada 1270H ketika al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan masih hidup. W. Gifford Palgrave, seorang sejarawan barat berpeluang menziarahi al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan serta anaknya ‘Abd. al-Latif di Riyadh ketika melakukan penjelajahan ke Semenanjung Tanah Arab pada 1279H/1862M.[71] Namun Palgrave terkeliru apabila menyangka tuan syeikh ini sebagai ‘Abd. Allah bin al-Syeikh al-Imam. ‘Abd. al-Rahman bin Hassan meninggal dunia pada 1285H setelah dikurniakan usia yang panjang. Menurut Ibn Bisyr, al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan merupakan tokoh yang melengkapkan huraian Kitab al-Tawhid yang tidak sempat disiapkan Sulaiman bin ‘Abd. Allah bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab (m.1233H). Kitab ini berjaya dicetak beberapa kali dengan tajuk Fath al-Majid fi Syarh kitab al-Tawhid.[72] Selain Fath al-Majid, al-Syeikh ‘Abd.Rahman bin Hassan menulis kitab yang dicetak bertajuk Qurrah al-‘Uyun al-Muwahhidin fi Tahqiq Da’wah al-Anbiya’ wa al-Mursalin. Ia merupakan huraian lanjut (Hasyiah) terhadap Kitab al-Tawhid. Tuan syeikh ini turut menghasilkan beberapa penulisan kecil yang termaktub dalam Majmu’ah al-Tawhid al-Makkiyah seperti berikut:
1. Risalah fi Jawab al-Jahmiyah, hlm.23-169 2. Risalah fi Hukm Muwalah ahl al-Ishraq, 157-169 3. Bayan al-Hujjjah fi al-Radd ‘ala Sahib al-Lajjah, hlm.205-252
Anak beliau Muhammad bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan terbunuh ketika serangan dilakukan Ibrahim Basya ke atas al-Dar’iyyah.[73] Apabila beliau meninggal dunia tempatnya digantikan anaknya ‘Abd. al-Latif bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan. ‘Abd al-Latif turut bersama ayahnya ke Mesir ketika al-Dar’iyyah ditawan serta kembali ke Najd pada 1264H. Beliau membantu ayahnya dalam mendidik serta menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Sepertimana ayahnya, ‘Abd al-Latif turut menyampaikan ilmu secara khusus kepada al-Amir Faisal bin Turki serta terlibat dalam bidang kehakiman. Ibn Bisyr memuji pengajaran tafsir yang disampaikan beliau.[74] Palgrave berpeluang menemuinya ketika menziarahi ayahnya pada 1279H/1862M. Ketika itu beliau berusia 40 tahun. ‘Abd-al-Latif merupakan seorang kadi di Riyadh.[75] Penulisan terkenal ‘Abd. al-Latif ialah Minhaj al-Taqdis wa al-Ta’sis fi al-Radd ‘ala al-Mubattil Daud bin Sulaiman bin Jurjis. Himpunan penulisan lain dicetak dengan disisipkan ke dalam kitab al-Hidyah al-Saniyyah (hlm.28-40). Tidak diketahui secara pasti tarikh beliau meninggal dunia namun menurut al-Syeikh ‘Imran bin Muhammad bin ‘Imran bin Sukkan, seorang ulama’ Najd yang menetap di Riyadh kemungkinan besar ‘Abd. al-Latif meninggal dunia pada 1304H. Anak bongsu al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan ialah Ishaq bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan. Penulis tidak mendapati keterangan mengenainya menerusi penulisan biografi tokoh-tokoh. Namun menerusi pembacaan terhadap kitab-kitab terkemuka di perpustakaan milik keluarga, wujud keterangan mengenai beliau di bahagian pengenalan manuskrip kitab Siyanah al-Insan ‘an Waswasah al-Syeikh Dahlan. Ternyata menerusinya keutamaan serta keluasan ilmu Ishaq bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan. Penulis merasa hairan bagaimana manuskrip ini boleh berada di perpustakaan. Namun apabila dilakukan penelitian ternyata datuk di sebelah ibu penulis iaitu al-Syeikh ‘Abd. al-Somad, seorang ulama’ hadith (m.1318H) mempunyai hubungan rapat dengan beliau. Dalam konteks ini Ishaq bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan pernah menetap di India serta menuntut ilmu kepada tokoh ulama’ seperti al-Syeikh al-Sayyid Nazir Husin al-Dahlawi (m.1320H)[76], Sodiq Hassan Khan (m.1308H)[77] dan al-Syeikh Muhammad Bashir al-Sahsawani al-Faruqi (m.1336H).[78]
[1] al- Son’ani, Tathir al-I’tiqad min Adran al-Ilhad, hlm.2-5. [2] Hadhar al-‘Alam al-Islami. Naskah terjemahan oleh Newhart, hlm.34 [3] Hadhar al-‘Alam al-Islami, hlm.34 [4] Hogarth, Penetration of Arabia [5] Hogarth, Penetration of Arabia. Ia ditulis pada tahun 1904m. [6] Untuk memperdalami kajian mengenai perbuatan bid’ah serta perkara keji yang dilakukan penduduk Najd ketika itu sila rujuk penulisan seperti berikut: 1. Raudhah al-Afkar wa al-Afham li Mirtad hal al-Imam wa Ta’addad Ghazwat zawi al-Islam karangan al-Syeikh Husein bin Ghannam, 1225H, hlm.7-16. 2. ‘Unwan al-Majd fi Tarikh Najd, karangan ‘Uthman bin Bisyr al-Najdi, 1288H, hlm.6. 3. al-Hidyah al-Saniyyah wa al-Tuhfah al-Wahabiyyah al-Najdiyyah, karangan Sulaiman bin Sahman, hlm.9-47, 161-163. 4. Arabia, karangan Philip, hlm.4-5 Dalam konteks ini Philip serta Ibn Sahman banyak merujuk kitab Ibn Ghannam. [7] Agak sukar untuk memahami geografi serta bentuk mukabumi negara Arab khususnya negeri Najd. Ini disebabkan ia tidak dibahagikan kepada wilayah sebagaimana yang terdapat di negara kita. Selain itu ketika itu tidak wujud kesatuan dalam pemerintahan. Secara ringkas negeri Najd terbahagi kepada tiga daerah besar: 1. Daerah utara barat dikenali sebagai Syammar. Bandar utamanya ialah al-Syahirah dan al-Qasr. 2. Daerah utara timur dikenali sebagai al-Qasim.Bandar utamanya ialah ‘Unaizah dan Buraidah. 3. Daerah selatan dikenali sebagai al-‘Arid. Bandar utamanya ialah Riyadh yang merupakan ibukota Saudi Arabia ketika ini. Daerah al-‘Arid turut dikenali sebagai Jabal al-Yamamah. Sejak asal nama ini serta daerah sekitarnya dikenali sebagai Wadi Hanifah atau al-Yamamah. Musqat iaitu bandar di Yamamah merupakan tempat kelahiran al-Syeikh al-Islam sementara bandar al-Dar’iyyah merupakan pusat kegiatan dakwahnya. Kedua tempat ini merupakan nadi atau kawasan terpenting di Najd. Bagi mengetahui secara mendalam sila rujuk Ensiklopedia Da’irah al-Ma’arif al-Islamiyyah perkataan “Arabia”, Jil. 1, hlm.371, atau “Najd”, Jil. 3, hlm.893-896. Tidak diketahui secara pasti kedudukan bandar al-Qasr. Sementara al-Qasim terletak di utara barat Najd. (penterjemah). [8] ‘Uyainah disebut dengan didommahkan huruf ‘ain. Ia turut dikenali dengan Bar al-Syeikh. [9] Ibn Ghannam, Jil. 1, hlm.30, Ibn Bisyr, Jil. 1, hlm.138. Rujukan mutakhir ialah Ahmad Zaini Dahlan menerusi kitabnya al-Durar al-Saniyyah, hlm 138 dan Khulasah al-Kalam, hlm.229. Amir Syakib Arsalan dalam Hadhar al-‘Alam al-Islami, Jil. 4, hlm.161. Namun wujud beberapa kesalahan dalam karangan Dahlan serta Amir Syakib Arsalan. Kesalahan fakta turut didapati menerusi penulisan Hughes dalam Dictionary of Islam, hlm.659, Leopold dalam Pilgrimage to Najd, hlm.125, Zwemmer dalam The Cradlo of Islam Arabia dan selainnya. Mereka menyatakan kesalahan fakta mengenai kelahiran al-Syeikh al-Imam iaitu 1691m serta 1697m. [10] Salasilah keturunan al-Syeikh al-Imam secara lengkap: Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab bin Sulaiman bin ‘Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin Barid bin Musyarraf….hingga akhirnya. Sila rujuk kenyataan mengenai sebahagian tokoh yang berasal dari keturunan al-Syeikh al-Imam dalam kitab al-Sahhab al-Wabilah ‘ala Doroih al-Hanabilah seperti berikut: 1. Sulaiman bin ‘Ali bin Musyarraf, hlm.103 2. Ibrahim bin Sulaiman bin ‘Ali , hlm.8-9 3. ‘Abd. al-Wahhab bin Sulaiman bin ‘Ali, Sulaiman bin ‘Abd. al-Wahhab serta ‘Abd. al-‘Aziz bin Sulaiman, hlm.17, 173. 4. ‘Abd. al-Wahhab bin ‘Abd. Allah bin ‘Abd. al-Wahhab bin Musyarraf, hlm.173. [11] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.236 [12] Ibn al-Ghannam, Jil. 1, hlm.30 [13] Tahun 1135H. [14] al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Ibrahim bin Saif merupakan ulama yang tekenal pada zamannya. Beliau menuntut ilmu di Syam dari tokoh ulama’ Hanbali al-Syeikh Abu al-Mawahib al-Hanbali (m.1126H). Anak lelakinya Ibrahim bin ‘Abd. Allah (m.1185H) merupakan ulama yang dikenali di mana kitabnya al’Azb al-Faid fi Syarh al-Fiyah al-Faraid merupakan antara kitab-kitab yang terkenal. (al-Sahhab al-Wabilah, hlm.11-12) [15] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.7 [16] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.25, Salak al-Durar, Jil. 4, hlm.34. [17] al-Syeikh Ali al-Daghistani (lahir 1125H) mempunyai kedudukan tinggi di sisi ulama Damsyik. Beliau menuntut ilmu di Madinah kepada al-Syeikh Muhammad Hayat al-Sindi serta pulang ke negerinya pada tahun 1150H. (Salak al-Durar, Jil. 3, hlm.215). Dalam konteks ini beliau masih berusia terlalu muda ketika al-Syeikh al-Imam berada di Madinah sehingga mustahil al-Syeikh al-Imam menuntut ilmu kepadanya. Tokoh kontempelori seperti Muhibud al-Din al-Khatib (majalah al-Zahra, bulan rejab , hlm.45) serta Muhammad Hamid al-Fiqhi (Athar al-Dakwah al-Wahabiyyahfi al-Islah al-Dini, hlm.47) turut berpendapat sedemikian. [18] Ibn Ghannam serta Ibn Bisyr tidak menyebut bahawa al-Syeikh al-Imam pernah menuntut ilmu kepada al-Syeikh Sulaiman Kurdi, Ia hanya kenyataan Ahmad Zaini Dahlan menerusi al-Durar al-Saniyyah, hlm.35-42. Diketahui umum kitab ini serta hasil penulisan Dahlan lain seperti Khulasoh al-Kalam mengandungi banyak kesalahan fakta serta penyelewengan. [19] Madzhab Salatin Najd, November tahun ke 24 [20] ‘ ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.8. [21] Margoliouth melakukan pemobohongan apabila mengatakan: Ibn ‘Abd. al-Wahhab berkahwin dengan seorang wanita di Baghdad. Wanita itu meninggal dunia namun menyerahkan 2000 dirham kepadanya. Setelah itu beliau menuntut ilmu di Kurdistan, Hamadan, Qum dan menetap di Isfahan. Kesalahan turut dilakukan penulis Barat lainnya seperti Bridges (A Brief History of Wahabi, hlm.7), Hughes (hlm.659), Zwemmer (hlm.192) dan Belgrave (Jil. 4, hlnm.393). Hakikatnya al-Syeikh al-Imam tidak menuntut ilmu di Baghdad, Syam, Mesir mahupun tempat lain yang dinyatakan di atas. [22] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.7. [23] Ia merupakan perkampungan besar berdekatan Basrah. al-Zubair bersempena nama sahabat al-Zubair bin al-‘Awwam radiyallahu ‘anh. Penduduknya terkenal berpegang teguh kepada al-Sunnah sehingga kini. [24] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.8. [25] Muhammad Hamid al-Faqi, hlm.15. [26] Raudhah al-Afkar, Jil. 1, hlm.36. [27] Bagi mudah memahami situasi yang berlaku perlu difahami bahawa pentadbiran Negeri Najd ketika khilafah ‘Uthmaniyah dibahagikan kepada empat pembahagian: wilayah, daerah, bandar dan perkampungan. Menurut al-Alusi al-‘Aridh termasuk dalam lingkungan daerah. Ia dikenali sebagai Nahiyah al-‘Aridh (daerah al-‘Aridh). [28] Dalam konteks ini wujud beberapa pihak yang ingin membunuh al-Syeikh al-Imam. Ini dinukilkan dari ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.9. Hasil penulisan lain yang mengungkapkan perkara ini keseluruhannya merujuk kepada kitab ‘Unwan al-Majd ini. [29] Diketahui umum bahawa dalam usaha menyebarkan dakwah serta pemikiran, kekuatan kebendaan turut merupakan perkara penting disamping kekuatan kerohanian serta pembuktiaan. Sekiranya sesuatu pergerakan tidak mempunyai kekuatan kebendaan yang mampu mempertahankannya dari marabahaya ia akan dikuasai oleh anasir jahat sehingga hancur lebur pergerakan itu akhirnya. Pernyataan ini dibuktikan menerusi firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-RasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-Hadid: 35) Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku, (al-Isra’:80) al-Qatadah berkata: Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tidak berupaya melaksanakan risalah melainkan dengan kekuasaan (sulton). Dengan itu baginda memohon kekuasaan yang bertindak sebagai pembantu kepada al-Qur’an, had-had, perintah serta kewajipan yang ditetapkan Allah serta bagi menegakkan al-Din Allah. Kekuasaan merupakan suatu rahmat dari Allah yang diletakkan-Nya di hadapan para hamba-Nya. Sekiranya tidak kerana demikian, manusia akan menguasai antara satu sama lain sementara golongan kuat akan menindas yang lemah. [Tafsir Ibn Kathir, Jil. 2, hlm.64] [30] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.9 [31] Wujud beberapa buah pohon di Najd yang dijadikan tempat pengabdian selain Allah. Ustaz Ahmad ‘Abd. al-Ghafur ‘Attar menukilkan dari Ibn Ghannam: Di Bulaidah al-Fida’ terdapat sebuah pohon kurma jantan yang dinamakan al-Fuhhal. Golongan wanita serta lelaki akan menziarahinya bagi melakukan pelbagai jenis kemungkaran.yang tidak diterima agama serta akal yang sihat. Mereka beribadat kepada pohon itu dengan peribadatan yang tidak boleh dilakukan melainkan kepada Allah. Lelaki yang kesempitan hidup serta menderita sakit akan memohon rezeki kepadanya serta penyembuhan penyakit. Wanita yang masih belum berkahwin akan bertawassul kepadanya dengan penuh ketundukan sambil berkata: “Wahai Fuhul kurniakan kepadaku rezeki seorang suami.” Selain itu mereka turut menghormati pohon al-Tarfiyyah. Sekiranya seorang wanita mendapat anak lelaki dia akan mengikat sehelai benang atau menggantung tikar di pohon itu sambil menyembelih binatang bagi memohon panjang umur terhadap anak lelakinya. [Ahmad ‘Abd. al-Ghafur ‘Attar, Muhammad ‘Abd. al-Wahhab, hlm.20-21] [32] Zaid bin al-Khattab merupakan saudara kepada ‘Umar bin al-Khattab radiyallahu ‘anh. Beliau termasuk golongan syuhada’ yang terlibat dalam peperangan al-Yamamah bagi memerangi Musailamah al-Kazzab pada tahun 12H. Kubah Zaid ini merupakan salah satu pusat perbuatan bid’ah serta penyembahan berhala di Najd. Di situ dilakukan perbuatan istigoshah (memohon hajat), bernazar, menyembelih binatang dan sebagainya lagi. (penterjemah) [33] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.9-10. [34] Raudhah al-Afkar, Jil. 1, hlm.200. [35] Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.23, ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.10. [36] al-Mutawwi’ merupakan individu yang berilmu serta terkenal mentaati Allah. [37] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.10. [38] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.10. [39] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.10. [40] Berdasarkan riwayat ini ternyata Ibn Mu’ammar merupakan penentang ataupun tidak ikhlas dalam memperjuangkan dakwah al-Syeikh al-Imam. Beliau terpengaruh dengan pangkat serta habuan keduniaan. Namun riwayat ini hanya berdasarkan kepada penulisan Ibn Bisyr manakala penulis lain tidak menyebutkan perkara ini. Menurut ustaz Ahmad ‘Abd. al-Ghafur ‘Attar, Ibn Bisyr akhirnya menarik kembali kenyataannya. Berdasarkan kitab ‘Unwan al-Majd karangan beliau Jil. 1, hlm.15 yang dicetak di percetakan al-Syindar di Baghdad tahun 1328H yang disemak oleh al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Mani’ terdapat keterangan seperti berikut: Ketahuilah! Semoga Allah merahmati kamu sekalian. Di dalam edisi pertama penulisanku daku menyatakan beberapa perkara mengenai Ibn Mu’ammar serta pengawalnya. Antaranya peristiwa di mana beliau memerintahkan supaya al-Syeikh al-Imam dibunuh dalam perjalanan. Kemudian daku dapati tidaklah kesemuanya benar. Oleh itu daku membuangnya dalam edisi seterusnya. [Ahmad ‘Abd. al-Ghafur ‘Attar, Muhammad ‘Abd. al-Wahhab, cetakan keempat, 1392H/1972M, hlm.58] Setelah menyedari Ibn Bisyr menarik kembali periwayatan kisah ini maka terserlah bahawa Ibn Mu’ammar tidak berupaya mempertahankan al-Syeikh al-Imam serta seruan dakwahnya. Oleh itu beliau berhasrat agar al-Syeikh al-Imam berpindah ke negeri yang aman. Wallahu a’lam.(penterjemah) [41] Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.4. [42] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.11 [43] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.11 [44] Ibn Ghannam menyebutkan peristiwa ini berlaku pada tahun 1157H. (kitabnya Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.4). Ibn Bisyr menyebutkan tarikh perpindahan al-Syeikh al-Imam ke al-Dar’iyyah pada tahun 1158H. (kitabnya ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.11-12). [45] Keluarga Muhammad bin Saud banyak menghadapi kesusahan serta rintangan dalam memperjuangkan dakwah al-Syeikh al-Imam ketika hayatnya. Yang terkemuka menghadapi tribulasi ini ialah Sunyan bin Saud (m.1186H) dan al-Masyari bin Saud (m.1189H). [Raudhah al-Afkar, Jil. 1, hlm.94, 105, ‘Unwan al-Majd, Jil. 2, hlm.10]. [46] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.13. [47] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.13, 15. [48] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.15. [49] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.15. [50] Imam al-San’ani merupakan tokoh ulama’ serta mujtahid di zamannya. Beliau dilahirkan di Kahlan pada hari malam Jumaat 15 Jamadilakhir 1099H/1687M. Beliau meninggal dunia pada malam selasa 30 Sya’ban 1182H/ 1769M. Penulisan ringkasnya dalam ilmu tauhid ialah Tathir al-I’tiqad ‘an Adran al-Ilhad. Penulis akan mengulas penulisan ini kemudian nanti. Bagi mengetahui hasil penulisannya sila rujuk Brockleman, Jil. 2, hlm.556, al-Badr al-Toli’, Jil. 2, hlm.133-139 dan ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.53-56. [51] Ibn Ghannam, Jil. 2, hlm.104, 56, 58. Jelas menerusi syair Imam al-San’ani betapa serius beliau berpegang teguh, memperjuangkan serta mempertahankan akidah Islam yang sahih. Selain itu beliau menyatakan pujian terhadap pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam. Dalam konteks ini sebahagian golongan penentang melakukan pendustaan apabila mengatakan Imam al-Son’ani menarik kembali syair yang digubahnya ini. Hakikatnya terkandung dalam syair ini serta penjelasan terhadap isi kandungannya beberapa perkara di mana tidak mungkin selain Imam al-Son’ani yang menulisnya. Antaranya kenyataan berkenaan golongan murtad di zaman Abu Bakr radiyallahu ‘anh disebabkan enggan membayar zakat, mengenai Mukhtar bin Abi Ubaid al-Thaqafi serta sikap Ju’ad bin Dirham yang mengingkari ijma’. Golongan penentang menolak syair ini disebabkan mereka mendakwa penulisnya banyak merujuk kepada pandangan Imam Ibn Taymiyyah serta muridnya Ibn al-Qayyim. Namun apabila diteliti didapati penulis syair ini mengemukakan pandangan yang menyalahi beberapa pandangan Ibn Taymiyyah serta muridnya. Sekiranya benar sekalipun Imam al-Son’ani menarik kembali syair ini ia tetap tidak mendatangkan kemudaratan kepada al-Syeikh al-Imam mahupun pergerakan dakwahnya walau sedikitpun. Ini disebabkan ia merupakan seruan dakwah yang berdasarkan kepada al-Qur’an serta al-Sunnah sepenuhnya. Ia merupakan dakwah para anbiya’ ‘alayhimussolatuwassalam keseluruhannya. Sekiranya seruan dakwah berasaskan kepada dua sumber ini ia tidak berhajat kepada pengesahan ulama’. Sebaliknya para ulama’ yang semestinya menyokong serta memperjuangkannya. Bagi mengetahui secara lengkap perkara ini sila rujuk Tabri’ah al-Syaikhain al-Imamiyyin min Tazwir ahl-Kizb wa al-Mayan yang ditulis al-Syeikh Ibn Sahman rahimahullah. al-Ustaz al-Fadhil Abu Bakr Zahir al-Syawish, pengetua al-Maktab al-Islami di Beirut mentahkikkan syair Imam al-San’ani ini serta mencetaknya. Semoga Allah mengurniakan ganjaran kepadanya. [52] Ibn Ghannam, Jil. 2, hlm.108. [53] Dahham merupakan seorang penjahat yang berhati kejam serta berakhlak buruk. Suatu ketika beliau memarahi seorang wanita sehingga memerintahkan mulutnya dijahit. Beliau mengarahkan seorang lelaki yang tidak disukainya supaya memotong secebis daging yang ada pada dirinya lalu dipaksa supaya memakannya secara perlahan-lahan. Apabila lelaki itu tidak mampu meneruskan perbuatannya ia telah dipukul dengan kejam. Beliau turut memotong lidah seorang lelaki dengan tangannya sendiri apabila lelaki itu melaungkankan azan pada waktu subuh. Dahham merupakan penguasa kepada kota Riyadh setelah menguasainya secara tipudaya. Bagi mengetahui perkara ini secara mendalam sila rujuk Raudhah al-Afkar, Jil. 1, hlm.89-90 yang ditahkik oleh Dr. Nasir al-Din al-Asad. (penterjemah). [54] Philip, Arabia, hlm.13-25 [55] Individu lain yang merupakan musuh ketat kepada pergerakah dakwah al-Syeikh al-Imam ialah ‘Ura’ir bin Dujain, penguasa al-Ahsa’. Beliau mengarahkan supaya dibunuh keseluruhan pengikut al-Syeikh al-Imam yang berjaya ditawan. Pada tahun 1178H, Ibn Dujain mengumpul pasukan tentera yang terdiri dari beberapa daerah serta perkampungan bertujuan menawan bandar al-Dar’iyyah. Walaupun kepungan serta serangan dilakukan dari masa ke semasa namun al-Dar’iyyah tidak berjaya ditawan. Ini disebabkan pertahanan yang kukuh serta kekuatan jiwa pasukan pertahanannya yang berasaskan pegangan akidah yang jitu. Peristiwa ini berlangsung selama 20 hari. Namun Allah Subhanahu Wa Ta’ala meletakkan perasaan takut ke atas pasukan musuh sehingga akhirnya mereka bubar serta melarikan diri. (penterjemah) [56] Ibn Ghannam, Jil.1, hlm.27,28,67,142. Golongan penentang dakwah al-Syeikh al-Imam dibahagikan kepada tiga kategori: 1. Golongan yang mendakwa berilmu yang hakikatnya melupai perjanjian Allah serta petunjuk yang ditinggalkan Rasulullah sallallahu ‘alayh wa sallam. Mereka melihat kebenaran sebagai suatu kebatilan serta sebaliknya. Mereka turut mengubah akidah yang sahih dengan mencampuradukkannya dengan perbuatan bid’ah serta pengabdian kepada patung berhala. 2. Golongan ilmuan yang baik keadaannya namun terpengaruh serta terpedaya dengan segala tuduhan serta pembohongan musuh sehingga mereka menyatakan penentangan terhadap al-Syeikh al-Imam. 3. Para penguasa serta pemimpin yang mentadbir daerah serta kawasan perkampungan di Najd serta selainnya. (penterjemah) [57] Ibn Ghannam, Jil. 2, hlm.74 dan Ibn Bisyr, Jil. 1, hlm.95. Dalam konteks ini terdapat di kalangan sejarawan Eropah serta timur melakukan kesalahan fakta mengenai tarikh kematian al-Syeikh al-Imam. Antaranya Brockleman (Jil.2, hlm.350), Margoliouth (Dairah al-Maarif al-Islamiyyah, Jil. 4, hlm.1086) dan Labib al-Batnuni (al-Rihlah al-Hijaziyyah, hlm.9). [58] Sila rujuk kenyataan Zaini Dahlan menerusi penulisannya al-Durar al-Saniyyah, hlm.46 [59] Menurut Ibn Bisyr, al-Syeikh al-Imam sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mengurniakan ilmu, keutamaan dan kejayaan dalam memperbetulkan keyakinan kaum muslimin. Beliau sentiasa mengingati firman Allah Subhanahu Ta’ala yang bermaksud: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). (al-Ahqaf:15) Beliau turut menyatakan kesyukuran menerusi ungkapan syair yang berbunyi: Daku mengucapkan syukur kepadamu Ya Allah!…di atas pemberian nikmat Dikau menghidupkanku dengan Islam serta anugerah Betapa mulianya al-Qur’an menerangi penglihatan Serta keutamaan Ibn Hanbal di atasnya landasan pegangan Ungkapan di atas tidak bermaksud al-Syeikh al-Imam berpegang kepada pandangan Imam Ahmad bin Hanbal berdasarkan taqlid semata-mata. Dalam konteks ini Imam Ahmad merupakan tokoh yang berpegang teguh di atas landasan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah di saat menghadapi pelbagai tribulasi zamannya. Ini sebagaimana yang dinyatakan para ilmuan. Hakikatnya pegangan Imam Ahmad merupakan pegangan imam empat madzhab serta umat Islam. Segala puji bagi Allah, di mana imam empat madzhab tidak pernah berselisih dalam persoalan akidah. Ini disebabkan mereka berpegang teguh kepada akidah para sahabat serta tabi’in yang berdasarkan kepada pengajaran Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam.Adapun perselisihan hanya dalam permasalahan cabang. Dalam konteks ini imam empat madzhab menasihati pengikut mereka supaya mengambil pembuktiaan (dalil) berdasarkan al-Qur’an serta al-Sunnah. Kenyataan mereka hendaklah dilemparkan ke dinding (dibuang sejauh-jauhnya) sekiranya sekiranya ada yang menyalahi apa yang ditetapkan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Imam Abu Hanifah berkata: “Sekiranya sahlah sesuatu hadith, maka ia merupakan madzhabku.” Beliau menambah: “Tidak harus bagi seseorang mengambil kata-kata kami tanpa mengetahui daripada mana kami mengambilnya.” Beliau berkata lagi: “Diharamkan ke atas sesiapa yang tidak mengetahui dalil pandanganku lalu ia mengeluarkan fatwa dengan berlandaskan kepada pandanganku itu.” Seterusnya: “Sekiranya daku mengatakan sesuatu yang menyalahi Kitab Allah serta Sunnah Rasul-Nya, maka tinggalkanlah kenyataanku itu.” Imam Malik berkata: “Daku hanyalah seorang manusia yang tidak terlepas dari kesalahan. Maka selidikilah pandanganku. Apa sahaja yang berbetulan dengan al-Qur’an serta al-Sunnah maka ambillah. Apa sahaja yang bercanggah dengan keduanya maka tinggalkanlah.” Beliau menambah: “Tidak seorangpun sesudah Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam melainkan diambil serta ditinggalkan kata-katanya kecuali sabdaan baginda.” Imam Syafi’e berkata: “Tidak harus seseorang itu mengutamakan kata-kata orang lain di atas sabdaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam.” Imam Ahmad berkata: “Janganlah engkau bertaklid kepadaku. Janganlah engkau bertaklid kepada Malik, Syafi’e, al-Auza’ie atau al-Thauri. Namun rujuklah daripada sumber ambilan mereka.” Suatu yang menyedihkan apabila golongan mutakhir tidak berittiba’atau mengikuti cara yang dinyatakan imam empat madzhab. Mereka mendakwa menjadi pengikut namun melakukan perbuatan yang menyalahi pandangan mereka. Lebih dahsyat lagi apabila golongan ini menyandarkan perbuatan mereka kepada imam empat mazhab tersebut walaupun hakikatnya mereka berlepas diri dari dakwaan golongan ini. Berpegang teguhlah kepada al-Qur’an serta al-Sunnah wahai kaum muslimin! Ingatlah firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (al-Nisa’: 59) [60] Menurut Ustaz Amin Said (hlm.182), anak-anak al-Syeikh al-Imam yang meninggal dunia ketika beliau masih hidup ialah: ‘Abd. al-‘Aziz dan Hassan. Hassan merupakan ayah kepada al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan penulis kitab Fath al-Majid fi Syarh Kitab al-Tauhid dan Qurrah al-‘Uyun al-Muwahhidin fi Tahqiq Dakwah al-Anbiya’ wa al-Mursalin serta selainnya. Tuan syeikh ini mempunyai ramai anak serta keturunan. Antara keturunannya yang terkenal ialah Mufti kerajaan Arab Saudi al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin ‘Abd. al-Latif serta anaknya al-Syeikh Ibrahim bin Muhammad, seorang menteri kehakiman. Penulis tidak mempunyai maklumat mengenai ‘Abd. al-Aziz. Namun al-Syeikh Ibrahim bin Muhammad, pengarah sebuah badan ilmiah iaitu Idarah al-Buhuth al-Ilmiyah wa al-Dakwah wa al-Irsyad di Riyadh mengesyorkan supaya merujuk kepada al-Syeikh Ismail al-Ansari. Menurut tuan syeikh ini beliau tidak mempunyai maklumat mengenai ‘Abd. al-‘Aziz melainkan apa yang dinyatakan al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan kepada Jam’an bin Nasir mengenai biografi tuan-tuan guru beliau. Antaranya berbunyi: “Daku menghadiri majlis ilmu yang disampaikan al-Syeikh al-Imam. Beliau mengajar Sahih al-Bukhari sementara anaknya ‘Abd. al-Aziz mengajar Surah al-Baqarah berdasarkan Tafsir Ibn Kathir.” [Majmu’ah al-Rasail al-Najdiyyah, hlm.20]. Menurut al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan, ‘Abd. al-‘Aziz termasuk kalangan tokoh ulama’ Najd. [61] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.92 [62] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.143. [63] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.206 [64] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.170, 176, 209-210 [65] Hakikatnya kedua mereka berlepas diri dari mengamalkan sukap fanatik. Sebaliknya mereka hanya berpegang teguh dengan al-Qur’an serta al-Sunnah serta menyeru kepada keduanya. [66] Kitab al-Tauhid lengkap dihuraikan oleh al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab. Ini sebagaimana yang tertera di bahagan permulaan kitab Fath al-Majid (penulis). Ia dicetak beberapa kali. Kitab ini mempunyai perkaitan rapat dengan kitab yang turut menghuraikan isi kandungan Kitab al-Tawhid iaitu Taisir al-‘Aziz al-Hamid. Namun Fath al-Majid mengandungi beberapa huraian serta penjelasan tambahan terhadap Kitab al-Tauhid yang tidak terdapat dalam Taisir al-‘Aziz al-Hamid. Oleh itu ia merupakan kitab yang berdiri sendiri serta berbeza dengan Taisir al-‘Aziz al-Hamid. (penterjemah) [67] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.93, 205. [68] ‘Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm.93. Keempat tokoh ulama’ di kalangan keluarga al-Syeikh al-Imam yang dimaksudkan ialah: ‘Abd. Allah bin al-Syeikh al-Imam, Ali bin Husin bin al-Syekh al-Imam, ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin al-Syeikh al-Imam serta Sulaiman bin ‘Abd. Allah bin al-Syeikh al-Imam. [69] ‘Unwan al-Majd, Jil. 2, hlm.20, 25, 26 [70] ‘Unwan al-Majd, Jil. 2, hlm.56, 73, 88. [71] Narrative of years journey through central and eastern Arabia, 1-379. [72] Kitab Fath al-Majid yang ditulis al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan merupakan penjelasan terhadap kitab al-Tawhid yang bersifat bebas. Manakala kitab al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abd. Allah yang dicetak berjudul Taisir al’-‘Aziz al-Hamid. Ia dicetak menerusi beberapa percetakan antaranya menerusi percetakan al-Maktab al-Islami di Beirut. al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan melengkapkan beberapa bahagian kecil kitab ini dengan diberi nama Fath al-Majid. (penterjemah) [73] ‘Unwan al-Majd, Jil. 2, hlm.23. 26. [74] ‘Unwan al-Majd, Jil. 2, hlm.121-122.. [75] ‘Unwan al-Majd, Jil. 2, hlm.23. 26. [76] al-Syeikh al-Sayyid Nazir Husin al-Dahlawi merupakan seorang ulama besar serta mujaddid India yang berpegang teguh kepada al-Qur’an serta al-Sunnah. Nasab keturunannya sampai kepada Ali radiyallahu ‘anh. Beliau lahir di perkampungan Baltahwa di wilayah Bihar pada 1220H. Ketika kecil beliau menyukai menunggang kuda serta berenang. Beliau mempelajari asas Islam dari ayahnya. Ketika menetap di Batnah, iaitu kota ilmu bagi wilayah Bihar beliau bergaul dengan para pemimpin pergerakan pembaharuan serta pembaikan antaranya al-Syahid Ahmad bin ‘Urfan serta al-allamah Muhammad Isma’il. Di sana beliau menuntut ilmu dengan gigih. Setelah tamat belajar, beliau bercita-cita meneruskan pembelajaran di Delhi bersama rakannya namun hasratnya terkandas selama beberapa tahun disebabkan masalah kewangan. Apabila tiba di Delhi beliau menuntut ilmu kepada beberapa ulama’ dan akhirnya menyambung pembelajaran kepada al-Syeikh Ishaq al-Dahlawi yang merupakan pengganti (khalifah) kepada al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz wali Allah al-Dahlawi. al-Syeikh al-Sayyid Nazir Husin berada di sisi tuan syeikh ini selama 13 tahun dan dengan penuh kesungguhan menceduk ilmu daripadanya. Apabila gurunya berhijrah ke Mekah pada 1258H, beliau menggantikan tempat gurunya dengan mengajar pelbagai jenis ilmu. Pengkhususannya dalam tafsir al-Qur’an serta hadith. Dengan penuh ketekunan al-Syeikh al-Sayyid Nazir Husin mengajar ilmu syariat sehingga digelar sebagai “Syeikh segala Syeikh (Syeikh al-Kul)”. Muridnya mencecah ribuan termasuk tokoh ulama’ serta pemimpin pergerakan Islam seperti al-muhaddith ‘Abd. al-Rahman al-Mubarakfuri penulis kepada kitab Tuhfah al-Ahwazi, al-Syeikh Syamsul Haq Abadi penulis kitab ‘Aun al-Ma’bud, al-Syeikh Muhammad Basyir al-Sahsawani penulis Siyanah al-Insan an Waswasah al-Syeikh Dahlan, al-Syeikh Sana’ Allah al-Amr Tusri dan selainnya. Keluasan ilmunya tersebar sehingga ke timur tengah. Ini terbukti antara muridnya dari Najd ialah al-Syeikh Ishaq bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan, al-Syeikh Ali bin al-Qadi, al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Sa’ad bin ‘Abd. al-‘Aziz Mudish, al-Syeikh Sa’ad bin ‘Atiq serta selainnya. Muridnya dari Sudan ialah al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Idris al-Husaini. Ramai kalangan ulama’ dari Bukhara, Samarkand, Ghaznah, Kandahar, Habsyah serta selainnya yang menceduk ilmu dari beliau. Tiada sebarang keraguan bahawa al-Syeikh al-Sayyid Nazir Husin al-Dahlawi rahimahullah merupakan mujaddid di benua India serta selainnya. Begitu ramai tokoh ulama, penulis serta pengasas pusat pengajian Islam yang berpegang teguh kepada al-Qur’an serta al-Sunnah serta berusaha menyebarkan kedua sumber Islam ini di pelbagai lapangan dan tempat merupakan murid beliau. Namun suatu yang menyedihkan apabila tuan syeikh yang agung ini akhirnya dipenjarakan dalam tempoh yang lama di Rawalpindi pada 1264H kerana dituduh sebagai Wahabi. Setelah tamat tempoh penahanan, beliau berangkat ke Mekah bagi menunaikan Haji pada 1300H. Beliau menetap di sana dengan menghadapi pertuduhan serta fitnah sebagai Wahabi, Khawarij yang menghalalkan memakan khinzir serta pelbagai pertuduhan keji lainnya sehingga penguasa Mekah ketika itu yang bernama al-Basya terpengaruh dengan pembohongan ini. Namun apabila mengetahui kedudukan sebenar, al-Basya dengan penuh penghormatan memuliakan tuan syeikh ini sehingga para musuh gagal meneruskan niat jahat mereka. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin bulan Rejab 1320H/Oktober 1902M ketika berusia 100 tahun. al-Syeikh al-Sayyid Nazir Husin al-Dahlawi tidak banyak menghasilkan penulisan kerana sibuk mengajar serta memperbaiki kedudukan masyarakat. Namun penulisan beliau yang seharusnya diberikan perhatian ialah Mi’yar al-Haq. Isi kandungannya mengenai kepentingan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam serta seruan kepada mengikuti al-Qur’an serta al-Sunnah dan meninggalkan pertelingkahan serta sikap fanatik yang memecahbelahkan kaum muslimin. Beliau turut mengeluarkan pelbagai fatwa yang dicetak beberapa jilid. (penterjemah) [77] Sodiq Hassan Khan merupakan seorang tokoh ulama’ serta penguasa yang digelar sebagai “Muhyi” iaitu tokoh yang menghidupkan kembali al-Sunnah al-Nabawiyyah serta menyebarkannya ke negara Arab serta selainnya. Nasab keturunannya sampai kepada Fatimah al-Zahra radiyallahu ‘anha. Ini sebagaimana yang dinyatakannya dalam kitabnya Iqaz al-Manan bi Ilqa’ al-Mihan. Ayahnya merupakan murid kepada al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz al-Dahlawi yang merupakan tokoh ulama’ serta murid kepada al-Syahid al-Sayyid Ahmad bin ‘Urfan pemimpin gerakan tajdid (pembaharuan) di India. Beliau dilahirkan pada 1248H di bandar Qanuj. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berusia 5 tahun. Beliau menuntut ilmu di pelbagai tempat dan daripada ramai tokoh ulama. Antara gurunya ialah Mufti Sadr al-Din al-Dahlawi. Beliau memperolehi ijazah dalam ilmu hadith dari beberapa ulama seperti al-Syeikh Zain al-Abidin bin Muhsin bin Muhammad al-Sab’ie al-Ansari, al-Syeikh ‘Abd. al-Haq Banares yang merupakan murid kepada Imam al-Syaukani, al-Syeikh Yahya bin Ahmad bin Hassan al-Hazimi dan al-Syeikh Husin ‘Arab. Setelah tamat pengajian serta melakukan beberapa pekerjaan beliau menetap di bandar Bhopal pada 1276H. Beliau berkahwin dengan raja perempuan Bhopal bernama “Syahjan Bikum”. Allah Subhanahu Wa Ta’ala membukakan kepada Sodiq Hassan Khan jalan kebaikan sehingga beliau memperhambakan diri kepada ilmu khusus yang berkait dengan sunnah Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Beliau membeli banyak kitab-kitab yang berkait dengan ilmu hadith serta selainnya yang amat bernilai lalu mencetak serta menyebarkan kepada umat Islam seluruh dunia. Antaranya ialah kitab Fath al-Bari bi Syarh Sohih al-Bukhari, Tafsir Ibn Kathir, Nail al-Awthar dan sebagainya. Sodiq Hassan Khan mempunyai wakil di seluruh dunia Islam bagi menyebarkan ilmu Islam yang dicetak dengan bantuannya. Wakil beliau ialah Ahmad Afandi al-‘Ashi dan al-Syeikh Ahmad al-Baabi al-Halabi (Kaherah), Habib Afandi ‘Azruzi (Iskandariyah), Bisharat Afandi (Beirut), Tahir Afandi Mushat (Jeddah), Said Ahmad bin Nasir (Istanbul), ‘Abd. Allah Hassan Ali Rejab Bek (Aden), Isa bin Qurtus (Basrah), ‘Abd. al-Qadir Bek Ishmat (Baghdad), Sayyid Muhammad ‘Arabi (Tunisia) dan sebagainya. Selain terlibat dalam pendidikan Islam Sadiq Hassan Khan terlibat dalam pentadbiran sebagai penguasa negeri Bhopal. Selama 14 tahun beliau mentadbir dengan penuh keadilan namun akhirnya dilucutkan jawatan disebabkan hasutan dari golongan penentang sunnah serta tauhid. Golongan ini menyampaikan tuduhan kepada kerajaan Ingeris bahawa Sodiq Hassan Khan menghasut umat Islam supaya melancarkan jihad serta menyebarkan fahaman Wahabi. Tuan syeikh yang mulia ini meninggal dunia pada 29 Jamadilakhir 1307H dengan meninggalkan kepada umat lebih 100 buah penulisan dalam bidang hadith, tafsir, fekah dan tauhid.. Antara karya terkenal beliau seperti berikut: 1. Fath al-Bayan fi Maqasid al-Qur’an 2. ‘Aun al-Bari fi Hal Adillah al-Bukhari 3. al-Siraj al-Wihaj fi Syarh Mukhtasar Muslim bin al-Hujjaj al-Mundziri 4. Nail al-Muram fi Syarh Ayat al-Ahkam 5. al-Raudhoh al-Andiyah 6. al-Taj al-Mukallal 7. al-Abjad al- ‘Ulum 8. al-Din al-Khalis Sila rujuk Tarajim ‘Ulama Hadith Hind, hlm.240, Wa Hindustan Mayn Ahl Hadith Kai ‘Ilmi Khidmat (Urdu), hlm.26. Dua buah kitab ini merupakan karangan Abu Yahya Imam Khan Nushharwi (penterjemah) [78] al-Syeikh Muhammad Bashir al-Sahsawani al-Faruqi berasal dari keturunan Umar Ibn al-Khattab radiyallahu ‘anh. Dilahirkan pada 1250H. Beliau menuntut ilmu dengan tokoh-tokoh terkenal antaranya Syeikh al-Kamil al-Imam Nazir Husin al-Dahlawi rahimahullah. Beliau dilantik sebagai guru bahasa Arab serta parsi di sebuah Universiti di Accra. Pada 1295H al-Sahsawani dilantik Sodiq Hassan Khan sebagai penyelia keseluruhan madrasah agama di Bhopal, India. Apabila Sodiq Hassan Khan meninggal dunia beliau membuat keputusan meninggalkan Bhopal namun atas nasihat raja perempuan Bhopal beliau membatalkan hasratnya lantas terus menetap di Bhopal. al-Sahsawani mengajar di Istana Bhopal setiap minggu sehingga raja tersebut meninggal dunia pada 1319H. Beliau kemudian pulang ke Delhi dan dilantik sebagai pembantu serta pengganti kepada al-Imam Nazir Husin dalam menyampaikan ilmu. al-Sahsawani meninggal dunia di Delhi pada 1326H. Beliau terkenal sebagai tokoh ulama’ yang berpegang teguh kepada al-Qur’an serta al-Sunnah. Antara hasil penulisannya beliau ialah al-Qaul al-Muhaqqiq al-Muhkam fi Hukm Ziarah al-Habib al-Akram, al-Qaul al-Mansur dan Itmam al-Hujjaj ‘ala Man Awjabaal-Ziarah KalHujjah. Kitab terakhir ini merupakan hasil perbincangannya dengan al-Syeikh Abi al-Hasanat ‘Abd. al-Hayy al-Laknawi. Apa yang menarik, ketika menunaikan haji di Mekah al-Sahsawani mengadakan dialog dengan Mufti Ahmad Zaini Dahlan mengenai permasalahan bid’ah serta perkara yang berkait dengan akidah Islam yang diperjuangkan al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab. Setelah kembali dari menunaikan haji beliau menulis kitab terkenalnya Siyanah al-Insan ‘An Waswasah al-Syeikh Dahlan. [sila rujuk Tarajim ‘Ulama Hadith Hind, hlm.219 karangan Abu Yahya Imam Khan Nushharwi serta kitab Siyanah al-Insan ‘An Waswasah al-Syeikh Dahlan bahagian pengenalan]
|